SURAT DARI SYURGA: Kisah Benar Teoh Beng Hock - 6
Biar aku ceritakan secara ringkas kronologi yang telah berlaku merujuk kepada laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja.

Pada jam tiga petang, 15 Jun 2009, seperti yang mereka rancangkan, mereka datang ke tingkat 15 Bangunan SUK di mana tempat aku bekerja tempat di mana YB Ean Yong Hian Wah ditempatkan sebagai salah seorang exco Kerajaan Negeri. Mereka meminta kerjasama daripada aku untuk menyerahkan dokumen-dokumen perakaunan bagi tahun 2008 dan 2009. Salah seorang daripada pegawai yang datang telah meminta untuk menyerahkan komputer riba peribadiku. Namanya Mohd Najeib Ahmad Walat. Daripada tugas asalnya mencari dokumen berkaitan, mereka amat berminat dengan empat dokumen yang dijumpai yang dikatakan draf bertujuan bagi mendapatkan peruntukan daripada Pejabat Daerah. Ya, aku percaya empat dokumen inilah yang akan digunakan bagi memerangkap Ean Yong.

Ketika itu aku sedang bekerja seperti biasa. Jika ada persidangan, aku akan membaca soalan-soalan sidang Dewan Negeri, menyemak jadual dan aktiviti, membaca laporan-laporan akhbar dan begitulah rutinku. Dengan tiba-tiba beberapa orang pegawai SPRM menyerbu pejabat kami. Katanya mereka mahu membuat siasatan dan mencari dokumen berhubung peruntukan kerajaan negeri.

Salah seorang pegawai memperkenalkan dirinya sebagai Mohd Anuar Ismail. Aku panggil dia Anuar sahaja. Pegawai itu memintaku menyerahkan beberapa dokumen berkaitan beberapa tuntutan peruntukan program yang dijalankan antara tahun 2008 dan 2009.

Menurut Anuar, dia dan yang lain datang ke pejabatku atas arahan pegawai atasan bernama Hishamuddin Hashim. Pegawai atasannya itu menurut Anuar mendakwa bahawa pada 24 Jun 2009, Ean Yong telah membuat tuntutan pembayaran palsu kepada Pejabat Daerah. Tambahnya lagi, Hishamuddin mendapat