SANG PENGUASA - 4
Kerajaan baru sering mengalami pelbagai masalah. Walaupun suatu kerajaan itu bukan kerajaan baru sepenuhnya, tetapi merupakan sebahagian daripada anggota negara campuran, huru-hara akan tercetus daripada masalah yang sering terjadi di semua wilayah baru, iaitu rakyat mengubah pemerintah mereka dengan harapan keadaan menjadi lebih baik. Keyakinan ini akan membuatkan mereka mengangkat senjata melawan pemerintah baru kerana ditipu dan telah melalui pengalaman keadaan akan menjadi lebih buruk. Perkara ini sering terjadi dan kadangkala tidak dapat dihindarkan kerana pemerintah baru seringkali menyakiti subjeknya sama ada melalui ketenteraan ataupun melalui kedudukannya.

Maka, mereka yang disakiti akan menjadi musuh Tuan. Tuan tidak mampu memelihara persahabatan dengan mereka yang telah membantu Tuan memperoleh kuasa. Tuan juga tidak akan mampu memuaskan mereka seperti mana yang mereka harapkan. Sekuat mana pun tentera Tuan, Tuan tidak akan mudah mendapatkan pertolongan daripada suatu penduduk untuk memperolehi wilayah mereka.

Alasan inilah yang membuatkan Louis XII dari Perancis kehilangan Milan dalam waktu yang singkat pada tahun 1500 walaupun tidak mempunyai kesulitan ketika memperolehnya pada tahun 1499. Pasukan Ludovico saja sudah cukup untuk mendapatkan Milan kerana penduduknya bersedia membuka pintu gerbang untuk Ludovico. Mereka terpedaya dengan janji yang ditaburkan, dan tidak mendapat sebarang manfaat yang diharapkan sehingga tidak tahan lagi untuk tunduk di bawah penguasa baru.

Walau bagaimanapun, sekiranya pemberontakan dapat ditawan, maka untuk mengekalkan wilayah yang diduduki menjadi lebih mudah. Penguasa tidak akan mendapat tentangan yang besar dalam menstabilkan kedudukannya dengan menghukum orang yang bermasalah, menahan orang yang dicurigai, dan meningkatkan kekuatan di sudut dan tempat yang lemah, walaupun kemunculan seorang Duke Ludovico cukup untuk membuatkan Perancis kehilangan Milan. Kemudian, pada tahun 1511, Perancis kehilangan Milan buat kali kedua, apabila seluruh wilayah melawan negara itu dan pasukan Perancis berundur dari Itali.

Ini merupakan hasil daripada perkara-perkara yang disebutkan di atas, dan masalah Perancis kehilangan Milan buat kali pertama telah dibahas. Namun, apakah tindakan yang patut diambil oleh sang Penguasa supaya Perancis tidak kehilangan Milan buat kali kedua.

Saya patut beritahu, apabila sebuah wilayah baru ditambah ke wilayah lama, sama ada kerana memang wilayah itu sebahagian daripada wilayah lama ataupun kerana bahasa penduduknya yang sama. Sekiranya demikian, sangat mudah untuk mengawal mereka, khususnya apabila mereka tidak biasa dengan kebebasan. Untuk mengawal mereka secara aman, cukuplah sekadar keluarga penguasa yang memerintah mereka sebelum itu dihapuskan.

Selebihnya, peraturan dan sistem yang sedia ada jangan diganggu. Apabila tradisi mereka tidak diganggu, rakyat akan tenang di bawah pemerintahan baru seperti yang terdapat dalam kes Burgundi, Britain, Gascony dan Normandi yang telah lama bersatu dengan Perancis. Walaupun mungkin terjadi perbezaan kecil seperti bahasa, tradisi mereka tetap sama dan dapat hidup bersama dengan baik.

Sesiapapun yang mempunyai pemilikan ke atas wilayah tertentu dan ingin mempertahankannya, haruslah dia melihat dua perkara. Pertama, darah penguasa lama harus dihapuskan. Kedua, jangan mengubah hukum ataupun tradisi penduduk. Apabila dilanggar, mereka akan cepat bersatu dan membentuk negara baru.

Namun, apabila kekuasaan berada di wilayah yang mempunyai bahasa, hukum dan tradisi yang berbeza, maka masalah yang lebih besar harus diatasi. Ia menuntut usaha yang lebih dan nasib yang baik untuk mempertahankannya. Salah satu cara terbaik adalah penguasa baru menetap di sana. Ini akan menjadikan kedudukan lebih aman dan dapat bertahan lama. Inilah yang dilakukan oleh Turki di Greek. Banyak langkah yang diambil untuk mempertahankan negara itu mungkin tidak tercapai sekiranya Turki tidak berada di sana. Dengan berada di tempat itu, kekacauan dapat dipantau dan segera dipadamkan. Apabila berada di tempat jauh, kekacauan sukar dipantau dan dipadamkan. Selain itu, ia juga akan memudahkan urusan para pembesar Tuan. Rakyat akan mudah menyuarakan sebarang aduan kepada penguasa mereka. Sekiranya penguasa itu baik, maka rakyat mempunyai alasan untuk mencintainya, jika sebaliknya pula, mereka mempunyai alasan untuk menakutinya. Apabila kuasa luar ingin menyerang negara tersebut, ia akan lebih sukar untuk dirampas selagi mana penguasanya tinggal di sana.

Cara lain dan lebih baik adalah menempatkan kolonis di satu dua wilayah dan biarkan mereka menjadi sebahagian daripada penduduk. Ataupun meletakkan sejumlah tentera di tempat tersebut. Tetapi penempatan kolonis tidak memerlukan kos yang besar. Ia hanya akan merugikan pemilik tanah dan rumah-rumah yang dirampas untuk kolonis tersebut. Mereka yang dirugikan ini akan menjadi miskin dan tidak akan melakukan banyak masalah. Populasi selebihnya yang tidak dirugikan lebih mudah ditenangkan. Mereka takut menjadi mangsa seperti hak milik dirampas apabila melakukan kesalahan.

Kolonis-kolonis itu lebih setia dan tidak memberikan banyak masalah. Golongan yang mendapat kerugian tidak mampu melakukan huru-hara. Namun, penguasa perlu memilih sama ada untuk menjadi lembut ataupun keras kerana manusia selalu mudah mengambil tindakan atas kerugian yang kecil, tetapi tidak mampu bertindak terhadap pengawalan yang keras. Apabila kita menyakiti seseorang, pastikan dia tidak lagi mampu untuk membalas dendam.

Apabila mengawal pasukan tentera, kos yang diperlukan sangat tinggi dan kos itu banyak menyumbang kepada pengawasan elemen pemberontakan sehingga harta negara menyusut. Tentera juga menyakiti lebih ramai orang dengan perumahan dan rampasan yang membahayakan. Seterusnya, ramai orang akan menjadi musuh dan mendatangkan bahaya. Sebab itulah penempatan tentera tidak produktif dan kolonisasi sangat berguna.

Penguasa seharusnya menjadi pemimpin dan pelindung kepada wilayah-wilayah jiran. Lemahkan kuasa pemimpin-pemimpin mereka serta berikan perlindungan kepada mereka daripada ancaman kuasa asing. Seseorang seperti ini selalunya didukung oleh rasa tidak puas hati kerana cita-cita yang berlebihan ataupun kerana ketakutan.

Tentera Rom dibawa masuk ke Greek oleh bangsa Aetolia. Kebanyakan negara yang mereka jejaki, mereka akan dibawa masuk oleh penduduknya. Lazimnya, apabila kuasa asing yang kuat memasuki suatu wilayah, seluruh penduduk yang lemah akan menjadi pengikutnya kerana kebencian terhadap kuasa yang memerintah mereka. Maka, penduduk ini sudah tidak mempunyai masalah untuk dihadapi. Dia hanya perlu memastikan mereka tidak mempunyai kuasa dan autoriti yang terlalu banyak. Seterusnya, sebahagian daripada mereka yang lebih berkuasa dapat ditundukkan dengan mudah. Akhirnya, dia menjadi penguasa negara tersebut.

Di wilayah-wilayah yang ditakluk, Rom menerapkan pendekatan seperti ini. Mereka mendirikan koloni, bekerjasama dengan pemimpin-pemimpin yang lemah tanpa membuatkan mereka terlalu kuat, jatuhkan mereka yang terlalu kuat, dan tidak membenarkan kuasa asing mempunyai pengaruh di sana. Misalnya, Greek menjaga hubungan dengan Achea dan Aetolia, serta memutuskan hubungan dengan Macedonia. Mereka juga mengusir Antiochus. Mereka tidak pernah membiarkan Acheans ataupun Aetolians mengembangkan wilayah kekuasaan. Mereka juga tidak membiarkan Raja Philip menjalinkan hubungan dengan Rom selagi raja itu tidak tunduk kepada mereka. Mereka juga tidak mengakui kekuasaan ataupun pengaruh Antiochus.

Rom melakukan apa yang seorang penguasa harus lakukan. Penguasa bukan sahaja perlu memantau isu semasa, malah perlu melihat ke hadapan supaya segala masalah dapat dihindari. Dengan menyelesaikan suatu perkara dengan segera, pelbagai krisis dapat dielakkan. Ubat sudah tidak berguna lagi apabila penyakit tidak dapat disembuhkan. Apa yang doktor katakan mengenai perkara ini ada benarnya juga. Pada permulaan suatu perkara buruk, ia mudah untuk dirawat walaupun sukar untuk mengetahui masalahnya yang sebenar. Tetapi, jika tidak merawatnya pada peringkat awal kerana untuk mengenali masalah terlebih dahulu, ia akan lebih sukar untuk dirawat kelak.

Samalah juga halnya dalam politik. Jika masalah dikenal pasti dengan pantas, dapatlah ia dirawat dengan segera. Sebaliknya, jika proses mengenal pasti masalah itu lambat, melarat sehingga ia membarah, maka tiada lagi penawar untuknya. Bangsa Rom pantas mengenal pasti suatu masalah dan segera menyelesaikannya. Mereka sedar peperangan tidak dapat dielakkan tanpa memberikan kelebihan kepada pihak lain. Mereka mahu berperang dengan Raja Philip dan Antiochus di Greek supaya peperangan di Itali dapat dielakkan. Mereka tidak mampu dilengah-lengahkan dalam tempoh waktu yang panjang. Tiada siapa di antara mereka yang menerima pandangan bahawa biarkan sahaja masa yang menentukan. Sebaliknya mereka akan mengambil tindakan yang betul dan berhikmah. Waktu menentukan segalanya-galanya dan boleh membawa hal yang baik dan buruk.

Mari kita tinjau kembali perihal Perancis sama ada mereka melakukan perkara yang kita bicarakan. Saya perlu sebut nama Louis XII sebagai orang yang memegang Itali untuk tempoh yang lama dan tindakannya yang lebih menonjol. Kita akan lihat dia melakukan perkara yang kontra daripada apa yang sepatutnya dilakukan untuk menjaga wilayah asing.

Raja Louis XII diundang ke Itali oleh orang Venetia dengan harapan wilayah Lombard menjadi sebahagian daripada mereka dengan kedatangan raja itu. Saya tidak mahu menyalahkan tindakan Louis XII, tetapi dia menjejakkan kaki di Itali tanpa sebarang kawan di sana dan segala pintu ditutup kerana sikap Charles VIII suatu ketika dahulu. Dia terpaksa menerima sebarang bentuk persahabatan yang dapat dia perolehi. Dia mungkin dapat melakukan yang terbaik sekiranya dia tidak melakukan sebarang kesilapan. Dengan memperoleh sebahagian daripada Lombard, Louis XII mendapat kuasa yang Charles VIII pernah hilang. Genoa menyerah kalah dan Florentines menjadi kawannya. March of Mantua, Duke Ferrara, Bentivogli, Forli, Lords of Faenza, Pesaro, Rimini, Camerino, Piombino, Lucca, Pisa dan Sienna, semuanya menjadi rakannya. Orang Venetia sedikit terkejut kerana dengan hanya impian untuk memperoleh sebahagian Lombard, mereka telah menjadikan Louis XII raja kepada dua pertiga Itali.

Fikirkan betapa kecilnya masalah yang dihadapi oleh Louis XII dalam mempertahankan reputasinya di Itali apabila dia memahami aturan yang diperkatakan di atas. Dia memelihara persahabatan yang telah dijalinkan. Dia mempunyai rakan yang ramai. Pihak yang lemah dan takut dengan kuasa Gereja dan Venetia terpaksa mencari perlindungan daripada Louis XII. Dengan bantuan mereka, dia dapat mengawal mereka yang terlalu berkuasa. Ketika di Milan, Louis XII tidak sedar bahawa ketika dia membantu Paus Alexander menduduki Romagna, kuasa politiknya semakin melemah kerana mengabaikan rakan dan sekutu, serta memberikan kuasa spiritual dan politik kepada Gereja. Kesilapan ini seterusnya telah memaksanya terjerumus dengan kesilapan-kesilapan lain.

Untuk menyekat impian Alexander dan menghalang dia daripada menjadi penguasa di Tuscany, Louis terpaksa memasuki Itali. Tidak cukup dengan memberikan kekuasaan kepada Gereja dan kehilangan rakan-rakan, Louis XII mendambakan Kerajaan Naples, dan dia membahagikannya dengan Raja Sepanyol. Daripada terus menjadi penguasa di Itali, Louis XII meletakkan seorang rakan yang dapat membantunya menghadapi sesiapa yang tidak berpuas hati terhadapnya. Dia melucutkan orang yang perlu bergantung padanya, dan melantik orang yang dapat berpaling padanya.

Telah menjadi lumrah untuk seorang penguasa meluaskan kekuasaannya, dan apabila dia berjaya meluaskannya, dia akan dijulang, dan bukan dipersalahkan. Tetapi, apabila penguasa itu tidak berjaya, tetapi masih berkeras untuk berusaha, di sinilah munculnya kesilapan. Jika Perancis mempunyai kuasa untuk mendapatkan Naples, maka ia harus mendapatkannya. Sekiranya tidak, ia tidak patut membahagikannya. Membahagikan Lombard dengan orang Venetia memberikan alasan untuk Perancis menjejakkan kaki di Itali. Tetapi agenda di Naples tidak mempunyai sebarang alasan dan keperluan.

Maka, Louis XII telah melakukan lima buah kesilapan iaitu, dia kehilangan sokongan dalam kalangan bangsawan, dia memberikan kuasa yang lebih kepada penguasa yang benar-benar berkuasa, dia membawa masuk kuasa asing berpengaruh ke Itali, dia tidak tinggal di Itali dan dia tidak menubuhkan sebarang koloni. Louis XII mampu menghindari akibat daripada kesilapan-kesilapan ini sekiranya dia tidak melakukan kesilapan yang keenam iaitu mengambil wilayah mereka daripada Venetia. Dia mampu menundukkan orang Venetia sekiranya dia tidak meningkatkan kuasa Gereja ataupun melibatkan Raja Sepanyol.

Dengan mengambil langkah-langkah ini, Louis XII tetap tidak akan membiarkan pasukannya menuju kehancuran. Pada mereka, terus berada dalam kekuasaan dapat menghindarkan pihak lain daripada merancang untuk mengambil Lombard. Terutamanya apabila Venetia sendiri tidak akan membenarkan apa-apa tindakan diambil ke atas Lombard melainkan mereka turut serta. Pihak lain juga tidak mahu mengambil Lombard daripada Perancis dan memberikannya kepada Venetia dan tidak berani untuk menyerang kedua-duanya.

Jika ada orang katakan Raja Louis XII menyerahkan Romagna kepada Alexander dan sebahagian Kerajaan Naples kepada Raja Sepanyol untuk mengelakkan peperangan. Saya akan menjawab bahawa hal tersebut tidak boleh digunakan untuk mengelakkan peperangan kerana peperangan itu tidak dapat dihindarkan dengan cara begitu. Ia hanya akan memberikan kelemahan ke atas Tuan. Sekiranya seseorang menduga mengenai janji raja terhadap Paus dilaksanakan untuk menyelesaikan masalah perkahwinannya dan pelantikan ketua biskop di Rouen, untuk itu saya akan jawab di lain masa mengenai kepercayaan para Penguasa dan bagaimana ia dapat dipegang.

Kesimpulannya, Raja Louis XII kehilangan Lombard kerana tidak menuruti mana-mana syarat yang patut dituruti oleh sesiapa yang memegang kekuasaan negara dan berhasrat untuk mempertahankannya. Tiada yang ajaib, ia adalah wajar dan masuk akal. Saya telah membicarakan hal ini dengan Kardinal Rouen di Nantes ketika Valentino, anak kepada Paus Alexander menduduki Romagna. Pada pemerhatian Kardinal Rouen, orang Itali tidak memahami peperangan. Saya jawab, orang Perancis tidak memahami politik. Sekiranya mereka faham, mereka tidak akan membenarkan Gereja berkuasa. Dapat dilihat kekuasaan Gereja dan Sepanyol di Itali yang disebabkan oleh Perancis. Kejatuhan Perancis adalah disebabkan oleh mereka sendiri. Daripada sini, dapat kita simpulkan aturan umum ini tidak pernah atau jarang mengalamai kegagalan, iaitu dia akan musnah apabila memberikan seseorang itu terlalu banyak kuasa. Kekuasaan itu pula diberikan sama ada melalui kepintaran ataupun melalui paksaan, dan keduaduanya dicurigai olehnya yang pernah bangkit menuju kekuasaan.