Tiba-tiba seluruh rumah Cikgu Muhammad bergegar. Dentuman dan ketukan di pintu hadapan sudah tak dibendung. Cikgu Muhammad lekas membuka pintu, Mak Cik Vijaya berlari mendapatkan tuala menutup kepala dan Leman serta abangabangnya juga berlari ke ruang tamu. Kelihatan Tok Penghulu Ariffin tergagap-gagap ketakutan.
Aku nampak orang minyak cikgu! Aku nampak betul!
Tok Penghulu diajak masuk ke dalam rumah. Saat Cikgu Muhammad menjenguk di luar rumah, rupanya sudah ada empat lima orang yang mengikut Tok Penghulu. Semua dijemput naik. Mak Cik Vijaya lekas menjerang air dan Leman membantu menyusun cawan-cawan putih kristal kemudian dituangnya air teh kosong dengan gula sedikit di semua cawan-cawan tersebut.
Leman mengangkat perlahan-lahan. Wap-wap air dari semua cawan berebut naik ke ruang udara. Nah abah.
Cikgu Muhammad menyambut secawan, kemudian Tok Penghulu, kemudian semua yang ada di ruang tamu. Leman memeluk erat dulang kayu yang dibawanya tadi kemudian duduk bersila di sudut kecil hujung ruang tamu. Dipandangnya seorang demi seorang, ada yang sudah menghirup air, ada yang saling mendengar perbualan Tok Penghulu dan ayahnya, ada juga yang masih mencekak pinggang menahan marah.
Malam semalam, memang Tok Penghulu kampung seberang dah beritahu. Ada orang minyak mengganggu anak dara! Hari ni, aku sendiri nampak! Tok Penghulu mengurut-urut dadanya. Katanya sedang elok beliau mahu masuk tidur, beliau terdengar bunyi di dapur. Lalu beliau kembali dan membuka lampu. Terus sahaja kelihatan kelibat manusia hitam legam yang sedang mencangkung di bibir tingkap lalu laju terjun.
Sudah berapa dekad tidak kedengaran kisah orang minyak di Pasir Rawa. Waima yang paling ditakutkan hanya kisahkisah kematian di Sungai Semantan sahaja. Kali ini debaran Tok Penghulu bagai sudah nampak serigala jadian. Memang menakutkan. Wajahnya masih berpeluh-peluh. Sekejap-sekejap mengelap dari dahi ke dagu. Kemudiannya kembali menguruturut dada.
Memang dari awal jika ada kes-kes sebegini, Cikgu Muhammad jugalah tempat mereka merujuk dan mendapatkan nasihat. Leman sekadar memerhati. Dari kisah orang minyak hingga kisah pergaduhan si polan dengan si polan tentang berebut tanah. Juga kisah mak cik-mak cik yang bermadu dan berkongsi suami. Habis digosipkan sekali gus. Dari berdebar-debar bercerita tentang orang minyak hingga naik sheikh bersemangat bercerita tentang kerbaunya mati dilanggar bas Union juga habis serentak dikongsikan.
Cikgu Muhammad menutup perbualan malam itu dengan nasihat dan cadangan untuk memulakan rondaan jawatankuasa pada setiap malam. Tok Penghulu Ariffin terus menyambut dan bersetuju secara diktator. Senang sahaja katanya mahu mengarah anak-anak buahnya untuk bersama menjadi komando kampung. Semua ketawa kecil mendengar sahutan semangat Tok Penghulu.
Akhirnya semua pulang ke rumah masing-masing saat jam sudah pun hampir empat pagi. Asalnya hanya mahu takut-takut bersama, kini semua segar bugar kembali ke rumah masingmasing dengan satu semangat waja.
Berdekad lalu, kisah orang minyak ini menjadi ketakutan orang-orang kampung. Lembaga hitam melikat ini suka benar mengganggu anak dara dan ada yang dikatakan hingga merosakkan gadis-gadis itu sendiri. Kisah seram dan jijik ini pantang didengar oleh orang kampung. Sama ada takut atau berani mahu berperang, kadang-kadang ia bertukar-tukar di antara seram dan perang. Cikgu Muhammad mengambil pendekatan paling mudah. Lapor kepada polis terlebih dahulu, kemudian memulakan jawatankuasa kampung untuk membuat rondaan.
Malam pertama rondaan mereka tidak mendapat apa-apa. Hanya bersembang dalam kelompok kecil antara sukarelawan kampung. Mak Cik Vijaya, Mak Cik Cah dan beberapa mak cik-mak cik menyediakan juadah dan kopi bagi menghilang mengantuk. Begitu juga malam-malam yang seterusnya, tidak mendapat hasil.
Pak Imam memulakan program bacaan Yasin di surau. Adalah lebih kurang separuh jemaah yang memenuhi ruang-ruang surau yang sedia usang. Binaan kayu jati dari pintu hadapan dengan tiga mata tangga dan kolah petak di sebelah pintu masuk kanan surau mengindahkan pemandangan. Juga beduk yang tergantung tinggi buat makluman masuk waktu solat masih lagi kukuh di sebelah kiri.
Ada yang datang membawa bekal. Ada juga yang hanya sekadar duduk di tangga menanti waktu makan. Leman dan Faduli awal lagi membentang sejadah dan mengagihkan surah Yasin yang sudah pun lusuh. Sekejap-sekejap Pak Imam melambai untuk itu dan ini, Faduli mengikut sahaja manakala Leman leka dengan menyusun selipar-selipar supaya senang diambil saat habis program nanti.
Elok sahaja bacaan Yasin dimulakan, terdengar suatu teriakan di pinggir kampung. Wanita-wanita yang di sebelah kain penutup pembahagi di dalam surau menjenguk keluar. Manakala yang lelaki dan jantan-jantan terus sahaja berlari ke arah suara yang masih memekik-mekik.
Pak Imam! Orang minyak terlepas lagi! Dia kacau anak Pakcik Rashid, syukurlah dia menjerit! kata salah seorang orang kampung. Semua jemaah mengurut dada. Pak Imam bingkas minta bacaan Yasin disudahkan juga dan skuad rondaan perlu lebih kuat mengawal malam ini. Katanya pada malam tersebut, orang minyak itu sudah hampir ditangkap dan dipukul. Tibatiba ia lari dan hilang begitu sahaja.
Maka makin berdebarlah penduduk kampung Pasir Rawa. Setiap senja tidak ada lagi bunyi-bunyian di luar rumah. Segala jendela dan pintu dikunci serapatnya. Siap diletakkan alang dan bendul bagi mengelak manusia berupa hantu ini menjejakkan kaki ke dalam rumah. Cikgu Muhammad tidak terkecuali. Diberi setiap seorang di dalam rumah dengan sebeluti kayu. Supaya senang untuk memukul jika terjadi apa-apa.
Leman tidur antara sedar dan tidak. Pantang terdengar berbunyi detik kecil pun, pasti dia tersedar.