Ibu! Ibu penipu! Kenapa ibu tak datang semula ke sini Kenapa ibu harus pergi
Hati Kharlissa terus menerus menyoal. Tiada jawapan pasti. Jawapan itu hanya ada pada ibunya.
Sayang, tunggu ibu di sini. Ibu sakit perut. Ibu nak pergi tandas. Kejap lagi ibu datang, kata ibunya sambil mengusap lembut rambut Kharlissa.
Kemudian dia mencium pipi Kharlissa dengan lembut. Pergelangan anak itu dipegang lalu dia memasukkan wang sebanyak sepuluh ringgit di dalam genggaman.
Simpan duit ni! Ibu pergi kejap je... kata ibunya lagi, lalu terus tergocoh-gocoh berlalu.
Dia hanya memerhati hingga ibunya hilang dalam pusuan orang ramai.
Kharlissa membuka cermin matanya. Dia menyeka air mata yang mengalir perlahan dengan sehelai tisu. Kemudian pantas mengenakan kaca mata hitamnya semula. Dia memandang jauh. Semuanya wajah yang asing. Tiada lelaki yang dicintainya dicelah-celah orang ramai. Tiba-tiba ada rasa rindu mengusik hati. Sudah beberapa minggu Khairul Rasheed pulang namun mereka belum punya kesempatan untuk bertemu.
Cik adik! Cik adik perlukan teman tegur seorang lelaki pertengahan usia. Misai tebalnya terangkat. Dia tersengih mempamer gigi.
Get out of here, balas Kharlissa separuh berbisik. Dia memandang jijik pada lelaki yang duduk di sisinya.
Lelaki itu tidak peduli. Dia duduk kian rapat dengan Kharlissa. Matanya menjeling ke arah dada wanita muda itu, yang dibaluti baju panas sendat berwarna merah jambu. Mata nakal itu turun ke bawah, ke arah pahanya yang ditutup seluar jean hitam ketat. Akhirnya mata itu jatuh pada kasut but kulit coklat yang nampak mahal sekali. Ini bukan sebarang orang melainkan orang yang berduit dan suka bermewah-mewah.
Wow! Hot... seksi! katanya sambil tersengih lagi.
Aku cungkil mata kalau kau pandang aku macam
tu lagi!
Huh! Singa betina rupanya! kata lelaki itu sambil bangun, bergerak lambat meninggalkan Kharlissa. Namun dia masih memandangnya dari jauh.
Kharlissa tidak peduli. Dia bangun, bergerak meninggalkan terminal itu. Kharlissa pulang dengan menaiki tren. Tiada guna dia berlama di situ.
Sebaik tiba di rumah, dia terus membuka laptop. Dia menaip perkataan I hate you, mom hingga beribu-ribu kali, sehingga memenuhi ruangan skrin. Dia penat. Dia hanya ingin tidur dan melupakan ibunya. Rasa benci dan rindu yang saling menindih mendera perasaannya. Dia ingin bebas dari rasa tertekan itu dengan segera. Tapi, rasa rindu segera mengatasi rasa benci yang beramukan dalam dada.
Kharlissa menangis lagi. Air matanya begitu murah sekali sekarang. Kian lama esakannya kian kuat. Dia meraung, tidak peduli dan tidak kisah jika raungan itu didengari orang lain.
Tiba-tiba terdengar ketukan di pintu rumah. Kharlissa terkejut. Dia memerhati sekeliling, tangisan terhenti secara automatik. Dia berjalan lambat menghala ke pintu, membiarkan wajah yang basah dengan air mata.
Dia tidak peduli jika ada yang melihat matanya yang merah dan bengkak.
Pintu dikuak. Dia terkejut, Khairul Rasheed berdiri di luar. Wajahnya tampak berkerut, hairan.
Awak tak apa-apa ke
Kharlissa tidak menjawab. Hatinya terlalu sedih hingga suaranya hampir tidak terluah. Rasa ingin peluk sahaja tubuh Khairul Rasheed, ingin membenam duka di dada bidang lelaki itu. Tapi itu semua khayalan Kharlissa sahaja. Tubuhnya kaku seperti patung.
Saya dengar awak meraung. Apa dah jadi
Apa yang harus dijawab Kharlissa bingung. Air mata kembali menuruni pipi.
Kenapa ni Khairul Rasheed memegang keduadua belah bahu Kharlissa dan menggoncangnya perlahan.
Kharlissa menangis seperti kehilangan seseorang, fikir Khairul Rasheed. Apakah dia kehilangan satu-satunya waris terdekat Mungkin.
Saya... Err... Mak saudara saya meninggal! Akhirnya Kharlissa mendapat ilham untuk berbohong.
Lelaki itu mengerut dahi. Tidak percaya. Masakan kerana kematian mak saudaranya, dia akan meraung sebegitu rupa. Kebetulan waktu itu, Khairul Rasheed berada di hadapan rumah. Dia berniat ingin keluar makan sewaktu terdengar Kharlissa meraung. Raungan yang sungguh pilu sehingga dapat dirasai Khairul Rasheed.
Awak nak pergi melawatnya Saya boleh tolong hantarkan kalau awak sudi.
Kharlissa menggeleng.
Tak mengapa. Saya terlewat mengetahuinya. Saya baru berbual dengan sepupu saya di Facebook. Dia meninggal tiga hari lepas, Pembohongan demi pembohongan terpaksa direka.
Khairul Rasheed mengangguk.
Saya nak pergi makan. Awak nak pesan apa-apa
Hmmm... Boleh saya ikut awak Saya lapar. Saya tak sarapan pagi tadi, kata Kharlissa sambil memegang perutnya.
Apa salahnya. Jom.
Tunggu saya cuci muka dan letak make-up sikit.
Muka saya teruk, mata pula dah bengkak.
Okey, saya tunggu awak kat bawah.
Khairul Rasheed terus bergerak menghala ke lif. Dia menunggu Kharlissa turun.
Kharlissa pura-pura ceria sepanjang bersama
dengan Khairul Rasheed. Mereka makan tengahari di Restoran Hasan Sup di Jalan Pahang. Yang terletak di belakang Masjid Setapak.
Amat sedikit sekali Kharlissa makan. Sup ekor yang panas dan enak tidak mampu menjulang seleranya. Fikirannya berkecamuk memikir tugasa baru yang diberikan oleh Maxy. Bait tulisan di surat yang dititipkan Maxy masih diingatnya dengan jelas.
Carra, kau adalah pembunuh upahan terbaik. Aku percayakan kau. Aku tak boleh serahkan tugasan ini pada orang lain. Aku tak suka kegagalan. Aku tahu kau takkan hampakan aku kerana kau seperti anakku. Tentu kau tak mahu kecewakan bapamu bukan - Maxy
Kharlissa tidak boleh meninggalkan nama Carra lantaran dia telah terhutang budi pada Maxy. Tanpa Maxy mungkin dia sudah pun mati. Dia tidak mungkin dapat mengelilingi hampir separuh dari dunia ini jika bukan kerana Maxy. Dia akan sentiasa menjadi Carra yang kejam walaupun di saat yang sama dia ingin menjadi Kharlissa yang penyayang. Kharlissa yang sudah mula jatuh cinta.
Kharlissa mengeluh dengan agak kuat, menolak mangkuk sup yang baru luak separuh ke tepi.
Dia terbayang raut wajah lelaki yang bakal dibunuh. Gambarnya telah pun diterima Kharlissa, dikirim Maxy dari destinasi yang dia tidak diketahui. Wajah lelaki itu bermain dalam mindanya, berselang-seli dengan wajah Martin.
Selera Kharlissa semakin hilang. Dia meneguk minuman hingga tinggal separuh gelas. Gelas itu terasa begitu besar dan isinya masih banyak sedangkan perut Kharlissa terasa penuh sehingga dia hampir-hampir termuntah. Dia memerhati Khairul Rasheed yang berselera sekali menghirup sup dan nasi putih.
Dah lama saya nak tanya, awak kerja apa Kay
Khairul Rasheed berhenti menghirup sup. Dia memandang wajah Kharlissa kemudian tersenyum.
Saya dalam bidang pemasaran, jawab Khairul Rasheed.
Dia memang sudah menyediakan jawapan itu sejak mula, sekiranya Kharlissa bertanya. Bidang pemasaran jawapan termudah dan dia tidak perlu menjawab soalansoalan lain. Bidang yang memaksa seseorang bergerak aktif ke mana sahaja yang diarahkan syarikat. Kerja tidak tentu masa.
Kharlissa mengangguk lambat. Dia tidak akan bertanya lagi.
Awak Khairul Rasheed memulangkan pertanyaan.
Macam yang awak tengok, saya masih lagi seorang penganggur. Penganggur terhormat, jawab Kharlissa.
Khairul Rasheed ketawa.
Saya tak percaya, katanya seperti mencabar.
Mesti awak ada kerja yang hebat sebelum ni.
Beritahu saya, awak kerja apa semasa duduk di Singapura.
Dulu saya seorang penari. Lepas tu saya jadi guru tarian di sebuah sekolah ballet, kata Kharlissa berbohong.
Perhubungan mereka penuh dengan pembohongan. Kharlissa dapat merasakan bahawa dia semakin bosan terpaksa membohongi Khairul Rasheed. Dia percaya lelaki itu tidak akan mengujinya dengan menyuruh dia menari ballet. Dia langsung tidak pandai.
Hebat! Seorang penari ballet. Saya tak pernah terfikir pun awak sebagai seorang penari ballet. Pernah buat persembahan
Dah tentu. Agak jauh juga saya telah mengembangkan sayap. Eropah, Cina dan Jepun, kata Kharlissa dengan yakin.
Sebenarnya dia ke sana bukan sebagai seorang penari tetapi sebagai pembunuh upahan.
Saya juga sudah pergi ke negara yang awak sebutkan tu, balas Khairul Rasheed.
Membawa produk syarikat tentunya teka
Kharlissa.
Sebenarnya saya menjual sistem komputer, Khairul Rasheed mengerdipkan matanya beberapa kali.
Tidak selesa apabila berbohong begitu. Dia pergi keluar negara kerana tugas untuk negara. Tetapi dia tidak boleh memberitahu hal itu kepada sesiapa, hatta kalau dia beristeri sekali pun. Ia adalah satu rahsia besar. Hampir dua tahun sudah dia menyertai unit PGK. PGK biasanya menjalani latihan bersama dengan unit seperti Rejimen Perkhidmatan Khas Australia, British SAS dan FBI, khususnya dalam menangani kes penculikan, rompakan dan penempak tepat (sniper). Memang Khairul Rasheed amat terlatih dalam bidang ini.
Sebagai anggota polis dalam unit khas ini dia memang terikat dengan tugas. Dia harus sentiasa bersedia untuk menghadapi tugas pada bila-bila masa. Tidak kira siang atau malam. Apabila dipanggil bertugas oleh Ketua Pengarah, hal-hal peribadi perlu ditolak ke tepi. Dia selalunya tidak pulang ke rumah dalam tempoh yang lama apabila melaksanakan sesuatu misi. Kemudian dia akan mendapat cuti panjang. Itu amat adil bagi Khairul Rasheed dan dia sangat menyenangi malah mencintai setengah mati kerjayanya.
Malam minggu ni ada kawan saya yang sambut majlis hari lahir. Kalau sudi, saya nak ajak awak temankan saya. Macam mana Sudi tak Dia sengaja menukar haluan perbualan.
Hmmm, entahlah... balas Kharlissa teragak-agak
untuk menerima pelawaan itu.
Tak payah fikir-fikir Kharlissa. Pergi saja! Ini peluang kau untuk kenal dia. Kau boleh kenal dia melalui teman rapatnya. Kau akan boleh mengagak siapa dia dengan mengenali orang-orang yang didampingi lelaki itu. Mungkin tanpa sengaja teman-temannya akan berbicara tentang kerjaya, keluarga atau sesuatu yang bersifat peribadi. Maklumat pasti akan diperolehi kalau dia memainkan watak mesra, ramah dan baik hati.
Aku yakin dia berbohong tentang pekerjaannya. Beberapa kali dia mengerdipkan mata, seperti tidak selesa. Dia sedang berbohong. Ada sesuatu yang sedang disembunyikannya. Dia bukan seorang pegawai pemasaran yang biasa. Aku yakin! Kharlissa menggenggam tangannya sendiri dengan kuat.
Kharlissa sengaja menyentuh gelas dengan hujung siku. Pantas dan cekap Khairul Rasheed menangkap gelas itu agar isinya tidak tertumpah. Dia mengalihkan gelas itu di tempat yang selamat, supaya tidak tersentuh lagi.
Tangannya sangat tangkas. Dan dia bertindak tanpa teragak-agak, tepat pada masanya, bisik hati Kharlissa lagi.
Okey, saya harap sangat awak akan setuju. Saya yakin awak akan seronok.
Hmmm, baiklah. Saya ikut awak pergi majlis tu. Saya pun tak buat apa-apa malam minggu nanti.
Khairul Rasheed tersenyum lebar mendengar kata-kata Kharlissa.
Macam tulah! Thats my girl! Khairul Rasheed gembira. Dia benar-benar bahagia dapat bersama dengan Kharlissa ke parti hari jadi salah seorang teman baiknya.
NI kawan baik saya, Doktor Razin, Khairul Rasheed memperkenalkan Kharlissa dengan tuan rumah.
Mereka baru tiba di rumah banglo pasangan doktor tersebut bagi meraikan majlis hari lahir. Doktor Razin dan isterinya Doktor Najwa berdiri di hadapan pintu utama rumah banglo, menyambut kehadiran tetamu.
Kharlissa, Kharlissa menyebut namanya sambil bersalaman dengan Doktor Razin dan isterinya.
Wow, bukan senang nak tengok Kay bawa pasangan ke majlis. Selalu tu datang tak pernah berteman, komen Doktor Razin sambil tertawa kecil.
Matanya tidak lepas dari memandang wajah Kharlissa yang bersolek cantik. Kharlissa mengenakan gaun hitam mengikut bentuk tubuhnya yang langsing. Gaun hitam kosong itu dihiasi hanya dengan sedikit sulaman di bahagian dada. Bahunya terdedah, disapa angin malam. Leher jinjang Kharlissa dihiasi kalung berlian yang berkilau. Terpukau setiap mata yang memandang. Betapa elegan penampilan Kharlissa malam itu.
Khairul Rasheed hanya ketawa.
Someone special Separuh berbisik Doktor Razin bertanya.
Pertanyaan itu singgah jua ke telinga Kharlissa. Dia pura-pura tidak mendengar apa-apa. Namun hatinya agak senang. Ini membuktikan bahawa Khairul Rasheed memang benar-benar tiada kekasih.
Kawan je lah! Balas Khairul Rasheed perlahan.
Dia terus bergerak masuk. Kharlissa turut berjalan di sisinya menuju ke ruang tamu yang luas. Sudah ramai orang berada di ruang itu. Kelihatan mereka berbual sesama sendiri sambil menikmati hidangan yang disediakan secara buffet.
Kebanyakan tetamu yang ada menegur Khairul Rasheed dengan ramah dan mesra. Jelas mereka saling mengenali. Jemputan yang hadir kebanyakannya adalah teman-teman rapat pasangan Doktor Razin dan Doktor Najwa.
Majlis berlangsung meriah. Acara makan-makan baru bermula. Khairul Rasheed mengajak Kharlissa mengambil makanan. Kebanyakan makanan yang tersaji begitu enak, menambat selera.
Semasa sedang mengambil hidangan nasi beriani, seorang lelaki mendekati Khairul Rasheed. Kharlissa memerhati wajah lelaki itu. Dahinya berkerut. Di mana aku pernah lihat muka dia Macam aku kenal saja lelaki ni.
Apa khabar Kay
Baik, Alhamdulillah Dato, balas Khairul Rasheed.
Hari tu I ada nampak you kat airport. Travel ke mana Nak tegur tak sempat sebab you nampak macam kena dek kejar hantu! Laju je berjalan.
Khairul Rasheed tertawa, I bukan bercuti tapi kerja.
Outstation
Khairul Rasheed sekadar mengangguk, tidak suka bercerita tentang tugas di dalam majlis seumpama itu. Apalagi di sisinya ada Kharlissa. Dia berharap lelaki itu berbual setakat itu sahaja. Bukan semua orang tahu tentang tugasnya. Dia memberitahu setiap orang dan kenalan dia bekerja di bahagian pemasaran. Hanya ibu bapa dan kakaknya sahaja yang tahu kerjaya sebenar Khairul Rasheed.
Suatu masa dahulu, semasa bapanya masih muda seusia Khairul Rasheed, dia juga bertugas dalam bidang ketenteraman awam. Namun Dato Salihin sudah lama bersara dan terlibat dalam bidang perniagaan pula.
Mata Dato Emmer beralih pula ke arah Kharlissa di sisi Khairul Rasheed. Lelaki itu tersenyum memandang dan berkata, Nampaknya you dah ada teman istimewa
Lantaran dia jarang ke parti dengan gadis, kebanyakan orang menyangka Kharlissa teman istimewa Khairul Rasheed. Memang Khairul Rasheed berharap hal itu akan menjadi kenyataan. Suatu hari nanti pasti Kharlissa menjadi seseorang yang istimewa dalam hidupnya.
Tak. Kami kawan saja. Kenalkan, ini Kharlissa.
Dato Emmer menghulur tangannya ke arah
Kharlissa.
Hello, sapanya sambil tersenyum.
Kharlissa membalas senyumannya dan tangan mereka bertaut. Perkenalan singkat itu berakhir dengan cepat apabila lelaki itu meminta diri.
Siapa dia Kharlissa berbisik bertanya Khairul Rasheed.
Dato Emmer.
Entah kenapa saya rasa macam pernah nampak
dia.
Di mana
Entahlah. Di tv ataupun surat khabar agaknya. Dia orang yang terkenal
Dia belum dapat mengingat di manakah dia melihat wajah itu. Namun wajah itu seperti dikenalinya. Dia memerhati lelaki itu daripada jauh yang sedang leka berbual-bual. Kharlissa cuba memamah makanan perlahan-lahan sambil otaknya terus bekerja.
Ya Tuhan! Aku dah ingat siapa dia! Wajah Kharlissa pucat sejenak dan dia hampir-hampir menumpahkan makanan di dalam pinggan.