FILSUF UNTUK NOOB - 5
Plato merupakan pelajar Sokrates yang terunggul, dan dari Plato lah kita dapat tahu banyak mengenai idea-idea Sokrates. Plato lahir di Athens dalam keluarga aristokrat sekitar tahun 427 SM dan meninggal dunia pada tahun 347 SM. Plato, yang dalam keluarganya ada beberapa orang ahli politik, juga pada asalnya bercita-cita ingin menceburi dunia politik. Dan sememangnya inilah yang dijangka bagi seseorang yang lahir dalam keluarga aristokrat. Namun, hukuman mati yang dijatuhkan terhadap gurunya, Sokrates membuatkan beliau merasa jijik kepada pemerintahan di Athens pada waktu itu, lalu melupakan cita-citanya untuk menjadi ahli politik. Lalu beliau ingin meneruskan apa yang diperjuangkan oleh gurunya iaitu untuk mengusulkan konsep-konsep yang jelas sebagai asas ilmu. Ini amat penting dari segi politikal dan moraliti kerana hanya daripada sesuatu konsep politik yang konkrit dan objektif lah suatu sistem politik yang adil dapat dihuraikan. Dan juga penting kepada konsep moraliti.

Namun begitu, Plato lebih terkenal dengan falsafahnya yang ingin mencari realiti di alam disebalik dunia. Plato merumuskan bahawa benda-benda yang ada di dunia terbahagi kepada dua, iaitu benda yang sudah Jadi yang tidak berubah (Being), ataupun yang sedang Menjadi (Becoming, dalam proses menjadi sesuatu) yang sentiasa berubah. Maka, Plato mengusulkan teori Idea.

Teori Idea (juga dipanggil Teori Bentuk)

Penggunaan kata Idea untuk teori Plato bukanlah seperti yang selalu kau guna, sebagai contoh Aku ada idea apa aku nak masak malam ni mahupun idea Kerajaan untuk menyelamatkan ekonomi negara kita semuanya sampah, sampah, dan sampah. Untuk menghuraikan apakah yang dimaksudkan oleh Idea bagi Plato, aku akan bawakan kau dalam kelas matematik , bukan kelas matematik Plato, namun kelas matematik kau kat sekolah sekarang yang kau selalu nak ponteng. (Dan kali ini tiada jaket halimunan Harry Potter untuk kau, maaf)

Kau dalam kelas matematik, dan guru kau di depan mengajarkan kau mengenai Teorem Pythagoras, dia lukis garis-garis untuk menghasilkan segi tiga serenjang (perpendicular) dan menulis persamaan teorem tersebut, menggunakan kapur, dan dilukis diatas papan hitam (yang sebenarnya hijau). Bila nanti kau ditanya, apa yang kau belajar, kau menjawab Teorem Pythagoras dan menunjuk kepada papan hitam di depan, kau mempunyai sesuatu konsep matematik dalam otak kau, iaitu Teorem Pythagoras tersebut.

Sekarang, kalau guru kau padam papan hitam itu sebersih mungkin, konsep Teorem Pythagoras itu terpadam jugakah Semestinya tidak , kerana konsep itu wujud. Jika kau terlupa pun, rakan-rakan kelas kau yang lain akan ingat mengenai teorem tersebut (yang mana yang tumpu perhatian la).

Konsep itu wujud, walaupun segitiga yang dilukis menggunakan kapur itu hilang dari papan hitam. Walaupun persamaan itu juga dipadam dari papan hitam. Di manakah konsep ini wujud Adakah ia hanya wujud dalam otak kau Tidak, kerana rakan-rakan lain dalam kelas kau juga faham mengenai teorem ini. Sebelum Pythagoras mengetahui mengenai teoremnya, adakah teorem ini tidak wujud Plato mengatakan di sesuatu tempat, wujud suatu konsep Teorem Pythagoras ini, walaupun belum ditemui. Sekiranya satu dunia pun melupakan teorem ini, teorem tersebut masih lagi wujud. Konsep ini lah yang Plato namakan Idea (ataupun Bentuk). Dan Plato meletakkan bahawa Idea ini yang kekal, tidak berubah.

Dan bukan sahaja konsep matematik yang punyai idea, semua konsep mempunyai satu Idea yang kekal dan tidak berubah. Konsep-konsep seperti manusia, kuda, api; konsep moral seperti kebaikan, keberanian, kejujuran semuanya mempunyai Idea. Benda yang dapat dilihat oleh panca indera bukanlah benda yang unggul, mereka semua adalah sesuatu representasi terhadap Idea yang unggul.

Seperti Idea untuk Kecantikan. Kau dapat mengatakan sesuatu itu cantik, kerana ada satu standard dimana kau boleh adili benda tersebut. Sebagai contoh, kau boleh katakan bahawa Taman Nasional Gunung Mulu itu cantik. Dan orang yang datang dari Nairobi juga bersetuju bahawa ya, pemandangan tempat tersebut memang cantik. Begitu juga dengan orang dari Manila, Moscow mahupun Mumbai. Jadi bagaimana kau dan mereka semua boleh bersetuju dengan kecantikan tempat itu Apakah benda ini, cantik yang semua orang sedari

Plato menjelaskan bahawa, roh manusia sebelum disatukan dengan badan, telah pun melihat dan mengetahui kesemua idea-idea/bentuk-bentuk yang ideal. Maka, roh-roh manusia sudah pernah melihat Idea/Bentuk Kecantikan. Dan apabila sudah bersatu dengan badan, kita lupa bahawa kita pernah melihat idea-idea ini sebelum kehidupan dunia. Oleh sebab itu lah bila diberikan satu pemandangan ataupun objek yang cantik, kita yang sebenarnya sudah kenal akan Kecantikan yang mutlak, boleh mengatakan bahawa sesuatu itu cantik. Maka, ilmu pengetahuan bagi Plato adalah proses mengingati kembali (recollection). Tiada ilmu yang baru di dunia ini, hanyalah manusia yang telah lupa dan sedang mengingati. Proses bagaimana manusia mendapat ilmu dibincangkan secara terperinci dalam cabang falsafah yang dinamakan Epistemologi, ataupun Theory of Knowledge.

Dimanakan Idea-idea ini berada Dan berapa banyakkah idea, adakah untuk setiap benda seperti rumput,daun,batu,kuku wujud idea yang asing Adakah rumput yang muda dan rumput yang akan mati mempunyai idea yang satu atau dua idea yang berasingan Ini adalah antara kritikan Aristotle, murid Plato sendiri terhadap teori Idea ini. Disini, agak rumit untuk menjelaskan apa yang Plato percaya mengenai Teori Idea ini, kerana ada yang berpendapat Plato memisahkan Idea dari barang-barang yang boleh dilihat dengan panca indera kita. Maksudnya Idea ini wujud di satu alam yang lain. Dan segala yang kita boleh lihat, rasa, dengar, dan sentuh adalah satu salinan kepada Idea asal yang berada di alam ini. Ataupun, benda-benda di dunia inimengambil bahagian(participation) dalam Idea murni yang di alam satu lagi.

Namun begitu, perlu juga diketahui bahawa Plato tidak pernah membukukan apa yang diajarkannya di dalam syarahan kepada pelajarnya. Hasil kerjanya yang kita ada, iaitu seperti Dialog-dialog Plato, Republik dan Undang-undang sebenarnya merupakan karya yang ditujukan kepada massa. Plato enggan menulis apa yang diceramahkannya di Akademinya sendiri, kerana mempercayai bahawa ilmu falsafahnya mustahil untuk diterjemah kedalam bentuk tulisan. Maksudnya, apa yang dibincangkannya di dalam kelas lebih mendalam dari yang kita dapat ambil dari tulisan-tulisannya. Jadi tidak mustahil jika Plato ada menjelaskan secara terperinci apa yang dipercayainya dalam kelas-kelasnya. Plato juga mempunyai pandangan bahawa ilmu falsafah, jika untuk dikuasai, tidak cukup untuk belajar dari buku dalam masa yang singkat, tetapi seseorang perlu memperuntukkan berpuluh-puluh tahun untuk ilmu ini. Jadi, buku ini sebenarnya, kalau Plato ada, mungkin dia tidak akan setuju dengan apa yang aku sedang buat (maaf Tuan Plato!)

Ini adalah sedikit pengenalan mengenai Teori Idea (ataupun teori Bentuk) Plato .Maka, sebagai seorang ahli falsafah, tidak cukup hanya mengetahui mengenai benda di dunia yang sentiasa dalam proses perubahan, tetapi misi seorang ahli falsafah adalah untuk mengenal dan menggapai Idea atau Bahan yang tidak berubah ini. Di sini ada juga unsur-unsur teologi di mana Plato percaya bahawa ahli falsafah dapat, dengan menggunakan kemahiran berfikir, menggapai sesuatu Kebenaran hakiki yang disamakan juga oleh Plato sebagai Kecantikan Hakiki. Ramai tokoh-tokoh agamawan serta ahli falsafah dari agama Judaism, Kristian dan Islam akan menerokai teori ini untuk menyesuaikan dengan agama masing-masing.

Alegori Gua

Terdapat satu kisah menarik dari karya Republik oleh Plato yang menjelaskan peranan ahli falsafah kepada masyarakat. Kisah ini dipanggil Alegori Gua. Aku ingat lagi pertama kali aku membaca kisah ini adalah ketika di kolej persediaan, bila umurku 18 tahun. Dan apabila membacanya, dan aku belum pernah membaca mana-mana karya falsafah sebelum itu, ianya seolah-olah aku dibawa ke sebuah tempat yang indah yang tidak pernah aku tahu wujud, dan terus aku mempunyai keinginan yang tinggi untuk bercerita dengan orang lain mengenai tempat ini. Kisahnya begini;

Tedapat sebuah gua dimana ada beberapa orang didalamnya yang diikat dan dihadangkan kepala mereka sehingga tidak dapat menoleh ke kiri, kanan, dan belakang, dan badan mereka hanya dihalakan untuk menghadap dinding gua. Di belakang mereka adalah unggun api. Diantara mereka dan unggun api terdapat satu dinding ataupun semacam skrin yang mana orang-orang boleh lalu dan mengangkat barangan atas kepala mereka. Jadi ramailah yang lalu di dinding antara mereka yang diikat dan unggun api membawa barangan seperti buah-buahan, kerusi, meja, dan lain-lain dan cahaya dari unggun api tersebut membolehkan bayang-bayang barangan ini terpancar ke dinding yang dihadap oleh mereka-mereka yang terikat.

Mereka berada di posisi itu sejak lahir, lalu dunia yang mereka kenal hanyalah dunia bayang-bayang. Bagi mereka, bayang-bayang barangan itulah yang benar. Mereka tidak sedar mengenai halnya unggun api dan barangan yang betul dibelakang mereka, dan tidak sedar juga akan keadaan mereka yang diikat sebegitu rupa. Sekarang, bayangkan seorang dari mereka kita lepaskan. Sudah tentu orang itu boleh menoleh, dan jika dia menghalakan matanya kepada unggun api, sudah tentu dia akan tidak biasa dengan cahaya yang baru pertama kali dia lihat. Namun selepas dia membiasakan dirinya dengan keadaan baru itu, dia akan mula melihat sekitarnya, dia akan dapat melihat bahawa cahaya yang terang itu sebenarnya dari sebuah unggun api, dia akan mula menyedari wujudnya dinding diantara dia dan unggun api, serta orang-orang yang membawa barangan, serta menyedari juga buat pertama kali bahawa selama ini apa yang mereka lihat hanyalah bayang-bayang yang terpancar. Bayangkan jika dia meneruskan persoalannya dan memberanikan diri untuk pergi keluar dari gua itu dan melihat objek-objek sekeliling dan cahaya matahari yang lebih terang sehinggakan cahaya itu membutakan matanya buat seketika sehinggalah dia mengalihkan pandangnya. Orang ini sudah bertemu dengan sumber segala cahaya di dunianya. Plato menyamakan keadaan ini seperti ahli falsafah yang telah sedar dan tahu akan Kebenaran Hakiki.

Dan jika orang ini kembali kepada mereka yang terikat dan memberitahu mereka kisah sebenarnya, mengenai unggun api, mengenai barang-barang, mengenai dinding, dan bayang-bayang, sudah tentu dia akan dilabel kurang siuman oleh kawan-kawannya. Kerana bagi mereka, bayang-bayang didepan mereka adalah dunia sebenar. Dan jika orang ini berkeras juga akan pemikiran barunya, mungkin orang ini akan dihukum oleh mereka-mereka yang terikat. Mungkin kau sedar bahawa ada persamaan di sini dengan cerita Sokrates, seorang ahli falsafah yang disalah erti lalu dihukum oleh mereka yang jahil, kerana merosakkan pemikiran pemuda-pemudi.Mungkin juga orang ini tidak mampu menjelaskan menggunakan kata-kata mengenai apa yang ditemuinya. Mungkin inilah sebabnya kenapa Plato tidak mahu menulisnya dalam karya-karya kepada massa, namun harus dipelajari bertahun-tahun di dalam kelas-kelas bersamanya.

Penubuhan Akademi

Plato menubuhkan sebuah sekolah di Athens yang dipanggil Akademi, dan ini merupakan salah sebuah sekolah yang paling terkenal pada zaman tamadun Yunani. Sekolah ini bertahan selama lebih 900 tahun. Disini bukan sahaja ilmu falsafah yang diajarkan, tetapi juga ilmu lain seperti botani, gimnastik,muzik, astronomi, dan geometri.

Ada banyak lagi yang boleh dicakapkan mengenai pemikiran Plato, seperti teori nya mengenai politik, seni, sistem pendidikan, epistemologi dan lain-lain namun tidak cukup untuk dihuraikan dalam ruang ini. Jadi, kepada yang minat, boleh lah membaca lebih lanjut mengenainya dari internet ataupun karyanya sendiri.

Namun, kembali sebentar ke Akademi, yang mana mengumpulkan ramai pemuda-pemuda berotak geliga yang tekun mencari kebenaran, terdapat seorang pemuda yang berguru dengan Plato di Akademi selama 20 tahun, yang kemudiannya menubuhkan pemikiran falsafahnya sendiri yang lain dari gurunya (dia tidak bersetuju dengan idea-idea gurunya) dan turut menjadi seorang tokoh falsafah agung yang memberi inspirasi kepada majoriti ahli falsafah selepasnya. Pemuda ini bernama Aristotle.

Sumber Primer

1. Republic karya Plato

2. Phaedo karya Plato

3. Metaphysics Book Alpha karya Aristotle

Sumber Sekunder ( Rujuk Bab 2)