Elzaara membatukan diri. Langsung tidak dipandang wajah Lyn yang bersungguh untuk memujuknya.
El... Jamahlah sikit ya Sikit pun jadilah, buat ambil hati Mak Long. Aku suapkan kau nak Lyn terus memujuk Elzaara untuk menjamah kek coklat tersebut.
Baru sahaja dia mahu menyuapkan sesudu kek, Elzaara terus menepis piring kek coklat tersebut sehingga berderai piring di hujung balkoni bilik itu. Matanya sudah mulai besar dan pandangannya juga cukup menggerunkan hati Lyn.
Aku kan dah kata aku tak nak makan, aku tak naklah! Kau ni memang tak reti bahasa ke! Kau nak aku cakap bahasa apa baru kau nak faham! Bahasa Perancis! Bahasa Mongolia! Ataupun kau nak aku cakap bahasa Antartika! Elzaara menengking Lyn.
Tubuh Lyn digoncang hebat bagai melepaskan yang terbuku di hati. Elzaara hanya memandang kek tersebut dengan penuh kebencian. Lyn terkedu seketika apabila melihat Elzaara naik hantu. Tak pernah dia melihat Elzaara naik berang seperti itu.
Baik kau keluar sekarang dari bilik ni. Aku nak bersendirian. Tolong Lyn. Angkut sekali air teh tu sebelum aku campak ke bawah. Jangan lupa, tolong tutup pintu bilik sekali! Elzaara terus berdiri tegak membelakangi Lyn menghadap keluar di balkoni itu.
Lyn yang memahami kehendak Elzaara segera keluar dengan membawa dulang dan cawan yang berisi air teh limau suam tadi. Sebelum keluar, Lyn sempat mengutip sisa-sisa kaca piring dan kek yang tergeletak di atas lantai balkoni. Sebaik daun pintu bilik arwah Kak Elfira tertutup rapat, dadanya terasa sebak dan dia memaut kedua-dua belah lutut yang dilipat ke atas. Dia berteriak sekuat hati di balkoni itu dan cuba menumbuk dinding.
LYN melabuhkan punggungnya di atas kerusi bersebelahan ibunya sambil mengeluh perlahan.
Melihat akan riak wajah Lyn, Puan Rahayu dan Encik Yusuf sudah dapat meneka apa yang terjadi. Mereka sudah maklum dengan perangai Elzaara yang berubah mendadak sejak kematian anak sulung mereka. Puan Rahimah dan Encik Ibrahim sudah dapat mengagak apabila melihat raut wajah anak mereka yang keruh lagi mendung. Masing-masing diam membisu.
Hm, saya ada terfikir, kenapa kita tak bawa El pergi berubat dengan ustaz ke Kan ke sekarang ni banyak pusat perubatan Islam sekarang ni. Kita cuba bawa El berubat ke sana mana tau kot-kot boleh berkesan ke saran Encik Ibrahim tiba-tiba.
Maksud Ib, bawa jumpa bomoh ke Ish, kalau bomoh-bomoh ni Abang Long tak naklah. Syirik tu semua. Silap-silap bukan boleh pulih, makin teruk pula jadinya. Tak payahlah Ib, sanggah Encik Yusuf menolak saranan daripada birasnya.
Abang Long, yang Ib saran ni bukan bomoh tapi Ustaz. Ustaz yang merawat ni pakai ayat-ayat Al-Quran. Kalau Abang Long nak, nanti saya cuba tanya kawan saya. Dia tau tempat tu. Abang Long jangan risau, perubatan Islam ni tak sesat macam tok-tok bomoh yang pakai tangkai, azimat tu semua. Kalau tak silap saya nama dia Pusat Perubatan Darul Syifa. Insya-Allah Abang Long, rawatan Islam ni memang berkesan.
Hm, tengoklah dulu macam mana. Nanti Abang Long fikirkan, putus Encik Yusuf. Dia sebenarnya tidak berapa yakin dengan cadangan birasnya itu. Iyalah zaman sekarang ni orang suka menggunakan perkataan Islam untuk menarik perhatian orang ramai.
Encik Ibrahim mengangguk.
Lisa bila balik daripada London Ib, Imah Dia dah habis study, kan Soal Encik Yusuf yang cuba untuk mengalihkan perhatian mereka semua daripada terus membahaskan soal Elzaara.
Insya-Allah katanya dalam minggu ini juga Abang Long. Dia baru je habis majlis konvokesyen minggu lepas. Tu yang kami semua berangkat ke London tu, balas Encik Ibrahim. Puan Rahimah menganggukkan kepalanya tanda mengiyakan kata-kata suaminya.
Kenapa dia tak balik lepas majlis konvokesyen je hari tu
Cadangnya macam tulah Kak Long, tapi dah dia kata dia nak selesaikan macam-macam hal dekat sana dulu sebelum balik ke sini, ujar Puan Rahimah menjawab pertanyaan Kakaknya.
Lisa yang sedang menuntut di London dalam bidang psikologi peringkat Master kini sudah tamat pengajiannya. Dia yang juga seperti Lyn rapat dengan Elzaara dan Elfira sekeluarga. Mereka rajin berhubung di alam maya tetapi mulai jarang berhubungan sejak Elfira mendirikan rumah tangga.
Ha! Lyn yang diam sahaja dari tadi tibatiba bersuara dan membuatkan semua terkejut memandangnya. Lyn ada idea macam mana kita nak tolong El, Lyn tersengih-sengih apabila melihat kedua ibu bapanya dan Pak Long dan Mak Long memandangnya dengan raut wajah yang pelik.
Masing-masing menantikan apa plan Lyn yang sebenarnya.
Kan Kak Lisa nak balik Malaysia dah, apa kata kita suruh je Kak Lisa bantu si El tu. Mana tahu El nak dengar cakap Kak Lisa ke El pun rapat dengan Kak
Lisa. Mungkin Kak Lisa boleh cairkan hati beku El tu.
Cadangan Lyn membuatkan ibu bapa mereka tersenyum lebar.
Haahlah. Kenapa kita boleh tak terfikirkan hal ni ya sebelum ni Selain Lyn, Elzaara pun rapat dengan Lisa juga. Mungkin Lisa boleh tolong Elzaara. Siapa tau Elzaara nak dengar cakap Lisa. Abang suruhlah Lisa balik Malaysia cepat ya. Mungkin kalau Lisa nasihatkan Elzaara, dia nak berubah ke sahut Puan Rahimah.
Wajah masing-masing bertukar ceria dan mereka berdoa supaya Lisa boleh membantu untuk memulihkan jiwa Elzaara. Hanya Lisa sahajalah harapan mereka sekeluarga kini.