Dia menyelak halaman paling belakang buku notanya, dan mengoyak sedikit kertas tersebut menjadi cebisan kertas sebesar tapak tangan. Separuh tapak tangan. Dalam masa yang sangat singkat, Alea menghulurkan tangannya ke belakang, lalu meletakkan kertas yang dilipat dua, ke atas meja saya.
Mata saya dan Alea tajam melihat guru yang sedang mengajar di depan. Takut-takut sekiranya perbuatan kami itu sedang diperhatikan.
Saya membuka kertas yang diberikan oleh Alea. Di atas kertas itu terlukis sebuah lukisan seorang perempuan. Itu adalah lukisan seorang perempuan yang paling indah dan jujur yang pernah saya lihat.
Di antara aktiviti yang sering saya lakukan pada masa yang lapang adalah membaca. Dan dari dulu lagi, saya lebih cenderung membaca bahan bacaan yang tidak serius. Yang tidak berat dan mudah difahami. Jadi saya gemar membaca komik. Dan sudah semestinya di dalam setiap komik yang saya baca, pasti akan ada watak hero dan juga heroin. Ini bermaksud, sudah kerap juga saya melihat lukisan wanita yang cantik-cantik dan lukisannya dilukis dengan kemas.
Tapi, saya tetap merasakan bahawa lukisan Alea itu merupakan satu lakaran yang indah dan jujur. Jujur. Kerana ianya dilukis atas dasar ia mahu. Alea mahu melukis wanita itu. Alea mahu melukis gambarannya tentang seorang wanita, di atas kertas carik yang tidak cantik. Dia mahu. Jadi atas alasan itu, saya merasakan bahawa lukisan itu sangat indah dan jujur sekali. Ya. Alasannya agak kelakar, kan
Saya dan Alea selalu berlaku begitu ketika berada di dalam kelas. Lebih-lebih lagi sewaktu sesi pembelajaran sedang berjalan. Ini kerana, sekiranya cikgu tiada di dalam kelas, atau sesi pembelajaran belum pun bermula, saya boleh berborak dengan Alea dan rakan kami yang duduk di sebelah kanan Alea Kiki akan duduk di tempat lain bagi menghormati kami. Selalunya kami tidak akan bersuara. Masing-masing akan mendiamkan diri. Alea seorang yang pendiam. Dan saya merasa gugup setiap kali melapikkan punggung di sebelahnya.
Jadi, kami menghabiskan masa yang sangat suntuk untuk sesuatu yang penting, dan melepaskan masa yang lapang untuk sesuatu yang tidak mustahak.
Setiap hari, saya akan mengoyakkan sedikit kertas dari buku nota, melukis atau menulis sesuatu, lalu diberikan kepada Alea yang duduk di depan. Perkara itu tidak berlaku sepanjang hari. Tetapi sekadar berlaku apabila saya kebosanan dan sekiranya ada perkara yang ingin diberitahu kepada Alea.
Kami berlaku begitu, setiap hari, tanpa jemu. Tiada sesuatu yang konkrit dan penting ingin dikatakan, tapi kami masih lagi membuang masa dengan mengutus surat sedangkan kami hanya berada di dalam kelas yang sama. Setiap hari mengganggu Alea, dan Alea juga terus-terusan melayani saya, dan akhirnya pada suatu hari, kami berhenti melakukan perkara tersebut.
Alea, panggil saya, perlahan. Dia memandang ke belakang, memandang ke depan semula, dan menghulurkan tangannya yang panjang ke belakang. Saya menghulurkan sehelai kertas putih yang berjalur-jalur hitam sudah dilipat dua kepada Alea. Dan kejadian selepas itu, mengubah situasi kami untuk hari-hari yang seterusnya.
Hasif, Hasif Helmi merampas kertas yang ingin saya hulurkan kepada Alea. Hasif seorang rakan yang merupakan kawan sekelas saya. Kulitnya putih pucat. Pada pendapat saya waktu itu, sebagai seorang pelajar yang berumur sebelas tahun, Hasif merupakan seorang pelajar yang kacak. Dia boleh dikatakan begitu kerana ramai pelajar perempuan yang meminatinya. Ya. Itu sebabnya.
Tapi, Hasif pada hari itu sangat tidak kacak. Dia merampas kertas yang ingin saya hulurkan kepada Alea. Kertas yang berlipat dua itu dibuka, lalu dibacanya perlahan-lahan. Saya cuba mengambil semula kertas yang berada di dalam genggamannya. Tapi, cikgu yang berada di depan kelas menyedari perbuatan saya. Jadi, hasrat itu saya bantutkan.
Apabila cikgu sudah keluar, saya segera pergi ke arahnya. Dia berlari mengelilingi kelas, cuba melarikan diri daripada saya. Alea hanya melihat tingkah laku kami sambil membatu di tempat duduknya. Hasif mengugut saya untuk membacakan dengan kuat apa yang telah saya tuliskan di atas kertas itu. Mungkin dia bergurau. Atau saya yang terlalu serius.
Dengan debaran yang bercampur marah, takut, atau malu - saya bergerak pantas ke arah mejanya, mengambil bekas penselnya, lalu berdiri di tepi tingkap. Kini, giliran saya membalas dendam. Saya mengugut Hasif, sekiranya dia membaca tulisan di atas kertas itu dengan kuat, saya akan membaling bekas penselnya melalui tingkap.
Apa yang saya harapkan dari perilaku itu adalah Hasif akan menyerah kalah, lalu menyerahkan semula kertas tersebut kepada saya. Tapi, ugutan Hasif bertambah hebat. Dia mengugut saya, sekiranya saya mencampakkan bekas penselnya ke bawah, dia akan memberikan kertas itu kepada cikgu.
Saya mula ketakutan. Perasaan yang menakutkan makin kuat. Begitu juga dengan Alea. Riak mukanya berubah. Jelas berubah.
Apa yang saya fikirkan pada waktu itu adalah - Hasif akan memberikan juga kertas itu kepada cikgu. Walau apa juga yang terjadi, sama ada saya mencampak bekas pensilnya melalui tingkap atau pun tidak, dia tetap akan berbuat demikian. Jadi, saya fikirkan, adalah lebih baik membuang sahaja bekas pensilnya ke luar tingkap. Sekurang-kurangnya hati saya terubat sedikit sekiranya melihat Hasif kesedihan.
Jadi, dengan mimik muka yang gagah, kononnya, saya pergi semula ke meja Hasif, mengambil beg galasnya lalu pergi semula ke tepi tingkap. Melalui celah-celah bingkai tingkap yang tiada cermin, saya campakkan terus beg galasnya. Hasif memandang tingkah laku saya itu dengan mata yang berkaca-kaca. Hati saya puas, hari itu. Hari esoknya, saya mati.
Ketika berada di perhimpunan pagi, saya melihat Hasif sedang bercakap-cakap dengan seorang cikgu Cikgu Syahidan. Cikgu Syahidan merupakan guru kelas saya pada darjah lima. Dia mengajar mata pelajaran Sains. Dan kegarangan Cikgu Syahidan, masya Allah, dahsyat.
Saya berpura-pura memandang ke depan apabila Hasif perlahan-
lahan datang ke arah saya. Dia memanggil saya dan mengatakan bahawa Cikgu Syahidan ingin berjumpa. Saya diam, memandang ke mukanya. Perasaan saya pada waktu itu sungguh mengerikan. Setiap debaran yang meletup-letup di dalam jantung, ingin sahaja dilepaskan tepat ke pipinya. Tapi, apa yang berhasil dari setiap imaginasi itu adalah sekadar tenungan tepat ke mukanya sahaja.
Cikgu Syahidan melihat saya berjalan. Di tangan beliau ada sehelai kertas. Dan kertas kecil itu, saya kenal benar. Dan apabila saya sampai sahaja di depannya, satu tamparan hinggap di muka saya. Tamparan itu tidak begitu kuat. Tidak berapa sakit. Cuma sedikit malu kerana ada beberapa pelajar yang sedang berada di dalam barisan kelas, melihat kejadian itu.
Dia mengangkat kertas yang dipegangnya. Saya mendiamkan diri. Suasana di padang perhimpunan yang bising dan riuh itu, saya rasakan seperti sunyi, sepi, dan tidak bernyawa mati.
Satu lagi tamparan yang lebih keras, menyumpah ke kulit muka. Ketika itu saya terasa seperti mahu terjatuh kerana impak dari tamparan itu. Cikgu Syahidan bertanya soalan yang sama berulang-ulang kali, ini apa Sambil menunjukkan kertas yang berada di tangannya, dia mengulang-ulang soalan yang sama. Ini apa Ha Ini apa
Dan apakah saya perlu memberitahu kepadanya bahawa itu adalah sekeping kertas Saya diam. Apabila sudah berulangulang kali soalan itu ditonjolkan kepada saya dengan nada yang menjengkelkan, saya menjawab, tentang apa yang sedang saya fikirkan; Kertas.
PANG! Satu lagi tamparan yang hebat melekat di pipi apabila saya sudah menyuarakan jawapannya. Saya dikatakan sebagai loyar buruk. Saya dikatakan sebagai mempermainkan dirinya.
Apakah salah jawapan saya Apakah jawapan kertas itu tidak memuaskan hatinya Apakah dia mahukan jawapan yang lebih mendalam dan melebihi dari satu perkataan Apakah saya harus menjawab ini adalah kertas dari buku nota yang dikoyak kecil sedikit supaya dapat dilukis atau ditulis seuatu di atasnya lalu dilipat dua supaya tidak diketahui oleh orang lain dan kertas itu diberikan kepada orang yang saya minati. Begitu Dan sekiranya saya menjawab sebegitu, adakah saya tidak akan ditampar olehnya
Permainan yang paling menyeronokkan, dan juga yang paling menakutkan, adalah risiko.
Jadi, saya melepaskan tanggungjawab untuk menjawab soalan itu, demi tidak menanggung risiko. Cikgu Syahidan menyuruh saya memanggil Alea dan berjumpa dengannya di kantin guru.
Semasa saya ingin memanggil Alea, perhimpunan sudah pun tamat. Semua pelajar yang berada di situ dan ingin memasuki kelas masing-masing, melihat saya seperti saya telah melakukan suatu kesalahan yang maha besar. Saya merasakan seperti setiap mata yang berada di seluruh dunia sedang memerhatikan dan mulut-mulut mereka sedang mentertawakan saya.
Alea tersentak apabila saya memanggilnya. Mimik mukanya berubah. Kulit dagingnya pucat, seperti tiada darah yang mengalir.
Cikgu panggil, kata saya. Alea memberikan beg galasnya kepada Kiki. Kemudian, dia mengikuti saya dari belakang. Pada waktu itu, saya ingin meminta maaf darinya. Saya ingin mengatakan sesuatu yang dapat membuatkan dirinya tersenyum. Tapi saya tidak mampu. Saya tidak mampu memandangnya yang berada di belakang. Leher saya tidak mahu lembut untuk menoleh. Kaku, keras dan mendebarkan.
Saya dan Alea sama-sama berdiri di depan Cikgu Syahidan. Ketika itu kami berada di dalam kantin ruangan guru. Selain kami bertiga, terdapat beberapa orang guru yang lain seperti Cikgu Azizi, Cikgu Azaedah dan Cikgu Norhaizat.
Hingus pun meleleh-leleh lagi, dah pandai nak bercinta, ejek Cikgu Syahidan. Cikgu Azizi ketawa kecil sambil memegang meja makan.
Ohhhh awak. Awak rupanya, kata Cikgu Azaedah pula. Awak bukan ada abang ke tanya Cikgu Azizi. Saya pernah ajar abang awak tau, katanya lagi.
Masa saya ajar abang awak dulu, takde pula dia bercinta, sambungnya lagi, sambil meluahkan ketawa yang besar. Laungan kekehan itu disambut pantas oleh para guru yang lainnya. Mungkin pada pagi itu, saya adalah hiburan mereka. Ataupun memalukan para pelajar seperti itu mampu memberikan kebahagiaan untuk para guru
Pada pagi itu, Cikgu Syahidan meludah-ludahkan perkataannya kepada saya. Apa yang saya dengarkan selepas itu adalah, tiada. Masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Otak saya kosong, dan tidak mahu terisi. Saya sibuk memikirkan hal-hal yang lain ketika sedang diceramah.
Apa yang saya fikirkan pada ketika itu adalah tentang sebuah kerisauan. Saya merisaukan tentang perasaan cinta yang sedang berada di dalam setiap jiwa guru-guru itu. Apakah mereka tidak pernah merasai cinta Apakah mereka merasai cinta, tetapi mereka tidak berusaha untuk lebih menemuinya Apakah mereka merasai cinta, dan berusaha untuk lebih menemuinya, tetapi tidak membenarkan manusia lain untuk menikmati cinta juga
Atau apakah guru-guru itu lupa akan kenangan cinta pertama mereka Apakah mereka tidak mampu mengingati setiap degupan jantung yang berlari kencang apabila terpandang seseorang yang mereka kasihkan
Setiap pertanyaan itu, saya kuburkan. Saya pendamkan dan tidak disuarakan. Alea yang berada di sebelah saya hanya memegang kedua-dua belah tangannya dan memandang tepat ke lantai. Dia juga seperti saya, tidak mampu melampirkan apa-apa reaksi. Atau dia juga sedang memikirkan sesuatu seperti saya
Setelah sesi persekolahan sudah pun berada di masa yang kedua, saya dan Alea disuruh masuk ke kelas. Saya diberi amaran untuk tidak melakukan perkara yang sebegitu lagi. Alea bersungguhsungguh berjanji dengan anggukan kepalanya. Saya juga begitu, cuma goyangan kepala saya sedikit lemah berbanding Alea.
Selepas kejadian itu, kerap kali juga saya diperli oleh Cikgu Syahidan ketika berada di dalam kelas. Sekiranya saya melakukan sedikit kesalahan sahaja, pasti peristiwa kertasatau surat itu akan dikaitkan. Dan setiap kali ejekan itu berlaku, saya akan menjeling Alea perlahan-lahan. Wajahnya suram, tiada senyuman dan hanya kesepian. Dan itu sahajalah yang paling saya risaukan ketika itu Alea.
Sesetengah waktu, saya membenci Cikgu Syahidan. Akan tetapi, di sesetengah masa, saya menyanjungi pula guru kelas saya itu.
Cikgu Syahidan seorang yang kelakar dan gemar berjenaka. Sekiranya pelajar-pelajar tidak menyiapkan kerja rumah atau tidak membawa buku teks, kelucuannya akan berubah menjadi sesuatu yang sangat mengerikan.
Pada suatu hari, Cikgu Syahidan mengarahkan pelajarnya yang tidak menyiapkan kerja rumah untuk berdiri. Dan manusiamanusia bertuah yang tidak menyiapkan kerja rumah itu, termasuklah saya dan Aiman, rakan yang duduk di belakang saya.
Cikgu Syahidan menyuruh salah seorang dari pelajar di dalam kelas itu, Farhan, untuk mencari pembaris panjang. Pembaris kayu yang digunakan untuk mengukur sesuatu di papan hitam. Akan tetapi, pembaris itu selalu disalah gunakan sebagai bahan untuk menghukum para pelajar.
Mungkin nasib saya pada hari itu tersangatlah malang. Saya menjadi orang pertama yang merasakan kepedihan pembaris kayu, di bahagian bahu. Pembaris kayu itu menghentam bahu saya sehingga patah menjadi dua bahagian. Kemudiannya, Farhan disuruh sekali lagi untuk mencari pembaris yang lain.
Dan apabila pembaris kayu yang kedua sudah pun sampai, saya masih menjadi mangsa yang akan dihukum demi pengajaran. Heh. Dan pada hari itu, saya dipukul sebanyak enam kali di bahu. Dalam enam kali pukulan itu, semua pembaris yang singgah di bahu saya, semuanya patah. Saya menangis. Begitu juga dengan beberapa pelajar yang lain. Saya dan mereka menangis.
Akhirnya, kami dihalau keluar dari kelas, menyiapkan kerja rumah di beranda, sambil menitiskan air mata.
Saya cuma tertanya-tanya, apakah hukuman seperti itu sesuai untuk pelajar seperti kami Apakah dengan kekerasan dapat menyelesaikan masalah Apakah dengan pukulan akan dapat merubah kami Apakah dengan hukuman akan dapat menghilangkan kerisauan di hati mereka
Dan apakah mereka menghukum itu, dengan niat untuk pengajaran ataupun kerana nafsu amarah mereka
Antara waktu-waktu yang seringkali ditunggu-tunggu oleh kebanyakan para pelajar adalah cuti sekolah. Siapa yang tak suka bercuti Siapa yang tak suka berehat di rumah, bangun lewat sehingga tengahari, menonton televisyen sepanjang hari dan petangnya keluar bermain bola sepak. Siapa tak suka bercuti
Tapi, cuti kali ini adalah cuti yang terburuk pada saya. Pada 12 Disember, datuk sebelah ibu, yang saya panggil sebagai Tok Bat telah pergi meninggalkan dunia.
Itulah kematian pertama yang saya alami. Melihat Tok Bat diletakkan perlahan-lahan di dalam liang lahad, terfikir betapa saya tidak mampu lagi mengurut kaki Tok Bat yang sering kebaskebas, tidak boleh lagi berjalan-jalan dengan Tok Bat di sepanjang Pantai Air Tawar, berehat dengan Tok Bat di Pantai Bukit Kluang, serta tiada lagi waktu-waktu untuk makan-makan bersama Tok Bat di Kuala Besut, membuatkan air mata saya mengalir tak hentihenti.
Tok Bat seorang datuk yang baik. Di Kampung Raja, Besut, Terengganu; siapa yang tak kenal Cikgu Yusoff Nampak sahaja kereta Proton Saga yang berwarna biru tua, semua orang kenal itu siapa. Kerana kebaikannya, kerana pertolongannya untuk masyarakat, kerana baktinya, kerana sopan santunnya, kerana kewarakannya sebagai seorang guru, semua orang memuji-muji Tok Bat.
Tapi itu semua hanyalah sebuah kenangan di dalam kehidupan. Dan apabila kita telah mati nanti, ianya akan kekal menjadi sebuah sejarah. Cuma bezanya, sejarah kehidupan kita itu nanti akan diingati sebagai yang buruk, atau yang baik.
Selepas pemergian Tok Bat, saya menemani nenek yang duduk seorang diri di rumah kampung. Nenek sebelah ibu Tok Mi meminta saya untuk menemaninya. Tok Mi seorang wanita yang gagah. Selepas hari kematian Tok Bat, Tok Mi tidak lagi menangisnangis kerana Tok Bat telah tiada. Dia menjalani hari-harinya seperti biasa. Cuma kadangkala, saya yang menolong Tok Mi membeli barang-barang harian atau mengemas rumah.
Pada suatu malam, ketika kami berdua sedang duduk di depan televisyen, mengisi masa-masa sengkang dengan menonton berita, sesuatu yang buruk telah dimaklumkan oleh pembaca berita yang berada di dalam televisyen itu.
Saya tidak tahu apakah istilah yang disebutkan oleh pembaca berita tersebut. Tetapi saya tahu bahawa perkara itu sungguh menakutkan selepas diberitahu oleh Tok Mi.
Ombak besar. Bahaya, kata Tok Mi, sambil merapatkan kaca mata ke batang hidungnya.
Di televisyen jelas menunjukkan bahawa ombak besar itu telah membunuh ramai orang. Dua ratus lima puluh ribu orang telah terbunuh kerana ombak besar itu. Lapan negara seperti Sri Lanka dan Acheh di Indonesia antara negara yang mencatat angka kematian yang tinggi.
Dan selepas beberapa lama, barulah saya mengerti istilah tsunami yang disebut-sebut oleh pembaca berita pada malam itu.
Saya tahu maksud tsunami itu pun pada tahun 2008, selepas tsunami yang seterusnya melanda negara Malaysia pula.
Bezanya tsunami pada 2004 dan 2008 adalah - tsunami pada 2008 tidak mengakibatkan sebarang kematian. Tetapi tsunami pada tahun 2008 mungkin menyebabkan beberapa orang di Malaysia sangat-sangat kecewa.
Dan juga menangis gembira.