Kami bergegas, berebut menarik BHT pesakit. Kes elektif biasanya mudah, straight forward. Maklumat pesakit tersedia. Perancangan sudah siap. Cuma perlu tulis semula, dan sedikit kemas kini. Kami masih berebut.
Macam budak-budak, rungut staff nurse, ketawa.
Biarlah. Next case biar dia pula tengok, ya kak! Saya yang menang, mengejek.
Upper gastrointestinal cancer .
Kes yang jarang, tetapi sangat menarik. Semasa medical student, saya dapat kes ni untuk final exam! Gagal menyembunyikan keterujaan saya. Sudah study terperinci dulu-dulu, tahu.
****
Usia awal 60-an. Pesara kerajaan. Katanya, beberapa kali melompat majikan sehingga akhirnya melekat di Kementerian Pertahanan. Penampilan elit. Jam tangan warna perak. Kemeja berbutang kemas. Rambut memutih dirapi belah tepi, mungkin sedikit gel. Ah, orang begini. Tentu jawatan akhirnya agak tinggi. Panggil Pak Rahim, sudahlah. Pakcik pun boleh.
Suaranya maskulin, tetapi lembut. Sifat ayah ketara, dan saya cepat selesa. Seperti tidak kena pula gaya elit itu dengan karakternya yang terlalu merendah diri. Mesra. Banyak pula celoteh.
Setiap kali nak makan, mesti rasa tersangkut. Mula-mula makanan pepejal. Tapi lama kelamaan air pun susah nak telan, Pakcik Rahim bercerita, sambil menggayakan. Kadang-kadang muntah semula makanan.
Tubuh kurus tinggi. Usia jelas menjentik kulit. Dan kanser itu menjamah baki fizikalnya. Tinggal hanya senyum yang tak luntur, bahkan terlalu bertenaga untuk orang sepertinya.
Pakcik, saya kena ambil darah dulu. Ini baseline. Operation lagi tiga hari, saya kena pastikan semuanya stabil.
Sila. Sila, menghulur lengannya. Doktor, pakcik nak tanya boleh Bahaya tak operation tu
Saya senyum tawar tanpa kata. Mengikat tourniquet dan mengambil darah. Membiarkan soalan Pak Rahim digantung angin, dengan harapan ia hilang ditenggelami topik lain.
Pembedahan Pakcik Rahim besar dan berisiko. Kadar kejayaannya juga tidak sebaik pembedahan lain. Apatah lagi saiz ketumbuhannya besar, dan mula merebak. Tidak banyak pilihan yang tinggal.
Ah, saya terlalu keberatan untuk berterus-terang.
Tak sakit pun doktor ambil darah. Terima kasih doktor! Dah lama ke kerja
Baru setahun lebih, tersengih, lapang rasa dada. Tak ramai pesakit yang berterima kasih kerana dicucuk jarum. Selalunya ini mesti doktor baru ni. Saya nak doktor lain ambil darah saya.
Hei Fahd, dua jam kau sembang! Clerk satu pesakit saja. Aku yang tengok kes upper GI bleed ni pun dah siap lama, perli rakan yang terpaksa mengalah tadi.
Maaflah. Seronok sembang dengan Pakcik tu, tak sedar dah pukul lima. Baik sangat. Banyak cerita pengalaman masa mudamuda dulu.
Hmm, Fahd. Jangan terlalu attach dengan pesakit. Nanti mengganggu tugas kita, leter medical officer yang sedang santai di kaunter jururawat. Post-call. Sebab tu kita tak digalakkan rawat orang yang kita kenal, ahli keluarga misalnya. Nanti ganggu pertimbangan. Emosi. Bzzzz berdengung pesan di tepi telinga, tapi saya buat tak tahu.
Ok boss! Saya sembang saja. Lagipun itu pakcik, kalau perempuan muda bolehlah nak attach, saya berseloroh, modal nak menghentikan leterannya.
Gedik! Marah seorang staffnurse tidak jauh. ****
Pakcik, kita kena ulang ujian darah. Garam rendah sikit. Kami kena masukkan air dan ambil semula darah, awal-awal pagi saya tercongok di kaki katil. Sebaik tiba terus saya mencari fail Pakcik Rahim.
Doktor buatlah apa yang patut, membetulkan cermin matanya. Rambut putihnya masih kemas tersisir. Sentiasa begitu. Tapi pakcik nak doktor Fahd saja tau, tak nak doktor lain. Saya tersengih, berbunga-bunga bangga.
Kami semakin rapat. Pakcik Rahim mewah pengalaman. Diceritakan tentang perjalanan awalnya yang susah, miskin, dan melarat. Menjadi peniaga, tetapi gagal. Menjadi buruh, tetapi gagal. Cuba menjadi petani, juga gagal. Bencana datang bertubi-tubi macam dirempuh gerabak kereta api. Satu. Satu. Satu. Sehingga akhirnya- jadi officeboy kepada seorang pegawai tinggi kerajaan. Diterima masuk sebagai kakitangan awam. Sambung belajar sebagai mahasiswa berusia. Dan akhir, bersara dengan gaji lima angka.
Sesekali dia bertanya tentang saya. Saya menjawab sekadarnya. Sengaja enggan terlalu terbuka. Jangan terlalu attach dengan pesakit. Pesan itu selalu berlegar. Macam langau, bzzzz menyenakkan dalam cepu kepala.
Ini buah-buahan, anak pakcik bawa. Doktor Fahd ambillah. Pakcik tak habis, seorang, Pakcik Rahim menghulur. Anak-anak pakcik ni pun satu hal. Dah tahu pakcik susah menelan, bawa pula buah-buah kasar ni, dia ketawa. Jernih matanya, sesekali saya lihat berkaca. Ada kesugulan yang sedang dipendamnya.
Serba salah, saya mengambilnya. Kemudian mengagihkan kepada nurse yang berkerumun di pantri. (Hah! Kelaparan rupanya mereka)
****
Eh, tak balik lagi
Saja lewat sikit, nak kena ambil darah pakcik sekejap lagi. Tunggu result darah pagi tadi, baru sampai.
Patut balik pukul lima kan Ni dah pukul enam setengah. Tak apalah Doktor Fahd, nanti kawan doktor yang oncall tu ambilkan.
Tak sedap hati pula, tak selesaikan awal-awal, pakcik.
Dan kami berbual pula, larut ralit, sehingga hampir lapan malam. Dan makin lama makin saya merasai, Pakcik Rahim menyembunyikan satu kesedihan yang dalam. Hitam. ****
Walaupun elektif, tetapi ia bukan kes yang mudah. Pakcik Rahim datang dalam keadaan dehidrasi kerana masalah pemakanan. Sel-sel kanser juga sedang mencabar metabolisme badan. Elektrolit darah kucar-kacir. Sel darah merah agak rendah. Anaemic. Bijak tindakan pakar bedah yang merancang untuk memasukkannya ke wad tiga hari awal.
Saya bertungkus-lumus mempersiapkan Pakcik Rahim, ingin memastikan pembedahan ini diteruskan sehingga berjaya. Tiga hari itu saya sering ke katilnya, mengambil darah, memeriksa carta. Dan paling banyak, tentulah berbual dengannya. Kami terlalu akrab, tiga hari itu telah mengikat kami. Dan tiga hari itu berdengung pesanan medical officer, macam langau : Jangan terlalu attach dengan pesakit.
Ah, saya hanya ambil berat. Dan Pakcik Rahim seorang peramah, itu saja. Salahkah
Mujur semua darah semakin baik. Doktor bius kata, boleh teruskan pembedahan esok! Saya gembira, memaklumkan kepada Pakcik Rahim yang ralit membaca. Baguslah Doktor Fahd. Esok doktor ada sekali ke
Tak, melepaskan nafas berat. Esok bukan giliran saya dalam Dewan Bedah. Saya cuba minta tukar, tapi semua orang tak nak lepaskan. Pembedahan macam ni, jarang dibuat. Semua houseman berebut nak jadi assistant.
Sayangnya Pakcik Rahim masih senyum. Tak apa, janji dengan pakcik ya. Lepas operate nanti Doktor Fahd kena jaga pakcik, macam yang doktor buat tiga hari ni.
Ala, saya bukan lari ke mana pun. Di wad ni juga, jawab saya tanpa berfikir panjang.
Janji tau, Pakcik Rahim mengulang. Matanya masih jernih, sesekali berkaca.
Cepu kepala saya kembali berdengung. Bzzzz
****
Matahari Subuh baru menggeliat.
Perkara pertama yang saya buat pada pagi itu, membelek nota pembedahan Pakcik Rahim. Membaca satu persatu. Kemudian memeriksa segala keputusan darah dan vital signs. Pakcik Rahim kelihatan terlalu lemah. Pembedahan semalam santak hampir enam jam. Berjaya, tetapi perjalanan masih panjang. Tiub nasogastrik terjulur keluar dari hidung kanannya.
Beberapa hari ni, kena makan melalui tiub. Kita tak nak luka jahitan kena jangkitan, atau terbuka semula, pesan medical officer.
Saya tak mahu mengejutkannya tidur.
Semoga cepat pulih, pakcik.
****
Pakcik Rahim seperti tak mengenali saya. Setiap kali menghampiri katilnya, dia membisu. Ah, tekaknya sakit, kan ada tiub tu- saya memujuk diri.
Sejak pembedahan, dua orang anaknya sentiasa di sisi. Menjaga. Membersihkan tubuh. Saya sendiri pun tidak mahu berlama-lama, mengganggu mereka. Tetapi setiap kali saya menegur, Pakcik Rahim betul-betul berubah. Matanya tidak lagi memandang saya, seperti sudah tidak mengenali. Bahkan seperti terlalu benci. Senyum yang selalu jernih, kini tawar dan kering. Wajahnya murung, matanya lebam.
Saya tidak mahu bersangka hitam. Teringat janji akhir padanya - lepas operate nanti Doktor Fahd kena jaga pakcik ya. Dan itu yang akan saya lakukan. Segala perkembangannya saya ikuti rapat. Carta pemakanannya diteliti. Paras elektrolit dikemas kini. Sesekali saya cuba memancing Pakcik Rahim, memanggil namanya. Tetapi dia tidak memandang wajah saya. Tidak sekalipun.
Tentu Pakcik Rahim berdepan suasana sukar, tekanan, selepas menghadapi pembedahan besar. Kata saya dalam hati. ****
Eh, kenapa cabut tiub ni
Ayah cabut sendiri. Saya pun tak perasan, anak lelakinya menjawab. Acuh tak acuh.
Mana boleh macam ni, susah nak bagi makanan. Luka pembedahan belum betul-betul sembuh. Kena pasang balik! Saya bertegas.
Anaknya yang sedang duduk tiba-tiba bangun. Berjalan ke arah saya. Rapat.
Ayah saya tak nak, suka hati dia lah!
Saya tergamam. Pagi itu saya tiba, terkejut melihat tiub nasogastrik sudah tiada. Semalam belum ada arahan untuk menanggalkannya. Kata pakar, tiga hari lagi baru cabut. Dan anak Pakcik Rahim yang meninggikan suara itu tambah mengecewakan saya.
Tapi kita kena fikir yang terbaik untuk dia. Baru tiga hari, suhu badan Pakcik Rahim pun turun-naik. Risiko jangkitan juga, kesian dia nanti. Operation besar macam ni bukan boleh diulang senang-senang.
Awak ni doktor baru kan Tak payahlah memandai-mandai. Ini ayah saya, saya tahulah jaga. Siapa nama awak Nanti saya cakap pada Pakar Bedah!
Ah, gamam. Begitu dia meremukkan kata-kata saya. Saya berpaling dan terus pergi.
Sebilah pisau terpacak. Tepat di dada.
Lepas operate nanti Doktor Fahd kena jaga pakcik ya.
Jangan terlalu attach dengan pesakit.
Berdarah.
****
Inikah houseman yang kena complaint dengan anak patient pagi tadi tu
Saya terdiam, seperti disoal siasat pula. Doktor Pakar Bedah tidak memandang, ralit memandang skrin endoskopi. Medical officer yang berada di sebelah hanya mencuit.
Saya cuma nak pasang semula tiub nasogastrik. Pesakit cabut pagi tadi, saya cuba untuk senyum walaupun akhirnya cuma plastik.
Tak apa. Biasalah tu Fahd, kita ikut sajalah cakap pesakit, Doktor Pakar cuba memujuk. Dulu kawan saya pun houseman paling teruk dalam jabatan. Tapi akhirnya, jadi the best general surgeon di Kuala Lumpur. Begitu
Ah, sekelip mata saya menjadi houseman paling teruk. Dua hari lepas, baru saja Pakar Bedah yang sama memuji You are the best HO Ive ever seen.
Wajah Pakcik Rahim segera datang. Juga wajah anaknya yang tegap.
Lepas operate nanti Doktor Fahd kena jaga pakcik ya.
Saya nekad. Mengeluarkan telefon bimbit, dan menghantar pesanan kepada rakan houseman.
Rasydan. Esok kita tukar kubikel boleh Aku tak nak jaga patient katil dua tu lagi. Stress aku. Annoying betul. Lima minit kemudian, telefon berbunyi Boleh saja.
****
Tidak lagi menjaga Pakcik Rahim, tapi saya masih mengikuti perkembangannya. Dari jauh, saya selalu menjenguk. Terasa berat dan bersalah.
Pakar bedah bersetuju untuk tidak memasukkan tiub nasogastric semula. Mahu mencuba makanan cecair dahulu, dengan harapan luka pembedahan tidak terganggu.
Malang. Jangkaan meleset. Pakcik Rahim nyata belum bersedia untuk makan seperti biasa. Susu yang diberi keluar dari lukanya. Pakcik Rahim terbatuk-batuk. Tersedak. Ketika itu saya kecewa. Ah, kenapa perlu ikut saja cakap anak Pakcik Rahim tu!
Beri makanan melalui TPN Pakar Bedah mencuba alternatif.
Awalnya kelihatan menjanjikan, tetapi setelah dua kali mencuba tiub makanan itu tersumbat. Tangan Pakcik Rahim membengkak, jangkitan kuman. Jarum lain cuba dipasang tetapi sering kali gagal dan tersumbat.
Sering juga saya mencuri baca fail perubatan Pakcik Rahim, cuba mengikuti perkembangannya. Sehari dua itu saya memerhati dari kubikel sebelah. Menjeling. Sesekali Pakcik Rahim meracau, memanggil nama-nama tertentu.
Paling tajam, apabila salah satu nama yang dipanggilnya ialah Doktor Fahd.
Sentiasa. Senyuman Pakcik Rahim menghantui saya. Matanya yang jernih, sesekali berkaca. Rambut putih disisir ke tepi. Baju yang dibutang kemas. Cerita-cerita lucunya. Dan kesedihan yang cuba disembunyikannya.
Lepas operate nanti Doktor Fahd kena jaga pakcik ya.
****
Sudah tiga hari saya ditukarkan ke wad sebelah. Pertukaran rutin secara bulanan.
Saban pagi apabila tiba awal, saya singgah wad sebelah, ke kaunter jururawat dan membelek fail Pakcik Rahim. Kemudian menjenguknya pula di katil, senyap-senyap, sedang nyenyak tidur. Menjelang pulang pula, sekali lagi saya singgah. Memerhati gelagat Pakcik Rahim dari jauh.
Entah kenapa, saya mula merindui suara maskulinnya yang lembut itu.
Keadaannya tidak baik. Luka bedah menjadi merah dan bernanah. Tubuhnya juga semakin cekung. Seperti dimamah dari dalam. Pakcik Rahim dihantar ke Dewan Bedah sekali lagi untuk mencuci nanah pada lukanya. Suhu badannya melambung tinggi. Tangannya lebam-lebam akibat terlalu banyak dicucuk (untuk TPNnya).
Malam itu, lebih seminggu selepas pembedahan, saya duduk di sisi Pakcik Rahim. Anak-anak yang menjaganya tidak ada, mungkin keluar. Pakcik Rahim kelihatan tenat. Tidurnya lena, tapi menyedihkan. Nafas menggeruh kuat. Bauannya kurang enak, nanah bercampur daki.
Saya minta maaf pakcik. Terasa seketul batu tersangkut di kerongkong. Saya mungkir janji. Dada saya sebak. Rasa bersalah yang terlalu berat menghempapnya.
Keadaan wad sunyi sekali. Tiada suara.
Kecuali dengungan dalam kepala saya- ah!
****
Keesokan pagi saya yang pertama tiba di katil Pakcik Rahim. Dua orang jururawat sedang mengemasnya. Kosong.
Eh, mana Pakcik Rahim Saya terpinga-pinga.
Awalnya doktor pagi ni. Doktor dah tukar wad sebelah kan Mana Pakcik Rahim Saya mendesak lagi.
Malam tadi dah meninggal. Septicaemic shock. Terpaku saya. Allah. Tercicir habis segala kata-kata.
Innalillah wa innailaihirajiuun.