Its the simple ways of getting paid,
The carelessness of running away, Now, I wish I stayed, I wish I stayed.
Ellie Goulding, Wish I Stayed.
KAMI sampai di khemah Abu Abdullah sekitar jam 9 seingat aku. Van milik sekolah Tangisan Syria Di Bumi Jordan (TSDBJ) ini berbunyi keriak keriuk tatkala keluar dari jalan bertar dan masuk kawasan padang pasir.
Van ini dibeli secara tunai oleh TSDBJ untuk tujuan mengangkut anak-anak Syria ke sekolah TSDBJ di pekan Mafraq. Sehingga kini, anak-anak Syria yang didaftarkan di sekolah ini mencecah 305 orang.
Berapa agaknya kehadiran anak-anak setiap hari ke sekolah aku bersuara sambil membuka pintu van dan menghirup udara sejuk padang pasir.
Kehadiran hari-hari dalam 250 je, jawab Bai. Bai, lelaki separuh Ustaz dengan beg selimpang depan ialah orang kanan Musa.
Musa turun sambil menggeliat. Di hadapan kami keluar Abu Abdullah.
Cikgu sekarang berapa semuanya tanya aku lagi.
Musa menurunkan besen yang penuh dengan ayam yang telah siap diperap sambil menjawab;
Guru 7 orang sekarang, Musa menurunkan besen itu ke bawah yang kemudiannya disambut Shah. Kini anak-anak Abu Abdullah, Abdul Rahman dan Abdullah menghampiri kami untuk bersalaman.
Belanja sebulan 5000JD termasuk gaji guru, makanan, pengangkutan dan gaji pemandu van, sambung Musa.
Aku bersalaman dengan Abdul Rahman yang berusia 10 tahun dan Abdullah, 14 tahun sebelum mereka mengambil semua besen, gril BBQ serta arangan dari belakang van untuk dibawa ke hadapan khemah.
Suasana agak sejuk walaupun kini penghujung Mac. Aku yang hanya berjaket nipis terpaksa bergerak masuk ke dalam khemah. Di dalam khemah, terdapat dua orang lagi rakan Abu Abdullah sedang menonton televisyen. Dengar khabarnya, daripada air bersih sehinggalah elektrik semuanya dibiayai oleh pergerakan Musa.
Aku mula kenal dengan anak muda kecil ini pada hujung 2013. Ketika itu aku datang dari Irbid ke Mafraq untuk melihat sekolah yang baru dibinanya untuk anak-anak Syria, sebagai sebahagian dari kajian untuk membuka sekolah anak-anak Syria kendalian TFTN di Irbid nanti.
Di dalam khemah, Yousef, 5 tahun, Ahad, 4 tahun serta Karim atau yang dipanggil Qurayyim oleh semua orang, 3 tahun, keluar dan bersalaman dengan kami semua. Aku dan Ishak bergerak dari Irbid petang tadi menaiki bas. Kami sampai sekitar jam 6.30 petang. Itupun suasana di sini dah gelap sepertinya jam 9 malam di Kuala Lumpur.
Kami berbual ringkas sebelum dihidangkan air teh panas oleh Abu Abdullah. Beliau sedia maklum kami mahu bermalam di khemahnya pada malam itu dan mengalualukan kami. Sebenarnya yang berbual cuma Musa, Shah, Bai atau Ishak dengan Abu Abdullah dan rakan-rakannya. Sebab aku mana tahu bahasa Arab pun nak berbual. Sama ada aku angguk, senyum atau geleng. Itu aje lah yang aku tahu pun.
Kami kemudiannya keluar untuk menyalakan api. Qurayyim paling teruja sekali nampaknya. Dia berlari ke sana ke mari seolah-olah tidak mempedulikan negaranya kini yang sedang berperang. Aku tersenyum memerhatikan anak kecil ini berlari dan bermain bersama abangnya, Abdul Rahman, sambil sekali-sekala dihalangi oleh abangnya yang lebih besar iaitu Abdullah.
Abdullah perwatakannya lebih menarik. Tidak banyak bicara, anak ini kelihatan tegas dan serius. Jarang sekali tersenyum, dia lebih banyak memerhati. Aku tertarik melihatnya yang kelihatan sangat bertanggungjawab. Di satu ketika dia sibuk mengangkat barangan keluar dari van, di ketika yang lain dia sibuk memarahi adik-beradiknya bermain dan kini, dia sibuk membantu Bai dan Shah menyalakan api di atas gril. Perang tercetus tatkala dia berumur 10 tahun. Entah apa yang sudah dilihatnya, entah bagaimana emosinya menangani perasaan mahu bermain, atau mahu belajar tatkala anak lain seumurnya pergi sekolah manakala dia pula terpaksa lari dari negaranya sendiri dalam keadaan sehelai sepinggang.
Aku bergerak menghampiri Musa yang sedang bertenggek di tepi gril sambil memerhatikan Abdul Rahman bermain tarik-tarik dengan Qurayyim. Aku turun untuk menenggek di sebelahnya dan menyinggulnya, Kenapa kau buat semua ni, Musa
Musa berpaling ke arahku sambil tersenyum, dan kembali melirik ke hadapan. Jauh. Kedengaran suara Shah dan Bai memberi arahan kepada Abdullah untuk menyusun arang.
Tak ada sebab. Kalau ada pun, satu. Sebab minat, jawabnya sambil terus jauh merenung ke depan. Padang pasir ini kosong di hadapan. Yang ada hanyalah garis lurus cahaya yang entah dari mana, seperti horizon. Di atas, bintang kelihatan jelas membentuk perkataan-perkataan yang tidak difahami manusia. Tiba-tiba Qurayyim berlari memeluknya dari belakang, dikejar Yousef. Musa terduduk akibat terkaman itu.
Apa pun yg kita buat kalau minat, mesti jalan. Satu lagi sebab kesian. Saya jenis tak boleh tengok kalau budak-budak jual tepi jalan untuk bagi makan keluarga. Atau ibu-ibu minta sedekah heret anak tengah bandar. Saya rasa kalau kita bagi seringgit dua, apa sangat yang dorang boleh buat. Jadi tak cukup bagi ikan je, saya cuba bagi joran untuk mereka cari makan sendiri, Musa bangun dan menangkap dan mengangkat Qurayyim sambil bercakap sesuatu di dalam bahasa Arab kepada Qurayyim.
Qurayyim tersengih sambil menyebut, Muusa, Muusa.
Dan masalah pelarian tak makan, tak belajar ni tak akan selesai selagi Syria tak menang dan balik negara mereka balik. Jadi tugas jaga pelarian ni bukan tugas sehari dua atau sebulan dua. Tapi tugas ni sampai Syria bebas, sambung Musa sambil meletakkan kembali Qurayyim ke bawah.
Api kelihatan semakin marak. Abdullah kini sedang bertungkus-lumus mengipas gril sambil serbuk-serbuk api berterbangan. Qurayyim, Yousef dan Abdul Rahman tertegun sambil memandang antara satu sama lain dan terus menari menyepak serbuk-serbuk api tersebut. Bai ketawa melihat aksi mereka ketika Abdullah pula menyuruh mereka agar ke tepi kerana terlalu dekat dan mengganggunya mengipas. Gerakan TSDBJ ini juga bukan sahaja buka sekolah untuk komuniti Syria di Mafraq ini, mereka juga menjalankan aktiviti tetap setiap tahun seperti agihan daging qurban, agihan musim sejuk, agihan musim panas, agihan makanan buka puasa, agihan barang kering Ramadhan serta agihan baju raya.
Ketika arang sudah merah, Shah datang membawa besen penuh dengan ayam yang sudah siap diperap. Aku membantu Musa mengeluarkan ayam tersebut dan menyusunnya di atas gril. Sesekali angin bertiup, aku menggigil kesejukan. Sambil kami menyusun ayam, Musa memecah keheningan, seolah-olah mendengar aku bertanya dari dalam hati.
Bukan senang bang. Banyak cabaran. Sangat banyak, katanya sambil menggelengkan kepala.
Bai menyambung; Paling susah, masalah masa. Susah nak bahagikan masa dengan belajar dan benda ni. Bayangkan setiap jam mesti ada orang Syria telefon bagitahu makanan tak ada. Bayi tak pernah minum susu, asyik minum air masak je. Jadi kita yg tengah belajar ni berhenti kejap keluar pergi beli makanan. Beli susu. Kemudian hantar, Dalam kelas, kadang-kadang tak boleh fokus fikir pasal benda ni. Fikir masalah Arab yang banyak masalah...tapi Alhamdulillah. Kawan-kawan banyak tolong. Tanpa mereka TSDBJ dah lama terkubur. Keluarga pun banyak bagi sokongan. Alhamdulillah, sambung Musa lembut. Ayam-ayam yang siap dibakar panas itu kini digantikan dengan yang baharu. Tetapi aku lihat ayam-ayam itu dikumpulkan, tidak dimakan. Walau ada juga satu-dua ketul yang kami rembat buat kunyah sambil jaga api, anak-anak Abu Abdullah tak menyentuh ayam panas ini. Dalam hatiku berasa pelik, risaukan ayam ini nanti yang akan sejuk.
Berapa lama korang kenal ketua kampung ni tanya aku merujuk kepada Abu Abdullah. Abu Abdullah ialah ketua kepada 8 khemah-khemah pelarian yang berada di sekitar ini. Khemah mereka tidak statik, ada kala tali khemah mereka diputuskan polis dek kerana dilaporkan oleh tuan tanah kerana menceroboh kawasan warga Jordan. Paling lama mereka boleh bertahan di satu-satu tempat mungkin 4 ke 6 bulan sahaja, sebelum perlu bergerak lagi mencari ruang menempatkan khemah di padang pasir.
Tak lama sangat pun sebenarnya kenal mereka. Tak sampai setahun pun kalau tak silap. Tapi Abu Abdullah adalah antara pelarian Syria yang rapat dengan kami sebab dia betul-betul hormat tetamu dia, jawab Musa. Abu Abdullah tiba-tiba berdiri di pintu khemah bertanyakan sesuatu. Rupanya dia mempelawa kami masuk ke dalam sekiranya sejuk, terutama kepada aku. Memang dia nampak aku macam tak berapa tahan sejuk lah ni. Aku menolak pelawaannya dengan senyuman manis menggantikan bahasa Arab yang aku tak tahu.
Kalau pelarian lain contohnya, bila kita datang dia akan meminta-minta, dia akan persoalkan kenapa tetamu datang tak bagi bantuan, tapi Abu Abdullah tak seperti itu, Musa menyambung.
Dia tak pernah sekalipun minta duit. Elektrik yang kami bayar bulan-bulan pun tuan rumah yang dia tumpang elektrik yang beritahu. Kayu api yang kami agih masa salji
tengah lebat pun kami bagi atas inisiatif sendiri. Geram melihat ayam panas terbiar kesejukan, aku merembat lagi seketul buat pemanas badan sambil mendengar syarahan Musa.
Dan tak nafi juga, pelarian memang rapat dengan kami sebab kamilah satu-satunya NGO yang bantu dorang secara konsisten. NGO negara lain pun banyak datang tapi sekali dua je, tak macam kita ni,
Pernah Abu Abdullah sebut sekali, aku sebelum ni tak pernah dengar perkataan Malaysia. Tak pernah kenal orang Malaysia. Kalau ada pun cuma dalam TV je. Tapi bila aku datang sini, bukan setakat aku dengar pasal Malaysia, tapi secara langsung aku kenal betapa baik budi pekerti orang Malaysia. Orang Islam dan betul-betul buat tanggungjawab sebagai orang Islam. Dan kamu orang Malaysia akan aku ingat sampai bila-bila. Aku janji akan layan
kamu sebagaimana kamu layan aku di sini, ***
Di dalam khemah, ayam dan sosej yang telah dibakar tadi diatur. Roti juga disediakan, entah datang dari mana roti ni aku tak perasan. Suhu dalam khemah agak panas, Musa juga membelikan bekas pemanas dan membekalkan kayukayu untuk dibuat bakar kepada keluarga ini. Kini baru aku faham kenapalah budak-budak ni semua tadi tak rembat ayam tu makan.
Masing-masing kini makan dalam bulatan, kecuali kaum wanita. Khemah ni macam ada penghadang tengah, mungkin isteri Abu Abdullah ada di sebelah dengan Eida, anak perempuannya yang berumur 9 tahun. Siap makan, kami semua bersiap-siap untuk tidur. Oleh kerana di dalam pemanas masih ada kayu api, maka suasana di dalam khemah memang terlebih panas.
Pagi esoknya kami sarapan mewah dengan susu kambing segar yang baru diperah, roti, zaitun, zaatar, lubnah, jubnah, telur dan laban. Entah pukul berapa kami tertidur malam tadi. Keluar dari khemah, matahari begitu terik walaupun suhu di luar masih sejuk. Kami bersalaman dan mengucapkan terima kasih kepada Abu Abdullah kerana membenarkan kami masak BBQ dan tidur di khemahnya. Di dalam kereta, Musa berkongsi kisah sedih yang pernah dialami sukarelawan TSDBJ.
Kami kalau bulan puasa, dalam seminggu akan ada sekali atau dua orang Syria ajak buka puasa kat rumah. Ada sekali kami pergi, mereka hidang makanan mudah tapi banyak, van mula menaiki jalan bertar meninggalkan khemah Abu Abdullah. Aku melihat Qurayyim melambai dari jauh sambil badannya dipegang oleh abangnya, Abdullah.
Kami pun makan sampai tak ingat dunia sebab sedap. Bila dah kenyang, talam kami dia angkat masuk dapur. Dia hidang teh pulak. Saya bangun basuh tangan. Bila lalu dapur nak ke tandas, terus menangis, tengok anak bini dia duk kerumun makan sisa talam yang kami tak habis tadi, Aku menelan air liur mendengarkan cerita ini.
Ada sekali buka puasa rumah orang lain pula. Dia hidang makanan gila-gila punya mewah. Tak ada gaya macam orang miskin. Kami pun balun sampai kenyang. Tengah sedap balun, tiba-tiba dia cakap, kami dari awal puasa sampai semalam, buka puasa dengan kurma dan air masak je. Alhamdulillah. Hari ni kami makan mewah untuk raikan kamu,
Aku memalingkan kembali muka ke arah khemah Abu Abdullah. Bayangkan lebih dari 2 tahun mereka terpaksa hidup merempat di negara orang lain seperti ini. Terakhir, ada satu keluarga yang tinggal dalam rumah terbengkalai, tak ada tingkap. Tak ada tikar. Pemanas apatah lagi. Masa tu memang sejuk gila. Mereka ada 2 keping tilam buat tidur kongsi dalam 10 anak beranak. Terpaksa bakar kayu api dalam tin biskut untuk tahan sejuk. Rumah berasap dengan anak kecil ramai. Masuk rumah pakai selipar, dan tempat bukak selipar betul-betul tepi tilam. Itulah rumah paling daif pernah saya tengok, bang. Akhiri Musa.