Assalamualaikum Dr. Firdaus ya
Ya saya, Dr. Firdaus.
Macam ni doktor. Doktor letak pilihan pertama untuk tempat bertugas di Kedah kan
Ya saya.
Doktor masih bujang kan
Ya saya.
Alasan minta Kedah doktor tulis sebab ingin cari pengalaman baru kan Jadi saya nak tanya di sini
Belum sempat habis pertanyaan pegawai tersebut, terus saya mencelah.
Hahaha okey, okeybagi saya Sarawak.
Pengalaman bekerja di Kuching dan Kota Samarahan, Sarawak selama 2 tahun adalah antara pengalaman berharga dalam hidup saya. Jadi saya dedikasikan bahagian ini kepada sahabat-sahabat di negeri Sarawak. Rindunya Sarawak!
*********************
Antara Kuching dan Kuala Lumpur
Pada ketika mendapat berita tentang penempatan di Kuching, saya baru sahaja bertunang dan sudah semestinya bakal isteri saya agak sedih kerana secara tiba-tiba dikejutkan dengan berita ini.
Dalam tempoh bertunang, hampir selama 6 bulan saya berada di Kuching dan bakal isteri pula bekerja di syarikat perakaunan di Kuala Lumpur. Hikmahnya walaupun sukar, perhubungan jarak jauh mungkin juga secara tak langsung menguji kesetiaan kami terhadap pasangan masing-masing. Dalam masa yang sama, kami mula mengumpul duit untuk perbelanjaan perkahwinan dan untuk hidup bersama selepas berkahwin. Disebabkan harga tiket kapal terbang pergi-balik di antara Kuching dan Kuala Lumpur yang selalunya hampir separuh daripada gaji sebulan saya, kami lebih banyak berhubung melalui telefon dan berbalas e-mel (belum ada WhatsApp atau Facebook ketika itu). Memang betul orang kata, absence makes the heart grow fonder.
Pada bulan Februari 2005, saya pulang ke Kuala Lumpur untuk melangsungkan perkahwinan. Selesai majlis di Kuala Lumpur, saya bawa isteri saya ke Kuching untuk honeymoon dan dalam masa yang sama memperkenalkan isteri kepada rakan-rakan di Kuching. Alhamdulillah kami juga sempat buat majlis ringkas makan-makan di rumah sewa saya di Rubber Road, Satok. Majlis di Kuching sangat simple, dan cowboy kerana yang mengaturkannya kami berdua saja. Tetapi memang ramai kakitangan klinik yang hadir dengan memakai pakaian tradisi seperti batik, baju kurung, kebaya, baju melayu dan sebagainya. Cuma pengantin sahaja yang memakai t-shirt dan jean.
Alhamdulillah akhirnya isteri saya mendapat khabar gembira untuk berpindah ke cawangan Kuching selepas hampir 6 bulan kami berjauhan sebagai suami isteri. Jadi saya pun agak kelam kabut untuk membuat persiapan untuk menerima kehadiran isteri tercinta. Bayangkan rumah bujang, karpet tidak ada, langsir tidak ada dan katil pula jenis double decker. Takkan nanti suami tidur di atas dan isteri tidur di bawah pulak.
Selain itu, saya juga ingin memberikan kejutan kepada isteri saya dengan memberikan dia kereta untuk dia bawa semasa di Kuching. Jadi saya pun pergi ke showroom kereta di salah satu kedai jualan kereta di Satok.
Bang, yang paling murah kereta yang mana bang Tanya saya pada jurujual kereta.
Banyak pilihan sitok. Kitak kerja sine
Maksudnya banyak pilihan di sini, kamu kerja di mana
Kamek kerja di Hospital Umum
Mungkin disebabkan cara saya bercakap Sarawak terlalu pelik, jurujual tersebut terus berbahasa Melayu biasa.
Oh kerja kerajaan. Bagus tu. Senang dapat pinjaman bank. Paling murah Kancil 660 manual dan kita ada banyak pakej dik.
Ada zero downpayment untuk pakej-pakej ni
Oh bagus sangat tu.
Promosi yang paling murah bagi model Kancil 660 manual, seingat saya adalah zero-downpayment dan bayar sebanyak RM303 sebulan selama 9 tahun.
Untuk pakej yang paling rendah, rim cover untuk tayar tak ada ya dik.
Okey, tak apa, jawab saya.
Kemudian, tak ada radio juga ya.
Oh ye ke, okey tak apa, boleh pasang kemudian. Saya balas dengan dahi berkerut.
Dan backseat cover juga tak ada, jadi yang bagusnya boleh ambil barang dalam bonet dari dalam kereta, beritahu jurujual dengan penuh teruja.
Biar betul
Kesian isteri saya. Jadi saya terus ambil pakej kedua terendah pada ketika itu. Ada radio dan backseat cover. Cuma rim cover sahaja tidak ada. Kancil 660 manual, warna putih, zero downpayment dan bayar RM327.88 sebulan selama 9 tahun. Sehingga kini kereta Kancil putih ini masih ada bersama kami dan telah habis dibayar. Alhamdulillah.
*********************
Gigi geraham
Doktor, saya sakit gigi geraham atas sebelah kanan, kata pesakit yang ke berapa belas pagi itu sambil menunjukkan gigi itu dengan jari telunjuknya.
Sudah lama sakit doktor, hampir satu tahun. Mula-mula sekejap-sekejap, sekarang makin teruk.
Kasihan. Kenapa lama sangat baru nak datang Saya tanya sambil mengerutkan dahi. Lepas saya periksa, memang nampak ada lubang besar sampai ke bahagian akar pada tepi gigi yang sakit tu. Memang dah tak boleh nak diselamatkan.
Susah doktor mahu datang. Saya duduk jauh, perlu naik bot kemudian ambil bas. Kadang-kadang bila sampai, kaunter pendaftaran dah tutup.
Saya terdiam seketika. Ya Allah, sukarnya orang-orang di sini nak dapatkan rawatan sampai kena harungi perjalanan yang sampai sebegitu.
Saya ada dengar cerita seperti ini daripada jururawat-jururawat di klinik yang perkara ini sememangnya biasa di sini. Keadaan geografi bumi Kenyalang ini kadangkala memang menyukarkan penduduk-penduduknya terutama yang berada di kawasan pedalaman untuk mendapatkan rawatan kesihatan. Itu yang kadang-kala ada perkhidmatan kesihatan yang masuk ke kawasan-kawasan pedalaman. Ada pasukan kesihatan yang naik 4-wheel drive, ada yang naik feri malah ada yang naik helikopter. Pasukan kesihatan ini selalunya akan berkampung di sesuatu tempat selama beberapa hari bagi memastikan majoriti penduduk di kawasan tersebut dapat menerima rawatan.
Nemu jako iban Saya mencuba bahasa Iban yang baru saya pelajari semalam daripada pembantu pergigian saya, Andy Shane. Ternganga pesakit saya mendengarnya. Nemu jako iban tu maksudnya, pandai cakap iban
Wah, doktor pandai cakap Iban ya
Mimit. Saya jawab selamba. Mimit tu pula maksudnya sedikit. Hahaha. Makin terkejut muka pesakit saya ni. Sebenarnya saya tahu nemu jako iban dan mimit sahaja. Sebelum dia bertanya saya dalam bahasa Iban, cepat-cepat saya cakap,
Gigi kamu sudah rosak teruk, perlu dicabut.
Boleh doktor. Kalau itu yang terbaik.
Berbudi bahasa betul kebanyakan pesakit-pesakit saya di sini. Sangat hormat pada doktor dan kakitangan klinik yang lain. Adakalanya mereka juga gemar bawa tanda penghargaan seperti buah-buahan dan sayur-sayuran segar untuk diberikan kepada klinik.
Saya pun segera menyiapkan peralatan untuk cabutan gigi. Seperti biasa 5 minit selepas saya berikan suntikan bius pada pesakit saya pun bertanya.
Sudah rasa kebas
Dia mengangguk-mengangguk. Mukanya tenang. Tapi saya perasan tangannya menggenggam kuat bahagian sisi kerusi rawatan.
Kamu jangan takut. Tidak sakit sebab sudah kebas. Bernafas macam biasa dan fikirkan perkara-perkara yang indah.
Dia mengangguk lagi. Secara logiknya mana ada pesakit yang boleh fikir perkara-perkara yang indah masa gigi dia nak kena cabut. Apalah yang saya merepek pada pesakit ni. Sambil berusaha untuk mencabut gigi geraham pesakit, saya pun berfikir apa yang saya nak belikan mak saya apabila saya nak ke Serikin hujung minggu ni. Telekung atau tikar Sarawak. Gaji pun baru sahaja masuk. Serikin ini dalam 1 jam perjalanan dari Bandar Kuching. Ia adalah kawasan sempadan antara negeri Sarawak dan Indonesia. Ada banyak hasil-hasil kraf tangan penduduk tempatan dijual dan cantik-cantik semuanya.
Doktor, dah 30 minit ni. Ramai lagi pesakit di luar, bisik jururawat saya tiba-tiba.
30 minit! Baru saya sedar bahagian belakang badan saya dah berpeluh-peluh. Gigi geraham masih tak dicabut lagi. Saya pun cuba lagi dengan kuatkan lagi kuda-kuda, habis pelbagai peralatan dan teknik cabutan telah saya cuba tapi masih tak ada hasil. Pesakit ni pula muka masih tenang. Tiba-tiba saya teringat sesuatu.
Eh, kamu ada pakai apa-apa ke Sambil saya melihat ke bahagian leher, pergelangan tangan dan jari-jemarinya. Mencaricari jika ada rantai, gelang atau cincin. Tak ada apa-apa pun.
Dia pun menoleh ke arah saya, sambil menggigit kapas yang ada kesan darah dia bercakap dengan selamba, Maaf doktor, sekejap ya(pesakit tutup mata)baik, sudah!
Itu saja yang dia jawab, tak sampai 10 saat. Meremang sekejap bulu tengkuk saya. Saya pun cuba lagi melakukan cabutan.
Bismillah.
Okey, sudah keluar. Tiga akar, semuanya keluar. Tidak ada yang patah.
Tak sampai satu minit gigi geraham pesakit saya cabut. Gembira saya tengok muka pesakit ini.
Terima kasih doktor, katanya sambil menggigit kapas, bangun dari kerusi dan kemudian berjalan keluar daripada bilik rawatan.
Sama-sama. Saya menjawab sambil mengesat peluh di dahi. Jururawat saya pula tersengih-sengih sambil mengemas-ngemas bilik untuk pesakit yang seterusnya.
*********************
Panggilan bertugas
Beep, beepbeep, beep. Bunyi nyaring beeper. Kalau manamana doktor yang buat panggilan bertugas, mesti bawa beeper ke mana-mana. Tandas, surau, mandi, makan, tidur, ke manamana sekalipun. Yang bagusnya beeper ni tak ada masalah liputan. Masuk hutan sekalipun kalau ada orang hubungi, boleh sampai juga isyaratnya.
Ini dental officer on-call ya tanya operator hospital sejurus panggilan saya dijawab. Ya saya, doktor Firdaus bercakap.
Sekejap ye doktor. Ada panggilan dari kecemasan.
Jam sudah pukul 11 malam. Ada budak lelaki 8 tahun dengan kecederaan mulut. Jatuh sewaktu bermain tepi parit di depan rumah. Nasib baik belum tidur, takut tak sedar bunyi beeper. Bagi doktor pergigian yang menjalankan panggilan bertugas, saya tidak perlu tidur di hospital. Syif ini dipanggil panggilan bertugas pasif. Panggilan bertugas pasif ini dijalankan selama seminggu. Jadi jika ada kes-kes kecemasan berkaitan kecederaan bahagian muka dan mulut selepas waktu bekerja iaitu di antara 5.30 petang hingga 7.30 pagi pada hari bekerja, hospital akan panggil doktor pergigian bertugas.
Saya memang suka panggilan bertugas di waktu luar waktu bekerja ini. Maklumlah pada ketika itu masih muda, bujang, nak duduk di rumah pun tidak ada apa-apa nak dibuat. Waktu itu belum ada Facebook, Instagram dan Wi-Fi lagi. Talian Internet kena pakai talian telefon yang disambung ke komputer. Lagipun, rumah sewa saya di Rubber Road West 1, Satok cuma 5 minit sahaja daripada Hospital Umum Sarawak.
Sebagai doktor pergigian yang bertugas di hospital, kebanyakan kes-kes kecemasan saya selalunya melibatkan bahagian muka, mulut, kecederaan gigi dan jangkitan dalam mulut. Jika lebih spesifik, bidang kepakaran yang terlibat dalam kes-kes ini dipanggil Pembedahan Mulut dan Maksilofasial. Maksilofasial ini maksudnya rahang dan muka.
Sewaktu saya di Kuching, kebanyakan kes-kes kecemasan melibatkan kes-kes kemalangan motosikal. Pesakit-pesakit kemalangan motosikal ini memang teruk kecederaannya. Kulit muka koyak, bibir koyak, gigi tercabut, gigi patah dan kalau yang lebih serius tu patah tulang rahang. Patah tulang rahang ini boleh jadi pada tulang rahang atas atau bawah. Ngeri betul. Yang menyedihkan pula kebanyakannya berlaku pada budak-budak remaja. Bawak motor tidak pakai helmet, bawak motor dalam keadaan mabuk, buat aksi stunt macam superman, spiderman dan sebagainya.
Kadang-kadang itu, sewaktu menjahit luka pada bahagian muka atau sedang mengikat bahagian rahang yang patah tu boleh saya dengar suara mak ayah mereka di luar bilik kecemasan. Ada yang menangis teresak-esak, meraung dan yang marah-marah pun ada.
Kemalangan yang diundang sendiri ini memang menyedihkan. Bayangkan bila satu-satunya anak dalam keluarga terlibat dalam kemalangan. Nasib baik cuma patah rahang saja, kalau mati Bagi pembaca yang suka bawa motosikal, sentiasalah ingat orang tersayang. Bawa motor dengan cermat, pakai helmet dan patuhi undang-undang jalan raya. Pesanan komuniti sekejap.
Berbalik pada budak 8 tahun yang jatuh tepi parit ni. Berani betul dia. Tidak menangis langsung semasa saya jahit luka pada bahagian bibirnya. Satu gigi depan tercabut entah hilang ke mana. Tak tahulah masuk parit atau sudah tertelan.
Lepas habis jahitan saya perasan hidungnya masih berdarah sedikit. Saya masukkan kapas dan tunggu dalam lima minit sambil membuat nota perubatan. Kemudian saya panggil dia semula dan buka kapas yang saya letakkan pada hidung yang berdarah itu. Masih lagi berdarah.
Nurse, tolong ambil torch light.
Saya pun suluh lampu ke dalam lubang hidung budak ini. Tu dia! Seekor lintah gemuk sedang bersenang lenang duduk di dalam lubang hidung dia. Terkejut lintah saya! Teringat kisah drama yang ada wanita mengandung, orang kampung ingatkan dia buat hubungan luar nikah tapi akhirnya bila dia beranak, keluar ratusan lintah! Ishh!
Apa nak buat ni Tarik saja boleh ke tanya saya kepada salah seorang pembantu perubatan di situ.
Tak boleh ni doktor, kena tunggu dia habis hisap ni, nanti jatuh la dia, terang pembantu perubatan itu.
Maklumlah, saya ini lahir di Kuala Lumpur. Jarang jumpa lintah. Kenangan dengan pacat, lintah dan haiwan yang seumpamanya ini Cuma semasa saya bersekolah di Maktab Tentera Diraja dulu ketika menghadiri perkhemahan dan latihan ketenteraan di hutan-hutan serta kursus bina semangat di Lumut, Perak. Ingat lagi pada ketika kami perlu merentasi hutan-hutan dan bukitbukau di Pulau Pangkor selama 3 hari 3 malam. Habis segala jenis garam dan serbuk saya sapukan pada kaki tapi masih juga pacat-pacat boleh masuk ke dalam kasut dan menghisap darah daripada betis saya yang putih gebu ini.
Saya pun geram melihat lintah dalam hidung budak ini dan terus ambil forsep untuk kepit ekornya. Perlahan-perlahan saya tarik lintah itu. Ekor lintah sudah terkeluar sedikit tapi tiba-tiba boleh terlepas pula kepitan forsep pada ekor lintah itu. Melantun semula ke dalam ekor lintah hingga terkejut budak itu!
Tak boleh doktor, saya dah cakap. Sambil tergelak pembantu perubatan cakap pada saya.
Doktor, bagi saya cuba doktor. Tiba-tiba, ada suara atendan dari luar pintu bilik rawatan. Atendan ini sudah berumur juga dan memang senior di kalangan staf.
Saya pun bawa budak itu sambil diiringi ayahnya. Sampai di luar pintu masuk kecemasan, atendan ini pun mengeluarkan tembakau rokok gulung yang disimpan dalam poket seluarnya. Eh sini tak boleh hisap rokok.
Bukan nak hisap rokok doktor. Tengok ni. Dia letak daun tembakau dalam kertas, digulung sedikit kemudian dia nyalakan api pada hujung gulungan tersebut.
Kau sedut sikit dik. Dia kata selamba pada budak itu.
Budak itu pun sedut sedikit asap dari hujung kertas. Tidak sampai 10 saat, lintah gemuk yang sedang bersenang lenang tadi jatuh ke atas lantai. Melompat saya sedikit ke belakang (bukan geli tapi terkejut).
Darah pun meleleh keluar dari hidung budak itu. Saya bawa semula dia ke dalam, bersihkan kawasan luka dan masukkan kapas untuk berhentikan pendarahan. Sambil menulis nota perubatan, saya tergelak seorang diri bila teringat gaya lompatan saya sejurus lintah itu jatuh ke lantai tadi.