KARKUMA - 6
AWAL pagi itu, ketika Karkuma sibuk melayan pokok-pokok bunga di halaman rumah, dia asyik teringatkan Ketua Labot.

Sudah tiga bulan Karkuma diberhentikan kerja sebagai tukang kebun di Bangkir Ghadabi. Sebagai penganut ajaran Huku, Karkuma dan isterinya, Sirehpani setia berulang alik ke Bangkir Ghadabi pada setiap Sabtu menunaikan johong duyun atau melawat Ketua Labot. Ketua Labot kini berusia 80 tahun, tidak pernah berkahwin. Bagi Ketua Labot, selama mengenali Karkuma, dia melayani Karkuma seperti anak sendiri.

Pagi itu, walaupun Karkuma leka melayan pokok-pokok bunga di laman rumahnya, hatinya tergerak mendesak dia pergi melawat Ketua Labot di bangkir pada pagi itu juga. Mungkin dia rindukan Ketua Labot, kerana sudah lama tidak bertemu. Kali terakhir mereka bertemu enam minggu lalu semasa Ketua Labot meminta Karkuma memanggilnya ayah.

Karkuma sangat terharu dan berasa kekok untuk melafazkannya, namun di dalam hati sememangnya Ketua Labot dianggap seperti ayah sendiri.

Sejak Jameng ambil alih jawatan Ketua Warak lima minggu lalu dan Ketua Labot dilantik menjadi Penasihat Warak, Karkuma tidak lagi berjumpa Ketua Labot.

Ketua Jameng sentiasa memberi alasan setiap kali Ketua Labot ingin bertemu Karkuma. Ternyata Ketua Jameng jadikan pelantikan Ketua Labot hanya sebagai boneka. Banyak undang-undang tatasusila di bangkir sudah diubah suai oleh Ketua Jameng demi mengikut kehendaknya. Orang awam tidak dibenarkan melawat bangkir sewenang-wenangnya kecuali atas urusan johong duyun atau johong wisata.

Setiap kali Karkuma ke bangkir untuk urusan johong, dia tercari-cari Ketua Labot,tetapi tidak pernah ternampak atau terserempak orang tua itu. Ada dia mendapat berita Ketua Labot sakit, tetapi hairannya selama beberapa kali upacara johong duyun diadakan, Ketua Labot tidak pernah sekali pun kelihatan.

Mentak berat sakitnya Itulah persoalan yang bermain dalam fikiran Karkuma pagi itu, tetapi dia masih sibuk dengan pokok-pokok bunganya, asyik berbual-bual dengan pokok-pokok bunga di halaman rumahnya.

Aduhai!

Jari Karkuma tercucuk duri mawar. Tidak semena-mena seluruh tubuhnya terasa kebas. Jarinya dipicit-picit, menitis darah keluar. Disedutnya darah, penglihatannya seakan kabur. Digenyeh-genyeh matanya, suara Ketua Labot terngiang-ngiang di telinga. Jantungnya berdegup kencang dan hatinya berbisik,