Ketua Menteri Melaka yang baru sahaja dua tahun memegang jawatan dan bersarjana ekonomi itu mula menampakkan bakatnya. Walaupun moralnya boleh sahaja kau pertikaikan kerana skandal tanpa penghujungnya dengan gadis-gadis genit, tetapi dia secara mengejut telah membuat rombakan besar-besaran ke atas tipologi perancangan bandar Melaka.
Ketika itu kami melihat tandas-tandas kayu yang berceracak hodoh di sepanjang pesisiran kiri kanan sungai dirobohkan satu persatu dan diganti pula dengan sistem pembentungan bertamadun. Sungai Melaka yang dikategorikan pakar alam sekitar telah berada pada tahap 4 iaitu
tercemar dibersihkan berperingkat. Dan apabila di tengah malam, kami melihat mak cik-mak cik yang tidak faham bahasa terpaksa berjingkit-jingkit risau ditangkap tetapi tetap juga mencuri-curi membuang sampah di sungai, itu bermakna Akta Kualiti Alam Sekeliling yang dibentuk pada tahun 1974 itu baru mahu dilaksanakan.
Dan semua ini terjadi betul-betul selepas tragedi yang menimpa Ooi, budak Hokkien yang mati lemas tempoh hari. Orang-orang Kampung Morten jelas tidak dapat menerima penjelasan luar biasa Dhiya tempoh hari walaupun polis sendiri telah mengesahkannya setelah membuat siasatan. Dan kau boleh bayangkan penduduk Kampung Morten dengan cerita dongeng gila membuat teori spekulasi agung, bahawa peristiwa budak lemas itu membawa semua perubahan ini.
Justeru itu, pada setiap petang apabila kami bersidai di jambatan Persiaran Datuk Othman, kami cuma dapat melihat orang-orang kampung membuka pentas tok dalang di tangga-tangga batu sambil menghisap rokok berkepulkepul. Budak-budak kampung yang sememangnya mudah terpukau dengan imaginasi orang-orang tua mengelilingi mereka. Mereka menunggu seorang yang lantang mulut menjadi tukang cerita dan mendengar dengan setia seperti pengikut tegar politikus yang membiarkan diri mereka hanyut didendang cerita khayal. Aku pasti setiap kampung punya satu karakter begini. Mereka punya karisma luar biasa untuk memukau penonton walaupun tanpa asas dan fakta jelas. Dan di kampung ini, tidak lain tidak bukan ialah Pak Jasmi.
Pak cik Jasmi memulakan ucapannya dengan bergaya;
Betul tak aku cakap Ahli politik bila ada orang mati baru nak bertindak. Kita dah buktikan jambanjamban kayu atas sungai tu bahaya! Dan kau pun tahu, ketua menteri tu dah dengar aduan daripada orang-orang Hokkien belah sana! Hasilnya Mereka dah robohkan jamban
bodoh tu semua! Hidup rakyat!
Ucapan berkobar-kobar itu dibalas dengan siulan dan sorakan.
Itulah kesimpulan mereka. Ketua Menteri telah mendengar aduan penting daripada rakyat pesisiran untuk membina sistem pembetungan yang baik. Aku mendengar ucapannya itu dengan senyum simpul. Dhiya diam dibalut sebal menepuk mukanya. Ketika ini aku dan Dhiya tahu yang mereka adalah orang-orang tua yang naf dan tidak pernah pun membesar. Tetapi, kami cuma membiarkan kerana tidak sampai hati hendak memusnahkan teori yang bercita-cita tinggi. Memberitahu mereka hakikat pahit yang marhaen seperti kami ini tidak punya tempat di dalam hati politikus.
Aku juga seperti Lim. Pandangan kami tidak pernah berubah. Dengan sepenuh jiwa mempercayai Dhiya telah menyelesaikan misteri kematian budak Hokkien bernama Ooi. Malah ibu bapa Ooi juga menerimanya. Mereka kenal benar dengan anak mereka dan memahami ketaksuban Ooi terhadap ketam lumpur itu tanpa mengenal musim. Namun malang sekali tidak semua orang boleh menerima cerita ini. Apatah lagi ia datang daripada mulut budak comot sembilan tahun. Kami terpaksa menelan pahit kebenaran bahawa tidak semua kebijaksanaan dapat dihadam semua orang. Dan oleh itu, penemuan bakat Dhiya itu perlahan-lahan ditelan masa dan tiada siapa yang menghargainya kecuali aku dan Lim yang akan mengingatinya sehingga mati.
Antara sebab lain Dhiya tidak pernah mengungkit tentang cerita sebenar adalah kerana perubahan positif yang berlaku di sini. Perlahan-lahan di dalam kaca mata Dhiya, Kampung Morten menjadi sebuah perkampungan ideal seperti yang dia pernah impikan.
Satu tempat yang walaupun berada di tengah bandar tidak terusik kemodenan walaupun pembangunan semakin jauh meninggalkan kami. Apabila kami duduk di jambatan besar tinggi itu, kami memandang dengan penuh bangga dan takjub kerana menjadi sebahagian daripada kampung yang unik ini.
Bagaimanapun, di dalam kegembiraan dan kepuasan itu ada sesuatu yang menggusarkan hati Dhiya. Aku membaca renung jauhnya. Di dalam perubahan pantas proses naik taraf pesisiran Sungai Melaka, dia gelisah seperti dapat menjangka sesuatu. Tetapi mulutnya terkatup rapat. Dhiya tetap tidak mahu memberitahu aku walaupun dipaksa. Kemudian aku melupakan renungnya itu begitu saja. Persoalanku itu cuma terjawab lama kemudian.
***
Dingin basah musim monsun masih memuncak.
Bagaimanapun ketika itu, langit cerah bersih bermakna cuaca baik membawa ke malam. Dhiya berlari ke arahku dengan teruja tidak terbendung. Derap kaki laju dan deras itu membuatkan aku berdebar-debar memikirkan apa pula bahana yang berlaku kali ini. Tetapi berita yang dibawa mulut bertihnya itu bagaimanapun benar-benar menggembirakan aku juga. Jerit Dhiya dengan nyaring;
Mereka mula pasang pentas sebelah sana tu, Adi! Ini peluang kita jumpa Lim. Opera Cina! Opera Cina akan dipentaskan nanti!
Aku menyambut berita dengan ketawa girang. Kami berlari ke tempat yang Dhiya maksudkan. Daripada jambatan besar Kampung Morten, kami dapat melihat sememangnya beberapa orang pekerja opera Cina sedang sibuk memasang struktur kayu untuk pementasan.
Betapa hebat. Pentas itu sangat besar tidak langsung seperti yang kami bayangkan. Mereka malah mula membina set bangsawan dengan tingkap-tingkap lutsinar berbingkai merah. Ku jangka ini upacara besar kerana pembinaan set yang teliti malah punya sistem pencahayaan, satu perkara baru dalam persembahan opera di sini. Kami menunggu hingga pekerja itu menghabiskan kerja mereka dan di dalam kepala kami membayangkan hebatnya lakonan bangsawan Cina pada malam nanti. Betapa peluang ini tidak boleh kami lepaskan. Kerana bukan saja besar kemungkinan kami akan bertemu Lim, tetapi menonton opera Cina adalah satu pengalaman baru yang belum pernah kami saksikan.
Tetapi, aku terdiam sebentar. Bagaimana pula kami boleh ke sana Pementasan yang cuma berlangsung pada waktu malam Di waktu kami mengaji pula Aduh. Ibu kau akan benarkan Dhiya aku menduga.
Kemudian aku sedar itu soalan bodoh alang. Soalan aku mematahkan semangat Dhiya. Postur badannya membongkok.
Benci betul aku dengan soalan kau Adi! Dah tentulah tidak. Kau mahu tak jumpa Lim
Lama aku memandang Dhiya. Melihat bening matanya.
Mengingat pertemuan kami dengan Lim. Membayangkan kembara yang akan kami lalui. Kemudian aku senyum.
Dan Dhiya sengih. Jelas perempuan itu punya kuasa sihir memukauku dengan perancangan gila ini.
***
Aku menoleh ke sebelahku dan mendengus. Betapa perempuan ini selalu mengheret aku dengan perasaan bersalah. Lihat saja sekarang. Kami telah pun berpakaian seperti orang mahu ke rumah Allah. Dhiya dengan kurti yang dipakainya pada lebaran lalu dan selendang diikat di bawah leher dan aku memakai baju Melayu cekak musang. Kami membawa muqaddam, rehal dan sejadah; tetapi apabila budak-budak lain menghala ke kanan ke arah surau, kami mengambil jalan ke kiri, ke arah jambatan. Jika kau perasan, ayat tadi dengan sendirinya telah membawa makna muqamad dan mutasyabihat. Betapa kami telah tersesat.
Galau hatiku seperti mahu berpatah balik supaya segala rasa bersalah ini dapat dihilangkan. Bagaimanapun cahaya gemilang daripada pentas opera Cina yang dapat kami lihat daripada seberang memanggil-manggil. Aku cuba menyedapkan hatiku seperti mana ibuku selalu berpesan, jika aku mahu pandai, di mana-mana pun aku boleh pandai. Dan akhirnya aku menyedari alasan ini juga sangat menyesatkan kerana pada dasarnya ibu tidak pernah mengajarku untuk berbohong.
Dan kaki telah membawa kami menaiki jambatan dan tiba di perkarangan pentas opera Cina. Antara takut berani, kami duduk di barisan hadapan di kalangan anak-anak Hokkien yang juga ternanti-nanti persembahan. Mata-mata sepet memandang curiga tidak kami endahkan. Perut kecutku lega sedikit. Masalahnya, kini kami canggung. Tidak ada sepatah pun apa yang mereka katakan dapat kami fahami.
Mata melilau memandang keliling jika Lim akan muncul di celah ceruk manusia yang ramai. Hampa sekali. Tidak kami nampak langsung batang hidung budak itu. Gelisah tidak terbendung. Di belakang pentas, kami lihat pemuzik iring pementasan opera sedang
bersiap sedia. Aku sudah panas punggung. Bertekad mahu pulang saja jika tidak menemui Lim. Tidak ada gunanya menonton pementasan yang tidak tahu butir ceritanya. Aku bingkas. Dhiya kepala batu itu bagaimanapun menarik bajuku untuk terus duduk.
Kita dah sampai ni. Jangan buat kerja separuh jalan. Duduk!
Dengus. Geram benar aku dengan perempuan separuh mereng itu.
Bagaimanapun marahku tidak lama. Tuhan nampaknya tetap menolong walaupun kami telah membuat dosa kepada ibu bapa. Terima kasih Ya Rahman. Harapan kami dimakbulkan. Kami melihat orang tuanya dahulu. Bapa Lim kelihatan tidak sihat. Malah mengurut-ngurut dadanya. Jalannya perlahan. Kemudian kami melihat budak itu. Tenang langkahnya menolong bapanya menjinjing Bi-Fa. Dia berbaju putih dan sesungguhnya dialah malaikat penyelamat kami pada malam itu. Apabila Lim menghulurkan Bi-Fa kepada bapanya, kami segera menjerit memanggilnya;
Lim! Sini Lim! Sini!
Dalam kebisingan orang ramai, Lim menoleh dan memandang kami dengan mata terbelalak. Dan reaksinya mengejutkan kami. Dia berlari hingga dia terpaksa menolak beberapa budak kecil yang menghalang laluannya sambil menjerit kembali;
Dhiya! Adi!
Sesak dadanya. Dia menghirup nafas dan memandang kami dari atas ke bawah. Apabila Lim menyedari apa yang berlaku dia menjengil. Dituruti dengan ketawa berdekah.
Ponteng mengaji Tak senonoh betul! Lim menyambung hilai.
Kami datang cari kau, Lim! Dan memang dah lama nak tengok opera Cina! Kau boleh jadi penterjemah kan Permintaanku disambut sengih kerang busuk Lim.
Leganya hati. Aku dan Dhiya kini boleh bertenang. Merasakan seperti dijaga bidadara bermata sepet yang baru turun dari langit. Sebelum pementasan bermula, Lim yang cerdas juga dengan kerisauan seorang sahabat telah siap-siap memberikan kami garis panduan kiranya kami tidak faham semiotik dan metafora yang digunakan di dalam pementasan opera Cina. Watak-watak terbahagi kepada empat jenis; Seng watak lelaki, Toa watak perempuan, Thiu watak pelawak dan Hoa bin watak dewa dewi.
Warna pakaian pula memberi pengertian jenis watak malah status dan pangkat berbeza. Contohnya kostum merah adalah watak berpangkat tinggi lagi mulia. Warna biru bermaksud pangkat tinggi-jahat. Kuning untuk raja. Hijau adalah lelaki baik budi. Putih membawa erti berkabung atau mendekati kematian. Hitam untuk lelaki kejam atau perempuan malang kesusahan. Warna cair seperti merah jambu dan biru muda pula membawa makna watak yang masih anak-anak. Aku mendengar dengan lopong mulut. Rumit juga opera Cina ini rupanya.
Lim menyambung bicara. Solekan dan dandanan juga membawa maksud tertentu untuk membezakan watak. Jika solekan matanya kecil bermaksud watak lemah lembut. Mata besar bermakna kasar. Misai untuk pelawak marhaen dan janggut runcing
pelawak berpangkat. Bagaimanapun jika janggut itu panjang hingga menutupi mulut membawa maksud watak berkuasa dan pangkat tinggi. Manakala solekan emas dan perak bermaksud golongan dewa-dewa.
Kami mengangguk-angguk mendengar penjelasan Lim. Banyak sekali rupanya tertib dan aturan. Lim kemudian menerangkan lagi, simbolisme yang ada pada kostum juga penting. Jika pada bajunya ada sulaman atau gambar burung phoenix dan naga pada baju raja, itu bermaksud kemakmuran dan kesuburan. Jika pegawai sivil memakai kostum bersulam burung jenjang, bermakna usia yang panjang. Manakala gambar bunga plum pada wanita pula membawa sifat kewanitaan. Pemilihan kostum dan solekan ini kata Lim amatlah mudah ditelan sekiranya adat dan budaya kaum Cina terlebih dahulu difahami. Hakikatnya kaum Cina yang konvensional sangat sinonim dengan kepercayaan kuat terhadap maksud setiap bentuk, warna dan semua unsur kehidupan.
Aku cuma mengangguk-angguk antara faham dengan tidak. Bagaimanapun Dhiya senyum puas dengan mata bersinarsinar. Perempuan itu yang sentiasa berfikir dengan visual di dalam kepalanya dengan mudah memahami pertalian metafora dan simbol pada pementasan. Penerangan Lim menjadikan kami semakin seronok tidak sabar. Maka pementasan itu pun bermula.
Dimulakan dengan muka cerita yang begitu simbolik iaitu adengan Pak Sian Ho Siew; ucapan tahniah kepada para dewa dewi di atas harijadi mereka dengan mengharapkan kurniaan kebahagian, kekayaan dan umur panjang. Lim sebenarnya telah tahu bahawa adegan prolog ini adalah satu istiadat orang Cina untuk menghalau hantu syaitan di kawasan kediaman. Tetapi melihat kami
memakai berbaju Melayu dan Dhiya pula lengkap bertudung, Lim membuat keputusan untuk berdiam. Sesetengah perkara lebih baik dirahsiakan dan sememangnya tidak perlu diusik lebih-lebih lagi apabila melibatkan kepercayaan.
Aku melihat pandangan Dhiya terganggu. Matanya teralih melihat di satu sudut. Seorang budak merinding tubuh berkulit sawo matang. Jelas sekali bukan seorang anak Cina dan bukan juga datang daripada kawasan ini telah menarik perhatiannya. Tanpa Dhiya sedari, budak itu adalah budak yang sama yang telah memerhatikannya semasa kejadian Ooi mati lemas tempoh hari. Budak itu juga menonton opera dengan tekun dan takjub. Aku menyinggung Dhiya. Dhiya memandang budak itu seketika sebelum kembali memandang Lim.
Lim menyambung penerangannya. Babak seterusnya diikuti dengan ritual Thio Kah Kuan, upacara sebagai tanda bersyukur kepada dewa. Dengan dramatik, seorang watak bisu berwajah putih berjalan di hadapan pentas dengan memegang sepucuk surat dengan maksud untuk menjemput dewa dan para penonton menikmati persembahan hingga tamat.
Inilah masanya. Persembahan cerita sebenar opera Cina kemudian baru bermula. Kami tidak menyedari pun betapa panjangnya pembukaan pementasan. Semuanya kerana ia pengalaman baru hingga ritual memanggil dewa pun menjadi satu keasyikan. Kisah yang baru bermula ini dipanggil Tien Lu Sang Hai Tze. Aku dan Dhiya menonton dengan asyik sambil memeluk erat muqaddam, rehal dan sejadah di dada. Lim di sisi kami setia membuat terjemahan tanpa putus. Dhiya sesekali menjeling Lim sambil senyum takjub melihat kepantasan Lim memberi penerangan dengan jelas dan tersusun dalam bahasa Melayu.
Ia adalah kisah lara salah seorang daripada tujuh puteri Raja Jade yang turun ke bumi dan mengahwini seorang sarjana miskin. Puteri mulia itu telah membantunya membayar semua hutang piutang yang telah dipinjamnya. Bagaimanapun, betapa malang selepas setahun anak dewa itu dipaksa balik ke kayangan kerana suaminya telah berjaya menjadi pegawai penting dan tugasnya di dunia telah pun langsai. Beberapa bulan kemudian, puteri itu muncul semula untuk memberikan anak lelaki kepada suaminya. Setelah dewasa, anak separuh dewa itu menjadi begitu terkenal dan mencatat sejarah dengan menyandang jawatan ketua sarjana di seluruh negara China. Kata Lim menyimpulkan pementasan itu dengan kata-kata ucap selamat tinggal tangis hiba daripada sarjana kepada puteri daripada langit; Pergilah. Pergilah kau membawa separuh nyawaku!
Semuanya telah dilakonkan dengan begitu dramatik dengan iringan muzik orkestra Cina yang lirih, cemas dan mempersona. Pelakon-pelakonnya membawa lakonan dengan air muka, gerak badan dan tona suara berlebih-lebihan sehingga menerbit rasa sedih, lucu dan mendebarkan. Ku kira terjemahan Lim sangat berkesan kerana sehingga tamat persembahan pun, kami masih terdiam dan terpaku sambil tetap mendakap ke dada muqaddam, rehal dan sejadah.
Kami pulang. Di satu persimpangan bertentangan, seorang budak misteri berbadan kecil telah berjalan seorang diri di jalan sepi meninggalkan tapak persembahan opera Cina menghala ke Kampung Jawa.
***
Usai sudah persembahan yang kami nantinantikan selama ini. Kami bersidai di jambatan besar bersama Lim. Sudah tentu dengan ulasan terhadap opera yang baru berlangsung. Dhiya masih terlentok-lentok mengingati keanggunan dan kebaikan puteri Raja Jade. Aku pula masih belum hilang rasa kagum bagaimana seorang budak kecil seperti Lim begitu mengambil berat budaya dan resam kaumnya. Dia boleh menceritakan butiran pembikinan opera itu daripada aksesori kepala, mekap malah siri alat-alat muzik dan genderang yang digunakan. Mata Dhiya bercahaya seperti bintang pada malam itu apabila Lim menceritakan semiotik dan makna di sebalik setiap elemen persembahan.
Aku faham mengapa Dhiya tidak akan melepaskan persahabatannya dengan Lim. Di dalam ramai-ramai penghuni pesisir Hokkien dan Baba, kami telah ditakdirkan bertemu budak sepet itu. Ini pastinya bukan kebetulan tetapi aturan Tuhan. Dan Dia merancang sesuatu untuk kami. Sesungguhnya Lim memang budak yang luar biasa.
Setelah puas berbual, kami bungkam. Kemudian Lim menegur. Dia meminta kami berjanji.
Ingat Adi! Dhiya! Kau jangan lagi keluar senyap-senyap waktu malam. Kita nak berkawan lama. Susah nanti kalau ditangkap!
Kami menyambut teguran ini dengan sengih menyeringai dan rasa malu.
Lim juga meminta kami berjanji akan bertemu sekurangkurangnya seminggu sekali di jambatan ini. Hebat sekali. Aku dan Dhiya terus setuju tanpa bantahan. Pembohongan keluar di waktu siang tidaklah semerbahaya pembohongan keluar malam. Janji ini kemudian kami pegang seolah-olah ia dimeterai di dalam perjanjian taat setia Hudaibiyah.
Sepulangnya pada malam itu jika kau lihat di sepanjang jambatan Persiaran Datuk Othman kami telah berlari, melompat dengan girang; kau tahu kami pulang tanpa langsung rasa bersalah. Betapa malam menonton opera Cina juga membawa pengajaran. Bahawa setiap hiburan dan perayaan perlu dimulai dengan memperingati dan berdoa kepada Penguasa semesta alam. Malah menolong jiwa di dalam kesusahan. Juga sangat penting untuk berkahwin dengan perempuan baik-baik dan melahirkan anak yang cerdik. Bukankah itu juga yang di ajar oleh Islam ***
Sebelum tidur, aku teringat kembali apabila aku menunjuk pandai kepada Lim. Aku memberi komen bodoh, bahawa pelakon bermekap merah putih dan membawa watak puteri Raja Jade itu langsung tidak ayu. Suaranya juga nyaring membingitkan. Gerak badannya terlalu mengada-ngada malah. Aku bertanya kepada Lim, mengapa tidak dicari perempuan yang lebih cantik dan anggun
Soalan itu dijawab dengan ketawa besar Dhiya dan Lim. Dan kemudian ketawa bertukar menjadi dekahan berguling. Aku terpinga-pinga langsung tidak faham. Lim menggelenggeleng kepala malas hendak menjelaskan. Rupanya Dhiya, perempuan itu telah tahu dari awal. Dhiya menarik nafas tidak kuasa dan berkata dengan selamba; Puteri raja Jade itu bukan perempuan, Adi. Jantan!