BINTANG AL-NILAM DI LANGIT MENTAKAB - 6
Desas desus orang minyak menggila di kampung Pasir Rawa berjangkit ke mana-mana. Semua kawasan dan jajahan bercerita tentang kisah sama. Sebut sahaja di mana, kantin, kebun, sekolah, kelas malah seluruh bilik guru semuanya akan bersungguh-sungguh bercerita tentang seramnya orang minyak yang mengganas.

Leman duduk kemas menanti cikgu memasuki kelas. Dilihatnya keletah Nurul yang masih lagi membaca dan tidak terbawa dengan keriuhan kelas. Sekejap-sekejap Nurul menyelak helaian buku yang dibaca, kadang-kadang berkerut kadang-kadang ketawa kecil. Leman ikut senyum melihat wajah itu bergembira dengan alamnya.

Nurul, balik nanti jomlah ikut kami ke rumah Mak Lang, boleh beli aiskrim! ajak Bahari. Nurul menggeleng tetapi senyum, Leman hanya memandang sipi-sipi. Acah-acah tidak ambil tahu tetapi mengharap seribu ya dari Nurul.

Loceng rehat jam 10.00 pagi berbunyi. Leman mengeluarkan bekal dari bawah meja dan mengekori Faduli ke kantin sedang Bahari sudah pun laju berlari beratur membeli makanan.

Nah, sudu kau. Itu lauk kau, mak aku dah siapkan dua bekas, Leman menghulur satu bekas plastik putih kepada Faduli. Memang sudah terbiasa mereka berdua ini membawa bekal dan berkongsi makanan. Kadang-kadang Mak Cik Cah akan sediakan, kadang-kadang Mak