KUNANG PESISIR MORTEN - 6
Dakapan dingin subuh diiringi hujan lebat hampir setiap pagi. Namun kami meneruskan hidup. Ayahku sudah menjadi rutin bekerja tanpa tentu masa. Jarang sekali kami menghabiskan masa bersama. Ibuku masih membantu sekadarnya dengan menjual sayuran dan barang runcit di pasar besar.

Tetapi jadual aku dan Dhiya telah mula berubah. Musim monsun menjadi sangat-sangat sibuk. Bukan kerana jadual penuh menyertai pesta layang-layang anjuran anak sekampung meraikan angin kuat monsun. Permainan itu tentu sahaja telah menjadi pertandingan melawan siapa terbang paling tinggi sambil memasang strategi memutus layang-layang dengan benang kaca fluorescent saban petang. Ianya langsung tidak menarik perhatian kami lagi. Tetapi kelapangan waktu pagi yang jarang kami kecapi pada cuti hujung minggu adalah nikmat yang tidak dapat dibeli mana-mana permainan pun di dunia ini.

Semua kerana budak sepet itu. Dicampur kegilaan perempuan bernama Dhiya. Perjanjian yang diikat dengan Lim membawa kami melangkau jauh daripada sempadan lumpur Kampung Morten kerana kami kini punya pemandu pelancong lebih tua dan hafal selok belok bandar Melaka. Pengalaman meneroka bandar ini dinikmati dengan seram kecut perut kiranya bertembung dengan bapaku yang keluar makan atau ibuku yang pulang pasar. Bagaimanapun tiada di dunia ini yang dapat menahan Dhiya daripada menjelajah kota Melaka; pengalaman yang diimpikannya bertahuntahun. Dan aku melihat Lim yang cuma menurut apa-apa saja permintaan Dhiya adalah satu tingkat tinggi lebih gila kerana sehingga mati pun dia tidak akan dapat memuaskan semangat kembara perempuan itu.

Dalam takut-takut, pengalaman hari pertama berjalan dengan Lim mengujakan. Kami bermula dengan tempat lebih dekat dengan Kampung Morten. Lim mencadangkan kami sekadar ke Jalan Bunga Raya. Jalan ini tidak jauh beza dengan Petaling Street. Jalan sempit yang meriah dengan deru hiruk pikuk kenderaan membawa ke malam. Kebanyakan mereka dikenali Lim melalui bapanya. Deretan rumah kedai tradisional bercampur moden dengan perniagaan segala macam daripada kain ela, popiah, nasi ayam Hainan, teh herba, alat tulis, kasut kulit buatan tangan dan barangan menjahit. Di jalan inilah kau akan temui emporium yang kepada kami punya nilai populariti yang jauh lebih hebat daripada Globe Silk Store iaitu Madam Kings. Daripada namanya saja, kau tahu perniagaan di sini dikuasai bangsa Cina. Salah satu daripada chinatown di Melaka.

Sebenarnya hampir seluruh bandar ini dipenuhi rumah kedai Cina kecuali bebeberapa bahagian seperti Jalan Bendahara atau