Ke AlAM
KlINIKAl
Welcome to The Hell!
Itu adalah frasa yang diucapkan oleh senior-senior saya sebaik sahaja saya lulus peperiksaan Professional II yang melayakkan saya untuk melangkah ke fasa klinikal yakni tahun empat.
Cabaran sebenar buat pelajar perubatan bermula di saat ini. Saat di mana kami bakal diajar mengikut acuan yang telah dibina sekian lamanya bagi menghasilkan doktor-doktor yang mampu berfungsi dengan baik.
Mendengarkan cerita mereka, saya sendiri berasa sedikit kecut perut memikirkan cabaran yang bakal ditempuhi nanti.
Seorang senior menjadi sumber inspirasi saya apabila beliau membuat clinical attachment di Hospital Kuala Krai sewaktu cuti sebelum menaiki fasa klinikal demi untuk mendapatkan suasana alam klinikal. Lantas saya membuat keputusan untuk melakukan perkara yang sama.
Walaupun cuti hampir dua bulan, namun saya hanya berkesempatan untuk melakukan attachment selama dua minggu sahaja mengenangkan saya dan rakan-rakan terpaksa menyiapkan program elektif kami iaitu Yogyakarta Humanitarian Mission yang dianjurkan di bawah label kumpulan kami iaitu Medical Student Awareness Team (MESAT).
Permohonan saya untuk mengadakan attachment di Hospital Machang yang terletak hanya lima minit dari rumah saya mendapat respon positif dari Pengarah Hospital tersebut yang lebih dikenali dengan panggilan Che K.
Sebelum memulakan attachment, sempat saya bertemu beliau di pejabatnya untuk mendengar taklimat berkenaan undangundang dan skop tugas yang boleh saya jalankan nanti. Bersama taklimat yang diberikan, terselit juga beberapa nasihat yang amat berguna sekali buat saya.
Paling menginsafkan diri ini ialah apabila beliau berkata;
Jika ada timbul perasaan agah (ego atau sombong) maka lihatlah tangan kiri kita. Sesungguhnya ada hakikat disebalik penciptaanNya. Ia membuat saya sedikit termangu-mangu kerana tidak faham, hinggalah dia menyambung.
Cuba kita lihat tangan kiri kita. Betapa ia sering bermain dengan najis. Tiada benda yang lebih hina dari najis dan tangan kiri kita menyentuhnya paling kurang sekali sehari. Ini belum dikira jika mengalami cirit-birit yang mana memerlukan tangan kita bermain najis dengan lebih kerap. Jadi sentiasalah melihat tangan kiri yang sentiasa bergelumang dengan najis yang hina.
Kata-kata ini sememangnya membuat saya berfikir dan merenung ke dalam diri saya. Ya! Sememangnya saya tidak dapat lari dari sifat ego atau sombong ini walaupun berkali saya berdoa meminta diri ini menjadi hamba yang merendah diri. Sebetulnya hakikat penciptaan diri kita hanyalah sebagai seorang hamba kepada Tuhan yang maha agung. Kita dicipta dari setitik air mani yang cukup-cukup hina. Mengapa perlu kita bersikap sombong
Bukankah Kami menciptakan kamu dari air yang hina [Quran, 77:20]
Sepanjang 15 minit bersembang dengan Che K, pelbagai nasihat keluar dari mulut beliau. Semuanya berkisar tentang persiapan diri untuk menjadi seorang doktor.
Kata beliau lagi, menjadi doktor akan memberikan kita banyak pengajaran.
Cuba kita bayangkan seorang pesakit berumur sembilan tahun datang dengan kegagalan buah pinggang disebabkan AGN (acute glomerulonephritis), ketika itu kita lihat berapa umur kita. Mungkin sewaktu menjadi HO umur kita 24 tahun. Kita yang berumur 24 tahun sihat sedangkan adik berusia 9 tahun itu menderita. Kita meminum air paling kurang 500ml untuk sekali minum. Sedangkan adik itu terpaksa dikawal jumlah pengambilan airnya hanya 500 ml sehari. Tidakkah itu membuatkan kita rasa bersyukur
Bayangkan pula anak-anak kecil yang datang dengan congenital heart disease. Kita sihat tanpa penyakit. Tidakkah kita insaf
Jika Allah nak buat kita sakit senang sahaja. Out of billions of cell, kalau Tuhan ubah sedikit B cells dalam pancreas sudah cukup untuk menyebabkan kita menghidap Diabetes Mellitus. Few cells only, out of billions.
MasyaALLAH, saya kagum dengan Dr Che K. Walaupun bergelar pengarah hospital dan berpangkat, tapi masih mampu memberikan tazkirah. Inilah keistimewaan professional muslim. Semoga saya tetap istiqamah dalam memperjuangkan Islam walaupun suatu hari nanti akan bergelar seorang professional.
MAtI ItU PAStI!
Alhamdulillah, saya sudah mula dapat menyesuaikan diri dengan keadaan di ED. Staf-staf di sini cukup baik sekali dan begitu ringan mulut untuk mengajar saya. Dr Wan, Hj Zain, Abg Zed, Abg Said dan juga beberapa orang jururawat masyarakat begitu senang menghulurkan bantuan yang diperlukan.
Mood saya di pagi ini juga begitu baik dan secerah mentari pagi yang menyinari alam. Pandangan saya tertumpu kepada seorang pakcik yang kelihatan lemah di katil. Saya meneliti kad kedatangan beliau ke hospital. Tertera chief complaint beliau; Right sided chest pain.
Lama saya terpangu di kerusi sebelum akhirnya saya menghampiri beliau dan bertanyakan beberapa soalan. Ada dalam lima minit kami berbual dan akhirnya saya duduk di meja kembali dan membuat sedikit revision bersama Dr Che K. Beliau mengarahkan saya memeriksa dada seorang adik berusia 2 tahun dengan menggunakan stetoskop. Ada rhonchi! Patient asthma rupanya. Keadaannya sudah baik tetapi doktor mengambil keputusan untuk dimasukkan ke wad untuk pemerhatian memandangkan adik ini pernah di intubate sebanyak dua kali. Ini bermakna dia termasuk dalam kategori berisiko tinggi dan boleh membawa maut.
Selepas itu, kami meneliti ECG pakcik tadi. Ada sedikit keganjilan pada Lead II, III dan aVF yang tercatat pada strip ECG. ST segment kelihatan elevated tetapi tidaklah setinggi mana.
Keputusan cardiac enzyme juga memberikan keputusan negatif untuk Myocardial Infarction, MI. Tekanan darah beliau normal dan begitu juga kadar denyutan nadi. Langsung tiada tanda penyakit jantung. Setelah para doktor berbincang, sekali lagi ECG diambil selepas pakcik tersebut selesai makan sebungkus nasi.
Melihatkan strip ECG kedua menyebabkan para doktor terkejut. Begitu cepat sekali ST segment dalam II, III dan aVF naik dengan begitu tinggi sekali. Lantas pakcik tersebut dibawa ke ruang resusitasi untuk pemerhatian lanjut. Doktor membuat keputusan untuk memindahkan pesakit ke Hospital Kuala Krai yang mempunyai pakar kardiologi.
Di ruang resusitasi, saya hanya sekadar memasang BP cuff untuk mengambil tekanan darah memandangkan hanya itu sahaja yang saya pandai. Itu pun terkial-kial memandangkan pesakit mula lemah dan kelihatan berat untuk mengangkat tangan.
Setelah semua selesai, pesakit di masukkan IV fluid. Dalam rawatan untuk Inferior Myocardial Infarction, membetulkan circulation adalah yang paling utama dan pesakit perlu dimasukkan air melalui IV line.
Satu lagi ECG diambil dan ST segment juga telah kelihatan pada lead VI. Cepat betul keadaan berubah. Doktor segera mengarahkan agar Intubation Cart disediakan bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
Saya meninggalkan ruang resusitasi dan bersembang dengan seorang doktor. Baru beberapa minit, pesakit secara tiba-tiba muntah dan keadaannya dalam sedar tidak sedar. Sakit dadanya mula merebak ke leher, lengan dan tangan kiri.
Streptokinase telah dimulakan kepada pesakit untuk menghancurkan thrombus yang menyebabkan salur darah arteri koronari tersumbat.
Setelah keadaan beliau kelihatan tidak membimbangkan, hanya saya dan dua orang MA berada di ruang resusitasi untuk mengawal dos streptokinase dan melakukan prosedur suctioning dengan cara menyedut cairan yang dirembeskan kelenjar dalam mulut dengan menggunakan tiub yang disambung pada pam vakum. Ini adalah untuk memastikan salur pernafasan tidak tersumbat.
Saya memerhatikan cardiac monitor dan secara tiba-tiba saya memerhatikan berlaku perubahan pada skrin. Dan hanya beberapa saat, monitor skrin menunjukkan V-Fib. Saya memberitahu MA.
Saya terfikir-fikir untuk menumbuk dada pesakit tapi teragakagak. Bimbang kalau-kalau salah. Maklumlah, tindakan itu hanya dilihat dalam siri ER! Dan MA tersebut kemudiannya lantas menumbuk dada pesakit beberapa kali.
V-Fib! jerit beliau dan lantas mengarahkan saya untuk melakukan CPR.
Beberapa orang doktor bergegas datang dan mula intubate pesakit tersebut kerana dia sudah tidak sedarkan diri. Doktor menggapai paddle defibrillator namun ritma jantung kembali menunjukkan sinus rhythm. Baru beberapa saat saya menghentikan CPR, jantung beliau berhenti berdegup kembali.
Lantas saya memulakan kembali CPR sambil yang lain melakukan prosedur yang patut. Suasana kehangatan mula terasa tetapi masing-masing bekerja dengan professional. Kadang-kadang kerja sedikit terganggu dengan kemasukan saudara pesakit secara mendadak.
Selama 20 minit melakukan CPR dengan dibantu MA memandangkan tangan mula kepenatan, tiada tanda pesakit akan kembali. Sudah tiga kali adrenalin disuntik namun tiada juga perubahan. Setelah berbincang dengan keluarga, kami akhirnya memberhentikan usaha resusitasi pesakit.
Saya termenung seketika. Ketika itu tiada perasaan sedih langsung. Yang ada hanyalah rasa kecewa. Selama 20 minit saya melakukan CPR sehingga tangan cramp tetapi akhirnya pesakit menemui ajal juga. Namun itulah realiti kehidupan.
Sesungguhnya Allah S.W.T sudah berfirman dalam surah AlWaqiah yang berbunyi:
Kami telah menentukan kematian di antara kamu dan Kami sekali-sekali tidak akan dapat dikalahkan [Quran 56:60]
Ya! Memang betul Allah telah menentukan segala-galanya. Jika saya kecewa sekalipun, kepada siapa harus saya lontarkan kekecewaan itu Kepada Allah Siapa kita sebagai hamba untuk mempersoalkan hal tersebut. Mati itu adalah kekuasaan Allah. Ada tujuannya seseorang itu tidak hidup selama-lamanya. Sambungan ayat di atas menjelaskan mengapa kematian itu berlaku
Untuk menggantikan kamu dengan orang-orang yang seperti kamu (dalam dunia) dan menciptakan kamu kelak (di akhirat) dalam keadaan yang tidak kamu ketahui [Quran 56:61]
Maka, sebagai seorang doktor adalah perlu untuk kita mengawal emosi kita. InsyaALLAH dengan pegangan agama yang kukuh kita mampu menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan.
APAKAh
lAUt KAN
SelAlUNYA teNANG
Hari ini merupakan hari keempat saya melakukan attachment dan ward round bermula seperti biasa namun saya sedikit lewat mengikutinya kerana lebih banyak termangu di A&E. Badan mula terasa sakit-sakit dan rasa mengantuk mula menguasai diri saya. Namun saya gagahi juga diri untuk mengikuti round. Ada dua kes menarik yang perhatian saya selaku Medical Student walaupun bagi mereka yang telah bergelar Medical Officer, ia hanyalah secebis dari timbunan fail pesakit.
Seorang pakcik berusia lingkungan 40-an yang mempunyai penyakit Diabetes Melitus menderita melebihi sebulan disebabkan jangkitan pada diabetic foot yang kini memakan keseluruhan aspek dorsum kaki kanannya. Saya kira, ia merupakan ulcer grade 2 kerana telah melibatkan daging dan tendon beliau.
Kes kedua pula mengenai pesakit yang mengalami masalah kegagalan hati. Beliau telah pun dalam keadaan keliru, lemah dalam memberi respons dan tidak aktif yang mana keadaan ini disebut hepatic encephalopathy. Perutnya bengkak disebabkan ada pengumpulan air di dalam rongga perutnya.
Pulang ke A&E, suasana begitu sunyi sekali. Tidak ada pesakit yang datang bertandang. Hanya ada pesakit yang amat menyakitkan hati. Bagi saya, dia tidak layak pun digelar pesakit kerana datang hanya untuk mendapatkan suntikan pathedine iaitu ubat tahan sakit berasaskan opiod bagi melepaskan gian.
Makhluk begini tidak pernah memikirkan kesusahan orang lain. Mereka sangka mereka dapat menipu sakit dan memperbodohkan doktor Malah ada yang sampai tiga kali setiap hari mereka bertandang ke Jabatan Kecemasan. Tambah menyakitkan hati ini ialah apabila bilik kecemasan dijadikan rujukan kepada kawan-kawan untuk mendapatkan sedikit rasa khayal.
Keadaan di bilik A&E setenang air di lautan. Sunyi dan sepi hingga seolah bunyi kilasan air yang digoncang tari sang ikan akan jelas kedengaran dan mencucuk kedua lubang telinga. Mata saya mula terasa berat. Bagaikan ada sesuatu menariknya dan enggan membenarkan saya membuka kelopak mata.
Argh! Lambat benar masa bergerak, getus hati kecil saya apabila jam baru menunjukkan jam tiga petang. Ada dua jam lagi sebelum sesi hari ini tamat. Adakah doktor juga merasakan perkara yang sama seperti yang saya rasai. Bagaimana mereka mampu mempunyai ketahanan untuk bekerja 36 jam tanpa henti
Dan saya terus membuai kesyahduan hari dengan bergoyang kaki di sofa.
Namun setenang mana pun laut, nescaya akan ada gelombang yang akan mengocak airnya. Seteguh kapal belayar di lautan sekalipun boleh karam dek kerana kuatnya gelombang. Itulah sunnah alam yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T. Laut tidak akan selamanya tenang kerana gelora pasti membadai!
Begitu jugalah keadaannya di A&E. Dalam ketenangan datang kekalutan. Pada pukul empat lebih ambulans yang kebetulannya dalam perjalanan pulang ke A&E setelah menghantar pesakit untuk rujukan pakar membawa pulang tetamu tidak diundang.
Prepare untuk intubation! gesa abang Harry (MA) kepada kami.
Ada MVA, patient 7 tahun! gesanya lagi.
Doktor, jururawat dan MA menyegerakan keperluan untuk menghadapi kes trauma ini sementara menanti pesakit di bawa ke red zone.
Saya keluar untuk melihat pesakit dibawa turun dari ambulans. Budak lelaki tersebut sudah pun tidak membuka mata namun masih ada gerakan tangan dan kakinya. Saya anggarkan GCSnya ketika itu 7 (5 motor response, 1 eye opening, 1 vocal response).
Pupil reactive on both eyes, kata Dr Wan selepas memeriksa matanya. Maksudnya kedua anak mata masih memberi tindak balas pada cahaya yang disuluh. Ini menandakan fungsi otak masih berfungsi dengan baik.
Pesakit segera disiapkan dengan IV line dan dimasukkan Hartmann solution melalui dua saluran IV drip sementara menunggu keputusan blood crossmatch (GXM).
Namun darah tidak keluar dari branulla. Salur darahnya sudah pun mengecut. Mungkin kerana beliau mengalami hypovolumic shock yang teruk. BP-nya ketika itu pun sudah 60/40.
Kakinya kelihatan bengkok. Mungkin patah! Saya cuba untuk merasa nadi dorsalis pedis di kakinya tetapi tiada. Saya mula risau dengan keadaanya. Namun,dalam kamus perubatan kecemasan, usah dipeduli lagi kakinya selagi mana airway dan circulation belum dibaiki.
Gunting semua baju dan seluar! arah doktor kepada nurse sambil tangannya sedang membagging pesakit menggunakan ambu bag bagi membekalkan oksigen.
Saya hanya memerhati dengan tenang di hujung katil pesakit. Tangan saya mula gatal untuk menolong tetapi saya sedar akan kemampuan saya yang tidak seberapa. Biarlah mereka menyelesaikan kerja mereka.
Saya sedikit terkejut tatkala melihat pinggang adik yang malang itu! Ya Allah betulkah apa yang sedang terbaring di hadapan aku ini.
Pehanya sudah terkehel bagaikan ayam yang dipotong pehanya. Punggungya sudah patah riuk dan tidak lurus seperti manusia biasa. Sudah tidak ada rupa punggung yang normal. Ada luka hingga mengoyak skrotum-nya.
Saya memandang wajah adik tersebut dengan pandangan yang sayu. Ya Allah! Aku tidak mampu berbuat apa-apa untuknya. Selamatkan dia! Sejujurnya itulah bicara hati saya ketika itu.
Portable chest x-ray diminta oleh doktor dan usaha untuk mendapatkan darah untuk GXM masih diteruskan. Dan akhirnya Abg Nasa berjaya mendapatkan darah dari brachial vein.
Sementara itu, Dr Wan telah pun berjaya meng intubate adik tersebut. Tinggi betul semangat adik ini untuk terus hidup. Dalam keadaan sebegini, tangannya masih menggenggam cadar. Mungkin menahan kesakitan, namun bagi saya dia sedang berjuang dengan kecederaannya.
Saya menyuluh matanya bagi melihat pupil. Ia sudah tidak seaktif tadi. Ada darah mengalir keluar dari telinga kirinya.
Macam tipis sahaja peluangnya! Hip fracture dan ada intra cranial bleeding, bisik saya pada Dr Wan.
Kebiasaanya begitu, tapi dalam kanak-kanak, chances untuk hidup agak tinggi. Namun, once asystole, peluang memang sangat-sangat tipis, balasnya kepada saya.
Saya mengambil alih tugas untuk mem bagging pesakit daripada seorang MA. Saya terus membagging sambil memerhatikan wajahnya. Saya benar-benar sayu. Entah mengapa ada suatu perkara bermain di minda saya. Bagaimana agaknya perasaan saya jika yang terbaring dihadapan saya sekarang adalah adik saya sendiri ataupun orang yang saya sayang. Mampukah saya terus berdiri atau rebah tanpa bermaya
Semangat adik ini untuk hidup nyata masih kuat. Beliau kemudiannya bernafas dengan sendiri. Dia menarik nafas sedalamnya dan menghembus keluar. Rentak saya meng ambubagging beliau berubah ritma mengikut pernafasannya. Apabila beliau menarik nafas, segera saya menekan ambu-bag. Dadanya turun naik sambil tangannya sekali sekala bergerak-gerak untuk mencapai sesuatu.
Selepas mengambil X-ray, waktu pada ketika itu saya kira dalam jam 4.55 petang. Saya teruskan kerja saya. Sesekali, saya akhirnya berpeluang mempraktikkan nasihat seorang sahabat yang menggelarkan diri sebagai sy di ruangan shoutbox blog saya.
La ilaha illallah, bisik saya beberapa kali ke telinganya sambil tangan terus bekerja menekan ambu-bag.
Baru beberapa minit, jantungnya tiba-tiba berdegup lemah (bradycardia). Doktor segera menyuntik Atropine dan jantungnya kembali berdegup dengan pantas.
Namun, lima belas minit kemudian, jantungnya kembali bradycardia. Jantungnya semakin perlahan. Dari 100+ turun ke 80+ dan akhirnya 20+.
Dr Wan segera menyuntik Adrenaline sambil Dr Nasrul melakukan CPR dengan harapan agar pesakit dapat kembali ke dunia yang indah ini.
Namun, tiada tanda-tanda dia akan kembali. Adrenaline disuntik lagi sambil CPR bertukar tangan kepada Dr Sheila. Entahlah! Mungkin dia sudah dekat dengan PENCIPTANYA!
Setelah berbincang dengan keluarga dan mencuba untuk resusitasi selama 20 minit, akhirnya kami melepaskan beliau pergi. Mungkin sudah bukan takdirnya untuk bergelak ketawa bersama keluarga atau berlari riang di padang bersama rakanrakan.
Inna Lillahi wa inna ilaihi rajiun. Dari Allah kamu datang dan padaNya jualah kamu dikembalikan.
Man kenapa tinggal mama!
Man kenapa tinggal mama!
Man kenapa tinggal mama!
Kenapa Jangan buat mama begini! Jangan tinggalkan mama Man
Ibunya menangis sambil memeluk puteranya yang sudah kaku di meja. Namun masih ada darah yang menitik keluar dari pingangnya.
Doktor besar sungguh ujian Allah pada saya. Dua orang dalam setahun doktor. Baru sahaja ibu saya. Sekarang anak saya juga pergi, kata ibunya sambil memegang tangan Dr Sheila.
Dr Wan dan Dr Sheila menenangkan perasaan beliau sedang saya terperangkap dalam permainan emosi. Saya gagahi minda ini agar tidak menangis sedangkan hati terasa sayu melihatkan kasih ibu pada anaknya.
Adik maafkan papa! Maafkan papa dik!
Bapanya dipapah masuk oleh saudara-mara. Kakinya lemah terseret di lantai. Beliau menangis teresak-esak sambil mengucup dahi anaknya. Air mata berderai memenuhi lantai.
Saya segera keluar dari ruang resusitasi mencari ruang untuk menenangkan diri. Tidak sanggup rasanya berdepan dengan tangisan kedua orang tua adik malang itu. Saya hiba namun saya memaksa diri untuk tidak menangis. Kenapa kau begitu lemah wahai hati Kuatkanlah hatimu! Jangan kau tangisi kematian tapi ambillah pengajaran darinya. Saya bertafakur sambil mencuci white coat yang terkena darah menggunakan larutan Hydrogen Peroxide.
Tepat pukul enam petang, setelah meneliti X-Ray arwah saya meninggalkan lautan Jabatan Kecemasan yang sudah mula reda. Tiada lagi tangisan setelah arwah ditolak keluar dengan troli. Ya! Laut ini sudah kembali tenang. Tiada lagi gelora yang mengganas. Namun gelora ini telah menenggelamkan sebuah kapal yang baru mula belayar namun belum sempat menerokai dunia.
Segalanya kembali tenang, namun apakah ia akan selalunya tenang
KASIh IBU
MeMBAWA Ke SYUrGA
Necrotizing fasciitis merupakan jangkitan bakteria pada tisu lembut tubuh sehingga ke lapisan fascia yang menyeliputi daging tubuh. Adalah penting untuk mengesan masalah ini secepat mungkin kerana ia boleh membawa kepada myonecrosis ataupun kematian urat daging di mana komplikasinya boleh menyebabkan anggota badan terpaksa dipotong. Jika tidak bernasib baik, pesakit boleh mati disebabkan severe sepsis.
Itulah keadaan yang menyerang seorang pesakit diabetes mellitus di wad lelaki sewaktu saya mengikuti sesi ward round pada pagi ini. Semalam, sewaktu beliau dimasukkan ke wad, hanya ada sedikit luka dan nanah pada pergelangan tangannya dek terkena konkrit sewaktu merumput di halaman rumahnya.
Lalu beliau ditahan di wad dengan diagnosis cellulitis ataupun jangkitan pada lapisan kulit luar. Pagi ini, luka yang sedikit itu telah merebak ke bahu dan kulitnya bertukar kehitaman. Ada sedikit cecair kemerahan keluar dari tangannya. Kerana itulah diagnosis berubah kepada Necrotizing Fasciitis dan pesakit terus dihantar ke bahagian orthopaedic di Hospital Kota Bahru.
Selesai ward round yang memberikan pembelajaran baru kepada saya, kaki mula di atur untuk kembali semula ke ED yang menjadi markas saya.
Alhamdulillah, beberapa prosedur mudah sudah pun dapat saya buat. Setelah selesai memasang IV line pada seorang pesakit dengan bantuan dan tunjuk ajar daripada seorang jururawat, saya meluangkan masa untuk beramah mesra dengan seorang pesakit Sindrom Down berusia 17 tahun.
Beliau yang ditemani ibu dan bapanya itu turut menghidap penyakit kencing manis. Saya cuba untuk mendapatkan riwayat penyakit beliau namun ia tersangatlah sukar kerana saya tidak faham percakapannya. Maklumlah, pesakit istimewa sebegini mempunyai pelbagai kerenah dan ragam tersendiri. Sepanjang tempoh saya cuba berbual dengannya, hanya symptom chest pain yang dapat saya perolehi tetapi tidak pasti chest pain sebagaimana. Adakah ia sharp atau dull Adakah sakit dada itu disebabkan masalah jantung, paru-paru, otot, tulang ataupun dari salur pencernaan
Sepanjang di sini, ibunya begitu setia menunggu si anak yang sentiasa meragam. Tangannya dengan lembut menggosok dada sang anak dan kadang-kala mengusap manja kepala sang anak bagi memujuknya. Ada kalanya, air matanya jatuh berlinangan tatkala si anak mengerang kesakitan.
Betapa besarnya kasih sayang seorang ibu kepada anak. Cinta dan kasih sayang mereka begitu tulus sekali. Kerana itulah, Allah membuat perumpamaan menggunakan kasih sayang ibu bagi menggambarkan betapa kasihnya Allah pada hamba ciptaanNya.
Sabda Nabi Muhammad S.A.W;
Sesungguhnya kasih sayang Allah terhadap hambaNya itu melebihi kasih sayang seorang ibu pada anaknya.
Itulah cinta tanpa syarat yang ikhlas dari lubuk hati seorang ibu. Langsung tidak mengharapkan sebarang balasan. Cukuplah untuk melihat si anak tersenyum riang.
Begitu sukar sekali untuk membuat diagnosis memandangan keputusan penyiasatan darah dan X-ray adalah normal. Namun, ketika pesakit muntah dan mengeluarkan darah akhirnya doktor membuat diagnosis upper gastrointestinal (GIT) bleed secondary to query cause ataupun Pendarahan Dalam Saluran Pencernaan yang tidak diketahui puncanya.
Beliau segera dipindah ke zon merah untuk pemerhatian lanjut. BP diambil untuk setiap sepuluh minit bagi mengesan sekiranya akan berlaku pendarahan lagi. Sewaktu doktor cuba untuk memasang IV line, pesakit menangis kesakitan dengan kuat. Kedudukan anatomi salur darah ini agak berbeza dengan manusia lain. Tangisannya yang tiada henti menghibakan lagi sang ibu.
Ibunya menangis lagi tatkala dimasukkan tiub nasogastric ke dalam perut anaknya melalui lubang hidung. Ada darah yang warnanya persis warna kopi disedut keluar dari tiub tersebut yang disambungkan pada beg plastik.
Memandangkan tiada kemudahan untuk mengurus masalah begini, maka pesakit di hantar ke Hospital Kuala Krai. Saya turut serta menaiki ambulans untuk menghantar pesakit ke sana.
Dalam ambulans, sesekali saya mengerling ke arah mereka. Si ibu masih setia melayan kerenah permata hatinya itu.
Itulah sedikit cebisan mengenai kasih sayang seorang ibu terhadap anak. Menyedari besarnya jasa seroang ibu, maka Allah akan mengurniakan pahala jihad kepada anak-anak yang menjaga ibunya semasa usia tua mereka.
Sahabat Nabi yang begitu ingin keluar berperang di jalan Allah tidak dibenarkan berbuat demikian sebaliknya Nabi mengarahkan sahabat itu untuk menjaga ibunya yang sudah tua.
Kerana itu juga, ulama mengeluarkan satu kata-kata hikmah yang berbunyi;
Syurga itu di bawah tapak kaki ibu.
Barang siapa menjaga ibunya dengan penuh kasih sayang, memenuhi keperluannya, InsyaALLAH akan dibuka seluasluasnya pintu syurga buat mereka kerana ini adalah JIHAD yang disukai Allah.
Namun tidak semua sang anak sanggup berbuat demikian. Si ibu sering dijadikan mangsa sepak terajang, ditinggalkan atau dihina selepas tidak berguna atau berdaya lagi dalam memenuhi kehendak anaknya. Inilah tanda besar hari kiamat iaitu;
Apabila wanita melahirkan Tuannya.
Kes kedua begitu menyayatkan hati saya apabila si ibu tua berusia 69 tahun yang sakit tidak berdaya ditinggalkan berseorangan oleh lima anaknya atas alasan ingin mencari rezeki.
Kasihan saya melihat ibu tua ini. Tulang rusuknya boleh dibilang dengan jari dan badannya kering bagaikan tidak berisi.
Mujurlah masih ada anak saudara yang sudi menjenguk. Namun apalah yang dapat diharapkan pada anak saudara
Si ibu malang itu tetap dibiarkan berseorangan. Kesedihannya memaksanya menelan air sabun dan cuka kerana tidak sanggup lagi menanggung penderitaan. Cerita ini diceritakan sendiri oleh anak saudaranya.
Namun, itu hanya secebis sahaja kisahnya.
Pada hari ini, beliau dibawa ke A&E dengan keadaan lemah dan layu setelah semalaman berendam dalam air kerana terjatuh ke dalam telaga. Suhu badannya sewaktu tiba adalah 33.4C dan BP-nya pula 70/50 mmHg. Tanda ini menunjukkan beliau telah berada dalam keadaaan septicaemia. Dan juga hypothermia.
Ketika dia membuka mata, beliau mengomel sendirian.
Akhirnya aku dah mati.
MA bertanya samada dia tahu di mana dia berada.
Dalam kubur, jawabnya.
Beberapa orang yang berkeliaran menganggap ini sebagai lucu. Ada yang mengusik.
Dah rasa duduk dalam kubur, tanya la dia Ma Rabbuka. Siapa Tuhan kamu
Setelah dia mula sedar saya mendekatinya untuk berbual. Tidak habis-habis beliau mengatakan ingin mati. Hantar dia balik ke rumah, dia tidak mahu dirawat di hospital. Dia ingin mati. Dia sudah tidak berguna lagi. Tiada gunanya dia hidup.
Ada air mata mengalir di pipinya yang cekung itu.
Saya insaf melihatkan situasi yang berlaku di hadapan saya itu. Apakah ini balasan yang diberikan pada seorang ibu yang membelai anaknya dengan penuh kasih-sayang. Seekor nyamuk pun tidak dibenarkan hinggap di pipi sang anak sewaktu mereka masih kecil.
Semoga saya menjadi seorang anak yang soleh dan tidak melayan ibu saya sebegitu apabila beliau tua kelak.
Ya Allah! Lindungilah aku dari perbuatan keji sebegini.
BIJAK DAN
BODOhNYA SeOrANG DOKtOr
Dua hari bercuti di hujung minggu masih belum mampu untuk menghilangkan penat melakukan attachment. Badan terasa tidak bermaya, tangan dan kaki terasa berat dan sukar untuk diangkat. Usai solat Subuh, saya kembali tidur di katil. Malas rasanya untuk ke hospital pada hari ini.
Bebelan Ummi dari dapur mengejutkan saya. Saya melihat jam tangan saya. Rupanya sudah jam 7.30 pagi. Dengan penuh malas saya menuju ke bilik mandi. Dengan mata yang masih tertutup, saya membiarkan badan disirami air dari pemanas air.
Jam 8 pagi, saya tiba di hospital. Dr Wan ditugaskan untuk menjaga bahagian hemodialisis dan hari ini ada lawatan dari pakar untuk sesi konsultasi pesakit dan berbincang tentang rawatan lanjut mereka di masa hadapan. Oleh yang demikian, saya tidak mengikuti ward round dan hanya berlegar-legar di ED. Pesakit ED tidak ramai di sebelah pagi, hanya beberapa kerat tubuh sahaja yang berada di atas katil.
Selesai menyediakan IV line pada seorang pakcik, saya hanya menghabiskan masa dengan berbual-bual bersama MA dan pemandu ambulans. Dari satu cerita ke satu cerita, ada sahaja topik yang dibualkan.
Kemudian, saya membantu Dr Nad dan MA untuk merawat seorang pesakit wanita yang mengalami sesak nafas. Setelah semua penyiasatan dibuat, doktor membuat diagnosis Acute Exacerbation of Chronic Obstructive Pulmonary disorder secondary to Community Acquired Pneumonia. Wah! Panjang betul nama. Terbelit lidah hendak menyebutnya ! Jadi, guna sahaja nama singkatan AEOCOPD 2 to CAP! Kan senang begitu! Secara ringkasnya, pesakit ini mempunyai masalah kronik COPD iaitu penyumbatan salur pernafasan yang biasanya disebabkan oleh rokok. Penyakit ini boleh menjadi sangat teruk sekiranya terdapat pneumonia ataupun jangkitan pada paru-paru.
Setelah melihatkan keadaan pesakit yang masih tiada perubahan dan berkemungkinan besar akan menjadi lebih parah, maka doktor berbincang dengan keluarga pesakit untuk memasukkan tiub ke dalam saluran pernafasan pesakit dan seterusnya membiarkan mesin bantuan pernafasan mengambil alih fungsi asal pernafasan. Pesakit akan dipindahkan ke Hospital Kota Bharu bagi menerima rawatan intensif.
Setelah mendapat persetujuan pesakit maka kami pun menyediakan segala kelengkapan untuk intubation; oropharyngeal airway, ambu bag, laryngoscope, endotracheal tube, dormicum, scoline dan sebagainya.
Setelah itu, kami menghantar pesakit ke HKB dalam pukul 1.00 petang. Sepanjang kami di dalam ambulans itu, saya hanya mendiamkan diri kerana tiba-tiba pula mabuk! Mungkin sebab kurang tidur. Lantas untuk mengurangkan mabuk, saya hanya bersandar di kusyen sambil memerhatikan langit yang membiru.
Sesekali saya terfikir;
Hebatnya Allah, cat di langit dari dulu sampai sekarang tak tanggal-tanggal. Sehebat-hebat cat manusia baik Nippon sekalipun tahan 5 tahun je.
Di A&E HKB saya sempat bertemu dengan MO yang merupakan sahabat saya. Kami diperkenalkan melalui Bro Lim Jooi Soon yang meminta agar saya follow-up dengan beliau memandangkan beliau adalah seorang muallaf. Sudah lama saya tidak berbual dengan beliau kerana kami masing-masing sibuk. Kesempatan yang ada walaupun sedikit digunakan sebaiknya untuk saling bertanyakan khabar.
Tidak banyak yang sempat kami bualkan kerana kami terpaksa bertolak balik ke Hospital Machang dan beliau pula sibuk dengan tugas dan melayan karenah medical student dari UIAM yang menjalankan praktikal di situ.
Dalam perjalanan pulang, ada satu perbualan yang menarik minat saya apabila Encik Zack (MA) menceritakan pengalamannya bersembang dengan seorang doktor forensik. Kata beliau.
Doktor ni bijak tapi bodoh.
Saya tersedak! Dr Nad pun barangkali terkesima mendengarnya.
Doktor ni, kita tak nafi yang dia memang bijak. Kalau tak bijak macam mana nak jadi doktor. Belajar 5- ke 7 tahun. Tapi kadangkala mereka ni bodoh. Sebabnya, apabila ada sifat ego dan merasakan hanya diri mereka sahaja yang betul. Kerana sifat ego ni, mereka susah nak dengar pandangan dari pekerja bawahan walaupun pekerja bawahan tu lebih banyak pengalaman dari doktor.
Saya terkedu juga mendengarkannya. Bila difikirkan, ada benar juga kata-katanya. Sifat ego ini sebenarnya memang sudah ada dalam diri kita. Saya sendiri tidak dapat menafikan bahawa saya juga mempunyai sifat ego dan sentiasa ingin menang. Nampaknya, bermula hari ini saya mesti mengubahnya agar tidak tergolong dalam golongan doktor bijak tapi bodoh.
Namun demikian, saya merasakan bahawa doktor juga mesti tegas. Yang pada kiraan saya, ketegasan itu boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat sebagai sombong.
Tanpa ketegasan, kita akan dipandang rendah dan senang dipermainkan orang bawahan. Oleh itu, perlunya ada balance sewaktu berinteraksi dengan rakan setugas yang mungkin pangkatnya lebih kecil dari kita.
Andai mereka lebih arif dari kita dalam satu-satu hal, rendahkanlah hati untuk bertanya. Untuk pekerja bawahan pula, ringankan lidah dan tangan untuk membantu tetapi janganlah dibuang rasa hormat pada pegawai kerana anda mengetahui lebih baik dari dia.
Sampai di Hospital Machang saya segera solat Zuhur memandangkan selepas ini ada satu lagi trip untuk menghantar pesakit Kegagalan Buah Pinggang Akut ke Hospital Kuala Krai.
ANDAI tAKDIr
MeNeMUKAN KItA lAGI
Saya berterima kasih kepada staf A&E kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk melakukan prosedur-prosedur mudah. Walaupun mudah, susah juga untuk mendapatkan peluang sebegini di USM memandangkan kami merupakan pelajar pra klinikal.
Hanya mereka yang berada di fasa klinikal sahaja sebenarnya diberi kebenaran. Selalunya, kami berlatih menggunakan patung ataupun berlatih sesama kawan-kawan. Habis lebamlebam tangan kami dek kerana tersilap cucuk jarum. Apakan daya, itulah alternatif terbaik berbanding dengan praktis menggunakan pesakit sebenar.
Di District Hospital ini, berbekalkan keyakinan dan praktikal yang pernah saya lakukan, saya memberanikan diri untuk melakukan tugas-tugas memasang IV line. InsyaALLAH, saya tidak memandang ia sebagai eksperimen kepada pesakit kerana saya sudah pun melakukannya sebelum ini menggunakan patung dan juga sesama rakan. Ia lebih kepada proses untuk memahirkan lagi kemahiran saya memasang IV line.
Saya akui, saya memang tidak mahir. Buktinya, bukan semua percubaan saya berjaya. Namun, saya positifkan diri saya bahawa apa yang saya lakukan ini adalah untuk kebaikan pesakit di masa hadapan. Prinsip saya, mencuba itu boleh asalkan tidak mendera pesakit. Biasanya jika sekali cucuk saya gagal, maka saya akan serahkan kepada orang yang lebih berpengalaman.
Realiti sewaktu bertugas, doktor akan memberitahu bahawa doktor pelatih dibenarkan mencuba sebanyak dua kali untuk memasang IV line. Andai gagal, barulah dipanggil MO.
Jika gagal memasang IV line, saya akan berasa sedikit kecewa. Kecewa kerana kurang kemahiran dan kecewa kerana menyebabkan pesakit sakit. Masih saya ingat di mana saya gagal untuk memasang IV line kepada seorang pesakit SLE.
Salur darah vein-nya sangat-sangat halus. Saya mencuba sekali sahaja sebab tidak sampai hati melihat mukanya yang berkerut menahan kengiluan dek dicucuk jarum. Jarum sudah pun masuk, tapi vena-nya yang collapse menyebabkan jarum tidak boleh ditusuk. Jururawat dan MA pun hanya berjaya memasang IV line setelah enam kali mencuba. Itu pun menggunakan IV line bersaiz untuk pediatrik.
Selain itu juga saya berpeluang untuk melakukan suturing iaitu proses menjahit luka pada pesakit. Sebelum ini saya hanya pernah menjahit luka berkhitan sahaja sewaktu bersama-sama NGO menjalankan program bersempena cuti sekolah.
Tiga pesakit berjaya saya suture sewaktu mengadakan attachment. Seorang kerana luka terkena serpihan pinggan dan dua lagi adalah kerana kemalangan jalan raya. Paling mencabar adalah sewaktu menjahit kulit kepala disebabkan ketebalannya hampir sahaja menyebabkan jarum tidak boleh ditusuk.
Konsepnya hampir sama sahaja, cuma yang berbezanya ialah jenis benang suture dan saiz jarum yang digunakan. Dan jika luka besar dan dalam, terpaksalah dijahit dua lapis. Lapisan dalam menggunakan benang yang boleh mereput sendiri dan di luarnya pula menggunakan benang yang tidak mereput dan benang tersebut perlu digunting keluar apabila luka sudah sembuh.
Apa yang saya belajar, untuk melakukan semua prosedur ini, yang paling penting sekali ialah tenang dan tidak kalut. Tidak kisahlah prosedur apa sekalipun yang kita lakukan, jangan cepat menggelabah. Ambil masa untuk membaca basmallah dan berselawat kerana hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang.
Tetapi kadang-kala, kecut juga hati ini terutama apabila pesakit tiba-tiba menjerit atau beraduh sakit. Berdebar jantung dibuatnya.
Selain suturing dan setting IV line, saya membantu MA untuk membuat close manual reduction dan memasang plaster of Paris pada tangan pesakit yang patah. Seram juga bulu roma bila mendengar bunyi crack sewaktu memasangnya. Agak terketar juga tangan saya. Penakut rupanya!
Hari demi hari berlalu dan tibalah masa menamatkan sesi attachment saya. Hari terakhir berkhidmat memang menyayukan hati saya. Maklumlah, ikatan kemesraan sudah pun terjalin dengan staf-staf di sana. Banyak pula ilmu dan kemahiran yang digarap dari mereka.
Dalam rancak bersembang dan melayan perasaan, ada pesakit bertandang. Saya berpeluang melihat sendiri keadaan pesakit yang mengalami deman panas setelah pulang bekerja di hutan. Ketika ini, diagnosis penyakit Malaria paling menepati kriteria apatah lagi pesakit menggeletar dengan kuat. Pada suhu badan 40C pesakit mengalami keadaan yang dinamakan delirium. Pesakit mula nampak pelbagai objek dan merapu bersendirian. Ada kalanya dia menjerit, ada kalanya dia berguling di katil dan kadang-kadang dia seolah-olah berbual dengan seseorang.
Keadaanya menarik minat pesakit di katil sebelah untuk menjengah kepala mereka kepadanya. Apabila didekati dan ditanya soalan, pesakit masih sedar dan boleh menjawab soalan. Namun, apabila ditinggal bersendirian, maka dia mula hidup dalam dunianya.
Sekiranya senario ini berlaku di kampung-kampung lebih kurang 10 atau 20 tahun dahulu, semestinya pawang telah dipanggil kerana bagi mereka pesakit telah ditegur hantu hutan.
Namun, kecanggihan teknologi dan perkembangan pendidikan telah pun menghilangkan kepercayaan masyarakat terhadap unsur-unsur mistik.
Akan tetapi, saya tidaklah menolak seratus peratus unsur mistik kerana perkara sebegini sememangnya wujud disekeliling kita. Cuma, kita perlu bertindak berdasarkan bukti.
Tambahan juga, kita sebagai umat Islam wajar meyakini bahawa makhluk ghaib atau syaitan tidak mampu untuk mengapaapakan kita melainkan dengan izin Allah SWT.
Iblis menjawab: Demi kekuasaan Engkau aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hamba-Mu yang mukhlis di antara mereka[Quran 38:82-83]
Akan tetapi, saya sendiri kadang-kala tertanya-tanya apakah sebenarnya yang membantu penyembuhan penyakit. Jika hari ini, ubat mampu memberikan kelegaan dan suatu masa dahulu pelbagai cara seperti Main Puteri dan Bageh dapat memulihkan pesakit. Mungkin ia berkait rapat dengan psikologi dan kepercayaan pesakit bahawa mereka akan sembuh. Maka tidak hairanlah, kadang-kala ada pesakit yang sembuh walaupun diberi ubat placebo.
Mungkin, hakikat sebenar penyembuhan hanyalah pada Allah. Dialah yang menyembuhkan segala penyakit apabila hambanya berusaha.
Dan apabila aku sakit, Dialah Yang menyembuhkan aku,[Quran 26:80]
Berkenaan dengan pesakit tersebut, saya kemudiannya turut menaiki ambulans untuk menghantarnya ke HRPZ II selesai sahaja mengerjakan solat Asar.
Saya tiba kembali ke Hospital Machang setelah 20 minit azan Maghrib berkumandang dan saya segera bersolat.
Di sebelah malam, ruang menunggu dipenuhi dengan pesakit. Sekarang, terlampau ramai pesakit di sebelah malam yang datang kerana demam selesema. Ini sebenarnya merupakan penyalahgunaan Jabatan Kecemasan dan Kemalangan. Dan staf juga pening kepala dengan situasi ini apatah lagi pesakit tidak kritikal ini sering merungut lambat!
Ada kalanya staf tidak mampu menahan geram dan meninggikan suara. Apatah lagi ada pesakit yang sudah 3 hingga 4 hari selesema tetapi masih datang pada waktu lewat malam.
Saya pula, hanya menyorok di dalam bilik sambil menanti keskes serius memandangkan saya tiada kuasa untuk merawat pesakit. Saya risau sekiranya saya berlegar dalam wad, akan timbul buah mulut orang kampung yang mengatakan bahawa doktor malas atau enggan merawat pesakit.
Situasi ini memang biasa memandangkan orang kampung akan segera beranggapan bahawa mereka yang berpakaian kemas dan memakai white coat adalah doktor.
Selesai solat Isyak barulah saya keluar dari tempat persembunyian dan melihat kes seorang wanita tua yang mengalami kesukaran bernafas. Dr Wan kemudiannya meng intubate pesakit tersebut lalu kami menghantarnya ke HKB.
Pulang dari HKB, jam sudah menunjukkan pukul 1 pagi. Perut semakin rancak menari dengan diselang-selikan bunyi muzik menandakan diri ini begitu lapar sekali. Maklumlah, dari tengah hari tidak makan.
Dan saya kemudiannya bersama Abang Syed dan seorang driver ambulans keluar untuk menyantuni perut yang lapar.
Pulang dari makan dan mundar-mandir di sekitar wad, saya akhirnya melelapkan mata lebih kurang jam 2 pagi sehinggalah masuk waktu Subuh.
Begitulah sedikit sebanyak kisah catatan saya sewaktu membuat attachment selama dua minggu di Hospital Machang. Sungguh cepat masa berlalu. Belum pun puas saya menimba ilmu, telah pun tamat episod ini.
Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada semua staf yang begitu ramai membantu dan mendidik saya disepanjang attachment saya. Anda semua pasti berada dalam hati saya dan akan saya anggap anda semua sebagai guru saya.
Begitu banyak yang saya belajar dari mereka semua baik makcik cleaner, driver ambulans, atendan kesihatan, pak guard, jururawat masyarakat, MA dan juga doktor. Alhamdulillah, kesemua mereka memberikan kerjasama yang cukup baik kepada saya.
Sebagai kesimpulannya, ingin saya catat dua kata-kata hikmah buat tatapan rakan-rakan doktor dan pelajar perubatan;
Doktor yang bagus ialah mereka yang mampu merawat pesakit biar pun mempunyai kelengkapan yang serba kekurangan.
Doktor yang baik tahu bila hendak intubate atau merawat pesakit, tetapi doktor muslim yang bagus tahu bila hendak melepaskan pesakit pergi. Wallahuallam.