SURAT-SURAT UNTUK KAHERAH - 6
Kami baru selesai perhimpunan pagi. Fahmi berlari-lari, cuba mendahului Hakimi Ridzuan yang tadinya beratur di baris paling hadapan. Setelah Hakimi dipintas, Fahmi menoleh ke belakang dan menjerit,

Ha! Ha! Kau kalah..aku menang. Jom kita lumba siapa sampai dulu. Fahmi terus berlari meninggalkan sahabatnya, Fansuri yang berjalan perlahan bersama pelajar lain. Hakimi murid sawo matang yang kepala lonjongnya dicukur botak. Hakimi berlari sekuat hati, mengejar Fahmi. Badan Hakimi agak berisi. Seluar biru tua yang dipakai mempunyai pinggang jenis cerut, supaya dia tidak perlu memakai tali pinggang. Punggungnya menampakkan dua bulatan yang ketara. Apabila Hakimi berlari, bulatan itu turun naik begitu hodoh.

Hakimi berlari mendapatkan Fahmi, sebaik sahaja tiba

di bangunan sekolah di kawasan padang, mereka berhenti. Mereka tunduk, menekan kedua-dua belah lutut dengan tangan sambil menghembus nafas yang kuat. Dalam termengah-mengah, mereka ketawa bersama.

Iskh, banjir la..! Jerit Jaafat, orang ketiga yang tiba di kaki lima bangunan. Bangunan separa kayu digenangi air setinggi buku lali.

Dari belakang, kedengaran jeritan Cikgu Asmadi. Ha, tanggal kasut, tanggal stokin. Tolong cikgu naikkan kerusi masing-masing ke atas meja. guru yang mengajar mata pelajaran Pendidikan Jasmani Kesihatan bersuara dengan nada kuat, tetapi dialun lembut.

Masing-masing tunduk, menanggal kasut dan stoking. Kecuali Fong Lay Mon dan Jeffry Loh, pasangan sahabat yang berasal dari keluarga kaya. Mereka berundur menjauhi kawasan banjir, lalu berdiri dari jauh memerhatikan kami.

Aku meletakkan kasut Bata di perbatasan antara kaki lima dan jalan tar. Perlahan, kedua-dua belah kaki ku celup ke dalam air keruh yang mengapungkan daun-daun kecil. Kalau musim air pasang keling di kampungku, air akan naik setinggi betis. Waktu itu kampung kami bertukar menjadi kolam renang yang besar. Kolam renang bermusim di perkampungan setinggan itu pernah mengapungkan ketulan tahi. Di perkampungan setinggan, bilik air dibina di tebing sungai. Kayu dipacak tinggi di atas lumpur. Kepingan kayu dipaku sehingga menjadi dinding. Tidak semua bilik air mempunyai atap. Di sudut tepinya, kepingan kayu dibiarkan terdedah, menampakkan lumpur di bawah. Lantai yang lopong berfungsi sebagai sistem tandas. Najis akan langsung jatuh ke lumpur. Najis itu bertepek dengan lumpur kelabu yang lembik. Air sungai sesekali melimpah naik menyatukan kedua-duanya.

Air bah di kampungku lebih dalam lagi di kawasan berhampiran sungai. Daratan yang bertanah rendah