Aku sudah lama mahu merakamkan apa yang aku mahu kongsikan bersama kamu. Kamu banyak mengajarku erti kehidupan. Tetapi, atas kesuntukan masa dan saban hari, ada sahaja perkara yang perlu diselesaikan, urusan SUK, urusan parti, urusan kawasan dan pusat khidmat, maka aku tidak berkesempatan. Visi dan misi kita serupa.
Permulaan kita bertemu tatkala aku masih lagi bertugas sebagai wartawan di Sin Chew. Aku terpaksa meliput acara-acara kamu dan isu-isu yang kamu bangkitkan di kawasan kamu yakni di Sri Kembangan khususnya. Setiap kali aku terima jemputan daripada pejabat kamu, aku sentiasa memerhatikan tatarias muka yang jelas menunjukkan kesungguhan kamu dalam membangunkan kesedaran masyarakat sekeliling.
Selepas kemenangan pilihan raya umum 2008, tidak disangka-sangka kamu dilantik menjadi exco dan sudah tentunya tugasan kamu bertimbun memerlukan satu pasukan yang berkongsi cita-cita. Dari situlah kerjasama erat antara kita berdua terjalin.
Dari sini aku dapat melihat semua peristiwa terakam dalam waktu, tiada garis, tiada sempadan, terhimpun pada satu titik. Titik itu pula tiada pernah terpisah namun segalanya amat jelas. Dari saat lahir, hingga saatku dewasa, bekerja, bersama orang tercinta hingga saatku mati. Kita terpisah dalam satu dimensi asing yang sukar difahami. Memadailah jika aku hanya bercerita dalam bahasa yang kamu faham. Bahasa manusia.
Aku pernah mendengar beberapa orang teman mengeluh. Alangkah baiknya jika kita terus menjadi kanak-kanak. Hidup diurus ibu bapa. Tidak fikir masalah dunia..... Namun, untuk terus menjadi kanak-kanak adalah utopia. Manusia terus meniti masa mengharung
dugaan dan rintangan hingga ke akhir hayat.
Kadang-kadang kita takkan menyangka apa yang dicatur semesta atas apa yang kita rancang atau apa yang kita sedang lalui. Bermula dari aku menolak melanjutkan pelajaran ke sarjana kerana jurusan yang tidak aku suka, aku terus berkhidmat sebagai pelapor yang bertanggungjawab hingga dinaikkan pangkat.
Bekerja dalam bidang kewartawanan telah mendedahkan aku kepada banyak perkara, menemukan aku dengan ramai orang, meraih ilmu dan pengalaman, ia banyak membantu aku dalam mencerah, mendisiplin dan memotivasikan diri, membuka lebih banyak ruang dan peluang untuk meneroka juzuk-juzuk baru dalam hidup. Di sini, aku bertemu ramai orang termasuklah ahli-ahli politik.
Aku perlu membuat laporan berita melibatkan perkembangan tempatan. Ini tugas hakiki yang perludibuat. Jadi, sudah semesti aku sering bertemu dan membuat liputan mengenai pemimpin-pemimpin masyarakat setempat sama ada dari peringkat kampung, taman perumahan, hinggalah ke peringkat Dewan Undangan Negeri dan Parlimen. Dalam tempoh itu, aku berkenalan dengan seorang teman bernama Ean Yong Hian Wah yang pada masa itu berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Kembangan yang terletak dalam kawasan Parlimen Serdang.
Wahai Ean Yong,
Teman-teman sekerja aku mengenali aku sebagai seorang yang sentiasa bersemangat. Dengan bahang politik yang begitu memberi inspirasi untuk perubahan ke arah yang lebih baik, aku tidak menyesal membuat keputusan untuk berkhidmat kepada masyarakat sebagai Setiausaha Politik kepada Ean Yong pada bulan April setelah Pilihan Raya Umum ke-12 tahun 2008.
Tiada mahu ku nafi, melangkah ke dunia baru dalam bidang politik menarik minat teman-teman, malah keluarga sendiri untuk bersuara. Politik membosankan..., Politik kotor... , Lebih baik terus jadi wartawan sahaja... namun, itu bukan penghalang untuk aku melebarkan lagi minatku kepada politik. Ia juga bukan satu halangan
untuk menjadi sebagai penghubung antara aku dan masyarakat.
Apapun kata teman-teman, aku faham, mereka peduli terhadap masa hadapanku kerana dunia politik bukanlah tempat untuk berseronok-seronok. Ahli politik memikul tugas yang berat lagi mulia.
Di balik pelbagai cemuh terhadap politik, tiada seorang dari mereka mampu menafikan bahawa politik amat penting dalam membangun peribadi dan masyarakat yang gemilang. Aku teringat pada bait kata seorang seniman Jerman bernama Bertolt Brecht. Beliau pernah mengungkapkan sajaknya yang padaku begitu membumi, Jika kita tak fikir pasal politik, politik tetap memikirkan kita. Itu benar.
Mungkin juga ramai antara kamu yang menganggap pekerjaan dalam kerangka politik, apalagi bekerja sebagai Setiausaha Politik kepada seorang ADUN adalah tugas yang membosankan. Namun, berbeza pula bagi aku yang sentiasa teruja dan bersemangat untuk membantu mereka yang dalam kesusahan, membantu mereka yang perlukan sokongan dan pelayanan. Mungkin juga, dek kerana bidang kewartawanan yang aku ceburi sebelum ini banyak mendedahkan kepada pergumulan masyarakat yang berjuang untuk hidup, memberi nafkah kepada keluarga, sakit dan 1001 lagi masalah, ia telah memberi kesempatan kepada aku untuk meneroka lebih dalam denyut nadi dan gelisah masyarakat.
Seperti yang diketahui, aku bukannya baru mengenali kamu. Kamu boss baruku. Seperti yang aku nyatakan di awal warkah ini. aku mengenalimu sejak berkhidmat dalam media lagi. Kamu adalah seorang yang cool tetapi tegas, suka merendah diri dan juga seorang teman yang baik sehingga hubungan kami dilihat bukan sebagai majikan dengan pekerja, tetapi sebagai seorang sahabat dan kawan karib. Boleh kata, hubungan kita sudah seperti adik-beradik. Dalam perbualan sehari-hari, di pejabat mahupun di luar, aku cuma memanggil nama sahaja, EanYong!. Tak sama dengan orang lain yang memanggil bos mereka dengan panggilan tertentu sebagaimana mereka membodek bos mereka. Ya, benar mereka akan tetap berkata bahawa mereka bukannya membodek tetapi memberi rasa hormat, tetapi tidaklah sampai mencium tangan Tahap kehormatan aku kepada kamu tidak terbanding tetapi dengan panggilan nama, kita rasa
seperti seperti rakan karib dalam konteks bekerja dengan lebih erat.
Mungkin bos-bos yang lain mungkin pernah memarahi anak buah mereka sehingga membuatkan kita berasa segan-silu atau marah selepas itu. Aku masih ingat seorang teman menceritakan kepadaku bosnya pernah tidak bercakap dengannya hingga sebulan hanya disebabkan satu kesalahan yang kecil iaitu terlupa untuk membuat suprise party untuk hari lahirnya! Ada juga teman yang pernah dipecat gara-gara boss yang terlalu ego dan sombong. Tapi, semua ciri ini tidak ada buat kamu. Segala masalah yang timbul melibatkan urusan kerja akan diselesaikan secara profesional dan jelas. Jujur aku luahkan, walaupun mungkin ada beberapa tugasan yang tidak sempurna di mata majikan, ia tetap mampu diselesaikan dengan cara yang baik waima masalah antara negara sekalipun, tetap akan ada cara diplomasi yang mampu meredakan keadaan. Aku berpuas hati bekerja dengan kamu. Aku masih boleh mengukir senyuman biarpun penat bekerja.
Sudah aku katakan, aku seperti yang lain. Seorang manusia yang mahu maju dalam hidup. Seorang anak yang mahu berbakti kepada orang tua. Seorang lelaki yang mahu mengahwini wanita tercinta. Seorang rakyat Malaysia yang tidak jemu berjuang demi kebaikan dan kemajuan negaranya. Aku menapak dari bawah perlahan-lahan dengan tekad dan semangat. Aku mengutip pengalaman sepanjang hidupku.
Namun, saat ada duri dan semak di tengah jalan yang perlu dirintis, ketika aku semakin maju dalam kerjaya yang dipilih, aku meninggal dunia tanpa diduga. Mati kerana jatuh dari bangunan SPRM pada 16 Julai 2009 lalu. Mengalirlah darahku di situ, sekujur tubuh sudah pun kaku. Tiada kata boleh bicara. Tiada saksi untuk dicari. Mereka katakan matiku sebagai satu misteri. Terkedu rasa dengar berita. Ada yang saling menuduh, ada kecewa yang tak terungkap, ada marah dipendam dendam. Mengapa aku perlu mati begini Tak siapa mengerti.
Kehadapan sahabatku,
Aku telah pun melangkah masuk ke suatu dimensi baru, terpinga-pinga dan sesekali keliru. Oh ya, ya! Roh dan tubuhku sudah berpisah. Tiada lagi sempadan yang boleh menyekatku. Aku mungkin berada di sebelah kamu. Membisikkan harapan demi harapan. Menanam cita-cita yang tak sampai. Aku bukan lagi Teoh Beng Hock yang menjawab panggilan telefon segala aduan dan tugasan. Aku Beng Hock yang baru. Beng Hock yang menuliskan ini khas buat seluruh alam.
Sejak keributan, berita kematianku heboh. Di bawah bangunan, orang ramai mula membanjiri termasuk teman-teman, ahli keluarga dan pimpinan. Mereka dikawal polis dan Pasukan Simpanan Persekutuan. Aku dapat dengar raungan keluargaku dan hiruk-pikuk kaum keluargaku ketika tubuhku masih terkulai di lantai anjung tingkat lima Plaza Massalam. Polis tidak benarkan mereka datang untuk melihat mahupun menyaksikan keadaan aku. Mengapa mereka tidak benarkan mereka bertemu aku Bukankah mereka sememangnya waris terdekat dan apa masalah seorang peguam bertauliah tidak dapat hampir kepada tubuhku yang kejung
Teman, keluarga dan pimpinan melaungkan slogan agar keadilan dituntut untuk kematianku. Ketika itu, aku cuma mampu mendengar dan melihat sambil aku diselubungi duka besar yang maha sakit. Aku meraung-raung tetapi suaraku tidak didengari langsung. Entah bila, keadilan dan kebenaran akan tertegak
Sahabatku,
Aku pasti kamu masih ingat ketika awal kita berkhidmat untuk rakyat. Kita tidak mempunyai pengalaman menjadi wakil rakyat tetapi kita mempunyai semangat. Ketika itu, aku masih lagi bertugas. Pejabat aku di tingkat () Bangunan SSAAS. DI situlah terletaknya ibu pejabat Kerajaan Negeri Selangor. Pada ketika itu, sidang Dewan Undangan Negeri Selangor. Banyak persiapan perlu dilakukan. Pada pukul lima petang 15 Julai 2009, aku dipanggil untuk disoalsiasat oleh lima orang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM).
Aku siapkan kerja-kerja aku terakhir. Aku letakkan pen. Aku asingkan kertas-kertas yang berlambak ke satu sudut meja tulis ku. Aku padamkan komputer riba aku.
Aku letakkan komputer aku ke dalam beg. Lima orang yang datang. Ya, mereka dari SPRM. Aku pernah bertanya kepada mereka, apa maklumat yang mereka inginkan Aku sudah beritahu mereka yang aku sedang sibuk. Ean Yong mahu aku siapkan beberapa perkara untuk dibentangkan esok. Banyak lagi aturan program yang aku perlu aturkan, terutama program malam ini di (DUN).
SMS Ya, banyak sms yang aku belum balas untuk kepastian kehadiran Ean Yong. Bukannya program malam ini sahaja, tetapi program untuk sepanjang minggu dan program sepanjang bulan. Tidak dikira lagi emel-emel yang berlambak yang perlu aku balas. Mereka bertanyakan peruntukan yang mereka mohon. Ean Yong ada beberapa pusat khidmat di sekitar Serdang. Ean Yong juga menjadi ADUN angkat bagi kawasan Seri Kembangan. Mereka semua mengharap Ean Yong hadir ke majlis-majlis mereka.; dari majlis kahwin hinggalah ke pengebumian. Dari cukur jambul hinggalah berkhatan. Dari kuil Hindu hinggalah ke surau-surau.
Ean Yong,
Sebagai seorang sahabat, aku mohon agar kamu maklumkan buat ibuku, beritahunya anaknya pergi tanpa sempat mengucapkan selamat tinggal! Ayah, aku mohon maaf, jasamu belum sempat ku balas! Terima kasih untuk segala pengorbanan yang kau berikan dari kecil hingga aku pergi selama-lamanya! Kekasih, sumpah kita takkan pernah aku curangi! Cintamu itu membuat aku hidup umpama sungai yang tidak kering! Buat temanku, majikanku Ean Yong, terima kasih untuk semua tunjuk ajar darimu. Tidak perlu kau sesali akan kematianku, kerana matinya aku akan membuka sebuah lagi lembaran baru untuk perjuangan kita! Teman, teruskan perjuangan kalian demi tanah air tercinta! Aku teriakkan ini kepada kamu semua agar kamu tahu cinta dan kasihku pada keluarga, teman dan perjuangan terus abadi!