Maksudnya:
Kamulah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk manusia, kamu menyuruh mengerjakan kebajikan dan melarang melakukan kejahatan... ' (Surah Ali-Imran 110)
Sifat tersebut yang merupakan warisan sifat-sifat Iblis laknatullah tidak selayaknya dimiliki apatah lagi disemai dalam diri seseorang yang bergelar Muslim. Dr. Abdul Karim Zaidan enyifatkan
sifat-sifat ini sebagai sifat-sifat orang munafik. Bagi yang menjadi mangsa fitnah, ejekan, penghinaan dan sebagainya akan mengalami tekanan perasaan dan gangguan mental.
Pertuturan berupa fitnah, umpat, dusta dan sebagainya yang berterusan akan memanjang dan memberatkan lagi beban tekanan kejiwaan yang terpaksa ditanggung oleh si mangsa. Ini seterusnya mengganggu konsentrasi penerima dalam melaksanakan tanggung- jawabnya kepada agama, bangsa dan negara.
Gangguan seperti ini sememangnya tidak dikehendaki oleh Islam iaitu agama yang memberi rahmat dan kesejahteraan kepada sekalian manusia. Keunggulan Islam bukan hanya dari sudut aqidah, ibadat, syariat dan muamalat sesama manusia sahaja bahkan menjamin ketenangan dan kedamaian kepada jiwa insan itu sendiri. Inilah sebenarnya yang dimaksudkan dengan perkataan rahmat dalam firman Allah:
Maksudnya:
Tidak Aku utuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan menjadi rahmat kepada sekalian alam.
(Surah al-Anbiya: 107)
Mengecewakan
Pertuturan yang penuh dengan lafaz-lafaz penghinaan,pendustaan, ejekan, fitnah, mengadu domba, penghinaan dan sebagainya bukan sahaja mencacatkan usaha dakwah yang dijalankan bahkan menggagalkannya sama sekali. Islam sama sekali tidak pernah merestui amalan sedemikian kerana prinsip Islam ialah sesuatu yang baik itu mesti dicapai dengan cara yang baik juga.
Kaedah usul fiqh ada menyebut: Matlamat tidak menghalalkan cara. Di samping itu, Allah s.w.t. mengajarkan kita supaya melakukan dakwah, secara hikmah. Hikmah yang dimaksudkan ialah bijaksana dalam memilih kaedah dan pendekatan sama ada dari segi tutur kata, perbuatan,akhlak dan sebagainya.
Firman Allah s.w.t:
Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan mu dengan hikmah dan pengajaran yang baik dan berdebatlah mereka dengan cara yang baik..
(Surah An-Nahl : 125)
Menggunakan pendekatan dakwah yang lain daripada Islam khususnya dari segi pertuturan akan menjauhkan lagi manusia dari cahaya kebenaran Islam. Inilah yang dinyatakan dalam firman Allah s.w.t.
Sekiranya kamu bersikap keras lagi berkasar tentulah mereka menjauhkan diri daripada sekeliling mu
(Surah Ali-Imran : 159)
Kecantikan bukan terletak pada pakaian yang dipakai tetapi ia bergantung kepada keelokan akhlak dan budi pekerti. - Saidina Ali bin Abi Thalib