Raja Tedung menawarkan ilmu pendeta kepada Raja Katak. Tanpa berfikir panjang, Raja Katak sangat berbesar hati menerimanya meskipun syarat yang ditetapkan oleh Raja Tedung sangat kejam, iaitu menyediakan dua ekor katak setiap hari sebagai santapannya. Disebabkan Raja Tedung pandai menyusun kata, asyik merendah diri dan memuliakan martabat Raja Katak, Raja Katak termakan pujian dan pujukan.
Kemudian datang Menteri Katak memberi peringatan kepada Raja Katak akan tipu muslihat seekor tedung yang sifatnya memang pandai menyamar dan menipu. Menteri Katak cuba merasionalkan Raja Katak.
Lantaran itu, hati Raja Katak mula berbolak-balik. Lekas Raja Tedung bermanis bicara dan meyakinkan Raja Katak bahawa dia tidak mempunyai sebarang niat jahat terhadap Raja Katak.
Akhirnya Raja Katak tewas dengan pujukan Raja Tedung dan menurutkan segala kehendak Raja Tedung. Betapa gembiranya Raja Tedung apabila hasratnya dipenuhi Raja Katak. Semakin dipuja-pujinya akan Raja Katak. Kononnya tidak ada raja lain setanding Raja Katak yang berani berhadapan dengan Raja Tedung. Raja Katak semakin berasa disanjung. Kian megah dan angkuh hatinya terhadap sebarang rayuan katak-katak yang lain.
Lantaran tidak mahu namanya tercemar kerana mungkir janji, akhirnya Raja Katak berkeras dengan perintahnya. Rakyat terpaksa akur dengan perintah raja mereka. Beberapa hari kemudiannya, permintaan Raja Tedung semakin menjadi-jadi. Dipohonkan kepada Raja Katak supaya menambah bilangan katak santapannya.
Raja Katak yang asyik bermegah menunggang kepala Raja Tedung tanpa berfikir panjang memenuhi kehendak Raja Tedung tersebut. Raja Tedung terlalu cerdik bermain kata untuk menawan hati Raja Katak. Raja Katak langsung tidak sedar akan bilangan rakyatnya yang semakin susut akibat menjadi santapan Raja Tedung sehari-hari. Ada sebilangan rakyat yang melarikan diri ke dalam hutan kerana khuatir menjadi santapan Raja Tedung.
Suatu ketika, seekor Menteri Katak datang menyembah Raja Katak. Menteri Katak memerihalkan tentang bilangan rakyat yang sudah lenyap dan habis dimakan Raja Tedung. Sebahagiannya pula sudah melarikan diri. Barulah Raja Katak tersentak akan kesilapan dirinya yang dipermainkan Raja Tedung. Melihatkan tiada lagi bilangan katak sebagai santapannya, akhirnya Raja Tedung mentertawakan Raja Katak dan mengungkit segala kebodohan Raja Katak.
Raja Katak dan menterinya akhirnya mati ditelan oleh Raja Tedung. Demikianlah balasan yang diterima oleh seorang pemimpin yang zalim dan angkuh. Penyair turut berpesan kepada pembaca supaya mengambil iktibar sebagai peringatan dalam kehidupan.
Berbeza pula dengan hikayat Syair Raja Tedung dengan Raja Katak ini. Disebabkan tidak ada pendirian yang tetap, akhirnya dipergunakan oleh pihak lain. Ironinya masyarakat kita. Satu tempelak yang hebat juga kepada pemimpin masa kini. Perkara yang patut didahulukan tidak lagi dipandang sebab termakan hasutan-hasutan untuk mendapatkan ganjaran yang lebih besar.