SURAT-SURAT UNTUK KAHERAH - 5
Bulan keempat. Rintik-rintik hujan yang menempiaskan airnya memaksa murid-murid darjah 1 Merah bergegas masuk ke bilik muzik. Fahmi dan Hakimi bertolak-tolakan sehingga menimbulkan pergaduhan. Hakimi terpinjak kasut Fahmi yang berjenama. Fahmi membalasnya dengan menghentakkan kaki kanan ke kasut Hakimi. Hentakan itu meninggalkan kesan tompok hitam, karya hasil tapak kasut Fahmi. Hakimi menolak bahu Fahmi, Fahmi hampir tersungkur tetapi ditahan oleh dada Fansuri, kawan baiknya yang bertubuh gempal. Fansuri yang putih melepak itu tidak peduli, lalu terus masuk ke dalam.

Kamu murid kelas pertama atau beruk kelas pertama Cikgu Kartini menjerit. Tangannya dicekak ke pinggang baju kebaya dan matanya dijengilkan memandang kelompok murid-murid lelaki yang masih berada di luar. Masuk cepat! Cikgu Kartini mengemam bibir. Matanya terbeliak. Kami seperti kambing kecil yang berjalan di hadapan harimau. Menunggu masa untuk diratah. Bilik muzik saat itu menjelma menjadi meja makan bersaiz agam. Rotan di atas rebana berubah bentuk menjadi belati.

Pusat perhatian pada bilik muzik itu tertumpu kepada sebuah organ besar. Sejenis alat muzik keyboard yang dimain dengan bod pedal. Bumbung organ dibiar terbuka. Mendongak ke atas dan disendal dengan alat penahannya, menjadikan alat muzik itu sama tinggi dengan Cikgu Kartini yang genit. Alat muzik barat yang turut dimainkan di gereja itu melambangkan kemegahan kamar muzik. Organ disusun condong, di penjuru hadapan bilik. Kedudukannya menghadap piano.

Bilik muzik itu mempunyai stor peralatan yang menyimpan pelbagai alat penghasil bunyi lain yang aneh-aneh. Xylophone, angklung, tamborin, shaker, kompang dan ring bell. Bilik itu tidak bertingkap kerana dindingnya dibina kalis bunyi. Kedinginan datang dari angin hasil putaran kipas syiling. Bilik lapang ini langsung tidak menarik minatku. Aku menyangka kelas ini disediakan untuk pelajar yang otaknya kosong, supaya bunyi itu mempunyai ruang untuk melantun-lantun antara otak kiri dan otak kanan. Aku melihat wajah murid-murid yang bermain muzik tidak berkerut. Ini bermaksud muzik bukan subjek intelek. Mata pelajaran yang tidak memerlukan daya fikir yang tinggi. Itu sebelum aku mengetahui kuasa muzik sebagai medium penyembuh penyakit kejiwaan.

Mata pelajaran Pendidikan Muzik diajar guru pelatih dari maktab perguruan itu. Kami diajar menulis not muzik pada buku bergaris tiga yang dipanggil baluk. Garis bar ditindih dengan simbol klef trebel, semibrif, krocet, kuaver dan staccato. Berlatih menggunakan perkusi, rekorder, Repertoir dan aktiviti qoir merupakan perkara yang paling tidak aku gemari kerana pengetahuan muzik secara formal bukan sesuatu yang dimesrai oleh anak setinggan sepertiku. Malah, separuh dari kami juga tidak berminat menyiapkan kerja sekolah untuk mata pelajaran itu. Kami lebih suka memainkan alat muzik dengan gaya tersendiri. Aku mengetuk kerincing berbentuk triangle. Alat Perkusi Berpic itu berdenting, bergetar. Aku cuba pula menghasilkan getaran pada bahu Wafa Thahirah, dengan mengetuk tulang klavikelnya. Kemudian ku palingkan wajah ke arah lain. Wafa memarahi Madiah yang memegang alat sama. Akhirnya mereka saling tuduh menuduh. Wafa Thahirah bergetar menahan marah. Aku dan Anne geli hati. Anne mengambil tones block, sejenis kayu tik tok. Kemudian mematahkannya pemukul nipisnya. Kayu yang rosak itu diselitkan di bawah organ. Raut wajah Anne kosong, tidak bersalah.

Fahmi mencabut plug yang bersambung dengan piano. Kemudian ketawa melekek-lekek di belakang tubuh Fansuri apabila melihat Cikgu Kartini panik sedikit memikirkan alat muzik itu tidak berbunyi.

Para penjenayah ini tertangkap, kami dikumpulkan di bahagian tepi bilik muzik. Kami terasa seperti berada di dalam kandang pesalah, menunggu keputusan hakim.

Cikgu Kartini berdiri terpacak di hadapan kami, membulatkan mata.

Pendidikan Muzik bertujuan melahirkan murid yang mempunyai kefahaman asas tentang muzik, meningkatkan kreativiti, inovasi, menghargai estetika muzik dan dapat mengamalkan nilai murni. Bukannya beraksi seperti beruk dalam bilik ni! Kamu semua, esok cikgu nak kamu datang bawa bunga ros merah beri pada cikgu, sebagai denda. Faham. Hukuman dijatuhkan oleh Hakim Kartini.

Semua murid-murid menjawab dengan nada tinggi,

Faham, cikgu!

Imaginasiku membayangkan kuntuman bunga ros mekar seperti yang sering disaji di dalam drama cinta. Aku terasa mual, tidak ada hukuman lain ke Permintaan itu bagai melantik kami menjadi teman lelaki Cikgu Kartini.

Menjengkelkan!.

Satu jam di bilik muzik bagaikan menjerut leher dengan tali. Rimas melihat aksi Cikgu Kartini yang naif.

Keesokan harinya, kami beratur lagi untuk masuk ke bilik muzik. Beberapa orang murid mengenggam tangkai bunga di tangan. Huda membawa bunga plastik yang hampir layu, Khadijah membawa bunga raya yang dipetik dari tepi jalan, Jaafar dengan bunga ros merah yang masih bersisa kabus hijau ditangkainya. Aku, Anne dan Fahmi bertangan kosong.

Lantai bilik muzik beralaskan karpet biru tua. Kami duduk berhimpit-himpit di atasnya. Menterjemah eskapisme ketakutan terhadap Cikgu Kartini.

Cikgu Kartini menanti tidak sabar.

Ha, mana bunga ros yang cikgu suruh beri pada cikgu tu. Kedatangan kami diterjah seperti yang diduga.

Bunyi hujan lebat menimpa atap genting sedikit sebanyak membantu memeriahkan latar yang bungkam.

Cikgu Kartini merampas bunga ros plastik dari tangan Jaafar. Kelopak bunga ros itu gugur sehelai.

Di luar kelas, kilat memancar.

Ini bunga ros yang awak bawa,. jJerit Cikgu Kartini. Bunga ros yang pudar itu dihempas ke karpet. Petir sabung- menyabung di dalam kornea mata Cikgu Kartini. Melalui imaginasi, mata hitamnya ku warnakan merah. Marah.

Murid-murid ciliknya ada yang menggigil ketakutan. Sesetengah darinya menyorok di belakang tubuh murid lain.

Cikgu, ini untuk cikgu. Celah Lim Kah Fook, murid lelaki Cina yang kebetulan rumahnya di tingkat atas kedai bunga.

Wajah Cikgu Kartini berubah manis.

Ha, macam ni la baru murid bijak. Ini yang saya nak. Cikgu Kartini mengusap kelopak bunga ros merah yang masih segar.

Seketika kemudian, Cikgu Kartini memandang kami kembali.

Guruh berdentum di dada langit.

Awak yang lain-lain ni, kenapa Lim boleh bawa, kamu semua tak boleh.

Cikgu, mana aci. Rumah dia atas kedai bunga. Jawab Fahmi. Cubaan membela diri.

Cikgu Kartini diam sesaat. Kemudian menyusun ayat, Er..itulah sebenarnya yang cikgu nak tengok. Kerjasama antara kamu semua. Bukankah sepatutnya kamu semua boleh berbincang, mengumpul duit dan amanahkan kepada Lim untuk beli bagi pihak bilik darjah. Selain mata pelajaran muzik ni memperkembangkan ekspresi diri dan daya kreatif, kamu semua mesti mengamalkan nilai kerjasama dalam pasukan.

Sepanjang waktu itu, kami dibebel oleh Cikgu Kartini sehingga masa mata pelajaran tamat. Sementara muridmurid lain di dalam telah sejam mengulang perkataan sama, do re mi fah soh lah ti do re. Sebaik cikgu Kartini menamatkan leteran, dia meminta lagi kami hadiahkan bunga ros semasa hari perpisahaan bersama guru-guru pelatih nanti. Aku mencebik di dalam hati. Cikgu ni tidak ada boyfriend ke.

Loceng berbunyi tanda waktu rehat. Hati kami telah berpusu-pusu keluar, tetapi jasad masih sopan beratur di kaki lima. Kami berjalan perlahan. Destinasinya adalah bilik darjah yang terletak di kawasan padang. Setelah Warden Kartini kami tinggalkan di pintu penjara tadi. Kami seronok semula, bagai banduan yang baru dilepaskan.