Les Criaturas - 5
PAST 2

Susana gelap dan sunyi di dalam gua dipecahkan dengan suara nyaring tangisan bayi. Bayi perempuan itu berguling-guling menangis di lantai yang hanya beralaskan rumpai laut. Dia cuba merangkak tetapi gagal. Selangkah dua, dia tergelincir dan dagunya terhantuk ke lantai gua. Dia menangis sekuat hati.

Grrgh..

Sebaik sahaja mendengar suara dengusan itu, bayi berkenaan kembali senyap. Di hadapannya dalam posisi merangkak, Makhluk Gelap Bersayap sedang memerhatikan bayi tersebut dengan pandangan garang. Asap kecil berkepul-kepul keluar dari rongga hidungnya. Ia membuka mulut yang sedikit lebar, menampakkan barisan gigi taring yang tersusun cantik. Sayap yang megah dilipat rapi ke bahagian belakang badan. Ekornya yang tajam jinak di lantai gua. Fizikalnya tidak terlalu besar. Bentuk badannya seperti alur tubuh seorang wanita yang lengkap berpayudara. Warna kulitnya merah kehijauan dilengkapi dengan rambut yang panjang berwarna kuning keemasan. Ia mempunyai dua kaki dan dua tangan. Jari-jemarinya terhias kuku yang tajam. Hanya satu perkara yang membezakannya dengan manusia biasa iaitu kemampatan otot yang kekar dan besar.

Makhluk Gelap Bersayap merapatkan wajahnya ke dagu bayi perempuan tersebut. Ada sedikit kesan calar yang mungkin berpunca dari kesan terhantuk. Ia lantas menjilat dagu bayi perempuan itu berulang kali dengan lidah panjang bercabang miliknya. Bayi perempuan itu ketawa kecil. Mungkin seronok bercampur geli dengan perlakuan Makhluk Gelap Bersayap. Ia merangkul bayi tersebut dan meletakkannya rapat ke dada. Perlahan-lahan badannya digoyangkan ke kiri dan kanan seperti sedang mendodoikan anak. Bayi perempuan itu sesekali ketawa kecil. Matanya terasa berat. Dia cuba melawan, tetapi perasaan enak didoikan oleh Makhuk Gelap Bersayap sukar dibendung. Ditambah dengan keadaan sekeliling yang sejuk lembab di dalam gua bercampur dengan haba panas daripada tubuh Makhluk Gelap Bersayap seolah mengajaknya ke alam mimpi dengan lebih cepat. Dia tewas. Matanya dipejam rapat. Bunyi dengusan Makhluk Gelap Bersayap dan titisan mata air dari dalam gua mengiringi perjalanan mimpinya.