SAINS-LAH! - 6
Tak Kenal Maka tak Cinta

Saya tidak pernah mengimpikan untuk menjadi saintis bidang pengkomputeran ketika saya masih kecil. Berlatarbelakangkan keluarga yang sederhana pendapatan dan dibesarkan di luar bandar, saya hanya selalu terlopong melihat lakonan genius-genius komputer di layar tv. Selalunya mereka akan menaip papan kekunci dan di skrin akan terpapar beberapa ayat berlatar layar hitam. Dengan tidak semena-mena, hasil tindakan mereka ini akan menyelesaikan sesuatu masalah dengan cara yang sangat mengkagumkan! Begitulah selalunya imej yang dipaparkan mengenai pakar komputer dan stigma yang dipupuk ini menyebabkan jarang ada generasi muda di Malaysia yang menyimpan cita-cita ke arah profesion ini pada waktu itu. Tambahan pula, pada waktu itu kos untuk membeli peralatan komputer sangat mahal dan tiada kemudahan berkaitan seperti pada hari ini. Malahan urusan pejabat juga diuruskan secara manual dengan sistem pemfailan bertulis.

Namun begitu, menjelang akhir era 90-an yang mana merupakan tahun-tahun akhir saya di bangku sekolah, gelombang persediaan ke arah Wawasan 2020 semakin terasa. Salah satu anjakan paradigma pada waktu itu adalah penggunaan teknologi bagi meningkatkan kecekapan pengurusan. Ini termasuklah kempen cinta Information Technology (IT), ataupun Teknologi Maklumat. Masih terngiang-ngiang di telinga saya lagu dendangan Siti Nurhaliza yang sering diputarkan di corong radio dan dimainkan di TV bagi memupuk perasaan sayang kepada Telekom Malaysia (TM). Lagu ini merupakan medium penting yang mempromosi peluasan teknologi IT di Malaysia, yang pada waktu itu hanya mempunyai kira-kira 120,000 pelanggan Internet melalui Jaring dan TMNet.

Antara lirik lagu Cinta IT ialah

IT Agenda Baru Negara,

Malaysia Melangkah Ke Cyberjaya, Teknologi Hebat, Penyebar Maklumat,

Mencipta Satu Bangsa Berjaya.

IT Budayalah Hidup Kita,

Kekayaan Baru Dunia,

Cintai Pada IT,

Sejahteralah Diri.

Kenal IT

Suka IT

Pelajari Setiap Hari

IT Terkini

Oh ~ IT

Guna IT

Tingkatkan Ilmu IT

Malaysia Bistari

Terima IT

Belajar IT

Sayang IT

Guna IT

IT

Lagu ini amat mudah diingati kerana liriknya menceritakan kepentingan teknologi maklumat dengan bahasa yang cukup mudah, ringkas dan jelas kepada maksudnya.

Lagu ini juga popular dan dinyanyikan di mana-mana, termasuk di sekolah. Ia juga turut digunakan oleh kolejkolej dan program-program yang berkaitan pemupukan IT. Walaupun ramai rakan-rakan di sekolah yang mengambil kursus kemahiran IT selepas tamat persekolahan sambil menunggu keputusan SPM pada tahun 1998 saya tidak turut serta kerana tidak nampak keperluannya memandangkan minat saya lebih kepada sains tulen dan