Jejawi Tua - 5
Bab 5

ENTAH jampi mantera apa yang dihembuskan oleh Sahak kepada Pak Syuaib sehinggakan Pak Syuaib sayang sangat dengannya, Sudin tidak tahu. Mustahil Pak Syuaib menurut sahaja katakata dan kehendak Sahak kalau tidak kerana jampi ilmu hitam. Tentu Sahak telah diajar oleh emaknya ilmu penunduk. Sebab itulah, kalau dia nak balik awal, Pak Syuaib tidak ada masalah mengizinkannya. Malah Pak Syuaib bagi lagi tambang dan belanja jikalau Sahak hendak ke pekan bersama-sama emaknya untuk mengambil duit di bank. Kadang-kadang dia terfi kir juga, mungkin Pak Syuaib ada hati dengan emak si Sahak. Sebab itulah, Pak Syuaib baik sangat dengan Sahak. Kata orang, kalau hendak mengurat emak, perlu ambil hati anaknya terlebih dahulu. Namun ingatan liar itu cepat-cepat ditepis oleh Sudin. Mustahil Pak Syuaib berperangai seperti itu. Sepanjang dia bekerja dengan Pak Syuaib, tidak pernah sekali Pak Syuaib memperlihatkan perangai miangnya. Malah hubungan Pak Syuaib dengan isterinya jauh lebih mesra, sekali gus menafi kan sebarang buruk sangka terhadap Pak Syuaib. Sememangnya dia cemburukan Sahak. Hatinya sakit. Bertambah-tambah sakit lagi apabila mengingat kan semula bagaimana Pak Syuaib sengaja mengenakannya dan menjatuhkan air mukanya di hadapan Sahak. Sahak seolah-olah diberikan peluru untuk menembaknya setelah begitu lama dia memperolok-olokkan Sahak kerana takutkan layanglayang yang disangka pontianak di jejawi tua. Suara burung hantu mendayu-dayu di atas pohon tidak jauh dari rumahnya. Bayu malam pula berhembus perlahan dan cukup menyegarkan. Cahaya rembulan tumpah ke tanah dan bersela-sela di celah dedaunan. Suara cengkerik dan keridik serta sekalian unggas malam, hingar bagaikan sedang berpesta menyambut kedatangan malam. Sudin masih berada di jenang tingkap biliknya. Tempat itu adalah tempat kegemarannya. Biarpun ada kerusi meja di bilik, Sudin lebih selesa bertenggek di jenang tingkap sambil menikmati suasana dan persekitaran malam. Tinggal bersendirian bukanlah perkara asing. Sekalipun di rumah itu, dia berkongsi dengan ayahnya untuk tinggal, tetapi amat jarang dia bertemu muka dengan lelaki yang dipanggilnya sebagai ayah. Malam itu, dia tetap bersendirian. Ayahnya tidak kelihatan. Barangkali masih lagi seronok melepak bersama kawan-kawannya di pondok yang terletak di pinggir kebun getah Cik Kiah. Sudin tahu apa yang dilakukan oleh ayahnya di situ. Malah dia pernah ke situ beberapa kali untuk berjumpa dengan ayahnya sekalipun selepas itu dia dihalau dan dimarahi kerana datang ke situ biarpun sudah berkali-kali diberitahu yang dia dilarang sama sekali datang walau apa pun yang berlaku. Mungkin kesunyian kerana tidak mempunyai isteri membuatkan ayahnya sering menghabiskan masa di pondok tersebut. Mungkin juga kerana sudah bosan dengan hidup bertanggungjawab, maka ayahnya memilih untuk melakukan sesuatu yang tidak disenangi oleh masyarakat sekeliling dan agama bagi memenuhi masa lapangnya. Sudin tidak pernah melarang jikalau ayahnya hendak berkahwin lain. Bahkan dia sangat menggalakkan ayahnya mempunyai seorang isteri baharu. Kalaupun ibu tirinya itu tidak menyukainya, Sudin tetap akan berasa senang hati. Setidak-tidaknya dengan mempunyai isteri baharu, ayahnya tidak lagi membuat kerja-kerja yang tidak berfaedah. Setidaktidaknya apabila ayahnya mempunyai seorang isteri, ayahnya lebih bertanggungjawab, baik sebagai seorang ayah, mahupun sebagai seorang manusia. Sebenarnya sudah beberapa kali Sudin ingin memberitahu ayahnya yang dia sangat malu dengan kegiatan ayahnya. Bukan Sudin tidak tahu, kebanyakan orang kampung mencerca dan mengutuk ayahnya. Tiada sesiapa pun di Kampung Sungai Teja yang menyukai dan menyenangi ayahnya. Sudah acap kali benar dia disindir apabila ke masjid terutama pada hari Jumaat. Tiada soalan lain yang ditanya melainkan ayahnya. Kenapa ayahnya tak datang, mengapa ayahnya sudah lama tidak ke masjid, mengapa itu, mengapa ini.... Dan dia tidak pernah mempunyai jawapan yang diberikan kepada orang yang bertanya. Sudin tahu, kalaupun dia tidak memberikan jawapan kepada soalan yang ditanya, rasa-rasanya kebanyakan orang kampung sudah tahu apa yang dilakukan oleh ayahnya sehingga menjadi alasan untuk tidak datang bersolat Jumaat di masjid. Sesuatu yang menjadi kemujuran ialah pada masa yang sama juga, Sudin sebenarnya mempunyai ruang yang cukup luas untuk melakukan apa-apa sahaja yang dikehendakinya tanpa sesiapa melarang. Kecuali Pak Syuaib, kebanyakan orang kampung tidak pernah berminat hendak mengambil tahu keadaan dan kebajikan dirinya. Sahak beruntung kerana masih mempunyai ibu bapa. Lebih beruntung kerana dengan menggunakan alasan emaknya, Pak Syuaib pasti akan memberikan keizinan dan berpihak kepada Sahak. Bukan itu sahaja, bapa Sahak yang bekerja di bandar besar di selatan Semenanjung dan pulang hanya dua kali seminggu, tidak terlibat langsung dengan aktiviti tidak sihat. Kalaupun dia terlibat, orang kampung tidak tahu dan tidak nampak. Tidak seperti bapanya. Siapa yang tidak kenal dengan Pak Su Cik Leh di Kampung Sungai Teja. Persahabatan ayahnya dengan Pak Long Lateh, Mat Ajib dan Man Bewak dibenci dan tidak disukai oleh orang kampung. Kata Tok Imam Tua, perbuatan mereka pasti akan mengundang bala Allah Taala buat mereka sekampung. Namun semenjak dia kecil, dia tidak pernah pula melihat atau berpengalaman berhadapan dengan bala yang disebut-sebut oleh Tok Imam Tua. Oleh sebab itulah, Sudin memerlukan sangat kerja di ladang ayam Pak Syuaib. Setidak-tidaknya dengan wang gaji yang diperoleh daripada Pak Syuaib, dapat menampung kehidupan mereka dua beranak. Sudah terlalu lama ayahnya tidak memberikan wang atau menyediakan keperluan dapur. Bahkan, ayahnya kerap meminjam wang daripadanya dengan tujuan berjudi bersama kawan-kawannya di pondok di pinggir kebun getah Cik Kiah itu. Gaji yang diberikan oleh Pak Syuaib sebenarnya tidak seberapa meskipun mencukupi untuk mereka dua beranak. Namun Sudin kerap mengimpikan kehidupan yang lebih selesa dengan duit yang lebih banyak. Dia tidak joli. Dia tidak bersuka ria. Bahkan dia tidak bermewah-mewah. Dia hidup ala kadar. Belanjanya tidak pernah besar kerana makan dan minumnya sepanjang waktu bekerja, ditampung oleh kebaikan hati Pak Syuaib. Cuma kadang-kadang dia melepak di kepala simpang bersama beberapa orang pemuda kampung. Itu pun kalau dia tidak bekerja pada sebelah siang. Biasanya pada hujung minggu. Mungkin kerana itulah orang kampung kerap melabelkannya sebagai kutu embun dan kaki rayau sungguhpun dia tidak pernah mengganggu sesiapa pun. Melepak di kepala simpang tidak makan banyak belanja. Kalau nasibnya baik, mungkin salah seorang daripada mereka akan bawa makanan dari rumah. Biasanya Sahak yang akan buat begitu. Ada-ada sahaja makanan yang dibawa. Ada kalanya kacang rebus, ada kalanya jagung bakar. Malah ada kalanya juga Sahak akan bawa nasi goreng bersama satu termos air kopi hangat untuk mereka semua. Itu adalah salah satu faktor yang menyebabkan dia tidak begitu berahi untuk bekerja di bandar. Meskipun gajinya tidaklah sebesar mana, setidak-tidaknya kehidupannya gembira di kampung. Apatah lagi dengan makanan yang dibawa oleh Pak Syuaib untuk dia dan Sahak, telah dapat menjimatkan sekurangkurangnya dua ratus ringgit sebulan. Selain itu, cubaannya untuk bekerja kilang yang menawarkan gaji lebih tiga ratus ringgit berbanding gaji yang diberikan oleh Pak Syuaib sering kali gagal kerana kelulusan dan taraf pendidikannya, menjadi penghalang terbesar. Dia pernah menyuarakan kepada Sahak untuk mencari rezeki di bandar besar. Namun Sahak sentiasa ada alasan untuk menidakkan ajakannya. Pun begitu, alasan-alasan yang diberikan oleh Sahak sentiasa masuk ke akalnya. Mana mungkin orang yang tidak mempunyai kelulusan seperti mereka berdua hidup di bandar besar. Terlalu banyak keburukan tinggal di bandar besar tanpa bekalan yang mencukupi. Bukan tidak ada contoh di Kampung Sungai Teja. Contohnya terlalu ramai. Kebanyakan daripada mereka pulang semula ke Kampung Sungai Teja dan bekerja di kilangkilang di pekan tidak jauh dari kampung. Dengung lapar nyamuk merencatkan lamunan panjang Sudin. Kelam-kabut Sudin menampar nyamuk yang cuba mencuri darah di dahinya.

Dah tak ada benda lain yang kau boleh makan selain daripada darah aku

Sudin melepaskan geram pada nyamuk yang berjaya ditamparnya. Nyamuk itu sudah tidak berbentuk nyamuk lagi. Sebaliknya sudah lenyek akibat tamparan Sudin yang agak kuat. Dia menggenyeh-genyeh sisa bangkai nyamuk itu. Kemudian apabila bangkai tersebut berkecai dan hanya tinggal bintil-bintil kecil umpama habuk, Sudin mencium jarinya. Bau hanyir nyamuk menusuk ke pangkal hidungnya. Bunyi orang berdehem membuatkan Sudin sertamerta berpaling ke arah lorong yang menghala ke halaman rumahnya. Sudin sudah dapat menjangka siapakah yang bakal muncul di halaman rumah sebentar nanti.

Dah balik pun... kejap lagi tanya tentang nasi, tentang makanan. Masa kat pondok tu, langsung tak ingat tentang makanan,

rungut Sudin. Kepulangan ayahnya tidak membuatkan Sudin berganjak dari jenang tingkap. Sebaliknya Sudin sekadar tercokoh sambil menudung keningnya dengan telapak tangan dengan harapan, pandangannya lebih jelas dan terlindung daripada silau cahaya mentol bulat yang menghasilkan cahaya kekuningan di beranda rumah. Kelibat ayahnya masih tidak kelihatan meskipun Sudin dapat mendengar seretan kaki di permukaan tanah.

Kau tak tidur lagi, Sudin

Belum.

Menyampah sungguh Sudin mendengar pertanyaan sebegitu. Kalau dia sudah tidur, masakan dia masih tercokoh di jenang tingkap Sudah tentulah dia tengah berbaring di atas katil. Pastilah pertanyaan itu tidak dijawabnya.

Kau ada masak apa-apa

Tak. Kenapa Ayah tak makan lagi

Belum. Lapar sangat.

Hanya suara tanpa batang tubuh ayahnya. Bunyi seretan kaki semakin dekat. Suara ayahnya juga semakin dekat tetapi batang tubuh ayahnya tidak masuk ke kawasan cahaya lampu mentol bulat.

Mi segera adalah.

Buatkan ayah semangkuk. Lapar sangatlah. Sepanjang hari ayah tak makan lagi.

Sudin menghela nafas panjang. Dia sebenarnya malas hendak ke dapur. Perutnya sudah kenyang. Jadi, buat apa dia ke dapur dan memasak. Sudahlah dia terpaksa bekerja mencari pendapatan buat mereka berdua. Sekarang ini, dia terpaksa pula bekerja di dapur untuk menyiapkan makanan buat ayah yang tidak pernah pun bertanya sama ada beras masih di dalam bekas atau gula masih berbaki. Ayahnya hanya tahu memberikan arahan dan pesanannya disiapkan.

Ayah buat sendirilah. Badan saya letih sangat.

Kau ni memang tak boleh diharaplah, Sudin.

Sudin ingin menjawab tetapi dia tidak mahu derhaka. Dia sekadar mendengus dan turun dari jenang tingkap. Dia terus ke katil dan berbaring sambil menggalang dahi dengan lengan. Berdasarkan bunyi seretan kaki di atas tanah, ayahnya sudah pun berada di halaman. Sudin tidak mahu menjenguk ayahnya. Ayahnya tahu bagaimana hendak naik. Pintu rumah mereka tidak pernah berkunci sekalipun sewaktu dia sedang sibuk bekerja di ladang ayam Pak Syuaib dan ayahnya pula berada di pondok di pinggir kebun getah Cik Kiah dengan acara kegemarannya, bermain judi. Sudin beralih baring. Dia mengiring, menghadap dinding. Pun begitu, dia memasang telinga. Ayahnya sudah pasti akan masuk ke biliknya dan memaksa dia untuk memasak. Kalau dia tidak enggan, ayahnya akan membentak dan mula mengungkit-ngungkit kebaikan dirinya selaku seorang ayah. Kalau Sudin menjawab, bermakna pecahlah bibir Sudin akibat tamparan ayahnya. Benjollah penjuru matanya ditinju oleh ayahnya. Lebam-lebamlah mukanya ditumbuk ayahnya. Garangnya ayahnya memang keterlaluan. Semenjak dari dia kecil lagi, Sudin tidak pernah dimanjakan oleh ayahnya. Kalau ayahnya sudah naik angin, tindakannya memang keterlaluan. Cakapnya langsung tidak boleh dibantah atau disanggah. Pantang silap sedikit, kaki dan tangannya akan pantas mendarat di mana-mana bahagian tubuhnya. Sudin tidak pasti apakah arwah ibunya turut menerima nasib yang sama. Namun daripada ceritacerita yang didengarnya, ayahnya sering mendera ibunya dahulu. Malah ada orang kampung yang berpendapat, kematian ibunya adalah disebabkan perbuatan kejam ayahnya. Dia tidak pasti kebenaran dan kesahihan ceritacerita tersebut. Ketika ibunya meninggal dunia, dia masih kecil lagi. Seingat-ingatnya beberapa kali juga dia pernah melihat ayahnya menumbuk dan memukul kepala ibunya sampai arwah ibunya tersungkur di atas lantai. Namun kalau hendak dikatakan, kematian ibunya adalah disebabkan oleh pukulan ayahnya, agak sukar. Kalau benar ayahnya yang menjadi pembunuh arwah ibunya, sudah tentulah lelaki yang berusia hampir lima puluh tahun itu berada di penjara sekarang ini. Atau boleh jadi sudah pun arwah di tali gantung.

Ke mana pula perginya orang tua ni Takkan dia dah naik Tak dengar pun dia buka pintu.

Sudin tidak sedap hati. Dia terus bangun dari katilnya dan berjalan ke pintu biliknya yang tertutup rapat. Daun pintu dibuka dan dia menghidupkan lampu di tengah-tengah rumah. Kelibat ayahnya tidak kelihatan. Pintu utama rumah masih tertutup rapat. Dengan kata lain, ayahnya masih belum naik ke rumah. Tidak berpuas hati, Sudin ke tingkap biliknya yang masih ternganga. Dia menjenguk keluar. Kelibat ayahnya juga tidak kelihatan. Dehem dan seretan kaki sudah tidak kedengaran. Sudin garu-garu kepalanya yang tidak gatal. Angin apa pula ayahnya kali ini Masakan ayahnya marah kerana dia enggan memasak mi segera seperti yang dimintanya

Takkan orang tua ni berpatah balik jumpa kawankawannya

Pelbagai tanda tanya wujud di benak Sudin. Gelagat ayahnya bagaikan budak-budak kecil yang kuat merajuk.

Ah, lantaklah! Aku nak tidur!

Sudin kembali ke katilnya dan berbaring. Dia menarik selimut dan terus mengiring menghadap dinding.

Sudin!

Panggilan itu terlalu dekat. Lebih tepat lagi di luar tingkap biliknya. Suara yang didengar adalah suara ayahnya. Sudin menegakkan kepala dan memandang ke tingkap. Perasaan marah mula mendongkol di hatinya. Mengapa pula ayahnya seperti ingin bermain-main dengannya. Itu bukanlah waktu yang sesuai untuk bergurau. Lagipun sudah bertahun-tahun mereka tidak pernah bergurau. Dia memasang telinga dan cuba mengesan suara ayahnya sekali lagi. Namun suara ayahnya hilang bagaikan ditelan kegelapan malam. Tidak setakat itu, dehem dan seretan kakinya turut ghaib, seolah-olah bayu malam telah menghilangkan keseluruhan bunyi itu. Seolah-olah suara unggas yang riuh menyanyi entah apa lagunya, menghapuskan dehem dan seretan kaki seorang lelaki yang dikenali sebagai Pak Su Cik Leh.

Ah, lantaklah! Takkan tak boleh naik ke rumah. Aku tak kunci pun pintu tu.

Sudin menarik gebar sampai santak ke pangkal dagu. Dia cuba melelapkan mata dan segera mencapai alam mimpi. Pagi-pagi esok, dia sudah kena bangun untuk bekerja. Gertakan Pak Syuaib untuk menggantikan dia dengan pekerja-pekerja asing, merisaukan Sudin. Kalau betul-betul Pak Syuaib lakukan, sudah tentulah dia akan kehilangan sumber pendapatan dan makanan yang utama. Sudahlah hendak bekerja kilang pun susah, kerja di tempat-tempat lain juga belum tentu akan berhasil. Biarpun mata terpejam rapat, telinga Sudin tetap cergas. Mungkin kalau telinganya boleh bergerakgerak seperti telinga lembu, harus cuping telinga itu tidak duduk diam dan berputar ke segenap arah bagi mencari dehem dan suara ayahnya. Sama seperti sebelumnya, Sudin tidak mendengar suatu apa pun, melainkan bahasa alam dan unggas. Dia cuba untuk tidak menghiraukan ayahnya. Namun semakin cuba dihapuskan perasaan ingin tahunya, hatinya bagaikan dijentik-jentik. Kesudahannya, Sudin bangun dari katilnya. Gebar yang menyelimuti tubuhnya tadi, ditolak dan dilemparkan ke hujung kaki. Sudin terus turun dan berjalan sekali lagi ke tingkap yang ternganga luas. Sambil menekan jenang pintu, Sudin menghulurkan kepala dan badannya keluar dari tingkap. Dia cuba mencari kelibat ayahnya.

Aneh, suaranya dekat sangat tadi tapi kat mana pula dia

Sudin garu-garu kepalanya yang tidak gatal. Cahaya dari lampu mentol bulat di beranda tidak begitu mencukupi untuk membuatkan Sudin memeriksa persekitaran rumahnya dengan cekap. Sudin memerlukan bantuan cahaya daripada lampu suluhnya. Dan itulah yang dilakukan oleh Sudin. Dia segera mencapai lampu suluh yang berada di atas meja tulisnya. Lampu suluh itu dinyalakan dan Sudin menyuluh merata-rata untuk mencari kelibat ayahnya yang bersuara sebentar tadi. Ternyata suluhan lampu picit itu juga tidak dapat membantunya.

Eh, tak ada pula!

Sudin mula dihinggapi keanehan. Mana mungkin ayahnya bermain sembunyi-sembunyi. Mana mungkin ayahnya cuba bergurau dengannya. Ayahnya tidak pernah bergurau kecuali tentang keperluan hidup mereka.

Tak jadi ni! Aku kena turun.

Dan itulah yang dilakukan oleh Sudin. Dia meninggalkan jenang tingkap dan menuju ke pintu bilik. Lampu suluhnya sengaja tidak dipadamkan, biarpun lampu di ruang tamu masih menyala. Ada sesuatu yang lebih merungsingkannya berbanding cahaya dan kegelapan. Langkahnya pantas dan besarbesar. Bergegar-gegar lantai rumah dibuatnya. Sememangnya pintu utama rumahnya tidak dikunci bagi memudahkan ayahnya masuk. Namun berdasarkan kepada pemerhatiannya, pintu rumah yang tidak berkunci itu langsung tidak terusik. Dengan kata lain, ayahnya masih tidak pulang dan masuk ke rumah. Tidak sebagaimana suara yang didengarnya tadi, tanda-tanda kehadiran dan kepulangan ayahnya bagaikan tiada. Daun pintu dikangkangkan. Udara malam yang sejuk menerpa masuk, sekali gus berbaur dengan udara kohong yang terperangkap di dalam rumah. Sudin sempat menjenguk ke arah pangkal tangga. Tiada kasut yang sering disarung oleh ayahnya.

Memang belum balik lagi.

Sudin berbisik kepada dirinya. Lampu suluhnya yang masih belum dimatikan, digunakan untuk menyuluh ke merata-rata tempat. Jaluran cahaya berwarna kuning keputihan itu jatuh ke pokok-pokok dan objek yang terdapat di sekitar halaman. Kelibat ayahnya tetap tidak kelihatan.

Tapi suara tadi....

Sudin berkira-kira hendak menuruni tangga apabila dia terpandang kelibat yang sedang berdiri di tepi pokok durian sebesar dua pemeluk di penjuru kiri halaman rumahnya. Suluhan lampu picitnya segera diarahkan ke perdu pokok durian yang ditanam oleh arwah datuk sebelah ibunya puluhan tahun lampau. Darahnya berderau apabila suluhan lampu picitnya menyebabkan dia melihat sekujur tubuh berbalut pakaian serba putih sedang berdiri di tepi pokok tersebut. Tubuh itu sedikit bergerak tetapi kemudian kaku seolah-olah berasakan Sudin tidak perasan kehadirannya di tepi pokok durian itu. Pun begitu, wajahnya tidak kelihatan kerana terlindung di sebalik bayang pokok durian. Berdasarkan bentuk tubuh dan cara berpakaian, Sudin yakin, lembaga itu bukanlah lelaki sebaliknya seorang perempuan.

Siapa pula tu

Sudin bertanya kepada dirinya sendiri. Jarang sangat orang perempuan datang ke rumahnya jikalau tiada sebarang hal penting. Biasanya kebanyakan orang kampung akan cuba mengelak daripada berurusan dengan Pak Su Cik Leh. Masing-masing seolah takut, penyakit gemarkan judi berjangkit kepada mereka seperti berjangkitnya H1N1 atau J.E. Masing-masing seboleh mungkin tidak mahu terpengaruh dengan perbuatan sia-sia itu.

Eh, tu nampak macam...

Sudin mengecilkan matanya.

Kalau tak salah, tu Rohani.

Hati Sudin terus kembang. Siapa yang tidak berkenan dengan Rohani dalam kampung itu Anak dara Ma Pah bagaikan sekuntum bunga yang sedang mewangi di halaman. Anak dara Ma Pah itu bagaikan permata yang sudah pun siap dicanai dan hanya menunggu masa untuk diletakkan di atas cincin yang berukir indah. Malah anak dara Ma Pah yang mekar ranum itu bagaikan buah jambu air pada musim panas yang berwarna merah dan mengecurkan. Hilang ingatannya terhadap ayah sendiri, Sudin terburu-buru menuruni tangga rumahnya. Terburuburu juga dia menyarung seliparnya dan sambil menyuluh ke arah Rohani yang berada di tepi pokok durian itu, Sudin cuba menahan hatinya daripada menjadi terlalu besar. Debar jantungnya bagaikan dipam-pam.

Ani!

Sudin bersuara sekalipun jaraknya dengan Rohani masih jauh. Rohani hanya mendiamkan diri. Pun begitu, dia tidak berganjak dan tidak cuba melarikan diri daripada suluhan lampu picit Sudin. Anak dara Ma Pah itu bagaikan menanti kedatangan Sudin, seperti pengantin perempuan menunggu pengantin lelaki di dalam bilik tidur yang dihias cantik. Sudin terburu-buru melangkah. Dia tidak menyuluh jalan, sebaliknya memastikan suluhan lampu picitnya mengenai tepat ke tubuh dan muka Rohani. Nasibnya agak malang apabila kakinya tersandung akar durian timbul, sekali gus menyebabkan Sudin hampir tertumus ke tanah. Lampu picit yang dipegangnya terjatuh dan bergolek-golek ke tanah. Ketika Sudin bangun dan menyapu pasir yang melekat di baju dan seluarnya, Rohani tiba-tiba berada di hadapannya dan menyerahkan lampu suluh kepadanya semula sambil tersenyum. Suram cahaya dari lampu bermentol bulat di beranda rumah, tidak mampu menyembunyikan kejelitaan Rohani. Bahkan senyuman yang dihadiahkan oleh Rohani kepadanya bagaikan emas sepuluh yang diletakkan di dalam peti berukir cantik dan diarak bersama-sama dayang dari kayangan untuknya.

Ani dari mana Kenapa ada di sini

Sudin sebenarnya cuba menahan debar yang sedang menggila di dadanya.

Memang datang untuk jumpa Abang Sudin.

Nak jumpa Abang Sudin Mak tak tahu ke

Tak. Mak tak tahu Ani keluar dari rumah.

Sudin mendekati Rohani. Rapat sungguh sampaikan bahunya berlaga dengan bahu Rohani. Semerbak aroma Rohani menyebabkan keinginannya terangsang. Wangi sungguh!

Jomlah naik ke rumah.

Sudin cuba memberanikan diri mempelawa Rohani. Itu adalah kali pertama dia dapat berbual dengan Rohani. Selama ini dia hanya mampu berkhayal tentang Rohani atau bercita-cita hendak berbualbual dengan anak dara Ma Pah itu. Tidak disangka pula, malam itu rezekinya sungguh lumayan. Dia bukan sahaja dapat berbual, malah Rohani bagaikan menyerahkan diri untuk ditatang dan dibelai olehnya.

Nanti orang nampak,

Rohani bersuara manja.

Tak ada sesiapa yang nampak. Orang tak berapa nak datang ke rumah ni,

Sudin pantas memberikan jawapan. Dia sebenarnya sudah tidak mampu menahan keinginannya. Kalaulah bukan kerana itu adalah kali pertama, sudah pasti dia tidak akan membiarkan waktu terluang begitu sahaja. Setiap detik, dia akan menyentuh dan membelai Rohani. Lebih cepat sampai pada maksud, itu lebih baik.

Ayah abang dah balik

Belum.

Rohani tersengih bagaikan gembira. Begitu juga dengan Sudin. Pun begitu, sengih Sudin tidak lama. Ada sesuatu yang segera merasuk benaknya.

Kenapa Ani tanya tentang ayah abang Macam mana Ani tahu, ayah abang balik masa ni

Rohani tidak terus menjawab sebaliknya tersenyum dengan matanya yang redup. Tangan Sudin digenggam dan Rohani sendiri menarik Sudin ke arah tangga rumah. Sudin bagaikan terpukau. Segala pertanyaan yang sedang berlegar-legar di benaknya hilang entah ke mana. Sudin sudah dapat membayangkan keseronokan dan kegembiraan yang bakal dijalaninya sebentar nanti.

Ani jangan bimbang. Malam ini, abang tak fi kir ayah abang akan balik. Mungkin dia tengah seronok dengan kawan-kawannya tu.