BANDUAN AKHIR - 5
Sehingga ke detik terakhir pergantungan, Saddam tidak menunjukkan sebarang reaksi sama ada gementar atau bimbang terhadap hukuman mati yang dijalankan. Lazimnya banduan akhir yang akan dijatuhi hukuman gantung terpaksa dipapah sehingga ke tali gantung. Mereka tidak bermaya dan berada dalam ketakutan yang amat sangat untuk menghadapi kematian.

Terbayang di depan mata, Malaikat Maut yang cukup bengis bakal meragut nyawanya dari tubuh yang longlai itu. Apa lagi bayangan maut yang disusuli dengan soal jawab di alam kubur. Ke mana arah selepas itu Syurga atau neraka Segala persoalan bermain di benak fikiran. Semakin hampir detik itu, maka semakin gementarlah mereka.

Namun, tidak bagi Saddam Hussain. Dengan berpakaian lagak pemimpin agung, beliau meniti satu-persatu anak tangga tanpa ragu-ragu. Renungan mata beliau cukup tajam terhadap Algojo (pelaksana hukuman gantung). Beliau mengamati setiap arahan dan taklimat yang diberi oleh mereka. Algojo yang bertopeng (Balaklawar) ini kelihatan lebih gementar daripada Saddam Hussain. Mereka sebolehnya ingin mengelak daripada rakaman gambar lensa kamera.

Mana tidaknya, jika wajah mereka dikenal pasti oleh penyokong Saddam, maka pasti keselamatan mereka tidak akan terjamin. Kemungkinan mereka akan menjadi mangsa balas dendam penyokong Saddam Hussain adalah tinggi. Hukuman dijalankan di hadapan 15 orang saksi yang terdiri daripada beberapa orang menteri, mangsa kekejaman Saddam serta perwakilan dari Mahkamah Khas dan Kementerian Kehakiman.

Saddam Hussain merenung tajam ke arah saksi walaupun dikritik hebat dengan perkataan mutaqa berulang kali, Saddam tetap berada dalam keadaan amat tenang. Beliau tidak mahu kepalanya ditutup dan permintaan tersebut terpaksa dipenuhi.

Hukuman yang dijalankan pada jam 6.10 pagi waktu tempatan (11.10 pagi waktu Malaysia) telah menamatkan riwayat Saddam Hussain pada usia beliau 69 tahun.

Hanya Allah Taala Yang Maha Tahu, lewat jalan mana seseorang akan meninggalkan tempat yang fana ini (mati). Dan kepada-Nya jua kita berdoa agar diberikan jalan yang mudah untuk menemui-Nya... Amin

Semua yang terjadi di muka bumi ini sudah kehendak Allah. Kematian Saddam Husein juga tidak pernah terlepas daripada senario Allah. Allah SWT memberi kesempatan emas kepada Saddam untuk mengetahui bila dia akan mengakhiri hidupnya di dunia, tidak banyak orang yang tahu detik dan saat dia akan mati. Alhamdulillah, Saddam mampu meninggalkan dunia dengan tenang, dan dengan mengucapkan dua kalimat syahadah. Boleh beribadat sambil menghitung hari kematiannya dan juga sempat bertaubat nashuha. Subhanallah.

Allahu Akbar!