Deklamasi puisi daripada teks
Deklamasi puisi daripada teks merujuk kepada persembahan baca puisi yang bergantung sepenuhnya kepada teks sama ada dari buku atau kertas.
Namun, kebergantungan kepada kertas menjadikan pembacaan sedikit terganggu jika deklamator tidak pandai menggunakan ruang, sebaliknya tangan dan mata hanya bertumpu kepada teks. Impaknya, audiens akan berasa tidak dipedulikan jika tidak kena caranya.
Dalam konteks zaman teknologi, ramai deklamator memilih membaca puisi dari telefon bimbit, tablet atau iPad.
Deklamasi secara hafalan
Deklamasi puisi secara hafalan adalah dengan cara menghafal keseluruhan teks puisi. Untuk itu, daya ingatan yang tinggi sangat penting supaya deklamator tidak membuat kesilapan atau terlupa teks ketika membuat persembahan di atas pentas.
Dengan cara menghafal, deklamator mempunyai kebebasan untuk melakukan aksi gerak tangan kerana tangannya tidak memegang kertas.
Deklamasi impromptu (spontan)
Di Malaysia, tidak ramai deklamator yang berkebolehan mendeklamasikan puisi secara spontan. Teknik ini melibatkan hamburan bilah-bilah kata yang terluncur dari mulut secara spontan sebagaimana seorang pemantun pada zaman dahulu.
Pada kebiasaannya, deklamasi secara spontan akan menggunakan keseluruhan deria untuk mengungkapkan kata-kata. Misalnya, deklamator akan menyebut apa sahaja yang terlintas di kepala. Pada masa ini, kebijaksanaan deklamator menyusun kalimat sangat dituntut.
Deklamasi extemporaneous (impromptu tetapi berpanduan)
Deklamasi secara extemporaneous hampir sama dengan impromptu. Bezanya, deklamasi ini adalah secara berpanduan. Misalnya, untuk mendeklamasikan sebuah sajak yang bertemakan perjuangan kemerdekaan, deklamator tersebut sudah ada panduan ungkapanungkapan yang akan disebutkan nanti. Misalnya:
Sebut nama-nama pejuang (rangkap 1)
Kenapa perlu kemerdekaan (rangkap 2)
Keburukan penjajahan (rangkap 3)
(rangkap 1)
Dengan api semangat Tok Janggut
Dengan api semangat Abdul Rahman Limbong Dengan api semangat Datuk Bahaman Dengan api semangat Mat Kilau.
NOTA: Dalam konteks ini, deklamator tahu apa yang akan diungkapkan olehnya dalam setiap perenggan.