SURAT-SURAT UNTUK KAHERAH - 4
Minggu ketiga. Embun memandikan helaian rumput di padang. Udara sejuk masuk melepasi jendela. Sesekali bilik darjah itu ditiup pula angin laut dari Selat Melaka. Tetapi kadang-kala angin itu dihalang oleh pokok-pokok bakau yang menyempadani kami.

Wafa Thahirah yang berkulit sawo matang masih duduk di sebelahku. Tubuhnya berisi menampakkan susuk pehanya yang montel. Montok sehingga terasa ingin dipulaspulas. Wafa cuma duduk diam, tidak banyak perangai yang aneh-aneh seperti pelajar lain. Kanak-kanak yang sedang membesar seperti kami dipenuhi kreativiti, menyebabkan kami aktif. Tidak Wafa Thahirah, dia anak baik yang berpewatakan sederhana.

Ayah Wafa bekerja sebagai pemandu van yang berulang alik dari Johor ke Singapura. Ibunya pekerja kilang.

Abangnya Zharif setahun lebih tua, dan Wafa Thahirah mempunyai adik lelaki yang jarak usia agak jauh dari kami. Cuma tiga beradik. Dua lelaki dan Wafa Thahirah satu-satunya perempuan.

Berbeza dengan Anne baik dari sudut ekonomi, rupa paras dan gaya hidup, Wafa Thahirah juga kurang cerdas menangkap pelajaran. Pakej sifatnya menyebabkan beliau menjadi sasaran mudah untuk pembuli. Tidak membuli Wafa dalam sehari akan menyebabkan suasana persekolahan dilanda kebosanan. Aku dengan sewenang-wenangnya akan memintal peha montok Wafa sepuas hati.

Wafa Thahirah tidak berbuat apa-apa. Akhirnya beliau menggunakan akal untuk cuba membendung perkara itu dengan cara paling klise. Mengadu kepada tenaga pengajar. Wafa kurang bijak. Fenomena mengadu kepada cikgu berlaku setiap hari oleh pelajar lain dalam mana-mana bilik darjah pun. Sehingga, cikgu menjadi panas telinga. Apabila Wafa mohon simpati dari cikgu atas perbuatanku yang telah berulang kali dilakukan, ini jawab cikgu,

Lagi sekali cikgu dengar kamu mengadu, cikgu pula yang akan cubit kamu. Faham.

Aku turut terkejut, kerana mangsa buli itu tidak mendapat perhatian. Malah, sempat dimarahi oleh Cikgu

Hajar. Hari yang seterusnya Wafa cuma mampu merayu, Jangan cubit saya...

Aku tetap mencubitnya lagi, kerana paling maksima, gadis sawo matang itu cuma mampu membalas, Jangan cubit saya!.

Aku tersengih-sengih.

Thahi..

Wafa Diam. Tidak menyahut. Aku berceloteh lagi. My name, is Anim. Whats yours Senyap.

Thahi..awak marah saya Lembut.

Jangan cubit saya dan jangan panggil saya tahi. saya bukan tahi. Tahu Nama saya Wafa Thahirah! Thahi.. Aku mengulang lagi.

Saya bukan tahi.. saya bukan tahi.. Wafa menekankan ton suara.

Taik. Aku menjawab sepatah.

Wafa tunduk menyembam wajah ke meja, tangisannya tidak begitu kuat, tetapi kami tahu hatinya remuk. Anne ketawa melekek-lekek, menunjukkan konspirasi. Aku menegakkan ibu jari, misi berjaya!.

Wafa tunduk. Bibirnya berbicara dalam sedu- sedan,

Aku sedar darjat aku, berada di jalanan tempat pijakkan orang. Inilah aku, seketul batu yang tidak mampu melarang orang dari mengutipku dan melemparkannya kembali, di jalan duka ini. Biarlah Allah sahaja yang menilainya, apa yang terkandung didalam sebutir batu. Dipandang orang tak berguna. Lempar ke laut tenggelam ke dasar, campak ke gunung bergolek ke lembah. Baling ke langit, jatuh ke bumi. Dihempas orang, terhakis tidak. Di dalam hati siapa yang tahu..

Anne mengangkat kening, bertanya apa yang diomelkan oleh Wafa.

Kenapa tu..neurosis Tuduh Anne menyebut salah satu daripada penyakit kejiwaan kerana tekanan perasaan.

Aku mengangkat bahu. Tidak tahu.

Habis dengan Wafa Thahirah aku beralih bermain dengan Anne. Tetapi biasanya kami bergaduh. Habis pensil warna dua tinggalnya yang mahal aku muntahkan keluar daripada kotak. Anne akan turut berbuat demikian pada kotak pensil besiku yang juga dua tingkat. Kemudian kami sama-sama berlari. Ah, apa yang diketahui anak kecil tentang susah payah orang tua membelanjakan wang untuk menyiapkan perkakas sekolah mereka.

Kami berlari keluar masuk bilik darjah. Melakukan saie dari papan tulis hadapan hingga dinding belakang. Kemudian tawaf meja kumpulan beberapa kali. Sepanjang itu, Wafa diam sahaja. Duduk di kerusi tanpa memiliki perasaan untuk bermain. Anak tolol.