KEMBARA PENIAGA JALANAN - 5
D I S E B A B K A N begitu banyak pengalaman buat duit geli-geli apabila berkuli dengan orang pada zaman persekolahan, ia sebenarnya memberi aku lonjakan semangat dan begitu banyak idea untuk terus cuba buat duit dengan lebih serius apabila usia aku mencecah 18 tahun. Sewaktu sedang belajar di Pusat Matrikulasi Universiti Islam Antarabangsa (UIA) di Petaling Jaya, aku berfikir apakah bisnes yang boleh dijalankan dengan mudah oleh seorang pelajar. Aku perhatikan ramai senior yang menjual nasi lemak, menjual buku, membaik pulih komputer dan membuat khidmat cetakan dokumen di bilik masing-masing. Apabila ramai yang menjual benda sama, persaingan semakin sengit dan susah untuk menonjol dalam pasaran.

Masa di sekolah dahulu, Cikgu Ibrahim sempat mengajarkan kepada aku skil edit foto menggunakan perisian Adobe Photoshop. Dan aku memang sangat meminati aktiviti reka bentuk grafik. Aku melihat peluang bisnes apabila mula berkecimpung dengan pelbagai program di dalam kampus. Untuk pengetahuan kalian semua, setiap kali ada program di dalam kampus, salah satu benda yang wajib ditempah oleh sekretariat penganjur ialah tag nama program.

Tag ini akan dipakai semasa program. Pada tag itu akan ditulis nama program, nama kau, jawatan kau dalam program tersebut dan ia akan menjadi memori sepanjang kau berada di kampus.

Aku tak pasti di tempat lain tetapi di UIA memang begitulah. Apabila aku melihat hampir setiap minggu ada acara dan begitu banyak tag yang ditempah, kepala otak aku mula ligat membayangkan idea bisnes berasaskan tag. Hidung aku yang begitu cepat menghidu peluang buat duit pun sudah kembang kuncup kerana tidak tahan mahu bermula. Aku tunggu kemasukan wang bantuan khas dari Kementerian Pengajian Tinggi untuk membeli peralatan awal. Pada waktu itu, aku ada set komputer dan printer. Cuma sekarang ini aku perlukan bahan mentah seperti tali, laminate plastic dan mesin laminate. Semuanya aku dapatkan di pasar raya Mydin yang terletak di Kota Raya. Aku naik bas nombor 12 dari Petaling Jaya menuju ke Kota Raya.

Printer Inkjet Canon pada waktu itu belum ada kapasiti sambungan ink luaran. Aku terpaksa simpan stok katrij warna berkotak-kotak. Masih ada untung tetapi tidak begitu efektif. Sehelai kertas bersaiz A4 boleh menghasilkan empat keping tag. Aku tak mengambil masa yang lama untuk mereka bentuk grafik tag bagi setiap acara yang ditempah. Cuma aku menghadapi masalah tenaga kerja untuk melakukan kerja memotong kertas, memasang tali dan laminate plastic. Jadi, aku terpaksa meminta bantuan rakan-rakan yang berminat buat duit ekstra untuk membantu.

Aku hanya beroperasi dari dalam bilik sahaja. Di Pusat Matrikulasi UIA, satu bilik dibahagi kepada empat bahagian. Setiap pelajar mendapat satu bahagian yang lengkap dengan katil single, almari dan meja untuk belajar. Ia tidak luas tetapi ia cukup selesa untuk aku bergerak dan membuat kerja. Bagi menjayakan bahagian promosi, aku mula mencetak begitu banyak iklan bersaiz A4 dan A3 untuk ditampal di seluruh kampus. Hampir semua papan iklan sudah aku tawan. Aku ada kawan-kawan yang cukup baik menjadi mata-mata dan memberitahu sekiranya ada iklan di kawasan tertentu yang dicabut atau hilang.

Aku tak ambil masa yang masa yang lama untuk memperkenal jenama aku di dalam dalam kampus. Biasanya sekretariat harga seringgit sahaja.

program pelajar memang ada bajet khas untuk percetakan tag ini. Benda ini umpama satu perkara wajib dibuat setiap kali ada program. Bayangkan, apabila tiba waktu puncak, aku perlu menyiapkan hampir beratus-ratus tag dalam sehari. Aku tidak ada ejen, semuanya jualan terus kepada pelanggan. Urusan menjual aku menjadi mudah apabila aku berkawan dengan ramai presiden kelab dan orang yang aktif dalam persatuan.

Dalam masa dua tahun di kampus Petaling Jaya, aku berjaya kumpul wang boleh tahan banyaklah juga. Cukup banyak bagi aku seorang pelajar yang baru berusia 18 tahun pada ketika itu. Wang itu aku gunakan untuk membeli komputer baru, printer baru dan simpan untuk belanja buah hati makan sedap bila tiba hujung minggu. Lainlah kau, minta duit dekat emak setiap minggu. Hidup di alam kampus kena rajin, siapa rajin mesti berduit sepanjang semester. Orang makan nasi putih lauk kicap, aku hari-hari makan ayam goreng sedap di kafe UKC. Sebab itu, berat badan aku pun turut naik mendadak.