Gadis Kebaya Merah - 5
BAB 5

BALIK dari pejabat tadi, Kudin terus ke rumah. Seharian dia menatap dan membelek fail yang bertimbun atas meja. Kusha pula sengaja lambakkan semua jenis fail atas mejanya. Bukan nak letak dengan baik tapi sengaja dihempas kuat! Huh! Kalau lelaki yang berkenan nak jadikan bini tu, baik blah awal-awal. Aku sendiri tak akan rekomen perempuan kasar macam tu. Menghabiskan beras saja!

Kudin sandar kepalanya di sofa. Rupanya kerja pejabat lagi penat daripada kerja di sawah. Nampak saja duduk kat kerusi tak bergerak ke mana, peluh pun malu nak menitik, tapi kena perah otak nak menghadam semua mak nenek kerja yang ada dan terma-terma yang digunakan dalam syarikat itu. Nasib baiklah aku dulu ambil bidang kejuruteraan walaupun tak pernah kerja dalam bidang itu, malah tersasar jauh menjadi bodyguard! Escort manusia kaya ke hulu ke hilir. Sungguh orang kaya penakut! Takut kena rompak, takut kena tembak, takut kena culik, semua takut! Malah takut mati! Kalau tak ada rasa semua tu, tak akan wujud manusia bergelar bodyguard a.k.a kuncu-kuncu ni!

"Huh...mati bukan kira kaya atau miskin, berpangkat atau kuli, semua orang akan mati. Apa nak takut" Kudin sengih. Memang bila mengenang kembali kerjanya dulu, dia kadang-kadang tergelak sendiri. Punyalah orang-orang kaya ni menghabiskan duit dengan mengupah orang macam aku ni..nak kena berjaga dan mengawal dua puluh empat jam.

"Aku juga yang kaya.." Kudin sengih lagi. Hilang sekejap rasa penat kerja di pejabat tadi.

Dia mula ke bilik air dan membersihkan diri. Malam nanti, dia perlu jalankan misinya lagi sekali lagi, misi yang diamanahkan oleh Pak Sahak. Sampai hari ini, dia tidak pernah jumpa Anum. Alamat yang diberikan oleh Pak Sahak itu sudah tidak boleh digunakan lagi. Anum sudah pindah ke tempat lain. Usai solat maghrib, Kudin capai kunci motorsikalnya semula. Seperti biasa, jaket kulit hitam disarungkan ke tubuh sasanya. Sempat lihat di cermin. Dia senyum sendiri.

Motorsikal dipecut laju ke sebuah restoran di jalan Bangsar. Dia perlu isi perut dulu sebelum menjalankan misi yang entah bila boleh dihabiskan. Hidup bujang di bandar KL ni perlu pandai berdikari. Kedai mamak atau mana-mana kedai makan jadi tempat untuk melepak dan mengisi perut. Kalau dulu dia boleh berbangga makan di hotel-hotel bila ditaja Datuk dan orang kenamaan atas tugas yang dilakukannya.

Kudin mula mencari meja makan kosong. Helmet sentiasa dibawa bersama. Di bandar KL ni, pantang benda macam tu ditinggalkan macam tu, sekejap saja kena sapu! Melilau Kudin mencari meja kosong.

"Haih..penuh pulak restoran ni. Sedap sangat ke makanan kat sini" Kudin garu kepala.

Dia cari lagi meja kosong. Nak menyelit di meja orang yang bercinta nanti kacau daun ranting kayu pula. Kudin sengih. Kebanyakan meja dipenuhi dengan pasangan..apa lagi mesti pasangan bercinta. Lihat pada gaya dan lenggok mereka itu, dia sudah dapat mengagak. Tersengih, tersenyum memanjang..suami isteri tak akan macam tu rupanya. Dia terus menapak laju ke sebuah meja kosong yang kebetulan orang di situ sudah habis menjamu selera. Dia cepatkan langkahnya.

"Err..saudari, tempat ni saya nak duduk." Kudin serentak sampai di meja itu dengan seorang gadis yang berbaju kurung.

"Ada tulis nama saudara" Gadis itu bertanya. Sebenarnya dia kaget sebaik melihat lelaki itu tadi. Macam pernah dilihat.

Kudin terdiam. Nama Memang tak arr..apa punya soalan minah depan aku ni.

"Kalau macam tu, kita duduk sekalilah!" Selamba Kudin letak helmet dan mula duduk di kerusi. Dia buat muka toya.

Gadis itu masih berdiri di tepi meja sambil menjeling tajam ke arah Kudin. Dia menoleh ke arah meja lain. Semuanya sudah penuh.

Pandangannya beralih kembali ke arah Kudin. Kudin dilihat tersenyum kepadanya. Nak tak nak dia terpaksa juga duduk di situ.

Perutnya dari tadi tidak diisi. Lapar sangat!

"Kenapa berdiri lagi Duduklah. Alah...kita berlakon jelah macam dia orang tu. Senang cerita!" Kudin tuding pada pasangan bercinta yang sedang menikmati makanan di meja masing.masing. Keadaan restoran itu yang mungkin membuatkn pasangan bercinta ni suka lepak dan menikmati makanan di situ. Dengan lampu kuning malap, hiasan pokok bunga, dan di tengah-tengah meja makan diletak pelita kecil yang terapung dalam air yang berwarna warni, memang nampak romantik la. Dia pandang lagi ke arah gadis itu yang mula melabuhkan punggung di kerusi berhadapan dengannya.

"Hmm..macam tulah. Kalau saudari buat degil, tak makanlah jawabnya. Nak tunggu duduk sorang-sorang, tengah malam baru ada saudari!" Kudin jeling sambil memutar kunci motorsikal dengan hujung jari telunjuk.

Gadis itu hanya diam membisu. Dia jeling Kudin yang tersengih di depannya. Ramah pulak mamat ni. Ah..tak keruan aku berdepan dengan mamat ni.

Seorang pelayan restoran datang membawa menu makanan. Kudin dan gadis itu mula memesan makanan dan minuman. Pelayan tadi mula berlalu pergi.

"Saudari tinggal kawasan sini ke" Kudin mulakan mukadimmah, cuba beramah mesra. Gadis itu dilihat diam dari tadi. Sesekali mata mereka bertembung, dia perasan gadis itu cepat-cepat pandang ke arah lain.

"Saya rasa bukan urusan saudara."

Kudin sengih lagi. Sombongnya mak ai..

"Okey.." Kudin mula menopang dagu. Sesekali dia melihat sekitar restoran. Ada satu meja sahaja yang dipenuhi dengan satu keluarga. Meja lain penuh dengan pasangan. Sambil makan, sambil bersembang. Dia jeling gadis di depannya. Gadis itu diamati seketika. Wajah bujur sireh, tinggi lampai, putih kuning, rambut ditocang satu dan diletakkan riben biru sama dengan warna baju kurung yang dipakai. Hmm...cantik juga minah ni. Macam pernah terserempak di kampungnya dulu. Takkanlah..

"Saudara tengok apa Macam nak telan je"

Lamunan Kudin tadi sudah terganggu. "Err..saudari cakap apa tadi"

"Huh..berangan lagi."

Kudin sengih. " Dah alang-alang duduk semeja ni, siapa nama saudari"

"Kenapa"

"Saya macam pernah nampak saudari ni, pernah pakai baju kebaya merah Pernah pergi Kampung Pinang Patah tak" Kudin cuba meneka.

Gadis itu sudah menggelabah. Dia tunduk. Aduh...apa aku nak jawab ni. Aku kena berhati-hati. Kudin dilihat merenung tajam ke arahnya. Tentu lelaki itu sedang mengingati apa yang berlaku di kampung itu dulu. Dia memang ke sana untuk menyiasat.

"Kampung apa tadi" Gadis itu cuba menahan gelak. Cuba berlakon.

Kudin mengetap bibir. Lawak sangat ke nama kampung aku tu Sekeh karang minah ni. "Kenapa Lucu ke"

"Tak ada la..lucu jugakkan. Sampai kena patah bagai."

Kudin mencebik. Gelak lagi! Langsung tak kelakar! Dia pandang pada pelayan restoran yang mula menghampiri meja mereka sambil membawa makanan dan minuman yang dipesan tadi.

"Terima kasih.." Kudin senyum pada pelayan restoran tadi yang masih berdiri di situ.

"Kenapa dik" Kudin pandang lagi pelayan itu dengan riak keliru.

"Abang dan kakak ni pertama kali ke dating kat sini" Tanya pelayan tadi.

Kudin dan gadis tadi saling berpandangan. Mata mereka beralih pula pada pelayan tadi.

"Kenapa" Serentak Kudin dan gadis itu bertanya.

"Tak adalah..selalunya kalau pasangan yang pernah datang ke sini, mereka akan order air cinta dan puding karamel sayang. Itu menu cinta sayang istimewa untuk orang bercinta. Jadi kami akan beri percuma." Terang pelayan tadi.

Kudin dan gadis tadi tercengang. Air cinta dan puding karamel sayang

"Err..percuma ke" Kudin inginkan kepastian.

"Ya tapi dengan syarat..kena tulis nama di papan sana.." Pelayan tadi tuding ke arah sebuah papan hitam yang penuh dengan nama pasangan yang berkunjung ke situ.

Kudin menelan liur. Dia pandang gadis itu yang juga turut menelan liur.

"Err..jadi kena tulis la ni" Kudin sengih. Boleh saja kalau dapat air dan puding percuma! Berlakon sajalah! Apa susah

Pelayan restoran itu mengangguk. Dia terus berlalu pergi selepas meletakkan sekeping kertas pesanan jika Kudin dan gadis itu berminat.

"Saudari nak ke" Kudin pandang pula gadis di depannya.

"Nak apa" Tegas suara gadis itu.

"Laa...air dan puding percuma la! Bukan senang orang nak bagi percuma tau! Macam mana" Kudin sengih lagi. Sebenarnya dia ada peluang nak tahu nama gadis itu.

"Kalau saudara nak air dan puding percuma, pergilah tulis sendiri. Tak kuasa saya." Gadis itu mula menyuap nasi goreng cina yang dipesan tadi.

"Saudari malu ke Alah..tak luak pun kalau tulis nama kat situ. Kita bukan kenal pun dan kita tak akan datang lagi ke sini. Berlakon je kan" Kudin pujuk lagi.

"Yalah!" Gadis itu jeling Kudin. Lelaki itu sudah buat muka kesian. Seposen betul muka mamat ni! Tak malu ke nak makanan percuma Haih..aku juga sebenarnya dah mula layan dia ni..

Mereka berdua menapak ke papan tadi dan masing-masing terdiam seketika. Syarat di situ kena tulis..' Kudin love ....atau nama gadis itu love...'. Kudin garu kepala. Apa punya syarat macam ni Ah! Berlakon je pun. Dia pandang gadis itu yang juga turut terdiam melihat nama-nama yang ada di situ. Rasa nak muntah pun ada. Terpaksa mereka tulis nama dan kertas pesanan tadi diberi kepada pelayan restoran. Mereka kembali semula ke meja makan.

"Hmm..jadi nama saudari Ana Dahlia" Kudin sengih. Puas bila dapat tahu nama gadis itu.

"Dan saudara..Kudin" Ana Dahlia jeling tajam.

"Kenapa Lucu ke nama tu" Kudin sengih lagi.

"Saya tak kata lucu atau lawak ke apa...tapi macam nama penyangak." Ana Dahlia senyum.

"Memang penyangak pun.." Kudin ketawa.

Ana Dahlia pandang Kudin. Apa maksud dia ni Adakah lelaki di depannya ini salah seorang suspek yang dicari Dia perlu berhati-hati. Perasaan tidak boleh dicampuradukkan dengan kerja. Siasatannya masih belum selesai tapi siapa gadis kebaya merah yang dimaksudkan oleh Kudin tadi

Kudin juga masih keliru dengan gadis di depannya ini. Gadis itu dilihat menyimpan satu rahsia. Mungkin gadis itu gadis kebaya merah Dia juga tidak berapa pasti rupa paras gadis kebaya merah bila waktu malam, samar-samar, tambah di kampungnya yang gelap. Gadis kebaya merah itu pula hanya bertembung dengannya sekali dua saja.

Mereka berdua mula membawa diri ke destinasi masing-masing selepas habis menjamu selera di restoran itu.

ANA DAHLIA henyak tubuhnya atas katil. Pulang dari Restoran Cinta Sayang tadi, dia terus ke rumah. Tidak sangka dia akan bertemu lagi dengan jejaka petani kacak itu lagi. Terasa kecil pula dunia ni. Dia mengukir senyum. Kejadian di restoran tadi yang membuatnya tersenyum sendiri. Tak pasal-pasal kena berlakon jadi pasangan bercinta. Sekurang-kurangnya perut pun sudah kenyang dan paling seronok, Kudin yang belanja semua tu. Baik juga Kudin ni. Memang dia agak skeptikal bila bersama lelaki. Dia sudah tahu lagak dan tenungan lelaki yang cuba mengurat tetapi Kudin tidak menunjukkan sikap seperti itu. Kudin dilihat seperti merenungnya, seolah mencari sesuatu darinya.

"Nama dia Kudin. Macam nama tak semenggah je aku dengar. Entah-entah tipu. Yalah..aku boleh je syak dia tu salah seorang dari suspek dalam kes pembunuhan ni." Ana Dahlia mula berfikir. Dalam otaknya asyik memikirkan kes mayat yang dicampak ke dalam kolam kumbahan yang sehingga sekarang hilang macam itu saja.

Masa di Kampung Pinang Patah dulu, dia hanya meluangkan masa tiga hari saja untuk menyiasat kes itu. Itupun menyamar jadi orang kampung. Bertembung pula dengan gadis becok mulut, Senah yang bak pemberita tak bertauliah.

"Tapi..berguna juga budak tu. Perangai kecoh macam tu pun, ada isi jugak. Dapat jugak aku korek cerita pasal Mak Jemah tu." Ana Dahlia senyum.

Fikirannya melayang kembali masa di kampung itu dulu. Memang dia perasan Kudin dan dua orang lagi kawannya itu sibuk mengendap rumah Mak Jemah. Masa itu dia dalam perjalanan ke rumah Tok Ketua. Dan kata-kata Kudin masa di restoran tadi, semua itu mesti disiasat.

"Kalau dia tahu aku ni polis, apa agaknya yang dia fikir Hmm...gadis kebaya merah yang dia sebut tadi tu, siapa pulak" Ana Dahlia mengusap dagu. Dia cuba mengingati perbualannya dengan Kudin tadi.

Ana Dahlia melangkah ke bilik air untuk mengambil wudhuk. Tadi selepas maghrib, dia terus ke restoran untuk makan malam.

Hendak masak memang malas. Seharian hari ini dia kena bertugas dan menyediakan laporan. Usai solat Isyak, dia melihat fail laporan yang diberi oleh Detektif Razif. Fail mengenai kehilangan misteri pekerja TM Holdings. Sekarang ini kes kehilangan itu cuba dikaitkan dengan mayat yang dibuang di kampung Pinang Patah. Lama Ana Dahlia memeriksa apa yang tertulis dalam fail itu.

Berkerut keningnya membaca satu persatu bukti yang sudah terkumpul di situ.

"Jadi maknanya gadis yang hilang tu tahu pasal kematian sebenar Tengku Muzafar" Ana Dahlia semakin keliru. Dia baca lagi.

"Hmm...kes ni dah semakin rumit. Bermakna Tengku Muzafar bukan mati kerana sakit jantung dan gadis itu tahu sebab sebenar kematian Tengku Muzafar." Fail di atas meja ditutup.

Ana Dahlia menapak pula ke balkoni biliknya yang mengadap panorama bandar KL. Dia masih mencari-cari jawapan dan jalan untuk mendapatkan lebih banyak bukti. Kemudian dia tersenyum. Dia ada satu rancangan yang bagus. Dia belek fail TM Holdings.

SEMENTARA itu, Kudin masih berlegar-legar sekitar bandar KL mencari anak gadis Pak Sahak usai menjamu selera dengan Ana Dahlia tadi. Tiba di kawasan perumahan tempat Anum pernah menyewa dulu, dia banyak bertanya pada jiran di rumah sewa Anum.

Semuanya tidak tahu ke mana Anum pergi. Di rumah sewa lamanya pula, semua barang Anum sudah dikeluarkan. Bermakna memang Anum berpindah ke tempat lain.

"Haih..manalah nak cari minah ni. Bukan senang nak cari kat KL ni." Kudin berhenti berehat sekejap. Helmet dibuka dan diletakkan atas motor. Rambutnya dibetulkan sedikit. Dia capai lagi kertas yang diberi oleh bekas teman serumah Anum. Alamat terbaru yang diberi itu mungkin boleh membantunya mencari Anum. Pak Sahak berharap sangat padanya. Dia pakai helmet semula dan menyambung semula mencari mengikut alamat yang diperolehi itu tadi.

Puas mencari, Kudin pulang ke rumah. Esok dia kena masuk kerja. Entah kerja apa yang dia kena buat, dia sendiri pun tidak ambil tahu sangat. Janji dia masuk pejabat. Nanti orang ingat dia makan gaji buta. Motorsikalinya dipecut laju menuju ke rumahnya semula.

PAGI lagi Kudin ke pejabat. Di pejabat, Kudin berlagak seperti biasa. Pakai baju pejabat macam mat skema bukan citarasanya. Dia sudah terbiasa pakai kemeja biasa, dan jaket kulit. Seluar pula kadang-kadang je pakai seluar denim. Selalunya dia akan pakai jeans saja tapi yang pasti warna hitam dan coklat gelap menjadi warna kegemarannya.

"Tuan..nak kopi apa"

Kudin mendongak. Gadis pembancuh air tadi sudah tersenyum di depannya. " Kopi o pekat."

Gadis itu senyum dan terus ke bilik pantri membancuh air. Kudin perlahan berjalan membuntuti gadis itu dan mengendap di sebalik pintu. Dia mula pasang telinga. Kebetulan masa itu, tidak ramai pekerja yang ada di situ. Dia lihat jam di pergelangan tangan. Sudah hampir waktu makan tengahari. Dia pandang lagi gadis tadi membancuh air. Perlahan dia menapak masuk ke bilik pantri bila dia melihat gadis itu mula menelefon seseorang.

"Ehem!!"

"Oh..ehem! Nenek engkau! Kopi dah jatuh!" Gadis itu melatah. Dia terperanjat. Sudu yang dipegang gadis itu terpelanting jatuh. Serbuk kopi yang sudah diceduk dengan sudu tadi sudah melekat di muka Kudin.

Kudin tergamam. Habis mukanya terkena serbuk kopi. Dia sapu dengan sapu tangan yang diambil dari poket seluar.

"Err..maaf tuan. Saya tak sengaja. Kenapa tuan tak beri salam ke apa ke" Cepat-cepat gadis itu ambil tuala di atas meja dan menyapu muka Kudin.

"Ehem!!"

Mereka berdua serentak berpaling. Kusha sudah berdiri di muka pintu.

"Amboi! Tak ada orang lain ke nak menggatal"Kusha pandang Kudin dan gadis itu silih berganti.

Kudin pandang Kusha yang seksi dengan skirt paras lutut dan baju tanpa lengan. Rambut tak usah ceritalah..dah terlebih dari minah saleh! Kusha dilihat menapak ke meja pantri dan membancuh kopi sendiri.

"Kenapa puan bancuh sendiri Biar saya yang buat." Gadis itu mencelah.

"Kau nak bancuh Senang nanti kau nak racun aku kan" Kusha mencebik. Siap bancuh dia mula melangkah keluar dari situ. Sengaja dia langgar bahu Kudin dengan kuat.

"Uh! Kasar gila minah ni!" Rasa nak cepuk sebiji. Kudin gosok-gosok bahunya. Dia pandang pula gadis tadi.

"Siapa nama awak" Kudin terus tanya.

"Err...Ku...Ku.." Tergagap-gagap gadis itu menjawab. Dia tunduk. Takut.

"Ku apa" Kudin pandang lagi gadis itu yang semakin tunduk. Suaranya agak kuat.

"Kuyah tuan! Kuyah anak Pak Ali Jambul!" Gadis itu melatah lagi. Kali ini gelas di tangannya pula jatuh. Pecah!

Kudin tercengang. Kuyah Dia tidak berani marah sebaliknya dia mula ketawa. Adeh...lawak juga minah ni. Mentang-mentanglah aku ni Kudin, adik aku yang kerek tu Kusha, dia nak juga nama Kuyah

"Awak cakap betul-betul. Siapa nama awak" Kudin sengih.

"Betul...nama saya..Kuyah.." Gadis itu tunduk. Dahinya sudah berpeluh.

"Baiklah..kalau awak tipu..siap awak. Saya akan periksa nama awak dalam senarai pekerja di sini." Kudin berlalu pergi.

Kuyah hanya memerhati Kudin pergi dari situ. "Fuh..lega. Nasib baik aku ni pandai berlakon."

KUDIN masuk semula ke bilik pejabatnya. Dia capai fail yang ada nama semua pekerjanya. Tadi dia rasa gadis itu hanya berlakon melatah. Dia faham sangat dengan riak muka seperti itu. Sudah lali dengan karenah manusia yang hipokrit. Satu persatu fail itu dibelek. Nama setiap pekerjanya dibaca satu persatu.

"Hmm...Tengku Safiyah" Kudin ternganga. Apa yang lebih membuatnya terkejut, ayah gadis itu juga adalah sama, Tengku Muzafar!

Lama Kudin bersandar di kerusi. Takkan adik aku juga..ada tengku..nama bapa sama. Dia belek lagi maklumat gadis itu.

"Hmm..tinggal di kawasan setinggan. Nama waris..Ali Muhammad alias Pak Ali Jambul. Betul la apa yang dia cakap tadi.." Kudin garu kepala.

Dia sandar di kerusi. Masih berfikir. Siapa minah tu dan dengan siapa dia selalu bercakap dalam telefon. Sekarang ini, tugasnya semakin rumit. Cari Anum dan siasat siapa Tengku Safiyah. Malas serabutkan otak, perut pun sudah berbunyi, Kudin mula keluar makan tengahari di kafeteria yang terletak hanya di tingkat bawah bangunan pejabatnya saja. Selesai menjamu selera, dia masuk semula ke pejabat.

Tuk! Tuk! tuk!

Kudin mendongak. Sekretarinya sudah tersenyum di muka pintu yang dikuak sedikit. "Ya"

"Tuan, hari ni ada interview untuk jawatan kerani." Hetty tersenyum. Dia menghulurkan fail kepada Kudin.

"Interview"Kudin terpinga-pinga.

"Ya, kerani dulu tu sudah berhenti. Jawatan tu dah lama kosong. Hari ni saya ada terima call. Ada seorang candidate datang untuk temuduga." Hetty menerangkan keadaan sebenar.

"Err...kenapa saya yang kena interview" Kudin pandang Hetty tak berkelip.

"Itu prosedur syarikat ini. Arwah Tengku Muzafar dulu pun, dia sendiri yang menemuduga setiap pemohon." Terang Hetty lagi.

Kudin angguk-angguk. "Baiklah. Suruh dia masuk."

Hetty mula melangkah keluar dari bilik itu. Dia menyuruh gadis itu masuk ke bilik Tuan Pengarah.

Tuk! Tuk! Tuk!

"Masuk!"

Kudin mendongak. Terlopong dia melihat gadis di depannya.

"AWAK" Kudin tergamam.

Ana Dahlia turut tergamam. Dia sudah menggelabah. Hish...macam mana mamat ni boleh ada kat syarikat ni pulak Habislah rancangan aku nanti. Langkahnya terhenti di situ. Masih berfikir apa yang perlu dia lakukan. Takkan nak undur diri Dia pandang Kudin di depannya yang turut sama terkejut. Ah! Alang-alang dah nak menyamar, kenalah pandai cari ruang dan peluang. Dia meneruskan langkahnya menuju ke meja Kudin dengan wajah manis.

"Encik, saya datang ni nak temuduga jawatan kerani. Ni resume saya." Ana Dahlia hulur satu fail kepada Kudin yang masih ternganga di depannya. Tidak berkelip melihat ke arahnya dari tadi.

"Encik! Encik!" Ana Dahlia buat isyarat tangan di depan muka Kudin.

"Err..awak cakap apa tadi" Kudin mula sedar.

"Saya datang ni nak temuduga jawatan kerani." Sekali lagi Ana Dahlia hulur satu fail kepada Kudin.

"Duduk." Kudin ambil fail yang dihulur Ana Dahlia. Fail itu diletak di tepi meja. Matanya menala ke arah gadis itu semula yang sudah mula melabuhkan punggung di kerusi di depan mejanya.

Lama Ana Dahlia menunggu soalan dari Kudin. Kudin masih memandangnya tidak berkelip. Dia jeling jam di dinding. Rasanya sudah hampir sepuluh minit dia duduk melangut di situ. Kudin masih memandangnya.

"Err...takkan sesi temuduga ni pakai tengok je" Ana Dahlia mula bersuara.

"Oh..ya..ya.." Kudin mula belek resume yang dihulur Ana Dahlia tadi. Kelam kabut dia membelek resume yang hanya ada dua mukasurat itu beserta dengan sijil.

"Jadi nama awak ni Ana Dahlia binti Abu Bakar" Kudin mula bertanya.

"Ya encik."

"Jadi awak ni nak kerja kerani la ya" Tanya Kudin lagi.

"Ya encik."

"Hmm..dulu kerja apa Ada pengalaman" Kudin mendongak. Dia letak resume Ana Dahlia di tepi meja semula. Gadis itu dipandang lagi.

"Ada, saya pernah jadi kerani di syarikat Meow Meow Sdn Bhd" Ana Dahlia mula menerangkan pengalaman kerjanya.

"Meow Meow" Kudin tegakkan badannya. Dia nak tergelak.

"Ya, itu syarikat pengeluar makanan ringan." Ana Dahlia menjelaskan perkara sebenar bila melihat Kudin seperti menahan ketawa.

"Oh...okey..jadi kenapa berhenti Dan kenapa nak masuk sini" Kudin menopang dagu. Gadis itu dipandang lama.

"Dulu saya kerja kontrak je, lepas setahun, habis kontrak dan tidak disambung lagi. Jadi saya minta syarikat ni pula." Ana Dahlia tunduk seketika. Haih...kenapalah mamat ni pulak yang interview aku. Dahlah dia asyik tenung aku semacam saja.

"Oh I see..Dah kahwin" Kudin sengih.

Ana Dahlia terdiam sekejap dengan soalan Kudin. Hish..dia ni tak baca ke biodata aku Jenuh aku karang malam tadi..jenuh juga fikir nak mencipta resume yang boleh diterima. Terpaksa menipu.

"Kan ada dinyatakan dalam tu.."

"Bujang! Saya dah baca." Kudin sengih lagi. Sengaja dia potong cakap Ana Dahlia.

Ana Dahlia tunduk. Saja je mamat ni! Haih..nasiblah dapat bos macam ni.

"Hmm...tinggal di mana" Tanya Kudin lagi.

"Kan dalam tu ada." Ana Dahlia sudah geram. Dia cuba bersikap biasa. Lakonannya tidak boleh berterabur.

"Awak calon ke saya calon" Kudin sengih.

Ana Dahlia diam seketika. Eii! Mamat ni langsung tak ada tokoh penemuduga! Tiba-tiba jadi Tuan Pengarah! Rasanya dulu mamat ni kat kampung je.

"Hmm..awak nak ke jawatan ni" Kudin jeling Ana Dahlia yang sudah tunduk. Manis pula bila dah muncung macam ni. Kali ni penampilan Ana Dahlia sudah lain. Baju kurung merah terang dan rambut diselit riben merah juga di bahagian rambut yang ditocang.

"Ya encik."

"Baiklah...saya akan terima awak jika awak memenuhi syarat saya." Kudin hulur semula fail resume tadi kepada Ana Dahlia.

"Errsyarat apa encik" Ana Dahlia mula mendongak.

"Ada lima syarat. Jika awak memenuhi semua syarat tu, awak diterima bekerja di sini." Kudin sengih. Dia pusing-pusingkan pen di tangannya ala heli.

"Baiklah saya akan penuhi syarat tu. Boleh saya tahu apa syarat tu" Terpaksalah Ana Dahlia menerima syarat dari Kudin. Dia pandang Kudin yang sudah tersengih di situ. Tak pernah dibuat orang datang interview kena penuhi syarat bagai.

"Betul ni"

Ana Dahlia angguk.

"Malam esok saya beri syarat tu di restoran tempat kita jumpa malam tu." Kudin senyum lagi.

Ana Dahlia menelan liur. Ni nak letak syarat ke nak menggatal "Maknanya, saya kena pergi ke restoran tu"

Kudin angguk.

"Hmm..baiklah. Kalau saya penuhi semua syarat tu, saya diterima bekerja" Ana Dahlia inginkan kepastian.

Kudin angguk lagi.

"Baiklah."

"Awak boleh pergi sekarang. Sesi temuduga sudah selesai." Kudin sandar tubuhnya di kerusi sambil pusing-pusingkan kerusi itu.

Matanya masih melihat gadis berbaju kurung merah itu.

Ana Dahlia mula minta diri.

Kudin senyum sendiri. Ini baru dikatakan dunia kecil..bukan KL ni kecil. Dia menyambung semula kerjanya. Sesekali dia senyum bila teringat gadis tadi. Orang kata bila selalu jumpa secara tak sengaja, mungkin ada jodoh. Fail dibuka lagi. Dia mula memeriksa penyata kewangan yang dihantar oleh Encik Rusdi tadi.

"Hmm...ada yang tak kena.." Kudin berkerut kening. Banyak wang syarikat disalurkan ke sebuah syarikat yang tidak dinyatakan nama sebenar. Hanya ditulis syarikat ABC.

"Ada ke syarikat ABC kat Malaysia ni" Kudin usap dagu. Dia melihat jumlah yang dipindahkan ke syarikat itu. Lebih dua juta!

Semalam dia terdengar Kusha bercakap dengan seseorang melalui telefon. Syarikat ABC disebut-sebut.

"Aku kena siasat juga what she's up to." Kudin sandar di kerusi semula.

Ketika ini dia mula teringat siapa dirinya yang sebenar. Dia mesti tahu siapa ibu kandungnya yang sebenar, bagaimana ayah meninggal dunia dan siapa Kuyah. Haish..buntu bila memikirkan semua itu. Hal Anum lagi. Kes mayat di kampungnya lagi. Dia perlu tahu semua itu. Selepas kerja nanti, dia perlu jumpa Kuyah a.k.a Tengku Safiyah. Dia perlu tahu siapa gadis itu. Gadis itu seperti tahu sesuatu dan sedang mengusahakan sesuatu, yang paling pelik, bagaimana Kuyah itu tahu nama kampung aku Siapa dia Adik aku

HABIS saja waktu kerja, Kudin cepat-cepat jumpa Kuyah. Dia ajak Kuyah ke sebuah restoran yang tidak jauh dari situ. Selepas memesan minuman dan makanan, Kudin mulakan mukadimmah. Gadis itu dilihat sudah pucat.

"Siapa awak sebenarnya" Terus saja Kudin bertanya.

"Maksud tuan" Kuyah pandang Kudin yang tidak berkelip memandangnya.

"Saya dah check nama betul awak. Awak Tengku Safiyah binti Tengku Muzafar kan"

Kuyah mengangguk lemah.

"So, awak ni anak pemilik syarikat ni sebenarnya kan" Sengaja Kudin tanya soalan seperti itu.

Kuyah mendongak. "Ya tapi saya pun baru tahu tentang hal ini selepas kematian ayah. Ayah tiri saya yang beritahu saya."

"Ayah tiri Maksud awak, Ali Muhammad tu ayah tiri awak" Kudin menelan liur.

Kuyah angguk.

"A..awak ada mak Err..maksud saya..mak awak masih hidup" Kudin sudah teruja ingin tahu siapa Kuyah sebenarnya.

"Sudah meninggal tapi sebelum dia meninggal, dia ceritakan semuanya pada saya.." Kuyah tunduk semula. Sebak.

"Apa" Kudin pasti gadis itu adalah adik kandungnya.

"Saya anak Tengku Muzafar pemilik syarikat ni dan saya ada seorang abang yang mak serahkan pada nenek di kampung Pinang Patah. Mak sudah lama tidak balik kampung. Jadi saya tak tahu kampung tu di mana." Terang Kuyah dengan suara sebak.

"Siapa nama abang awak"

"Macam nama tuan..tapi rasanya bukan tuan...entah.." Kuyah tunduk lagi. Dia juga sudah keliru sebenarnya.

"Nama nenek tu Kaltom binti Mustafa kan" Kudin terus mengasak soalan kepada Kuyah.

"Macam mana tuan tahu" Kuyah mendongak.

"Itu nenek saya..jadi kita ni sebenarnya adik beradik." Kudin hampir mengalirkan air mata tapi cuba ditahan.

Kuyah sudah mula menangis.

"Sudahlah..kita dah jumpa. Abang sejak dulu tak tahu siapa mak dan ayah kandung abang sebab nenek tak pernah nak cerita. jadi sekarang ni, Kuyah tinggal dengan ayah tiri ke"

"Ya tapi Kuyah nak lari dari situ sebab dia suka mabuk-mabuk.." Kuyah kesat air mata.

"Oh...kalau macam tu, tinggal rumah abang." Kudin bangun dan mula peluk bahu Kuyah. Kuyah sudah menangis di situ.

"Dah..makan dulu. Lepas ni ikut abang. Kita borak panjang nanti." Kudin pujuk Kuyah. Dia juga tidak sangka gadis itu adik kandungnya. Bermakna, Kusha juga adalah adiknya selama ini tetapi masih samar adakah ibu Kusha adalah ibunya juga

MALAM itu, Kuyah bermalam di rumah Kudin. Dia cerita apa yang sudah terjadi pada mak dan ayah mereka selama ini.

"Jadi, nenek sebelah ayah buang mak kita"

"Ya bang..arwah mak bukan pilihan nenek sebelah ayah. Ayah disuruh berkahwin dengan Puan Karina dan dapat seorang anak perempuan, Kusha. Selama ni Kusha dan Puan Karina yang menghabiskan harta dan seleweng duit TM Holdings. Itupun arwah ayah yang beritahu mak, mak masa tu masih berjumpa ayah senyap-senyap sebelum bernikah dengan ayah tiri Kuyah sekarang ni. Mak nikah dengan pakcik Ali tu pun sebab dipaksa. Mak hidup menderita sehingga jatuh sakit." Kuyah semakin sebak.

"Kenapa tak buat report polis"

"Memang arwah ayah nak buat report polis. Arwah ayah dapat tahu tu pun sebab ada seorang pekerjanya yang beritahu tapi sebelum sempat beritahu polis, ayah sudah meninggal."

Kudin terkejut mendengar cerita Kuyah. Kehidupan mereka adik beradik sudah berpecah belah.

"Tapi...Kuyah dengar arwah ayah meninggal bukan kerana sakit jantung tapi dibunuh."

Kudin terbeliak mendengar kata-kata Kuyah. Dia menelan liur.

"Mana Kuyah tahu arwah ayah dibunuh"

"Pada malam arwah ayah dibunuh, ada seorang gadis ni datang jumpa Kuyah di rumah. Dia beri satu sampul kepada Kuyah. Dia suruh Kuyah simpan sampul tu baik-baik. Jangan sampai sampul tu jatuh ke tangan orang lain terutama Kusha. Masa tu, Kuyah tak kenal siapa gadis itu. Gadis tu terus menghilangkan diri. Jadi Kuyah rasa bersalah. Kuyah nak siasat apa sebenarnya yang berlaku,sebab tu Kuyah minta kerja di sini jadi pembancuh air walaupun Kuyah tahu, mungkin Kusha akan perasan nama Kuyah tu nanti. Tak sangka abang dulu yang tahu." Kuyah mula berterus terang.

Kuyah tahu ke apa isi dalam sampul tu Kudin semakin ingin tahu.

Kuyah tak pernah buka.

"Mana sampul tu"Kudin sudah tidak sabar.

"Ada kat rumah sana.."

"Kita kena ambil sampul tu."

Kuyah hanya angguk.

"Dah..malam ni tidur sini. Esok kita pergi cari sampul tu lepas kerja. Ingat, masa kerja kita buat-buat tak kenal tau!" Pesan Kudin.

Kuyah angguk dan dia terus masuk ke bilik Kudin. Malam itu Kudin tidur di sofa di ruang tamu. Dia masih memikirkan kata-kata Kuyah tadi. Dia perlu siasat siapa yang bunuh ayah dan kenapa dia bertindak macam tu Takkan Kusha atau Puan Karina yang sanggup bunuh ayah Atau mungkin juga mereka buat semua tu demi nak tutup kegiatan mereka di dalam syarikat. Gadis yang dimaksudkan oleh Kuyah tadi..hilang ke mana Siapa

"Kuyah pun mesti tak tahu siapa gadis tu.."