Kenapa awak bersyarah panjang lebar kepada kami Kaum awak memanglah bernasib baik, sebab manusia di Malaysia ini hanya suka makan siputsiput laut dan siput-siput dalam sungai. Tetapi manusia sangat benci kepada kaum awak yang pada hakikatnya bukanlah sejenis serangga, tetapi pest atau puaka pokok, dan oleh sebab itu kaum awak tidak boleh ambil bahagian dalam PSS (Persidangan Segala Serangga) yang kami akan adakan tidak berapa lama lagi, kata Profesor Doktor Mentadak Mentadu.
Lagipun, kata Profesor Doktor Mentadak Mentadu, awak tidak punya sayap dan awak tidak boleh berjalan pantas seperti kami kaum serangga. Kalaulah kelak PSS diadakan di Bukit Fraser, awak mungkin hanya boleh sampai ke kemuncak bukit itu dalam masa tiga empat bulan, mungkin enam bulan, tambah Profesor Doktor Mentadak Mentadu.
Saya tahu, tuan profesor, tetapi bukan semuanya kaum serangga boleh dipercayai, ada seranggaserangga yang akan belot kepada perjuangan kaum serangga, ada yang bermuka dua, yang hipokrit. Lihatlah contohnya kaum kelekatu yang sudah tumbuh sayapnya. Mereka dan berangan-angan yang sedang berterbangan hendak naik ke langit, tetapi sayap mereka tidak kuat, dan tidak lama lagi akan jatuhlah semula. Mereka itu semuanya ke bumi. Sebab itulah manusia tidak hirau kepada mereka. Sebaliknya, angkut dihormati oleh manusia dan sebab itulah ada pantun mengenai angkut-angkut, iaitu:
Angkut-angkut terbang ke awan, sampai di awan bermain-main; Hatiku sangkut padamu tuan, jangan tuan cari yang lain.
Sekalian serangga yang hadir berkumpul untuk membincangkan selanjutnya cadangan mengadakan PSS (Persidangan Segala Serangga) telah gelak ketawa.
Fasal berasmara, bercinta dan berkhalwat memanglah manusia menghabiskan banyak masa mereka; jadi khayal dan lalai, kata Sang Lalat.
Dalam masa lalai dan longlai bercengkerama lamalama itulah siput-siput babi merayau dalam kebunkebun mereka, meratah pucuk-pucuk terung, putikputik kacang dan segala sayuran yang ditanam oleh manusia. Dalam satu malam sahaja lima enam ekar tanam-tanaman boleh binasa, kata pula Sang Langau.
Ada kalanya daun-daun muda yang saya kumpulkan di tepi lubang saya, sebelum sempat saya angkut ke dalam, habis semuanya dicuri oleh siput-siput babi, kata pula Cengkerik.
Bukan kami siput babi saja yang menjadi puaka pokok, tetapi ada banyak siput-siput lain jenis, siput bulan dan siput bintang pun jahat juga, kata Siput Babi.
Apa jenis siput pun tidak boleh dianggap sebagai serangga, tetapi, sungguhpun begitu, saya fikir kaum siput juga harus diperlindungi, sebab racun-racun serangga yang disemburkan oleh manusia untuk membunuh dan menghapuskan kaum serangga akan juga membunuh berbagai-bagai jenis siput yang merayap di bumi Allah ini. Kalau dalam kaum manusia perbuatan belas kasihan dan bertimbang rasa (kata Melayu moden simpati daripada perkataan Inggeris sympathy) itu dinamakan perikemanusiaan maka dalam bahasa kita ialah perikeseranggaan, kata Profesor Doktor Mentadak Mentadu.
Yang sebenarnya, kata Siput Babi. Kaum saya sudah ramai mampus kena racun-racun serangga. Tetapi mujurnya kaum betina kami, tiap-tiap seekor, boleh bertelur lima enam ribu biji dalam setahun. Kalau tidak begitu sudah lamalah kaum kami telah pupus. Tadi, pada permulaan bahasan kita sejak petang tadi, tuan profesor telah menyebut bahawa manusia tidak suka makan kami; digoreng, digulai atau dibuat sambal tumis. Tetapi yang sebenarnya orang-orang di negara-negara maju, di Eropah Barat dan lain-lain ada yang gemar makan daging atau isi kami. Hanya manusia Melayu sahaja yang tidak mahu makan kami, Siput Babi menerangkan nasib kaumnya.
Bangsa Melayu pun, bila pada suatu masa kelak mereka menghadapi kekurangan makanan, sebab mereka semakin malas bercucuk tanam dan bertambah gemar dengan makanan-makanan cara Barat maka saya fikir mereka juga mengetahui betapa sedapnya daging atau isi siput-siput darat, istimewanya siput bulan dan siput bintang, Profesor Doktor Mentadak Mentadu meramalkan.
Minta-minta janganlah sampai begitu, dan saya fikir bangsa Melayu tidak akan memakan kamu, sebab mereka orang-orang Melayu menganut agama Islam dan mereka punya hukum haram halal, makruh dan sebagainya. Dan mereka juga penjijik, Siput Babi bercakap Iagi.
Entahlah, sahut Sang Tebuan. Masa Jepun berkuasa di Semenanjung ini dulu, daging penyu, lelabi, kekura dan sebagainya, mereka jadikan daging sate. Mereka tidak pedulikan halal atau haram atau makruhnya daging-daging penyu, lelabi atau kekura. Bila dah kebulur kulit ubi kayu pun mereka lantak. Telur-telur ulat pun mereka baham, malah belalangbelalang pun mereka makan.
Adakah belalang boleh dianggap serangga, tuan profesor tanya Sang Lipas.
Memang belalang, berbagai-bagai jenis belalang, adalah serangga, tegas Profesor Doktor Mentadak Mentadu. Tetapi malangnya, mereka tidak mahu hadir dalam perjumpaan-perjumpaan yang kita telah adakan. Agaknya mereka menganggap mereka itu golongan atasan atau golongan elit. Belalangbelalang juga jenis besar pernah membinasakan beribu-ribu ekar gandum dan padi. Tetapi jenisjenis kecilnya kurang merbahaya. Tetapi, daripada satu pepatah manusia kaum belalang mempunyai cita-cita tinggi seperti kaum kelekatu juga, iaitu:
Di tengah padang, belalang nak jadi helang!
Saya fikir, dalam masa-masa yang akan datang nasib kaum belalang akan menjadi lebih tidak baik. Racun-racun serangga dalam zaman moden ini disemburkan dengan kapal terbang ke atas ladangladang besar seperti Jengka Tiga Segi dan lain-lain.
Maka banyaklah berbagai-bagai jenis belalang yang telah musnah. Kita mesti tolong kaum belalang, walaupun mereka juga merbahaya kepada manusia dan justeru itu akan dihapuskan, Profesor Doktor Mentadak Mentadu menyatakan pendapatnya yang tulus ikhlas.
Tuan profesor yang bijaksana, saya ingin hendak tahu bagaimanakah rupanya yang dikatakan oleh manusia Melayu dalam satu nyanyian kanak-kanak, belalang kupu-kupu tanya nyamuk tiruk, penyebar demam malaria, demam kepialu dan demam kura.
Dengan tersenyum-senyum Profesor Doktor Mentadak Mentadu, atau Dr. Gegancung ataupun Ustaz Ketenung melagukan nyanyian itu:
Pok amai-amai, belalang kupu-kupu; tepuk ramai-ramai, malam minta susu.
Susu lemak manis, santan kelapa muda; wahai anak jangan menangis, ibumu hendak bekerja!
Para hadirin yang menghadiri PSS itu, yang terdiri dari berbagai-bagai jenis serangga dan puakapuaka pokok, telah ketawa. Yang kuat ketawanya, berdekah-dekah, ialah ulat-ulat bulu, semut api, langau, nyamuk tiruk dan nyamuk denggi.
Memang patut saudara-saudara sekalian ketawa, sebab nyanyian itu menunjukkan bahawa manusia Melayu, walaupun sudah merdeka 25 tahun, masih mempunyai beberapa kelemahan. Tetapi sebelum saya menerangkan kelemahan-kelemahan mereka itu maka saya hendak menerangkan bahawa yang dinamakan belalang kupu-kupu memang ada, iaitu sejenis belalang kecil, hijau warnanya, mempunyai sayap warna-warni, sangat cantik, amat indah. Biasanya belalang kupu-kupu itu boleh dijumpai di sawah-sawah, atau bendang ataupun paya yang sedang menghijau, luas saujana, dengan pokok-pokok padi. Sekarang saya sebutkan sekali lagi empat baris pertama daripada nyanyian itu:
Pok amai-amai, belalang kupu-kupu; Tepuk ramai-ramai, malam minta susu.
Susu yang diminta pada waktu malam itu, pada hemat saya, bukanlah susu dalam botol, dan bukan si anak yang meminta susu, tetapi si ayah yang meminta susu si ibu, yakni buah susu, apabila si anak sudah tidur nyenyak.
Sepatutnya dalam zaman maju dan moden sekarang ini, yang membawa dan menimbulkan bermacammacam penyelewengan, perbuatan-perbuatan rasuah, tipu-menipu, mencuri menyamun dan menyamar maka pada pendapat saya, anak-anak muda zaman ini hendaklah menukar kata-kata dalam baris ketiga dan keempat nyanyian suka ramai ini kepada:
Tepuk ramai-amai, sorakkan penipu-penipu!
Kemudian cubalah saudara-saudara analisa pula empat baris lagi dalam nyanyian itu:
Susu lemak manis,
Santan kelapa muda; Anak janganlah menangis, Ibu dan ayah hendak bekerja.
Kelapa muda manakan ada santannya! Jadi, yang lemak-lemak manis itu ialah puting susu si ibu, yang (buah) susunya sedang bengkak, membesar seperti kelapa puyuh, kerana si anak tidak digalakkan menyusu pada emaknya, tetapi lazimnya sekarang, diberi minum dalam botol.
Kalaulah saya diizinkan mengubah sedikit lirik dan seni kata nyanyian ini maka saya akan ubah seperti berikut:
Susu lemak manis,
Santan kelapa tua;
Kamu muda-mudi jangan mengemis, Malaysia negaramu kaya-raya.
Sekalian serangga-serangga yang mendengar ceramah pemimpin agung mereka itu semuanya terpegun; tidak lagi ketawa dan berharap Profesor Doktor Mentadak Mentadu akan meneruskan ceramahnya.
Kelemahan manusia Melayu dalam tanah airnya ini, kelemahan sastera dan budayanya akan menyelamatkan kita kaum serangga daripada kehapusan, daripada malapetaka, sebab dengan adanya televisyen dan lain-lain jenis hiburan moden maka mereka akan bertambah khayal, lalai dan leka. Tetapi mesyuarat kita kali ini kerana sudah larut malam terpaksalah kita tangguhkan kesuatu masa lain, dua atau tiga minggu lagi dari sekarang, dan tempatnya saya cadangkan ialah di taman kecil dekat Restoran Rakyat, demikian kata Profesor Doktor Mentadak Mentadu.
Restoran Rakyat itu sudah tutup, pintu besarnya dipalang, kata Siput Babi. Bagus betul tempat itu, sunyi senyap. Anak cucu saya ada ramai dalam taman kecil itu, katanya lagi.
Bila-bila ada cerita-cerita istimewa di televisyen maka kami kaum nyamuk kenyanglah. Manusia moden pada ketika-ketika itu asyik menonton kisahkisah Dallas atau Buck Rodgers dan kebanyakannya tidak sedar yang mereka digigit dan dihisap darahnya oleh kami, kata pula nyamuk tiruk.
Dan pada ketika-ketika begitulah, istimewa bila ada tayangan larut malam, kami kaum lipas akan kenyang, menyampuk pula Sang Lipas.
Sejurus lepas itu bersurailah perhimpunan kaum serangga itu, dan Sang Cengkerik pun mulalah menyanyi-nyanyi, mendayu-dayu.