KERAMAT SEBUAH HATI - 5
'Hati yang terluka umpama besi bengkok walau diketuk sukar kembali kepada bentuk asalnya.'

Tuhan memberikan kita 2 mata untuk melihat, 2 kaki untuk berjalan, 2 tangan untuk bekerja, 2 telinga untuk mendengar, tetapi kenapa hati kita cuma satu sahaja adakah kita perlu mencari pasangannya.

NASIHAT IBNU QAYYIM : Di dalam hati manusia ada kekusutan dan tidak akan terurai kecuali melaksanakan kehendak Allah s.w.t. Di dalam hati manusia ada keganasan dan tidak akan hilang kecuali berjinak dengan Allah swt. Di dalam hati manusia ada kesedihan dan tidak akan hilang kecuali seronok mengenali Allah swt. Di dalam hati manusia ada kegelisahan dan tidak akan tenang dan damai kecuali berlindung, bertemu dan berjumpa denganNya

Di dalam hati manusia ada penyesalan dan tidak akan padam kecuali reda dengan suruhan dan larangan Nya serta qada dan qadar Nya serta sentiasa sabar sehingga menemuiNya. Di dalam hati manusia ada hajat dan tidak akan terbendung kecuali kecintaan kepada Nya dan bermohon kepada Nya.

Kekerapan berzikir kepada Nya adalah keikhlasan sebenar kepada Nya. Andai dunia dan isinya diberikan kepada manusia masih tidak lagi dapat membendung hajat hati si hamba itu. Apa yang hati kata lain dari bicara mulut. Mereka sering tidak bersefahaman. Mulut sering sahaja menagih janji sedangkan hati memendam rasa. Namun akibat dari tindakan diri akan dirasai oleh keduanya.

KATA LUQMAN TENTANG AKAL DAN HATI: Allah mencipta manusia dengan akal dan hati, yang saling berbeza tabiat dalam memberikan reaksi kepada perkataan. Akal memproses logik. Hati memproses emosi. Akal dan logik menghasilkan tahu. Hati dan emosi mencetuskan kemahuan manusia.

Apabila kita meminta sesuatu dari orang lain dengan menyebut Saufi, buka pintu tu, ia adalah arahan kepada akal. Apabila akal memahami arahan tersebut, ia akan memberikan kefahaman tentang reaksi dan tindakan yang sepatutnya diambil terhadap arahan itu. Namun arahan itu hanya dipedulikan oleh akal, walaupun boleh difahami, ia mungkin tidak mencetus mahu. Arahan itu tidak mengambil kira soal hati. Sedangkan kemahuan datang dari hati.

Bagaimana kalau ayat yang sama diungkap dengan cara yang lebih sopan, seperti Saufi, tolong bukakan pintu tu. Terima kasih! Bagaimanakah perasaan dan kesediaan kita untuk bekerjasama dengan permintaan yang sedemikian rupa, berbanding arahan pertama Saya yakin, kita lebih bersungguh dan berkemahuan untuk memenuhi permintaan itu kerana perkataan buka pintu memberitahu akal, manakala perkataan tolong dan terima kasih menggerakkan hati.

Ketika Luqman menasihati anaknya. Beliau mulakan ungkapan nasihat itu dengan lafaz Ya Bunayya, yang boleh dimaksudkan sebagai wahai anak ku sayang. Ia adalah lafaz akal dan hati. Luqman tidak bersikap angkuh terhadap anaknya atas status dirinya sebagai bapa. Malah kuasa kasih sayang dan bahasa yang mengungkapkannya, menjadikan nasihat itu lebih berkesan dan penuh hikmah.

Manusia tidak bertindak berdasarkan apa yang dia tahu (akal), tetapi manusia bertindak berdasarkan apa yang dia mahu (hati). Jangan hanya mengeluarkan arahan, tetapi manfaatkan fitrah manusia yang ada perasaan.