Masa adalah dimensi yang keempat selepas dimensi 3D ruang. Kedua-duanya iaitu ruang dan masa penting dan saling berkait. Ia umpama satu jasad. Dicubit peha kanan peha kiri rasa sakit. Disebabkan itu, apabila dimensi ruang diganggu, secara tak langsung dimensi masa juga akan terkesan.
Dalam kehidupan seharian, kita menggunakan masa untuk mengukur perkembangan yang berlaku dalam hidup. Kita menunggu pokok taugeh untuk membesar, semuanya melibatkan masa. Pokok taugeh membesar dalam ruang tiga dimensi, dan ia terikat dengan satu lagi dimensi iaitu dimensi masa tadi. Jadi memang jelas, apa-apa saja yang berlaku dalam hidup ini akan berlaku di dalam dimensi ruang dan ia bergerak seiring dengan masa. Justeru, ruang dan masa mempunyai kaitan yang sangat rapat.
Kedua-duanya penting untuk menjelaskan peristiwa di alam ini dan tak dapat dipisahkan. Jika hilang satu dimensi, maka dunia fizikal tiada ertinya. Inilah yang dipanggil ruang-masa kontinum (spacetime continuum).
Tetapi konsep masa dalam teori relativiti berbeza dengan apa yang biasa kita faham. Ini kerana masa dianggap relatif dan bukan mutlak (absolute). Ini bermaksud, masa ini peribadi sifatnya dan semua orang mempunyai persepsi yang berbeza terhadap pergerakan masa. Ada yang merasakan setengah jam terlalu lama di dalam bilik mesyuarat, tapi bagi orang lain setengah jam terlalu cepat apabila mereka keluar bertemu janji (dating)!
Selain daripada persepsi individu tadi, pergerakan masa juga dipengaruhi oleh faktor lain seperti graviti. Semakin hampir seseorang dengan graviti, maka semakin lambat masa bergerak. Jadi, kalau Lisa berada di bumi dan Yusri berada di stesen ISS, masa pergerakan Lisa akan lebih lambat daripada Yusri. Tapi beza pergerakan masanya tidaklah besar bahkan kita tak rasa pun.
Untuk membolehkan masa diganggu dengan lebih signifikan, maka sumber graviti yang besar juga diperlukan seperti lohong hitam (blackhole). Jika seseorang terperangkap dalam lohong hitam, pergerakan masanya bukan setakat menjadi lambat, bahkan akan terus berhenti!