Tingkat yang kedua menempatkan bilik guru lelaki dan bilik guru perempuan serta bilik komputer. Bilik guru perempuan seluruhnya dipenuhi oleh meja-meja guru perempuan, semestinya. Bilik guru lelaki pula, sebaliknya. Hanya separuh sahaja dari bilik yang besar itu digunakan. Ruang-ruang lainnya diletakkan dengan macammacam perkara yang tidak patut ada di bilik guru di mana-mana sekolah sekali pun seperti bola sepak, khemah, meja ping pong dan macam-macam lagi.Mungkin kerana guru lelaki di sekolah kami tidak ramai dan boleh dibilang dengan jari sahaja, jadi bilik guru lelaki itu diletakkan dengan alatan sukan dan alatan-alatan yang lainnya.
Saya masih ingat lagi, sekiranya terdapat rakan-rakan lelaki saya yang bercita-cita untuk menjadi seorang guru, pasti akan dipujipuji dan digalak-galakkan oleh guru-guru yang lain. Hal ini mungkin kerana tenaga pengajar dari kalangan lelaki tidak ramai. Yang ramai menjadi guru di sekolah kami, dan mungkin di manamana sekolah sekali pun adalah dalam kalangan perempuan.
Saya juga hairan, apakah guru-guru ini benar-benar mahu menjadi seorang guru untuk mendidik anak-anak yang tidak tahu apaapa ataupun sekadar mahu menjawat sebarang pekerjaan untuk menyara hidup mereka. Saya berkata sebegini kerana terdapat beberapa guru yang pernah mengajar saya, bersikap seperti tidak mahu mengajar langsung. Hanya tahu masam muka, memberi kerja rumah dan bersikap pemarah sekiranya terdapat pelajar yang tidak faham akan soalan yang diberikan. Bukankah mengajar itu merupakan tugas para guru dan menerangkan perkara yang tidak difahami oleh pelajar juga merupakan tugas mereka
Guru bukan hanya seorang pendidik kepada para pelajarnya. Tetapi guru juga harus menjadi rakan paling karib untuk anakanak muridnya.
Pada suatu waktu yang lain, ketika seorang pelajar di kelas saya sering sahaja keluar dari kelas untuk menyertai latihan pasukan bola sepak sekolah, seorang guru perempuan yang telah saya lupa namanya ada menyebut;
Dia nak belajar atau tak, terpulang pada dia. Gaji saya tetap jalan.
Dan dari dialognya itu, apakah benar sikapnya sebagai seorang guru kepada seorang anak murid
Berbalik semula kepada aturan tingkat bangunan baru di sekolah kami, pelajar darjah lima dan darjah enam dikelaskan di tingkat ketiga dan keempat. Tingkat ketiga dan keempat itu merupakan tingkat neraka untuk saya dan mungkin pelajar-pelajar sebaya saya yang lain. Hal ini kerana kami beranggapan bahawa pelajarpelajar darjah lima dan darjah enam merupakan pelajar-pelajar yang telah matang. Dan persepsi saya tentang kematangan pada waktu itu adalah ; selalu sahaja serius dan garang-garang belaka. Jadi, kami tidak berani untuk naik ke tingkat atas melainkan ada urusan yang benar-benar penting sahaja. Takut-takut ditegur para senior.
Soal kematangan itu pula, saya telah tersilap pada waktu itu. Kerana kematangan itu bukannya lahir dari zahir dan luaran semata-mata. Tapi juga batin dan dalaman.
Pada tahun 2003, saya merupakan pelajar yang banyak bermain. Macam-macam pelajaran saya tinggalkan demi permainan saya. Jadi, dari ditempatkan di kelas yang pertama iaitu 4 Jaya, saya telah dipindahkan ke kelas 4 Maju iaitu kelas yang kedua kerana mendapat markah yang corot pada peperiksaan pertengahan semester. Di kelas itu, saya telah menjadi akrab dengan beberapa rakan yang sebelum itu hanya kawan-kawan biasa sahaja.
Antara sahabat baik saya di kelas itu adalah seorang pelajar perempuan. Namanya, Umi Kalsum. Umi merupakan seorang pengawas sekolah seperti saya. Dia merupakan seorang pelajar perempuan yang agak berisi. Kulitnya cerah dan pipinya sering sahaja kemerah-merahan.
Perkara yang agak melucukan pernah terjadi antara Umi dan saya. Dan yang lebih melucukan lagi, perkara itu terus-terusan berlaku dalam jangka masa yang lama sekali.
Pada suatu hari, Umi telah memberikan saya senaskah buku tulis 180 muka surat. Awalnya, saya begitu hairan dengan tindakan Umi itu. Tetapi, apabila buku tulis 180 muka surat itu saya selak, tercatat beberapa perkataan yang disusun molek-molek oleh Umi. Rupa-rupanya, buka tulis 180 muka surat itu merupakan diari Umi. Saya membacanya penuh minat, walaupun saya sendiri tidak mengetahui apakah niat sebenar Umi memberikan saya diarinya itu.
Dan setelah selesai kesetiap perkataan di dalam diari itu saya baca, saya pun memulangkan diari itu kepada Umi. Saya hanya tergelakgelak ketika menghulurkan diari itu, memikirkan cerita-cerita lucu yang dicatit di dalamnya.
Weh. Kau takde diari tanya Umi. Tanpa berfikir apa-apa, saya terus menggelengkan kepala. Umi tersenyum, dan senyumannya itu berterusan.
Kau mula lah tulis diari weh. Lepas tu kau bagi aku. Kita tukartukar diari. Hari-hari. Nak tawaran dari Umi itu merupakan suatu perkara yang menggelikan hati. Tapi saya tidak mahu tertawa atau mungkin menggerak-gerakkan bibir menahan lucuan pada waktu itu. Saya hanya diam, memandang Umi, dan beberapa ketika, entah kenapa, saya menganggukkan kepala.
Pada malam hari, ketika di rumah, saya bersungguh-sungguh menulis pelbagai aktiviti harian di dalam sebuah buku kecil yang sudah tidak digunakan. Saya menulis dengan penuh minat sekali walaupun catitan harian itu mempunyai lapan puluh peratus jalan cerita yang direka-reka.
Sekitar waktu itu, saya meminati seorang kanak-kanak yang juga sebaya saya, Intan. Intan duduk di dalam kawasan perumahan yang sama seperti saya. Rumah Intan terletak jauh di lorong paling hujung di sebelah belakang, sementara rumah saya pula berada di lorong paling hujung sebelah depan.
Di dalam diari yang ditulis oleh saya itu, saya masukkan serba sedikit kisah-kisah rekaan antara saya dan Intan. Saya mengarang sebuah kisah ciptaan bahawa kami berdua pergi ke pasar malam sambil berpegangan tangan. Kemudiannya saya mengarang pula serba sedikit kisah yang menunjukkan kebaikan yang telah saya lakukan, walau pun tidak, seperti solat lima waktu.
Dan apabila sudah selesai menulis diari rekaan pada malam itu, saya pun tidur dengan perasaan yang tidak sabar untuk bertukar diari dengan Umi.
Setiap hari, saya merasa teruja untuk bertukar-tukar diari dengan Umi. Saya mahukan satu cerita yang sensasi dari Umi, atau satu reaksi yang mengujakan apabila dia membaca cerita-cerita reka saya yang indah-indah itu. Dan apabila saya membacanya, saya mengharapkan agar Umi mempercayainya.
Walaupun setiap perkara mampu berlanjutan sehingga ke suatu jangka masa yang lama, lambat laun ia akan terhenti juga. Begitu juga dengan kejadian itu. Akhirnya, pada suatu hari, kami masingmasing sudah melupakan ritual yang telah kami lakukan setiap pagi iaitu memberikan diari masing-masing.
Itulah kali pertama saya berdiari. Dan itu jugalah kali yang terakhir.
Setelah berada di pertengahan tahun 2003, guru-guru membuat beberapa kelas tambahan untuk membantu para pelajar yang akan menduduki UPSR pada tahun tersebut. Kelas tambahan itu diadakan pada waktu malam dan pelajar darjah enam yang menyertai sesi itu menggunakan ruang kelas 4 Maju iaitu kelas saya, untuk mengadakan sesi pembelajaran.
Mereka tidaklah sekadar menggunakan kelas saya sahaja. Kerana bilangan pelajar darjah enam yang mengikuti kelas tambahan itu sangat ramai, jadi mereka telah menggunakan sederet kelas di deretan kelas saya kerana kelas saya terletak di tingkat paling bawah sekali.
Perkara paling menggeramkan saya, dan mungkin juga setiap pelajar di dalam kelas itu adalah apabila kami sampai pada waktu pagi untuk memulakan waktu persekolahan, kami terpaksa berpeluh-peluh dahulu untuk menyusun semula meja-meja yang telah diatur oleh pelajar-pelajar pada waktu malam. Mereka bukan sahaja mengalihkan meja-meja ke tempat lain, malah turut membuang sampah merata-rata tempat.
Walaupun begitu, terdapat beberapa peristiwa yang dapat melupakan saya tentang keletihan pada waktu pagi.
Dengan geram, saya mengambil sebatang pensil, dan menulis sesuatu di atas meja tulis saya. Walaupun setiap perkataan saya di atas meja itu tidak akan merubah apa-apa keadaan di dalam kelas, tapi saya tetap tuliskan juga. Mungkin kerana geram, atau apa, saya sudah pun lupa.
Esoknya, selepas mengemas kerusi dan meja seperti biasa, selepas sudah enak bersandar di kerusi dengan peluh-peluh jernih di sekitar leher, saya terperasan bahawa ada sesuatu yang berbeza di atas meja. Rupa-rupanya, setiap carutan-carutan saya yang saya tuliskan itu sudah pun dibalas dengan satu perkataan dan diakhiri dengan - .
Mungkin Tuhan ingin menunjukkan satu kebenaran bahawa sesuatu persahabatan boleh tercipta dengan macam-macam cara dan di mana-mana sahaja. Entah bagaimana, saya dan tuan empunya tulisan itu mula berkomunikasi. Pada mulanya, dia bersungguh-sungguh meminta maaf kerana rakan-rakannya tidak mengemaskan kerusi dan meja selepas menggunakannya pada waktu malam. Lama-kelamaan, perbualan kami menjadi semakin rancak dan sedikit demi sedikit, saya punya peluang untuk lebih mengenali siapa manusia yang membalas tulisan saya itu setiap hari.
Rupa-rupanya, setelah beberapa hari saya berbual dengan entah siapa, barulah saya tahu bahawa namanya ialah Liyana. Dia merupakan pelajar dari kelas 6 Jaya. Dan dari perbualan itu juga, saya mengetahui bahawa dia merupakan seorang pengawas.
Walaupun saya juga seorang pengawas pada waktu itu, saya tidak pernah berjumpa dan tidak pernah perasan dengan seorang perempuan dua belas tahun yang bernama Liyana. Dan perkara itu saya panjangkan kepada beliau. Kemudiannya, dia membalas;
Kita selalu nak suruh orang perasan kita. Tapi kita tak pernah nak perasan orang.
Setelah mengenal namanya, mengetahui yang dia juga merupakan seorang pengawas, dan dari sumber-sumber yang mampu dipercayai bahawa dia sesusuk manusia yang memakai kaca mata, setiap langkah saya di sekolah itu menjadi serba mendebarkan. Setiap kali berjalan kaki dari kelas ke makmal sains, saya akan memandang ke tingkat paling atas, tingkat pelajar darjah enam. Setiap kali ke kantin semasa waktu rehat, mata saya akan liar melihat ke sekeliling, menyusup ke segenap meja makan dan memerhatikan barisan panjang murid-murid membeli makanan.
Dan dari setiap pergerakan itu, apa yang saya harapkan ialah seorang pelajar perempuan, berbaju biru, dan memakai kaca mata. Tapi, dari setiap pergerakan itu juga, apa yang saya harapkan, tiada.
Satu hari, saya mengajak Liyana, atau saya bahasakan dirinya sebagai Kak Yana untuk berjumpa. Tidak banyak kerenah, selepas sekadar bertanya beberapa soalan seperti tujuan berjumpa, akhirnya dia bersetuju. Kak Yana mencadangkan agar kami berjumpa di sebuah bangunan di sekolah itu.
Pengawas seperti kami dibahagikan tempat untuk dijaga pada waktu rehat. Kami harus menjaga kawasan yang ditugaskan oleh guru. Jaga itu bermaksud kami haruslah memerhatikan tempat yang dijaga supaya tidak terjadi apa-apa perkara yang tidak diingini seperti kecurian atau kerosakan yang dilakukan oleh para pelajar.
Jadi, bangunan yang dicadangkan oleh Kak Yana untuk berjumpa itu merupakan bangunan yang harus dijaganya. Dia sengaja mengajak saya untuk bertemu di situ supaya senang dia melakukan tugasannya. Sedang saya merasakan bahawa dia seorang yang bertanggungjawab kerana sanggup melakukan dua perkara dalam satu masa, saya pula merasakan bahawa diri saya seorang yang tidak bertanggungjawab kerana tidak mampu melaksanakan perkara yang lebih penting dari perkara yang remeh.
Akan tetapi, perasaan saya pada waktu itu merasakan bahawa pertemuan itu adalah penting sekali.
Dan apabila saya sudah sampai di kawasan itu di bangunan yang dijanjikan, Kak Yana tiada. Tiada pengawas perempuan yang berkaca mata, tinggi lampai dan putih halus. Yang ada hanyalah seorang pengawas perempuan berbadan gempal, berkulit agak gelap dan suaranya sangat garau. Dia datang mendekati saya setelah beberapa lama saya duduk berdiam diri di sebuah tangga.
Dia memandang saya. Kemudian, pandangannya dialihkan ke tanda nama saya.
Nak jumpa Liyana tanya dia. Saya menganggukan kepala. Dia menghulurkan sesuatu di dalam genggamannya. Ada sesuatu. Dan nampaknya kelihatan seperti sehelai kertas yang dilipat cantik, tapi sudah remuk digenggam gemuk.
Yana tak datang sekolah. Dia tak sihat. Tapi dia pesan, kalau kau datang, suruh bagi kat kau kertas ni, tambahnya lagi. Saya menghembus nafas lega. Ya. Sangat lega.
Di atas kertas itu, tertulis sesuatu. Sesuatu yang membuatkan saya berhasil untuk mendengar suara Kak Yana. Perbualan antara kami di telefon adalah perbualan yang pertama, dan tiada lagi yang kedua.
Saya sudah lupa apa yang dibualkan oleh kami pada waktu itu. Tapi, apa yang mampu saya ingat kembali, Kak Yana menyarankan agar saya menonton Harry Potter apabila saya kebosanan. Alasannya kerana, ya, Harry Potter mempunyai jalan cerita yang menarik. Dan comel.
Kemudiannya, saya tidak lagi menghubungi Kak Yana. Setakat itu sahaja sesi perkenalan kami. Selepas itu, saya sudah pun melupainya, dan begitu juga dia, melupakan saya.
Dan sehingga ke hari ini, sekiranya saya menonton filem Harry Potter, atau pun melihat pelakon-pelakonnya, atau pun terlihat bukunya di Kinokuniya atau kedai-kedai buku yang lain, saya pasti akan teringat Kak Yana.
Mungkin kami pernah bertemu. Tapi, siapa yang tahu