SANG PENGUASA - 5
Merenungkan kesusahan dan kesulitan dalam mempertahankan negara yang baru diperoleh, orang mungkin hairan bagaimana Alexander The Great menakluk Asia dalam tempoh beberapa tahun dan hampir tidak dapat mendudukinya ketika meninggal. Walau bagaimanapun, penggantinya dapat bertahan dengan baik dan tidak mempunyai banyak masalah untuk meneruskan misi masingmasing.

Kerajaan dijalankan dalam dua bentuk sistem pentadbiran. Pertamanya, penguasa bersama kabinet menteri. Para pembesar akan menjalankan tugas mengikut arahan dan keizinan yang diberikan oleh penguasa. Keduanya, penguasa bersama badan aristokrat. Golongan aristokrat adalah dalam kalangan kerabat diraja yang memegang jawatan sebab pertalian darah, bukan sebab kemahuan penguasa itu sendiri. Golongan aristokrat ini mempunyai wilayah, kekayaan dan rakyat sendiri. Rakyat pula mengakui dan tunduk kepada mereka sebagai penguasa.

Wilayah yang ditadbir mengikut sistem pertama tadi, pemerintahannya lebih fokus dan berpusat kerana hanya seorang penguasa yang diiktiraf sebagai penguasa tertinggi. Sekiranya rakyat patuh kepada selain penguasa, maka mereka hanyalah dipatuhi sebagai pegawai atau menteri yang tidak mempunyai sebarang kuasa khusus.

Turki dan Perancis merupakan contoh yang dapat dilihat mempunyai sistem pentadbiran seperti ini. Monarki Turki diperintah oleh seorang Sultan dan badan menteri. Empayarnya dibahagikan kepada beberapa wilayah dipanggil Sanjak yang diperintah oleh pentadbir. Pentadbir tersebut akan ditukar dari semasa ke semasa mengikut kemahuan Sultan.

Raja Perancis pula memerintah bersama badan aristokrat yang diiktiraf dan disayangi oleh rakyat masing-masing. Aristokrat ini mempunyai hak tersendiri ke atas subjek mereka yang tidak boleh diganggu oleh raja melainkan dengan mengambil risiko. Apabila diperhatikan dua bentuk sistem pentadbiran ini, kita akan lihat pentadbiran seperti Turki sukar untuk dicapai. Tetapi, apabila dapat dicapai, ia mudah untuk dikawal. Sebaliknya, pentadbiran seperti Perancis mudah untuk dicapai, tetapi sukar untuk dikawal.

Antara faktor sulitnya untuk merampas Kerajaan Turki adalah, perampas kuasa tidak mempunyai harapan untuk membangunkan pemberontakan di dalam wilayah-wilayah Turki. Ia disebabkan oleh faktor yang telah disebutkan tadi, iaitu para pembesar ini tunduk kepada Sultan dan tidak mempunyai kuasa istimewa untuk melakukan penyelewengan. Sekiranya sebahagian pembesar dapat diselewengkan, impaknya tidak begitu hebat kerana rakyat tidak dapat dipengaruhi. Rakyat adalah subjek Sultan dan Sultan diiktiraf sebagai penguasa tertinggi.

Justeru, sesiapa yang menyerang Turki perlu tahu, dia akan menghadapi tentera Turki yang bersatu. Dia tidak boleh harapkan pemberontakan dalam kalangan musuh untuk menang, tetapi bergantung pada kekuatannya semata-mata. Sekiranya Turki dapat ditakluk sehinggalah pasukan tenteranya tidak dapat dibentuk, dia hanya perlu risaukan kaum kerabat Sultan. Mereka dapat dihapuskan, rakyat dapat ditawan. Seperti dia tidak mengharapkan apa-apa daripada kerabat tersebut sebelum mencapai kemenangan, begitulah mereka tidak perlu ditakutkan setelah mencapai kemenangan.

Perkara sebaliknya berlaku ke atas kerajaan seperti Perancis kerana musuh mudah untuk memasuki wilayah itu dengan menguasai atau menjalinkan persekutuan dengan mana-mana aristokrat. Kepentingan seperti rasa tidak puas hati dan inginkan perubahan dalam kalangan aristokrat dapat membantu musuh untuk mencapai kemenangan menakluk Perancis. Tetapi selepas itu, golongan aristokrat ini lebih sukar untuk dikawal. Menghapuskan kerabat diraja Perancis tidak menyelesaikan masalah kerana Perancis mempunyai ramai aristokrat lain yang akan mengambil alih kuasa. Apabila tidak mampu memuaskan dan menghapuskan mereka, Tuan akan kehilangan kerajaan itu pada bila-bila masa datangnya kesempatan.

Apabila Tuan memerhati sistem pentadbiran Darius, Tuan akan memerhatikan sistemnya mempunyai persamaan dengan Kerajaan Turki. Maka, Alexander hanya perlu menumbangkan Darius dan merampas kerajaannya. Kerajaan tersebut akan terus selamat di bawah jagaan Alexander atas faktor-faktor yang telah disebutkan di atas. Para penggantinya akan dapat memerintah dengan mudah sekiranya mereka terus bersatu dan tidak melancarkan sebarang pemberontakan.

Namun, sukar untuk mendapatkan sistem pentadbiran yang licin seperti itu ke atas Perancis. Hal ini dapat dijelaskan dengan kekerapan pemberontakan yang berlaku di Sepanyol, Perancis, dan Greek ketika di bawah pemerintahan bangsa Rom kerana terlalu ramai penguasa yang memerintah negara-negara ini. Selagi mana mereka berkuasa, selagi itulah Rom tidak mampu memerintah dengan baik. Tetapi, dengan kuasa dan tempoh pemerintahan Empayar Rom yang panjang, penguasa-penguasa ini dilupakan. Seterusnya, Rom dapat memerintah dengan baik.

Selepas itu, peperangan yang berlaku dalam kalangan penguasa Rom sendiri mampu memecahkan-belahkan empayar, lalu pemerintahan persendirian didirikan. Penguasa Rom akan diiktiraf apabila penguasa tempatan dihapuskan. Memerhatikan hal ini, tidak sukar untuk merenung bagaimana Alexander menakluk Asia. Sementara orang lain seperti Raja Epirus mengalami kesulitan untuk mempertahankan taklukannya ke atas Selatan Itali. Perkara ini tidak ditentukan melalui ukuran kemampuan untuk menakluk, tetapi melalui kesejagatan politik.