Aku bukan sahaja berpeluang belajar tentang kehidupan, malah mendapat upah dan tahu cara menjual. Aku juga banyak belajar tentang kesusahan dalam berniaga. Dari situ jugalah aku simpulkan bahawa berniaga ini memang bukan kerja senang. Apabila kau pilih bisnes, ia sebenarnya menuntut pengorbanan dan usaha yang cukup tinggi. Tuhan tak pernah janji yang apabila kau berniaga, kau akan kaya dan hidup senang tapi Tuhan berjanji siapa yang bertawakal kepada-Nya, pasti akan dicukupkan keperluannya.
Ini cerita lain pula. Cerita bagaimana aku belajar bisnes makanan warung dengan seorang hamba Allah. Ceritanya begini. Aku panggil ayah dengan panggilan Baba. Baba ada seorang kawan baik bernama Abang Lan dan beliau merupakan seorang peniaga warung yang menjual makanan panas berhampiran sekolah kami. Kedai Abang Lan memang terkenal dengan menu seperti Nasi Goreng Kampung, Mee Goreng, Mee Kuah dan pelbagai lagi. Ini kategori bisnes jalanan, ia tidak hebat tetapi ia memberi tunai harian yang cukup baik. Abang Lan berulang alik setiap hari dari Padang Serai hingga ke Pokok Sena untuk berniaga.
Mengapa kedai Abang Lan terkenal dalam kalangan penduduk setempat Pertamanya yang aku nampak ialah kerana faktor lokasinya yang strategik. Kedai beliau terletak betul-betul di persimpangan jalan yang sibuk dan kedudukan kedainya di kawasan corner lot. Orang sekitar Pokok Sena, Pulau Pinang mesti tahu nama Simpang Tiga berhampiran Sekolah Menengah Al Irshad. Kawasan yang cukup popular sebagai port cari makan dan sebagainya. Faktor kedua yang membuatkan kedai Abang Lan terkenal ialah kualiti masakannya. Sepanjang aku kenal beliau, Abang Lan memang seorang yang teliti tentang penyediaan makanan.
Apabila kau buka kedai makan dan kau masak sedap-sedap, orang pasti akan suka dan datang lagi. Bila datang lagi, rasanya juga sama dan konsisten, mereka akan terus menjadi pengunjung kau yang paling setia. Baba sendiri, ketika dia bertugas sebagai warden dan bawa aku teman, beliau akan bungkus makanan di kedai Abang Lan. Dan sehinggalah sampai satu masa, ketika itu umur aku dalam lingkungan 11 atau 12 tahun, Baba pernah membenarkan aku bekerja di kedai Abang Lan pada waktu cuti sekolah.
Hang pi kerja di kedai Abang Lan. Baba dah bagitau dia, pi tolong dia di kedai. Cuci pinggan pun tak apa, pesan Baba kepada aku.
Pada mulanya, Abang Lan sendiri pun agak kekok dan tak tahu hendak suruh aku buat kerja apa.
Mungkin dia rasa serba salah mahu suruh aku buat itu dan ini memandangkan aku ini anak kawan baiknya. Apabila sampai di kedai, dia hanya suruh aku duduk dan lap-lap meja. Mana maunya Ikram Al Banjari hendak buat kerja-kerja ringan, kerja lap meja tak payah belajar pun aku memang tahu buat. Aku mula angkat punggung dan masuk ke dapur, aku cuci segala tok nenek yang ada di situ tanpa disuruh. Geram punya pasal, aku memang budak yang jenis tak tahu duduk diam.
Sesekali, apabila tak ada benda yang hendak dicuci, aku ambil penyapu dan menyapu seluruh ruang kedai. Habis semua kawasan dalam kedai, depan kedai dan kedai sebelah pun aku sapu. Senyum saja Mak Cik cleaner yang bekerja dengan majlis perbandaran tengok aku tolong buat kerja dia. Peduli apa aku. Aku bosan kot kalau setakat lap-lap meja. Apabila tiba waktu puncak, biasanya waktu tengah hari, aku akan sibuk ambil order pelanggan dan hantar semula makan minum yang sudah siap ke meja mereka. Cuma, aku memang jammed bila pelanggan itu terdiri dari kalangan awek-awek cun. Aku memang tak pandai sangat mengawal macho.
Tak sampai seminggu aku di kedai Abang Lan, beliau sudah suka dengan cara kerja aku. Setiap kali pulang ke rumah, Baba akan puji aku kerana Abang Lan beritahu kepada beliau yang aku memang rajin bekerja. Waktu itu, aku dapat upah sebanyak dua ringgit sehari tapi aku tak kisah sebab aku boleh makan dan minum seberapa banyak yang aku mahu dengan percuma saja. Sampai aku tengok paha ayam goreng yang sedap pun aku jadi muak. Mau tidaknya, hari-hari aku menghadap benda sama.
Kemuncak aku berkuli di warung ini ialah apabila Abang Lan dan isterinya mula mengajar aku cara-cara menyediakan air minuman. Aku diajar cara menjerang air, jenis-jenis penyediaan air panas, air sejuk dan pelbagai lagi teknik dalam bancuhan air. Eh, kau ingat senang ke bancuh air yang sedap Kau tahu pesan saja di kedai mamak, bila lambat kau marah. Susah woi hendak menyediakan minuman yang benar-benar membuatkan tekak orang berasa sedap. Aku bagi contoh, kau tahu untuk membuat air kopi O panas yang sedap Rahsia besarnya bukan ada pada kopi yang kau gunakan. Ha, kau pelikkan Kau rasa-rasa apakah benda yang membuatkan kopi O menjadi sedap
Aku pun terkejut beruk bila aku diajar untuk memasukkan satu bahan yang aku tak terfikir langsung boleh dimasukkan ke dalam minuman. Tetapi itulah kenyataannya, kau tahu apa Garam! Ya, garam!
Secubit kecil garam dimasukkan bersama air panas dan kopi akan menjadikan kopi itu mempunyai aroma lebih menarik, rasa lebih lemak dan sedap.
Cuba kau buat sendiri di rumah. Jangan pula kau lupa letak gula ya! Kah kah Kah. Jangan pula terlajak garam, nanti jadi masin pula kopi yang kau buat itu.
Bukan itu sahaja, malah aku turut diajar bagaimana caranya dalam penyediaan makanan bagi menu goreng-goreng panas seperti nasi goreng, mee goreng, bihun goreng dan kuey teow goreng. Secara asasnya, semua bahan adalah sama, Cuma sukatan dan variasi aksesori sahaja yang berbeza. Sebab itu sampai sekarang, aku memang suka memasak. Sejak aku bekerja di Kedai Abang Lan inilah membuatkan Mama aku di rumah pun kadang-kadang meminta aku masuk ke dapur. Sekali sekala mereka hendak rasa air tangan aku.
Pengalaman bekerja di sinilah membuatkan aku semakin minat untuk memiliki perniagaan berasaskan warung makanan suatu hari nanti. Waktu itu, aku masih lagi budak sekolah hingusan dan aku cukup suka belajar dengan cara ini. Nanti aku ceritakan lagi bagaimana pengalaman ini, aku gunakan dalam pembangunan bisnes makanan aku iaitu Tudia! Char Kuey Teow.