A.I.D.S. - 6
Sisa hujan masih ada. Rintik-rintik. Alam segar dan ceria. Bagaikan mendapat tonik kuat natijah siraman hujan yang melebat dua jam yang lalu. Matahari sudah menjengah. Aneka warna-warni pelangi terlanjur di langit. Riang dan mengharmonikan suasana pagi.

Baizura melemparkan pandangan ke luar jendela. Bunga seri gading cantik. Sekelompok sana dan di sini. Ada mawar pelbagai warna di halaman yang mem-bebaskan aroma segar dan mengharumkan. Taman kecil di hadapan rumahnya penuh dengan bunga-bungaan. Anggerik, orkid dan mawar adalah bunga berdarjat yang ditanam di hadapan rumah.

Hatinya masih mengharap. Kalaulah kau tahu apa yang berdetik di dalam hati ini. Apa yang sedang meronta-ronta dan memberontak dalam diri. Jiwa ini parah. Perasaan ini terluka sentiasa. Sejak dari peristiwa di Central Park dahulu lagi, aku tidak pernah pun mengubah cinta ini. Rindu ini. Asmara ini. Kasih dan sayang, tekad kuberikan kepadamu. Akan tetapi aku ini siapa Sedar amat aku. Entah kenapa kau menganggap aku sekadar sahabat. Entah kenapa

Hati ini tidak pernah berubah. Aku mengundurkan diri, ya! Namun aku yang tidak malu ini masih mengharap. Senyummu terbayang setiap detik tahun demi tahun. Jika aku bersalah mencintaimu, Tuhan ampuni aku. Cinta. Siapalah yang benarbenar memahami erti cinta. Kerana ia mujarab! Ia tidak dapat dirasa dan dielus-elus. Jadi sekiranya aku menangis pun, siapa yang memahami

Baizura ingin menangis. Dia membiarkan sahaja. Dia tahu dia tidak akan mengalirkan air mata kerana air mata telah tiada. Kering lantaran bertahun-tahun merindu. Bodoh Ooo, sudah tentu aku ini bodoh kerana masih menunggu. Kalau tidak kerana cekal di hati. Kalaulah tidak kerana iman. Sudah tentu. Ya, sudah tentu aku....

Baizura melarikan matanya dari pemandangan itu. Dia bangun perlahan-lahan menuju ke pintu, memutar tombolnya lalu melangkah tanpa maya ke luar halaman. Di taman kecil dia cuma memerhatikan sahaja kembang bunga-bungaan. Baizura menghampiri kelompok seri gading, dia melutut. Ada sesuatu yang tidak kena pada bunganya ini. Putihnya tidak lagi semerdanta seperti selalu. Putihnya lebih pucat. Dia bangun dan kepalanya berpusing-pusing melihat keadaan sekeliling. Dia mengulum senyum, mendongakkan kepala ke langit untuk melihat pelangi. Terlalu cantik, sayangnya tidak kekal lama.

Kadang-kadang memang ada khayalan-khayalan erotik di kepala. Dia menggambarkan J.C bersama-samanya di atas ranjang penuh kemesraan sebagai sepasang suami isteri. Khayalan nakal itu barangkali didorong oleh nafsu. Atau syaitan. Yang pastinya, ia tidak pernah disengajakan. Setulusnya dia perempuan biasa. Dia mempunyai keinginan dan kehendak seperti orang lain. Kehendaknya itu J.C. Sesungguhnya dia sedar dia dari jenis yang ingin selalu dibelai, di-manjakan, diambil berat.

Jadi Baizura tidak mahu berputus asa. Dia mencintai J.C dan tidak salah untuk dia terus mengharap. Meskipun J.C sentiasa melarikan diri.

***

Rumah itu satu-satunya banglo kepunyaan bangsa Melayu di Changi.

Ia dibina mengikut reka bentuk bangunan Cina. Seakan-akan sebuah tokong dari kejauhan. Bumbung pula agak terpengaruh dengan unsur-unsur seni bina orang-orang Minang. Pada dinding sebelah kanan mengarah ke dapur ada tulisan kaligrafi Xing. Banglo dua tingkat itu kelihatan pelik. Lebih menghairankan penghuninya berbangsa Melayu.

Di halaman banglo terdapat air pancutan dengan kawasan taman yang agak luas, meriah dengan pelbagai jenis bunga. Kawasan itu meliputi sebuah gelanggang tenis dan kolam renang berbentuk kayak. Sebuah khemah untuk bersantai-santaian terdiri berhampiran.

Norman meletakkan keretanya di garaj sebelum melangkah masuk ke dalam