PERSEPSI TERBIAR SEPI - 5
KITA pernah bernafas dalam ruang peristiwa yang kelam, hitam, berdebu dan busuk. Ada ketika kita terpaksa duduk dalam penceritaan yang serupa. Memang, perasaan bingung akan menjalar. Sudah puas kita membebaskan diri dari belenggu kesakitan sedemikian rupa. Perlahan-lahan kita berhijrah. Cari jalan yang benar-benar tersuluh. Jalan Tuhan. Tiba-tiba bertandang lagi perkara yang hampir serupa. Atau mungkin satu gambaran awal yang menjentik ingatan kita pada peristiwa lampau. Apakah yang harus kita resahkan

Beruntung sebelum kita tersungkur lagi, ada pengalaman lalu yang mengajar kita menjadi manusia yang lebih waspada. Apakah kita terlupa bahawa ketetapan Tuhan ke atas setiap makhluk ciptaan-Nya sentiasa tepat dan bersebab

Belajar daripada pengalaman, berkeputusan dengan apa yang Tuhan ajarkan.

Kita dituntut membuat pilihan dalam dunia sedar. Kalaupun memilih diam dan termenung, hasilnya juga tentu berbeza. Sebab itu pengalaman menjadikan seorang insan mampu membaca kehidupan. Itu pun kalau dia berkehendak untuk mencari dan mendapatkan sesuatu yang bermanfaat buat dirinya sebagai seorang khalifah di muka bumi Allah. Menjadikan usianya yang berbaki terisi. Ingat, hasil daripada pilihan bukan suratan, tetapi pelajaran.

Orang yang celik adalah yang membaca kehidupan. Segala sesuatu menuntut kita untuk berfikir (celik mata hati) sebelum membuat keputusan. Belajar daripada setiap yang Allah hantar dalam kedewasaan.

Biarkan persepsi terbiar sepi. Pengalaman hidup manusia adalah percaturan Allah. Setiap manusia ada penceritaannya yang tersendiri. Bila mahu membuat keputusan, utamakan apa yang Dia perintahkan. Teliti kemurnian ajaran Islam. Persepsi manusia sekitar, jangan sesekali diizinkan membatasi keyakinan terhadap penilaian yang lebih tepat oleh Pencipta. Pengalaman, kita yang hadap. Kita yang rasa. Kita yang lalui. Hasil daripada keputusan juga akan berbalik pada diri. Oleh sebab itu, pilihlah jalan yang diajarkan Tuhan. Ketetapan terbaik dari Dia akan datang pada masa yang tepat.

Menyalahkan takdir adalah satu kesilapan yang cukup besar. Sedarlah, kita makhluk istimewa yang mempunyai fikrah dan fitrah. Betapa ruginya jika pengakhiran hayat kita menjadi manusia yang sia-sia. Mati dalam keadaan futur. Terlerai ikatan keampunan dan naungan Rab. Kita hidup biar ada fungsi. Kalau tak mampu dalam gelombang yang besar, paling tidak pun untuk diri sendiri. Jadi manusia yang berkualiti.

Bila nak buat sesuatu perubahan dalam hidup, sebetulnya kita harus menghargai kepayahan. Supaya kita jelas akan tujuan kita berusaha mendapatkan sesuatu yang kita tuju. Matlamat yang kita susun. Apabila matlamat tercapai, bersungguh-sungguh kita menjaganya. Tidak akan dibiarkan tergadai begitu sahaja. Kita sedar usaha kita ada nilai. Pergerakan kita ditarbiahkan oleh Tuhan.

Demikian juga atas sesuatu pertemuan yang membuatkan kita serik. Mengenali seseorang yang membawa kita ke satu kancah keputusan yang pengakhirannya menjadi rumit. Pertemuan yang berusaha kita murnikan, akhirnya tetap menjadi salah. Ego pihak lawan yang membatasi garis sabar. Amarah tercetus. Persefahaman tak tercapai. Oleh hal yang demikian pandanglah pengalaman pertemuan itu sebagai suatu pengajaran yang cukup besar. Berhenti daripada meletakkan kepentingan pada fasa yang serupa.

Rasulullah s.a.w bersabda,

Orang yang cerdik ialah mereka yang bersifat tawaduk dan muhasabah diri serta beramal untuk persediaan selepas mati, sedangkan orang yang lemah ialah mereka yang mengikut hawa nafsu dan panjang angan-angan.