KITAB XX - 30 Langkah Memikat Lelaki - 5
Usah menafikan yang kamu mahu berpasangan kerana nafsu. Usah menafikan yang nafsu telah membuatkanmu berusaha mencari pasangan hidup. Jika tiada nafsu bagaimana umat manusia boleh berkembang-biak

Jika seekor kucing berselisih dengan kucing yang lain, perkara pertama yang dilakukannya adalah melihat kucing itu, membuat bunyi seperti mendesis. Jika tidak berkenan atau bertujuan menunjukkan kekuatan, kedua-duanya akan mengembangkan bulu. Tetapi jika ada persefahaman atau menyukai satu sama lain, kedua-duanya akan mula menghidu dan akhirnya merapatkan hidung sesama mereka.

Bagaimana pula manusia seperti kita Kita tiada bulu yang mahu dikembangkan. Manakala rambut kita juga tidak dapat dikembangkan. Kita tidak dapat menunjukkan apakah perasaan kita pada ketika itu.

Gadisku, setiap manusia dikurniakan nafsu. Dengan nafsu, kita akan mudah mencari pasangan hidup apabila tiba waktunya. Nafsu juga mendorong dua orang yang berlainan jenis agar sama-sama mengikat satu janji dan seterusnya mendapatkan zuriat.

Nafsu juga membuatkan dua orang yang tidak pernah bertemu sebelumnya mula jatuh cinta. Jatuh cinta pandang pertama ataupun tidak, ia bergantung bagaimana seseorang itu mengawal nafsunya.

Tidak pula dikatakan dengan adanya nafsu, sesuatu hubungan cinta itu akan menjerumuskan kamu ke lembah kemaksiatan. Nafsu sebenarnya adalah perkara indah yang bagus jika kamu menggunakannya dengan bijak dan terkawal.

Wahai gadis, teruskan usahamu mencari pasangan yang kamu rasakan sesuai denganmu dan usahlah takut pada nafsumu sendiri. Kamu bijak mengawalnya.