ASKAR BERJALAN KAKI - 4
Aku bukanlah saorang yang suka duduk diam. Kalau boleh hendak saja aku mohon kepada Allah agar tidak menjadikan aku manusia yang mengantuk. Rasanya aku ingin membuat banyak kerja dan melakukan dengan bersungguh-sungguh.

Sudah tentu hasratku melanggar hukum alam dan fitrah manusia. Tapi apa yang aku fikirkan adalah tentang manusia ini sebenarnya mempunyai banyak kebolehan dan potensi. Jika diasah sudah tentu potensi itu akan menjadikan kita manusia yang hebat serta serba boleh (multi talented)

Selepas alam persekolahanku aku melakukan banyak perkara baru. Dari aktiviti di kebunku hinggalah imiginasiku untuk menghasilkan sesuatu yang belum pernah di hasilkan oleh orang lain.

Namun pengetahuan dan pengalaman yang terbatas tidak dapat melangkau impian ku. Aku tetap meletakkan azam untuk menjadi saorang yang berjaya kerana bagiku orang yang berjaya bukanlah orang yang tidak pernah gagal tetapi orang yang telah jatuh dan bangun semula.

Satu petang iaitu pada tahun 1979 aku melihat sekumpulan anggota tentera melintasi hadapan rumahku di Sabak Bernam, lalu mereka berhenti untuk menunggu konvoi di belakang. Aku melihat mereka begitu teratur sekali dan berkarisma. Aku menegur mereka untuk bertanya apakah tujuan mereka melintasi kawasan kampungku.

Mungkin aku tidak penting pada mereka tetapi tindak balas dari mereka amat mendalam kesannya padaku. Mereka tidak sombong malah memberitahu bahawa mereka sedang menungggu kenderaan di belakang untuk meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur.

Aku kagum dengan disiplin yang ditunjukkan. Walaupun mereka berehat di bawah pokok namun mereka tidak membuang bekas minuman serta tidak pula menunjukkan tingkahlaku yang tidak sopan. Taklimat ringkas dari ketua mereka juga didengar dengan tekun.

Filem perang juga memberi motivasi kepadaku untuk menjadi sebahagian dari pejuang Negara. Aku ingin menjadi seperti pahlawan silam yang berjuang hingga ke titisan darah yang terakhir untuk mempertahankan pertiwi.

Walau nyawa tergadai, mereka sekurang- kurangnya tidak tersungkur ketika melarikan diri dari medan pertempuran. Tetapi tentunya mereka merupakan pahlawan yang gugur dalam perjuangan.

Aku tidak dapat menjanjikan untuk menjadi sehebat mereka. Tetapi aku juga tidak sanggup menjadi saorang pendita yang hanya gagah di atas kertas dan hanya berjuang dengan mata pena. Atau menjadi saorang warga yang hanya melihat bangsa dan Negara di kotak-katikkan musuh akibat tidak upaya memberi tentangan.

Amatlah hina jika kita menjadi warga yang sedemikian. Bak kata bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Dato Sri Anwar Ibrahim Kalau takut dengan cabaran, jangan bicara tentang perjuangan.

Peluang untuk aku mencuba nasib sebagai saorang tentera bermula ketika abangku menghulurkan borang untuk memohon menjadi saorang pegawai kadet pada tahun 1987. Aku begitu bersemangat mengisi borang tersebut dan memajukan kepada Kementerian Pertahanan.

Tawaran untuk menghadiri temuduga aku terima dengan penuh gembira. Walaupun ia hanya peringkat awal proses pemilihan, aku tetap berbangga dan meletakkan harapan untuk menjadi antara yang terpilih.

Pemilihan dilaksanakan di Pengkalan TUDM Ipoh. Aku bertolak sehari awal untuk membolehkan aku mendapat gambaran tentang apa yag akan di uji. Ramai calon yang hadir adalah merupakan yang telah gagal pemilihan sebelum ini.

Selepas pemeriksaan kesihatan, aku menjalani beberapa ujian lain termasuk jasmani serta ujian bertulis. Aku tidak terpilih pada temuduga tersebut. Seperti menanti giliran malaikatul maut debarannya aku rasakan. Mana tidaknya setiap kali ujian berakhir, kami akan dikumpulkan dan senarai nama yang tersingkir akan diumumkan.

Aku dapat bayangkan perasaan setiap yang diumumkan gagal. Sedih dan malu kerana terpaksa balik semula ke kampong dengan keputusan yang gagal. Namaku diumumkan pada hari ke tiga. Aku juga kecewa di atas pencapaian ku. Apa yang aku lebih kecewa ialah bukan aku tidak layak tetapi setiap kali pemilihan hanya jumlah yang tertentu akan di terima.

Setelah diserahkan waren keretapi, kamipun menaiki kenderaan yang sentiasa setia menanti untuk mengusung calon- calon yang gagal ke stesyen keretapi atau bas. Trak tersebut juga kami namakan kenderaan maut.

Keputusan tersebut aku sampaikan kepada abang sulungku yang pada ketika itu berpangkat Mejar. Beliau memberi kata semangat dan menasihatkan aku agar menunggu untuk panggilan kali kedua. Aku mendapat sedikit ketenangan di atas peluang yang masih belum tertutup itu.

Tidak lama selepas itu aku berpeluang menghadiri pemilihan buat kali ke dua pada tahun yang sama iaitu di Port Dickson (tempat lahirnya pahlawan). Di pendekkan cerita aku dapat menjalani pemilihan selama 8 hari itu dengan jayanya. Aku cukup puas di atas usahaku itu. Dari 123 calon, hanya 7 yang terpilih pada pemilihan tersebut.

Setelah menerima surat yang mengesahkan keputusan pemilihan tersebut,aku mula membuat persiapan mental dan fizikal untuk menghadapi dunia baruku itu. Aku tidak ambil mudah peluang ini kerana ia akan menjadi kerjayaku dan aku akan menjalani latihan yang keras selama setahun.

Jika aku berjaya, aku akan ditauliahkan sebagai pegawai muda dan di sini akan bermula dunia kerjayaku hingga aku pencen. Bak kata orang, kalau berani jangan ragu-ragu dan kalau ragu-ragu jangan cuba berani-berani.

Walaupun tarikh melapor hampir lapan bulan lagi, aku tetap menjalani latihan awal seperti berkebun dan melakukan larian secara konsistan. Di samping itu aku juga mengadakan kelas tambahan kepada 4 orang pelajar wanita di kampungku secara percuma. Ia hanyalah sebagai amal jariah sebagai tanda kesyukuran di atas peluang yang Allah berikan kepadaku.

Aku mengajar matapelajaran sains, dan matematik kepada pelajar-pelajar PMR (dulu dinamakan SRP). Alhamdulillah mereka menunjukkan pencapaian yang baik serta tidak malu lagi di sekolah. Maklumlah jika kita lemah di sekolah akan dipandang sepi atau diejek oleh pelajar lain yang lebih pandai.

Saat aku hendak meninggalkan kampung halamanku cukup memilukan. Di kampung inilah aku membina identitiku dan mencorak cara berfikir. Di sinilah aku mengenal erti kehidupan serta merasa pahit getir serta jatuh bangun dalam kehidupan.

Terlalu banyak kenangan di kampung ini walau terpinggir dari arus pembanggunan namun ramai anak kampong ini telah membina cemerlangan di dalam bidang masing-masing.

Anak muridku juga merasakan kehilanganku. Mereka telah memberi aku kata perangsang agar aku menjadi seorang yang berguna pada masa hadapan. Dua nasihat mereka akan aku ingat sampai bila-bila iaitu apapun yang kita buat nawaitu kita mestilah betul. Dan satu lagi kata mereka bila berada di atas jangan lupa bumi yang kita pijak dulu.

Aku juga menerima bungkusan hadiah dari mereka sebagai tanda kenangan di atas ilmu yang aku curahkan kepada mereka selama 8 bulan yang lalu. Walaupun bagiku sumbangan ku itu tidak seberapa, namun aku tetap menghargai pemberian mereka.

Aku hanya dapat tahu 2 dari anak muridku telah berkerja dengan pendapatan lumayan saorang bekerja sebagai pegawai di syarikat swasta dan saorang lagi merupakan usahawanita

Terasa begitu berat hendak meninggalkan kampungku ini. Segala memori suka dan duka teguh berkampung di dalam sanubariku. Aku mesti pergi untuk meningkatkan pencapaian dalam hidupku.

Segala keperluan aku siapkan dan aku berazam agar langkahku pada kali ini merupakan langkah gemilang. Semoga pulangku sebagai pegawai muda yang ditauliahkan. Kupohon ampun dan doa restu dari ayah ku.

Selepas bersalaman dengan adek beradik aku menaiki kereta abangku Cikgi Shakil ke stesyen bas Sabak Bernam (3 batu dari rumahku) untuk menaiki bas ke Teluk Intan. Dari sana aku akan naik keretapi ke Kuala Lumpur. Aku gunakan waran keretapi yang diberikan oleh kementerian pertahanan.

Lima buah trak tentera menunggu aku dan rakan-rakan yang lain untuk dibawa ke Maktab Tentera Diraja Sungai Besi. Hari pertama suasana amat tenang dan kami membuat pentadbiran sahaja sambil saling mengenali antara satu sama lain.

Pengambilan kami merupakan pengambilan ke 53 Tauliah jangka pendek. Pada asalnya kami adalah seramai 50 orang tetapi hanya 47 orang sahaja dapat menamatkan latihan kerana masalah kesihatan dan disiplin.

Rambut Kami juga telah di gunting sodok hingga botak seperti tahanan yang menunggu hukuman kawad. Namun apabila semua orang begitu, ianya kelihatan amat menyeronokkan. Tidak ada istilah malu bila muka tak hensom dalam cermin.

Bila masuk hari kedua baru aku dapat lihat taring pada jurulatih dan seniorku. Mereka melanyak kami separuh mati. Tidak cukup dengan waktu siang, malam haripun kami di dedahkan dengan latihan keras. Pegawai kadet pada siri yang lepas telah meninggal dunia semasa orientasi.

Walaupun pada mulanya aku cukup benci dengan jurulatih, namun pada pertengahan latihan aku dapat fahami kenapa mereka lakukan sedemikian. Amatlah mustahil untuk membentuk seorang awam uantuk menjadi seorang pegawai yang penuh dengan nilai-nilai ketenteraan.

Peristiwa pada minggu kedua tidak dapat aku lupakan. Ketika aktiviti change prade, aku telah pakai kasut kawad sebelah dan kasut hutan sebelah kerana masa yang terhad. Walaupun ia seperti satu kesalahan, namun ia sebenarnya menunjukkan betapa aku amat mementingkan masa.

Perisiwa kedua berlaku kepada aku ialah kejadian barel (muncung) senjata M16 telah bengkak di mana aku telah diajar secara salah oleh senior tentang cara-cara untuk mencuci senjata dengan menggunakan kain senjata yang lebih besar saiznya

Apabila telah tersumbat aku disuruh untuk menekan lagi yang mana seharusnya aku perlu menarik semula. Ini menyebabkan barel senjata tersebut bengkak dan aku terpaksa membuat laporan. Aku diarahkan membayar sejumlah RM241.00. Potongan itu pada hari raya pulak tu miskin sekejab aku.

Aku terus menjalani latihan yang padat kerana semua silibus perlu dihabiskan dalam masa setahun termasuk silibus akademik. Aku juga menghadapi situasi sedih apabila jurulatihku Pegawai Waren Dua Hasan telah meninggal dunia pada hari di mana dia perlu mengajar kami.

Walaupun beliau sangat garang, namun hatinya baik dan mulia. Kemalangan berlaku pada waktu subuh apabila motorsikal beliau terlanggar lori dari belakang ketika beliau dalam perjalanan dari sungai buluh ke tempat kerja (Sungai Besi).

Hilanglah saorang permata hati kami. Memandangkan aktiviti latihan yang sangat padat maka kami tidak berkesempatan untuk bersedih lama. Aku sendiri tidak dapat berehat panjang. Setelah 6 bulan latihan kami di arahkan melaksanakan ekspedisi luar. Ada yang pergi kenoing dan berakit. Kumpulan kami terpaksa mengadakan ekpedisi berbasikal ke Kuala Kangsar pergi dan balik selama 4 hari.

Selepas tamat cuti raya tahun 1988, aku berusaha mencari basikal untuk tujuan tersebut. Secara mentalnya aku memang telah bersedia kerana telah ada pengalaman semasa di kampung. Aku bernasib baik kerana ada sebuah keluarga dari kampung Malaysia tambahan telah sudi meminjamkan basikal selama seminggu.

Semuanya berjalan lancar dan kami yang seramai 10 orang melakukannya dengan baik. Semasa di kuala kangsar kami telah terlalu keletihan dan pada keesokan harinya kami semua berpakat untuk menaikkan basikal ke atas keretapi dari Slim River dan sama-sama bergerak ke Kuala Lumpur.

Setiba di Kuala Lumpur (KL), kami simpan di dalam stor agar tidak terlalu awal balik ke kem. Tiba-tiba.kami terserempak dengan jurulatih di stesyen keretaapi KL. Dalam keadaan panic kami berpakat untuk jumpa kembali jam 3 petang, kami telah panjat pagar KTM yang paling tinggi dan melarikan diri. Takut punya pasal, semua boleh jadi!

Alhamdulillah semuanya berjalan lancar dan kami pun selamat sampai ke dalam kem tanpa apa-apa masalah. Rupanya aktiviti berbasikal amat memenatkan tapi ia sungguh seronok serta menghiburkan.

Sedar tak sedar kami telah hampir kepada latihan akhir di medan yang menggabungkan pegawai kadet senior dan junior. Latihan ini sungguh mencabar dan menentukan siapa yang akan ditauliahkan atau di gagalkan.

Latihan medan yang terakhir ini mengabungkan semua fasa dan ia saya boleh jamin, amat perit dan benar-benar menguji mental kami. Namun ia merupakan latihan yang terakhir dalam siri latihan medan yang kami lalui sepanjang latihan Pegawai Kadat.

10 hari di medan bagai menjejak puncak gemilang . Aku sendiri cukup bersemangat dengan latihan terakhir itu. Berbagai jawatan yang aku pikul sepanjang latihan tersebut

Pada hari terakhir iaitu selepas serangan ke khemah musuh, di awal pagi kami telah berjalan sejauh setengah kilometer bersama semua peralatan yang ada. Hampir 10 hari kami tidak mandi. Badan meleket tidak terkata.

Tiba-tiba kami nampak sebuah empangan yang besar berhampiran dengan Gunung Ledang dengan airnya mengalir sejuk. Geram sungguh rasanya bila melihat air sejernih itu. Namun nak terjun kena minta kebenaran. Tiba-tiba kami diarahkan menanggalkan semua pakaian kecuali yang kecik tu la..!

Hampir satu jam kami dibenarkan mandi dan mencuci iaitu setelah berakhirnya serangan khemah musuh. Itulah saat yang paling indah aku rasakan . Penat lelah hilang begitu sahaja bila badan disimbahi air gunung. Perjalanan balik dengan 12 buah kenderaan amat menyeronokkan. Kami menyanyi, bergurau serta mengingat kembali peristiwa-peristiwa lucu yang berlaku sepanjang latihan tersebut

Setahun bersama telah menjadikan kami seperti adek beradek. Banyak perkara yang berbeza pada hari pertama telah menjadi persamaan pula. Kami semakin rapat dan memahami antara satu sama lain.