Tiada Tajuk - 5
Bab 5

Adib mengangguk sebelum Munir sendiri bangun dan meninggalkan bilik itu. Sebaik Munir keluar, Adib pun membuka tingkap biliknya luas-luas. Bagi menyambut kehadiran 'dia'. Yang akan menemani Adib, sampai bila sinar mentari datang menghalau.

Selesai saja doa selepas Solat Subuh, Munir sudah mendengar bunyi kelentung-kelentang di dapur. Munir senyum. Tak pernah mungkir sejak berkahwin, awal-awal pagi lagi tentu Suraya sudah siapkan sarapan. Dan mereka akan duduk makan bersama sambil menikmati transisi alam yang berubah ke cerah dari kegelapan.

Habis nasi goreng dua pinggan dan teh hijau panas, Munir bersandar sambil membentangkan surat khabar di atas perutnya yang semakin membukit akhir-akhir ini.

'Blue Batik Killer Strikes Again!'

Munir berdengus perlahan membaca tajuk muka depan akhbar Inggeris itu. Pembunuh Batik Biru. Nama yang aneh. Hampir lucu. Tapi menurut rakan setugas Munir yang turut terlibat dalam kes yang bermula sejak beberapa bulan lepas itu, perinciannya tidak langsung selucu namanya.

Ini sudah kes ketiga. Mangsa ketiga. Pembunuhan ketiga. Dimana kali ini juga sama. Si pembunuh meninggalkan mangsa dalam keadaan yang.... Keadaan yang sangat...

Munir mengeluh. Dia sendiri rasa sukar untuk memainkan semula imej-imej yang ditekapkan ke matanya bila melihat gambar-gambar forensik dari lokasi kejadian pembunuhan yang ditunjukkan oleh rakannya tempoh hari tanpa dipinta. Munir masih ingat setiap sudut foto-foto itu dengan teliti. Meloyakan. Darah merah berpercikan, bertakung, dan meresap dimerata-rata. Termasuklah kain batik biru yang lencun. Digunakan oleh pembunuh untuk menutup mangsanya. Ataupun menutup apa yang masih tinggal dari mangsanya.

Hari Raya Korban

Hanya itu yang terlintas di kepala Munir bila melihat gambar-gambar tersebut. Munir teringat pada keadaan lembu dan kambing pada Hari Raya Korban. Memang ada persamaan. Termasuk proses menyembelih, menyiat dan melapah. Semuanya ada.

"Abang Munir dah habis baca akhbar tu" tiba-tiba Adib muncul di sebelahnya. Entah datang dari mana. Munir pun tak sedar.

"Belum. Kenapa"

"Aku nak baca pula. Aku kira, ada perkembangan baru tentang Pembunuh Batik Biru kan"

"Mana Adib tau"

"Aku melihat pada coraknya. Kedua-dua pembunuhan sebelum ini berlaku pada lima haribulan berselang sebulan. Jadi tekaan aku, yang ketiga ini juga tentu berlaku pada lima haribulan. Iaitu semalam. Malah barangkali pembunuhan mangsa keempat dan kelima juga akan berlaku pada lima haribulan dalam bulan-bulan yang akan datang."

"Mana Adib tau akan ada mangsa lagi selepas ni"

"Kalau pembunuh itu memilih lima haribulan untuk membunuh. Tentu ada signifikannya angka lima tu. Telahan aku, bilangan mangsanya juga sama. Tiga sudah. Tinggal dua saja lagi. Persoalannya... siapa Mungkin Abang Munir. Mungkin aku. Ataupun mungkin kita keduanya."

"Jangan merepeklah. Tak ada sebab pembunuh tu nak jadikan kita sebagai sasaran. Lebih-lebih lagi Adib. Jadi jangan takut okey"

"Aku tak takut. Tapi aku tertarik pada kenyataan Abang Munir yang menekankan pada 'lebih-lebih lagi Adib'. Penekanan itu bermaksud peluang untuk Abang Munir menjadi mangsa adalah lebih tinggi dari aku sendiri. Kenapa Abang Munir fikir begitu"

"Sebab setakat ini mangsa yang dipilih adalah lelaki dewasa. Adib kan kecil lagi. Jadi tak mungkin Adib."

"Tapi mungkin Abang Munir"

Munir terdiam. Rasa terperangkap.

"Tak mungkin jugak."

"Sedikit kebarangkalian pun tak ada"

"Tak."

"Kalau pembunuh itu ada rangka spesifik yang digunapakai sebagai rujukan untuk memilih mangsa, mungkin dia tak akan memilih Abang Munir. Hanya berlandaskan pada hakikat bahawa dia tidak mengenali Abang Munir dan tidak ada sebab kenapa dia hendak membunuh Abang Munir. Tapi bagaimana kalau dia memilih mangsa secara bebas Siapa-siapa pun boleh terkena bukan Terutama sekali jika seseorang itu berada di masa dan tempat yang salah. Yang secara tak langsung menjadikan dia tumpuan utama. Hanya kerana nasib tidak menyebelahinya."

"Ataupun ajalnya sudah sampai.... Iya. Kalau itulah kesnya, jadi memang betul tanggapan Adib. Abang Munir ada kebarangkalian untuk menjadi mangsa seterusnya Pembunuh Batik Biru," akui Munir.

"Baiklah. Aku gembira kita bersetuju tentang sesuatu. Kalau melihatkan kepada statistiknya sepanjang perhubungan kita, ianya jarang berlaku. Sama seperti statistik seorang mangsa pembunuhan yang mati hanya semata-mata kerana dia bernasib malang."

Munir mengangguk. Matanya mengekori jari-jemari Adib yang sedang melurut sisi surat khabar di dalam tangannya. Bila jari Adib sampai ke bucu surat khabar itu, dia membetulkan bahagian yang sedikit terlipat dan renyuk.

"Jaga surat khabar ni elok-elok Abang Munir. Aku hanya suka membacanya dalam keadaan yang masih sempurna. Bila dah habis baca nanti, panggil aku ya Abang Munir" pesan Adib sebelum beredar. Namun cepat ditahan oleh Munir.

bersambung

Bab akan datang:

Mengapakah Munir menahan Adib dari beredar