Laju sahaja Jaja dan La mendekati dan duduk di antara Nurul. Nurul di tengah-tengah, nampak tersepit dan mereka teraba-raba kertas tersebut. Nurul mengelak-elak. Disiku-sikunya dua kawannya itu lalu dibukanya perlahan-lahan.
Waktu pulang, salinglah merindu.
Waktu datang nanti, salinglah memberi senyum. -Anuar.
Nurul terus bangun. Berdiri tegak lalu mengoyak rabak kertas kecil tersebut. Tangan kecilnya itu menggigil-gigil. Lalu terus berjalan laju ke arah tong sampah biru tua yang sudah punya plastik biru muda tersebut dan membuangnya ke dalam tong sampah. Wajahnya merah menyala. Marah. Seolah-olah semua darah di badannya sedang berkumpul di wajahnya itu. Jaja dan La membeliakkan mata. Tidak pernah mereka melihat Nurul sebegitu rupa. Lalu Jaja bangun dan mendapatkan kawannya itu.
Bodoh! Bodohnya! Nurul memekik dan meletakkan kedua tangannya di kedua telinga. Matanya dipejamkan seerat-eratnya dan giginya diketap.
Jaja bertindak, awalnya dipegang tangan Nurul. Diusap-usap perlahan dan kemudiannya dipeluk dan disapu dibelakang badan Nurul. Jaja hanya mahu menenangkan sahabatnya itu. Itu sahaja. Nurul kembali duduk dan memberi senyum kelat kepada Jaja dan La, lalu berkata Aku tak akan bercinta. Itu tak akan berlaku. Hanya satu nama dalam diri aku. Satu hari nanti kau akan tahu. Jaja dan La mengangguk sahaja. Kemudian ada pengumuman. Terus semuanya saling memberi senyum dan bersalam. Ayah dan ibu masing-masing sudah pun datang dan mengambil mereka.
Semua pulang ke rumah ibu bapa masing-masing. Nurul tidak memandang langsung ke Aspura. Hatinya cukup membara dengan surat kecil itu. Memang ya boleh menambah fitnah kepada dirinya. Itu pun sudah cukup berjaga. Masih lagi ada yang suka mengurat hingga ke tahap menghantar nota. Jika diketahui Ustazah Nora dan Cikgu Zul, pasti lebih parah. Lebih lagi jika ditangkap, sudah pasti ibu bapa yang perlu hadir dan menerima sesi kaunseling daripada warden dan guru disiplin. Itu pasti memalukan. Itulah antara perkara yang paling ditakuti oleh ibu bapa jika menghantar anak-anak ke sekolah berasrama. Kisah cinta di sekolah, tak pernah menemui jalan cinta sebenar. Menipu dan tidak menjebak kepada realiti yang betul. Ia lebih kepada memuaskan kekosongan hati yang patutnya diisi dengan perkara seronok seperti berkawan, mengenali dunia buku dan belajar mencari erti tentang siapa ibu bapa yang patut dihormati dan disayangi. Nanti-nanti, apabila sudah ke Universiti, berjumpa dengan pilihan hati, semua itu akan dikebelakangkan. Lebih lagi menjadi anak gadis, pilihan jodoh mesti tepat dan betul. Itulah yang akan memacu hidup dan memberi kunci kepada pintu syurga.
Assalamualaikum mak. Nurul menghulur salam kemudian dicium pipi kanan dan kiri ibunya. Abahnya juga. Berseri-seri wajahnya apabila disambut oleh kedua ibu bapa untuk pulang ke rumah di Mentakab selama satu minggu. Perjalanan dari Jengka ke Mentakab mengambil masa lebih kurang satu jam sahaja. Itu jika kereta tidak banyak dan tidak ada kemalangan yang berlaku sepanjang jalan. Jalan kecil dua lorong dari Jengka hendak menuju ke luar ini dibina pada awal tahun 1970-an yang mana selama ini hanya bersalut dengan tanah merah sahaja.
Gugusan Jengka merupakan gugusan Felda terbesar di Malaysia yang terletak di negeri Pahang Darul Makmur. Gugusan ini juga dikenali sebagai Segitiga Jengka kerana kedudukannya meliputi tiga daerah iaitu Temerloh, Jerantut dan Maran yang mana pernah dikatakan saiz Felda Jengka ini bersamaan dengan saiz Negeri Melaka. Besar ya ampun.
Dengan adanya tanah rancangan-tanah rancangan Felda ini, maka muncul sebuah bandar baru yang dikuasai oleh masyarakat Melayu seratus peratus iaitu Bandar Jengka. Bandar Jengka adalah satu inspirasi bekas perdana menteri Malaysia yang kedua Tun Abdul Razak untuk mengujudkan satu bandar 100 peratus orang Melayu. Tapi kini Bandar Jengka tidak lagi dimonopoli oleh orang Melayu sahaja, kerana di kawasan Jengka 15 terdapat satu deret kedai telah ditembusi oleh peniaga bukan Melayu.
Nama Jengka diambil daripada nama sebatang sungai kecil yang terdapat di sini iaitu sungai Jengka.
Gugusan Jengka terdiri daripada 25 buah rancangan Felda yang menjadi pengeluar sawit dan getah. Ianya terdapat di sepanjang jalan raya dari Temerloh ke Bandar Jengka, juga dari Maran. Terdapat 25 buah Jengka yang ditandai dengan nombor 1 hingga 25. Di samping nombor yang diberikan berdasarkan kawasan yang lebih awal dibuka, Jengka-jengka tersebut juga diberikan nama mengikut nama bunga. Pemilihan nama bunga juga adalah mengikut abjad bagi mengenal pasti kawasan yang lebih awal dibuka. Oleh itu satu-satu Jengka itu dinamakan sebagai Jengka 1 (Anggerik), Jengka 2 (Cempaka), Jengka 3 (Dahlia), Jengka 4 (Kemboja), Jengka 5 (Kekwa), Jengka 6 (Keembong), Jengka 7 (Kenanga), Jengka 8 (Kesidang), Jengka 9 (Kesumba), Jengka 10 (Mawar), Jengka 11 (Melati), Jengka 12 (Melor), Jengka 13 (Putri Malu), Jengka 14 (Bunga Raya), Jengka 15 (Semarak), Jengka 16 (Sena), Jengka 17 (Seri Pagi), Jengka 18 (Seroja), Jengka 19 (Siantan), Jengka 20 (Tanjung), Jengka 21 (Teratai), Jengka 22 (Terkis), Jengka 23 (Tonkin), Jengka 24, dan Jengka 25.
Hal ini bermakna Jengka yang pertama dibuka ialah Jengka 1 manakala Jengka yang terakhir dibuka ialah Jengka 25. Dalam kawasan Jengka juga terdapat tanah rancangan Felda yang tidak menggunakan nama Jengka, kerana ia di tubuhkan lebih dahulu dari Jengka itu sendiri. Antaranya Felda Kampung Awah pada 1963. Felda Ulu Jempol pada tahun 1965, dan Felda Sungai Nerek pada tahun 1967.
Siti Nurhaliza antara nama yang mengharumkan nama Felda Kampung Awah. Kehadirannya dalam industri muzik tanah air tiba-tiba menggegarkan suasana. Anak pegawai polis ini menjadikan Felda Kampung Awah tiba-tiba dikenali dengan begitu berseni. Di sana sini orang menyebutnya walau keluarganya kini sudah menetap di Kuala Lipis.
Kesemua tanah rancangan Felda ini dibangunkan bukan pada satu masa. Mereka ini (penduduk) dibawa dari pelbagai negeri untuk membuka tanah, kemudian menjadikan setiap satu tanah itu sebagai satu perusahaan yang membantu mereka dan juga negara. Kerajaan membantu memberi benih, peralatan dan rumah. Malah dikatakan penduduk paling awal yang membina perumahan rancangan Felda waktu itu membina rumah mereka sendiri di atas tanah-tanah yang telah dibahagikan oleh kerajaan.
Kesusahan mereka bukan sahaja bermula dari membuka tanah yang ditarah dari hutan tebal. Mereka juga berhadapan dengan haiwan dan binatang liar seperti gajah, harimau juga seladang. Malah, masih ada cerita orang lama yang masih hidup dengan luka gigitan binatang buas tersebut. Kesusahan mereka ini menjadi inspirasi buat anak-anak. hanya dengan rumah dua bilik bagi setiap peneroka, akhirnya perlahan-lahan anak-anak mereka ini belajar dan menuju ke menara gading. Kemudian bekerja dan pulang dengan membantu ibu bapa mereka pula.
Abah Nurul memberhentikan kereta di Simpang Jengka. Betul-betul masuk ke dalam ruang berpagar dan meletakkan kereta di dalam kawasan masjid. Mereka menunaikan solat dan kemudian kembali menaiki kereta Proton Saga berwarna putih yang dibeli abah Nurul beberapa bulan lalu. Kenderaan nasional itu cukup kuat dan utuh. Malah, menjadi kebanggaan sesiapa yang memilikinya.
Inspirasi Dato Seri Dr. Mahathir Mohamad memang sentiasa memberi daya tinggi semangat dan motivasi kepada rakyatnya.
Macam mana dengan sekolah kau, Nurul Semua okey Jarang benar kau telefon mak.
Oh, okey je mak. Belajar je macam biasa. Kawan pun semua okey. Best. Nurul Menjawab.
Duduk jauh ni, kau rajinlah telefon. Kot perlu duit ke atau susah nak beli apa-apa, mak boleh hantarkan. Masa abah kau ada, senang sikit. Emak Nurul menyambung. Nurul hanya angguk sahaja dan abahnya memandang dari cermin pandang belakang. Senyum juga melihat anak gadisnya itu semakin membesar.
Sesampainya di Mentakab, Nurul terus memasuki biliknya. Meletakkan beg, kemudian dipasangnya terus radio lama yang menjadi teman sebelum ini.
Rumah yang masih teguh di pesisir Sungai Semantan ini tetap dihiasi dengan bunga kertas dan melor yang saling berlawan kembang antara satu sama lain. Lebih indah dengan campuran warna dalam sebuah pasu. Itu kelebihan emak Nurul yang sangat bijak mengacukkan pokok-pokok bunga kertas tersebut.
Nurul bingkas bangun ke ruang tamu. Duduk-duduk memandang semua yang masih ada. Sama sahaja seperti sebelum beliau pergi ke sekolah berasrama dulu. Tak ada perubahan waima televisyen masih bertudung dengan kain putih yang berlubang-lubang kerawang.
Nurul menyelak-nyelak beberapa helaian surat khabar lama di bawah meja kopi ruang tamu. Bertimbun surat khabar di letakkan di situ. Matanya liar mencari kelibat penyanyi yang satu itu. Yang pernah menggegarkan hatinya untuk mengetahui lebih banyak lagi tentangnya. Katanya sudah pun keluar album dan singlenya sedang meletup di pasaran, Jerat Percintaan.
Nyata hendak mendengar lagu tersebut, perlulah membeli kasetnya. Namun itu sangat sukar untuk berlaku. Jadi, mahu tidak mahu, pasang sahaja radio sampai pengsan. Perlu dengar suaranya itu sekadar dengar membisik sahaja. Jika memasangnya dengan kuat, sudah tentu dimarahi emak dan dibebelkannya meleret-leret. Dan Nurul memastikan setiap waktunya itu dapat mendengar suara merdu penyanyi yang beliau ingin benar kenali tersebut.
Dari asar ke maghrib, dari maghrib ke isyak. Sekejap perlu ke dapur menolong emaknya, sekejap lagi perlu mengemas ruang tamu. Kemudian melayan makcik-makcik yang datang bergosip di laman dengan perlu menyediakan kopi dan teh o, kemudian emaknya meminta ke kedai membeli biskut kering.
Lalu, langsung tiada peluang mendengar suara Siti Nurhaliza. Yang ada hanya lagu-lagu yang sudah biasa didengari. Ella, Bumiputera Rockers, Ziana Zain, Fauziah Latif, Erra Fazira juga dari kumpulan Wings dan Search. Sentiasa berputar ke situ juga. Lalu Nurul menghempaskan kepala di bantal, kepenatan. Kemudian mencapai radio tersebut kemudian diletakkan di tepi kepala. Dipandang-pandangnya supaya adalah waktu ajaib lagu tersebut akan keluar. Elok matanya tertutup, seakan mahu terlelap.
Tiba-tiba, intro lagu yang satu ini belum pernah beliau dengari. Dan beliau perlahan-lahan menguatkan suara. Dan...
Dalam pertemuan ini
Kita terperangkap sudah
Dalam jerat percintaan
Yang tidak disangkakan
Aku telah jadi lupa siapa diriku ini
Engkau juga dihanyutkan
Oleh arus percintaan mu
Tapi pabila aku sedar diri siapakah aku ini
Aku tertanya sendiri apakah akan terjadi
Oh apakah kita kan teruskan
Di dalam arus percintaan
Perlukah kita untuk berkorban
Demi pertahankan kebahagiaan
Dalam persimpangan ini
Ku masih terus menanti
Dalam rasa keharuan
Di manakah akhirnya
Nurul bangkit duduk. Wah, perlu dibeli kaset ini nampaknya. Berapalah harganya dan di manakah tempat untuk membelinya. Lalu kembali baring dan senyum sendiri. Sudahlah hatinya itu diganggu oleh manusia bernama Anuar, kini elok pula lagu itu bersanding di telinganya. Memang kena. Liriknya itu seakan memahami dirinya. Ya, tak mungkin dia akan terjerat dengan mudah oleh lelaki begitu. Walau titik sukanya banyak. Titik persamaannya juga ketara, itu tidak mungkin. Sekolah tetap sekolah. Tak pernah ada janji untuk sehidup semati menemu syurga.
Kehendak dalam dunia cinta ini sebenarnya sesuatu yang boleh menghiris hati ramai orang. Memang perlu berhati-hati dan cakna dalam setiap perkara yang diperbuat. Sama ada mahu jatuh cinta, atau menerima cinta. Lebih lagi usia semuda itu.
Nurul mendengus berkali-kali. Tidak, tidak mungkin. Meskipun manusia itu hidup dengan tempo dan irama denyut nadi. Yang kadang kala laju kadang kala perlahan, ia tetap tidak mudah untuk diertikan sama dengan nilai cinta yang selalu buat manusia jatuh berkali-kali.
Mudah sahaja orang berbicara tentang jatuh cinta. Sedangkan perkataan jatuh itu bisa sekali membuat luka pada muka, pada badan, tangan, kaki serta paling utama ialah hati. Itulah yang benarnya. Memberi luka dan dalam waktu sama menghargai semua itu untuk hidup bersama-sama.
Cinta perlu disemai. Bukan sekadar memandang lalu suka. Bukan sekadar mahu berseronok namun tidak mahu bersusah dan menangis hiba. Bukan.
Malam yang sudah sarat dengan bintang-bintang itu bagai ikut turut serta dalam perasaan Nurul. Yang suatu ketika dulu pernah ditinggalkan begitu sahaja. Pergi tanpa berita dan sengaja ditekap dengan kesan dan ingatan yang tak boleh ditanggalkan.
Ia manis untuk dikenang. Buat jiwa ikut suka. Bibir ikut senyum. Lalu tertidur dan bermimpi yang indah dan istimewa.
Di Mentakab, pasti tidak sama angin yang menyapa berbanding dengan angin Kuala Lumpur yang selalu sahaja dihalang oleh bangunan tinggi-tinggi. Sampaikan makhluk Tuhan yang tidak suka menonjolkan diri itu jadi malas mahu memberi kau nyaman dan sejuk. Lalu kau berpanas-panas di kota dan terpaksa menggunakan kipas mengayun wajah sendiri.