Penglibatan saya dalam bidang imunologi bermula ketika mengambil ijazah pra-siswazah dalam bidang sains bioperubatan hampir 17 tahun yang lalu. Ketika itu, imunologi merupakan salah satu mata pelajaran yang wajib diambil oleh pelajar bioperubatan. Sains bioperubatan menekankan aspek fungsi badan manusia serta penyakit, tetapi lebih menjurus kepada diagnosis makmal serta penyelidikan.
Bidang bioperubatan telah lama bertapak di Malaysia dan ditawarkan sebagai ijazah pertama di beberapa universiti awam dan swasta. Antara universiti awam yang menawarkan kursus ijazah pertama bioperubatan ialah Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaya (UM). Manakala universiti swasta yang menawarkan kursus bioperubatan ialah International Medical University Malaysia (IMU) dan Management & Science University (MSU).
Pelajar-pelajar bioperubatan akan mempelajari mata pelajaran seperti biokima, anatomi (struktur badan manusia), fisiologi (fungsi dalam badan), imunologi (sistem pertahanan badan), hematologi (struktur dan fungsi darah), farmakologi (kesan bahan kimia terhadap badan), genetik (perwarisan) dan banyak lagi. Di samping itu, pelajar bioperubatan akan mempelajari cara-cara mengendalikan pelbagai jenis eksperimen dalam makmal melalui kelas amali. Hampir setiap mata pelajaran mempunyai kelas amali khusus yang dijalankan setiap minggu. Contohnya bagi mata pelajaran hematologi, pelajar akan mempelajari kaedah mengenalpasti dan mengira bilangan sel darah, menguji sel darah di bawah mikroskop serta menganalisa maklumat darah menggunakan alatan yang biasa digunakan di makmal diagnosis hematologi di hospital. Bagi mata pelajaran imunologi pula, pelajar akan berpeluang menjalankan eksperimen penghasilan antibodi menggunakan haiwan seperti arnab, menjalankan teknik imunologi seperti ujian pengesanan kelahiran dan menggunakan alatan imunologi seperti flow sitometri. Alat flow sitometri digunakan di hospital bagi mengesan komponen darah pesakit dan juga bagi tujuan penyelidikan imunologi.
Bidang imunologi atau sistem pertahanan badan merupakan salah satu cabang daripada bidang perubatan dan bioperubatan. Di luar negara, bidang imunologi ditawarkan sebagai ijazah pertama dan ijazah lanjutan. Walaubagaimanapun di Malaysia, bidang imunologi hanya ditawarkan sebagai pengkhususan bagi ijazah sarjana lanjutan atau ijazah doktor falsafah (Ph.D). Imunologi terbatas pada peringkat sarjana di Malaysia kerana bidang ini masih belum popular, ibarat pahlawan yang tidak didendang serta mempunyai pasaran yang terbatas di Malaysia. Buat masa ini, ijazah lanjutan imunologi ditawarkan di beberapa universiti awam Malaysia dan dijalankan melalui mod penyelidikan. Bidang imunologi boleh dibahagikan kepada beberapa subbidang atau pengkhususan. Salah satu bidang imunologi yang popular ialah vaksinologi.
Perkenalan saya dengan imunologi secara mendalam bermula ketika saya melanjutkan pelajaran peringkat sarjana dalam bidang imunologi dan vaksinologi di USM. Ketika peringkat sarjana, saya telah membuat kajian berkenaan penghasilan vaksin alternatif terhadap penyakit batuk kering atau tuberkulosis (TB). Vaksin sedia ada terhadap TB iaitu Bacille Calmette-Gurin (BCG) dapat melindungi bayi daripada terkena jangkitan TB. Walau bagaimanapun, keberkesanan BCG berbeza di kalangan orang dewasa. Oleh itu, penghasilan vaksin TB yang baru adalah penting supaya dapat melindungi segenap lapisan masyarakat daripada jangkitan TB.
Seterusnya, kecintaan saya terhadap bidang imunologi diteruskan ketika saya melanjutkan pengajian peringkat doktor falsafah di The University of Queensland (UQ), Australia dan telah menjalankan penyelidikan imunologi di Mater Medical Research Institute (MMRI). Ketika itu, penyelidikan saya tertumpu kepada fungsi sejenis sel pertahanan badan, iaitu monosit. Sel-sel badan yang bertanggungjawab terhadap pertahanan badan terletak di dalam darah atau dikenali sebagai sel darah putih. Salah satu komponen sel darah putih ialah monosit. Monosit memainkan peranan penting ketika berlaku jangkitan kuman di dalam badan. Mekanisma serta cara tindak balas sel monosit telah saya kaji dengan mendalam.
Minat saya terhadap monosit telah mendorong saya mengkaji sel tersebut dan kini telah menjadi penyelidikan utama saya di USM. Pada masa kini, saya mempunyai dua geran penyelidikan bagi mengkaji sel terbitan monosit dikenali sebagai monocytic microparticles (mMP). Cara tindak balas sel terbitan monosit ini masih lagi menjadi kajian saintis imunologi di seluruh dunia. Selain itu, saya juga mengkaji beberapa jenis sel daripada kumpulan sel darah putih manusia. Sel-sel tersebut dinamakan sel dendritik dan sel makrofaj. Kedua-dua sel ini memainkan peranan penting ketika berlaku jangkitan dalam badan. Monosit dan sel dendritik merupakan antara benteng pertahanan terawal. Namun begitu, masih banyak fungsi sel-sel ini yang belum diketahui secara khusus. Oleh itu, kajian saya pada masa ini menjurus kepada fungsi sel-sel ini secara in vitro (dalam makmal) apabila diberikan rangsangan seakan-akan serangan kuman. Kajian ini memerlukan sumbangan darah para sukarelawan sebagai sampel ujikaji. Darah yang diperoleh kemudiannya diasingkan di dalam makmal dan sel monosit ditulenkan melalui beberapa proses menggunakan alatan khas. Sel monosit ini seterusnya dibiakkan di dalam makmal dan diberikan rangsangan khusus untuk tempoh masa tertentu. Fungsi sel yang telah diberikan rangsangan akan dikaji dan maklumat tersebut boleh diaplikasi pula kepada kajian lain menggunakan darah pesakit yang mempunyai penyakit tertentu.
Selain aktif dalam bidang penyelidikan, saya juga giat menulis buku sel darah putih serta artikel-artikel berkaitan sistem pertahanan badan. Saya turut menjalankan bengkel, persidangan dan latihan berkenaan imunologi dan kesihatan di USM. Saya juga aktif berkongsi info kesihatan dalam media sosial dan merupakan ahli MedTweet.MY. Kumpulan MedTweet.MY merupakan gabungan pakar serta ahli perubatan dan kesihatan yang berkongsi maklumat kesihatan melalui medium Twitter.
Di Malaysia terdapat beberapa orang pakar imunologi perubatan. Meskipun begitu, masih belum ramai pakar imunologi bioperubatan di negara kita berbanding di luar negara. Salah seorang tokoh imunologi yang saya kagumi ialah Profesor Dr. Peter Doherty. Beliau telah memenangi Hadiah Nobel dalam bidang Fisiologi atau Perubatan. Kajian beliau mengenai fungsi sejenis molekul, iaitu major histocompatibility complex (MHC) dalam jangkitan virus membolehkan beliau mendapat pengiktirafan Hadiah Nobel pada tahun 1996. Profesor Doherty berasal dari Brisbane, Australia. Kehebatan kajian imunologi di Australia terutama di Brisbane merupakan antara yang terbaik dan tercanggih di dunia. Faktor inilah yang mendorong saya untuk menyambung pengajian peringkat doktor falsafah di Brisbane, Australia.
Brisbane merupakan ibu negeri Queensland. Queensland juga dikenali sebagai Sunshine state kerana menerima pancaran matahari paling lama iaitu 263 hari berbanding negeri lain di Australia. Queensland ialah negeri kedua terbesar di Australia serta terkenal dengan keindahan pantai seperti Surfers Paradise di Gold Coast yang menjadi tarikan pelancong dari serata dunia. Gold Coast merupakan salah satu bandar yang terdapat di Queensland dengan jarak kirakira 80 km dari Brisbane. Beberapa taman tema tersohor seperti Movie World, Sea World dan Wetn Wild juga terletak di Gold Coast.
Selain terkenal dengan pelbagai tempat pelancongan, Queensland juga mempunyai beberapa pusat penyelidikan perubatan dan kesihatan yang terkemuka di Australia. Antaranya ialah Queensland Institute of Medical Research, Mater Medical Research Institute (tempat saya menjalankan kajian Ph.D) dan Diamantina Institute. Kesemua institut ini mempunyai hubungan akademik dengan universitiuniversiti di Queensland. Selain itu, negeri-negeri lain di Australia juga mempunyai pusat penyelidikan yang berprestij dalam bidang kaji penyakit dan imunologi seperti Walter and Elizabeth Hall Institute (Melbourne), Garvan Institute of Medical Research (Sydney) dan Institute for Immunology and Infectious Diseases (Perth).
Bidang bioperubatan merupakan bidang yang sentiasa menyokong bidang perubatan. Pada tahun 2014 di Amerika, hasil ekonomi bidang kesihatan dan bioperubatan mencatatkan peningkatan keuntungan sebanyak 15% berbanding tahun sebelumnya. Akhbar Sinar Harian bertarikh 3 Jun 2014 telah melaporkan bahawa Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Malaysia akan mengukuhkan kedudukan industri pembuatan bahan tambahan untuk bidang bioperubatan di negara ini. Ini menunjukkan bahawa bidang bioperubatan merupakan bidang yang telah berkembang di luar negara dan semakin berkembang di Malaysia.
Graduan bidang bioperubatan boleh memilih pelbagai bidang kerjaya. Salah satu kerjaya yang boleh diceburi ialah sebagai penyelidik, sama ada di institut penyelidikan awam atau swasta. Selain itu, graduan bioperubatan juga boleh menjadi pakar produk di syarikat-syarikat pembekal barangan makmal atau kesihatan. Di samping itu, bagi yang menyambung pengajian ke peringkat pascasiswazah, mereka boleh bekerja dalam bidang akademik atau penyelidikan.
Saintis bioperubatan dan imunologi memainkan peranan besar membantu mempercepatkan diagnosis terhadap sesuatu penyakit. Contohnya, berbelas tahun lepas, pesakit yang disyaki menghidapi penyakit TB akan diambil sampel kahak. Sampel ini perlu dibiakkan di dalam makmal pada keadaan tertentu. Setelah tiga minggu, barulah keputusan sampel tersebut dapat diketahui sama ada mengandungi kuman TB atau tidak. Melalui penyelidikan bidang imunologi, kini, penyakit TB boleh dikenalpasti dalam masa 24 jam selepas sampel pesakit diambil. Ujian ini dinamakan Interferon Gamma Release Assays (IGRAs) dan memerlukan sedikit darah pesakit sebagai sampel ujian.
Penyelidikan dalam bidang imunologi juga telah memberi banyak manfaat dalam kehidupan seharian manusia. Salah satu sumbangan utama bidang imunologi ialah penghasilan vaksin. Vaksin merupakan kuman yang telah dimatikan atau dilemahkan. Kuman mempunyai antigen yang berfungsi merangsang sistem pertahanan badan supaya menghasilkan antibodi bagi melawan sesuatu jangkitan kuman tersebut. Penghasilan antibodi ini akan memberikan ingatan atau memori kepada sistem pertahanan badan. Sekiranya berlaku serangan kuman yang sebenar, sistem pertahanan badan telah pun bersedia melawan kuman tersebut. Antibodi bersifat khusus, iaitu melawan kuman yang telah dikenalpasti melalui pemberian vaksin tersebut sahaja. Dengan perkembangan teknologi, saintis imunologi telah berjaya menghasilan beberapa jenis vaksin yang digabungkan melalui satu suntikan sahaja!
Saintis bioperubatan dan imunologi sentiasa mencari penyelesaian kepada permasalahan dalam bidang perubatan dan kesihatan. Contohnya, dalam bidang transplan, iaitu pemindahan sum-sum tulang atau organ lain dalam badan. Sebelum organ dapat dipindahkan daripada penderma kepada penerima, beberapa ujian perlu dilakukan bagi memastikan kesesuaian pendermaan. Antara ujian yang dijalankan ialah mencari padanan HLA (human leukocyte antigen) antara penderma dan penerima. HLA merupakan gen pewarisan yang mengawal atur sistem pertahanan badan manusia. Padanan HLA paling tinggi antara penderma dan penerima dapat mengelakkan penolakan (rejection) organ baru dalam badan penerima. Ini kerana sistem pertahanan badan akan menyerang benda asing yang memasuki badan dan dianggap berbahaya. Justeru, ujian ini haruslah dilakukan dengan teliti oleh saintis bioperubatan dan imunologi. Ini membantu kelancaran proses transplan yang akan dilakukan oleh doktor pakar.
Kajian dalam bidang imunologi telah melahirkan ramai pemenang Hadiah Nobel. Antara yang terkenal ialah Robert Koch yang memenangi Hadiah Nobel pada tahun 1905 disebabkan penemuan berkaitan kuman TB. Lebih daripada 30 orang saintis imunologi yang telah membuat penemuan baru dalam perubatan dan kesihatan telah memenangi Hadiah Nobel.
Sebagai penutup, saya yakin pada masa hadapan, imunologi bakal berkembang sebagai salah satu bidang yang dapat menyumbang kepada perkembangan ilmu, teknologi dan ekonomi negara. Bukan itu sahaja, saya berharap perkongsian ini akan memberi inspirasi kepada lebih ramai pelajar pasca siswazah agar menceburi bidang ini nanti.
Biodata
Beliau berkhidmat sebagai Pensyarah dan penyelidik imunologi di Pusat Pengajian Sains Kesihatan USM. Berkelulusan Doktor Falsafah dalam bidang imunologi dari The University of Queensland. Beliau aktif menyebarkan info kesihatan dalam media sosial dan merupakan ahli
MedTweet.MY