MENTARI pagi yang menyinar telah menambah keindahan banglo-banglo yang tersergam indah di suatu kawasan perumahan golongan elit di ibu kota yang diberi nama Bukit Tunku. Di antara kediaman-kediaman mewah itu jugalah berdirinya sebuah mahligai yang cukup sempurna seni pembuatannya, milik seorang jutawan muda yang juga merupakan tokoh korporat yang cukup disegani. Kerana kecantikan seni bina dan kehalusan seninya, telah membuatkan banglo milik taikun Tuan Fahreen Razeez acapkali memenangi anugerah rumah idaman dan menghiasi dada-dada majalah yang menghidangkan santapan kediaman-kediaman indah dan eksklusif untuk para pembacanya. Pemiliknya, juga tidak kurang hebatnya.
Beliau terkenal sehingga seantero Asia kerana memiliki rangkaian perusahaan yang cukup berjaya dan dinamik sekali. Walaupun perniagaannya diwarisi dari allahyarham ayahnya, Tuan Tajul Arif, namun usaha-usaha untuk kemajuan dan kemantapannya dicorakkan sendiri oleh Tuan Fahreen. Kekentalannya dalam mengharungi arus dunia korporat yang penuh pancaroba dan semangat juang yang tinggi menjadikan Tuan Fahreen dengan mudah menempa nama dan sering memenangi anugerah-anugerah usahawan dalam usia yang muda. Memiliki harta kekayaan yang menggunung dan ditambah pula dengan rupa paras yang kacak, sudah tentu menjadikan Tuan Fahreen lelaki idaman Malaya ataupun jejaka rebutan. Bak kata orang, sekali petik jari, ramai perempuan yang sedia datang bertandang.
Walaupun begitu, Tuan Fahreen bukanlah jenis lelaki yang mudah digoda. Ramai wanita dan gadis-gadis jelita yang telah tewas dalam percubaan mereka untuk memenangi hati Tuan Fahreen. Bagi Tuan Fahreen, semua perempuan yang cuba mendekatinya hanyalah semata-mata bermotifkan kekayaan dan kedudukan yang dimilikinya kini. Boleh dikatakan, hampir kesemuanya telah ditolak mentah-mentah olehnya. Sehinggalah ramai yang menggelarkannya sebagai tokoh usahawan muda yang sombong dan berlagak. Tetapi Tuan Fahreen tidak pernah memperdulikan semua kutukan itu kerana baginya adalah membuang masa melayan kerenah-kerenah yang tidak memberi sebarang manfaat kepadanya.
Jemput minum, tuan,
pelawa Mak Chom, pembantu rumah Tuan Fahreen yang sudah sedia menuangkan kopi