DARI TANJUNG MALIM KE KLCC - 5
Aku sepasang kasut. Nama aku Naiki. Aku bukan jenis kasut bola. Aku jenis kasut bawa berjalan di bandar. Aku lahir di Nantong, Negara China. Aku pernah tanya bapa aku, Kenapa nama aku Naiki Tak macam nama cina langsung! Patutnya bagilah aku nama Ah Kaw atau Ah Meng. Serasi la sikit.

Bapa aku cerita, keturunan kami berasal dari Amerika. Sebab tu nama aku bunyi Amerika. Masa dulu-dulu, kat Amerika sana kos sara hidup tinggi. Masalah sosial muda-mudi juga amat meruncing. Jadi terpaksalah atok aku lari ikut kapal kontena secara haram. Mula-mula atok aku rancang nak merantau ke negara Cuba. Di sana ada Havana. Boleh juga atok aku berehat-rehat hisap cerut bersama Fidel Castro. Tapi nasib tak menyebelahi atok aku. Dia diseludup ke Negara China oleh penjahat yang tersalah curi kontena.

Masa kecil bapa aku cerita atok aku dah lama mati lemas di sungai. Bapa aku tak macam aku, dia jenis kasut bola. Dia juga ada pesan suruh aku jaga diri. Bapa aku kata lagi, dia nak ke Manchester United, ada kerja di sana bersama Sir Alex. Itu cerita 15 tahun dulu. Kini bapa tak duduk di Manchester dah. Dia hilang entah ke mana. Ada orang kata bapak aku sekarang lepak di Ho Chi Minh, Vietnam. Ada juga cerita lain aku dengar dia sekarang lepak dengan tauke kasut bundle di kompleks Pertama. Pada aku, di mana pun bapa aku berada, aku doakan dia selamat.

Aku pula sekarang kat Malaysia. Kerja dengan bos. Baru je sampai dua bulan. Aku ingat kalau sempat nak lari kejap pergi kompleks Pertama. Mana lah tau ada rezeki jumpa bapa aku. Tapi jadual aku ketat. Pagi-pagi aku pergi Port Klang ikut bos aku kerja cuci lori. Belah petang pula aku selalu lepak di rumah kongsi pekerja buruh Indonesia. Kalau malam toksah cerita lah. Memang wajib aku duduk kat kedai mamak teman bos aku pekena Maggi goreng. Kadang-kadang aku teringin juga nak hisap rokok Sampoerna macam bos aku. Tapiargh! Malaslah!

Tak tau lah kerja aku kat Malaysia ni bila nak habis. Ada juga 3-4 kali aku terserempak kawan-kawan yang nama lebih kurang aku, tapi ejaan dia Nike. Bunyi sama, ejaan lain. Aku perhati hidup kawan-kawan aku agak mewah. Pegi berjalan pulak ke KLCC. Dapat tengok wayang, dapat pergi pusat refleksologi dan macam-macam lagilah tempat best. Aku saja yang sangap asyik melepak di rumah kongsi buruh Indonesia. Nak merasa pergi kompleks Pertama cari bapa aku pun entah bila. Aku rasa taraf aku macam rendah saja berbanding kawan-kawan aku.

Semua tu buat aku terfikir, Aku ni kasut Naiki original kah

NOTA KAKI

Sudah satu tahun cerpen kat atas tu aku hantar pergi Dewan Bahasa dan Pustaka. Aku amat berharap cerpen aku ni terpilih jadi teks wajib bahasa melayu tingkatan empat macam cerpen Faisal Tehrani.

Tapi sampai sekarang tak ada jawapan.

Cerpen: Aku Sepasang Kasut Naiki!

Kalau tak ada apa-apa respon sampai minggu depan, aku ingat nak pergi minta tolong kat Pak Samad Said pulak. Manalah tau dia boleh tolong guna orang dalam!