PEREMPUAN ANGGERIK - 5
Fasal A

Engkau sedari andai melangkah masuk pintu kedai buku Times kau akan capai begitu sahaja sebuah dua buku untuk dibawa pulang.

Engkau lihat pengunjung sesak mengitari rak-rak buku fiksyen. Mereka membelek khusyuk penuh teliti helai-helai naskhah, mengagumi atau menimbang-nimbang dalam hati, wajar atau tidak dibeli. Ada seorang dua tertonggeng malah terduduk dikuasai isi buku. Yang berdiri di hadapan rak majalah berkerut-kerutan tersengih mengelamun sendiri.

Engkau rasai buku-buku itu menuntut-nuntut perhatian untuk dibelai dan diusapi, diratahi dan diribai, dielusi dan disentuhi kehormatannya (kekayaan ilmu dan informasi terkurung pada lembar-lembar kertas amat membuatkan engkau ghairah). Ingin kaukukucupi, engkau masuki ruang nikmat ditawari.

Engkau beralih dari satu rak ke satu rak lain digodai setiap buku yang ada. Engkau berhenti dan berasa bahagia bermain mata dengan One Hundred Years of Solitude karangan Gabriel Garcia Marquez, sasterawan Latino dengan khazanah imaginasi dan kemampuan menyihiri nafsu diri. Engkau pegun lama membelek dan menyelaki daging tersedia. Dan engkau rasai getar syahdu nafsu tidak terbendung untuk kaurangkul dan kauisikan sahaja ke dalam beg kulit kecil tersandang di bahu.

Engkau bermata keranjang berhasrat menduakan si One Hundred Years of Solitude dan lekas terpesona dengan Beloved hasil cipta Toni Morrison yang merakamkan dunia hamba di Amerika abad ke-19. Engkau menoleh ke kiri dan kanan, tersangkak kerana seorang dua pengunjung terpengaruh oleh satu dua teks mengenyit-ngenyitkan mata. Berlegar mereka diganti lain, berpura-pura terus membelek seperti pelanggan lain, berminat dan terdorong oleh kejelitaan terpapar. Kemudian, manusia pergi meninggalkan engkau seorang diri separuh mencangkung di celah-celah rak buku. Engkau buka zip beg dan engkau lontarkan buku-buku itu ke dalamnya. Buku-buku lain tidak memikat.

Seorang gadis mencuit bahu engkau. Dia berkata, sebelum apa-apa, boleh saya periksa isi beg saudara yang nampak kembung hamil lima purnama itu. Engkau tergamam, berasa geram keterlaluan. Mengapa pula, engkau membantah. Si gadis bermata tegas, berwajah meluat, bibir mencebik, dan air mata tiada kasihan melafazkan ia proses biasa, setiap pelanggan bertanggungjawab tiada masalah menuruti kehendak kami.

Engkau membuka zip beg dan mengeluarkan buku-buku tersebut. Kata gadis itu dengan air rupa berjaya, separuh bangga, These are Ours. Boleh pergitak mahu malukan awak sahaja.

Engkau berdiri gamam dengan perasaan benci, geram, serta marah ditewaskan. Engkau membentak, akan datang lagi untuk mengambil mana-mana buku sesuka hati kerana naluri mengizinkannya dan tiada undang-undang kapitalis mana pun boleh menyekat lagi. Okey, kali ini engkau berundur, dengan rasa berang dan sakit hati, tetapi engkau pasti mampir lagi. Gadis terdiam.

Fasal B

ENGKAU mewaspadai pemuda asyik melekap di rak buku -New Arrival- itu dengan rasa amat sangsi. Ini peluang untuk berbakti kepada tuan kedai. Engkau memang ketagihkan pujian orang atasan, engkau suka diperakukan dan diperlakukan sebagai petugas cemerlang pada setiap masa.

Engkau memutar-mutar mata mengawasi gerak-gerinya, terbongkok tertonggeng tercanggung dan langsung terduduk seperti amat mengingini satu dua buah buku yang ada. Engkau yakini pemuda ini jenis berduit, dan gaya penampilannya yang segak boleh dipercayai; tetapi dunia hari ini, engkau mengeluh dalam hati, lapis luar selalu membohongi, getus hati lagi. Engkau lihat di tangan dia sebuah buku, menggetap bibir, memandang keliling, setelah itu mengelus-elus kulit buku. Engkau lihat si pemuda mencium bau kertas sambil mata juling terangkat (setiap buku ada bau tersendiri). Engkau mengangkat kening. Ini peluang, ini peluang

Pemuda kacak, apa jua alasan, mengambil sesuatu tanpa cara yang sah adalah salah. Engkau terdengar suara besar bertingkah dan suara anak-anak memujuk ibu membeli buku dengan gambar-gambar hiasan menculik hati.

Engkau kembali mencari pemuda aneh. Tiada. Engkau terkejut dan menggelabah kerana terleka tadi. Mungkinkah dia sudah keluar dan berjaya dalam misi. Tetapi tidak, engkau dapati semula si pemuda berkulit hitam manis, berkumis tebal dan berwajah mendung dengan pakaian dan jam berjenama mahal di tempat sama, tidak beralih. Mampu tetapi masih mahu berbuat jahat, engkau menjeritjerit dalam hati, disulami laungan bos akan puji berulang kali.

Engkau mencuit bahu pemuda dan berkata sombong, nak periksa beg awak. Semua pelanggan kita buat begitu. Mengapa pula Tanya si pemuda. Engkau berasa tercabar, akan adakah pertempuran panjang Kalau buku-buku itu tiada dalam begnya, adakah dikira berprasangka buruk

Pemuda mengeluarkan novel-novel yang diambilnya. Engkau berasa terlalu berjaya, berhasil juga tangkapan ini. Ikan besar! Dua buah buku dengan tanda harga dan label Times. Engkau senyum dalam hati, meloncat-loncat dalam jiwa, tergedik-gedik dalam sukma, lalu bersuara: These are ours. Belum selesai menghabiskan ayat, engkau ditengking entah apa-apa. Engkau pegun, apa yang engkau dapat, dan memujuk hati, bos akan pujuk, bos akan naikkan gaji. Tetapi engkau merosot rasa pasti dan hairan, berganda simpati, melihat pemuda keluar sebagai perwira tewas.

Fasal C

MINGGU seterusnya: Mereka berdua bertembung mata lagi, sedia bertempur. Pemuda nekad dalam hati: Bukubuku itu mesti dibawa pergi seperti yang diingini. Gadis itu berazam dalam jiwa, buku-buku itu hanya dilepaskan jika melalui saluran munasabah. Pemuda merenung wajah gadis benci. Gadis merenung wajah pemuda keliru.

Mata bertembung mata.

Pemuda selamba mengisi buku ke dalam beg dan keluar resit. Gadis merelai, kali ini tidak tahu rasa apa yang harus dirasa jauh di bucu hati yang dalam.