AlAM BArU
1 Julai 2006 merupakan tarikh di mana saya mendaftarkan diri sebagai pelajar Ijazah Sarjana Muda Doktor Perubatan bertempat di Dewan Nurani, Universiti Sains Malaysia, Cawangan Kampus Kesihatan, Kubang Kerian, Kelantan.
Dapat saya perhatikan wajah-wajah gembira di kalangan lautan pelajar-pelajar baru yang mula membanjiri kawasan dewan tersebut. Masing-masing ditemani oleh ibu bapa yang turut teruja dengan pencapaian membanggakan anak-anak mereka.
Di kampus ini, ada tiga pusat pengajian utama iaitu Pusat Pengajian Sains Perubatan, Pusat Pengajian Sains Pergigian dan Pusat Pengajian Sains Kesihatan.
Pelajar yang baru mendaftar datang dari pelbagai negeri dan latar belakang. Buat mereka yang datang dari bandarbandar besar, ini merupakan satu kejutan budaya bagi mereka memandangkan tidak ada pasar-pasar raya besar, panggung wayang atau pusat hiburan dan corak pergaulan masyarakatnya agak terbatas. Tambahan pula, budaya dan percakapan orang Kelantan adalah begitu asing sekali.
Sewaktu pendaftaran berlangsung, ada beberapa wajah yang saya kenal terutamanya mereka yang belajar di Kolej Matrikulasi Pahang. Ia sedikit sebanyak mengurangkan kejanggalan saya berada di tempat yang baru.
Walaupun kampus terletak di Kelantan, saya percaya bahawa ia mempunyai pantang larangnya yang tersendiri.
Saya memasuki kampus ini selaku pelajar yang pembengis dan kurang sikap toleransinya. Sewaktu minggu orientasi diadakan, hampir sahaja saya bertumbuk dengan Pelajar Pembimbing Minggu Suaikenal (PPMS) yang juga merupakan senior saya. Peristiwa itu berlaku disebabkan masalah yang kecil, tetapi menerima provokasi dari PPMS yang lain hingga menyebabkan saya naik angin. Seluruh batch kecoh dengan peristiwa yang berlaku kerana adanya pelajar junior yang begitu berani mencabar keegoan senior ketika baru beberapa hari menjadi pelajar di sini. Namun, tidak ramai yang mengetahui kisah sebenar di sebalik kejadian ini.
Kes tersebut selesai setelah menerima campur tangan dari seorang senior yang juga berasal dari Kelantan.
Hari berlalu dengan pantasnya dan sesi pembelajaran sudah pun bermula. Pada peringkat awal pengajian, saya sedikit terleka dengan suasana yang baru dialami ini. Sangka saya, pembelajaran dalam bidang kursus perubatan sama sahaja seperti di peringkat SPM dan matrikulasi. Tidak perlu belajar bersungguh-sungguh kerana ia bukanlah sesuatu yang sukar.
Lantas saya dan beberapa orang rakan lagi akan menggunakan waktu lapang setelah pulang kuliah dan pada malamnya untuk bersiar-siar di seluruh Kelantan. Masa kami diisi dengan waktu untuk bergelak ketawa dan tidak langsung menyentuh buku. Ada rakan-rakan yang memberikan nasihat tetapi ia bagaikan masuk ke telinga kanan dan keluar di telinga kiri. Sia-sia sahaja mencurahkan air ke dalam daun keladi kerana ia pasti jatuh ke tanah jua.
Malah, saya juga menyertai pasukan debat bahasa Melayu dan beberapa kali mewakili desasiswa yang menjadi tempat tinggal kami ke pertandingan debat Piala Naib Canselor. Ia sedikit sebanyak menjauhkan lagi saya dengan pelajaran.
Natijahnya, sewaktu peperiksaan selanjar ataupun mid sem dijalankan, saya gagal peperiksaan tersebut. Paling memeritkan jiwa adalah apabila saya mengetahui saya hanya memerlukan dua markah sahaja lagi untuk lulus.
Ia membuatkan saya mula mendekatkan diri dengan rakan-rakan yang mengadakan usrah bersama pelajar senior. Alhamdulillah melalui slot usrah ini, saya kembali berpijak di bumi yang nyata.
Mereka banyak mengingatkan saya tentang tujuan utama datang ke sini adalah untuk belajar. Andai saya gagal, keluarga yang akan menanggung malunya nanti.
Ketika mendekatkan diri dengan mereka, saya banyak mendapat bimbingan dan tunjuk ajar berkisar tentang pelajaran mahupun aktiviti kampus.
Ada masanya juga saya akan mengikuti rakan-rakan dari jemaah tabligh untuk keluar ke masjid-masjid. Itu pun setelah tidak tahan dengan pujuk rayu mereka yang sering bertandang ke bilik untuk mengajak saya keluar.
Berkat usaha mereka, saya mendapati diri saya menjadi semakin positif dan berlaku perubahan pada diri saya sedikit demi sedikit.
Pembelajaran pula menjadi semakin menyeronokkan walaupun ada masanya saya tidak hadir ke kuliah. Tetapi, subjek yang tertinggal itu akan segera diulang kaji bersama rakan-rakan yang lain.
Foundation block selama setahun itu mempunyai susunan jadual yang agak padat dari jam 8.30 pagi hinggalah jam 5 petang. Akan tetapi, di antara satu subjek ke satu subjek ada masa selama satu jam untuk kami mengulang kaji.
Di fasa ini kami belajar anatomi, fisiologi dan juga biokimia yang melibatkan manusia normal. Ada juga sesi-sesi di makmal untuk menjalankan eksperimen atau mengulang kaji pelajaran.
Antara soalan yang suka di tanya oleh orang awam adalah sama ada saya sudah pun membedah mayat. Mungkin kerana mereka mendapat gambaran sebegini dari pelajar-pelajar yang belajar di luar negara.
Di universiti saya, kami tidak diberikan mayat ataupun cadaver memandangkan kos yang agak tinggi. Kami hanya diberi potongan organ-organ tertentu mayat yang telah diawet menggunakan larutan formalin dan kemudiannya menjalani proses pengawetan yang dinamakan plastination. Kebanyakan pembelajaran juga menggunakan model plastik.
Walaupun ada sedikit kekecewaan di hati kami, namun segalanya dipandang dengan sudut positif. Tambahan pula, kami ingin menjadi doktor untuk manusia hidup dan bukannya cadaver. Waktu petang dan malam pula digunakan untuk sesi mengulang kaji. Ada yang membuat kumpulan-kumpulan perbincangan tetapi saya lebih suka untuk belajar sendiri. Untuk memahami sesuatu topik, biasanya saya akan membaca sebanyak tiga pusingan.
Pusingan pertama adalah untuk mengimbas nota tersebut dan melihat perkataan yang tidak saya fahami. Saya akan mencatat makna perkataan tersebut di dalam nota itu. Selepas itu, saya akan membuat bacaan untuk kali kedua bagi memberikan pemahaman yang lebih. Pusingan ketiga pula biasanya saya akan lakukan dua hari selepas membaca nota tersebut. Untuk peringkat ini, saya akan membaca buku teks dan membuat nota sendiri di dalam kertas A4 agar saya dapat mengingati subjek yang dipelajari itu.
Alhamdulillah, teknik tersebut berkesan untuk saya.
teGArKAh NIAt ItU
Melalui sesi usrah dengan senior, saya diberi ruang untuk mengubah persepsi saya tentang kerjaya menjadi seorang doktor. Tambahan pula, niat saya semakin lama semakin berubah.
Peluang menjadi pelajar perubatan ada kalanya membuatkan dendam silam sewaktu di sekolah menjadi semakin menebal. Maklumlah saya bukanlah tergolong dalam kategori pelajar yang bijak dan sentiasa mendapat markah yang rendah. Ia menjadi bahan ejekan kawan-kawan terutamanya di kalangan pelajar wanita. Malah, ada di antara mereka yang ketawa terbahakbahak ketika mendengar sebutan Inggeris saya yang hancur lebur itu.
Namun apabila saya menjadi pelajar perubatan, ramai yang cuba untuk berbaik-baik dengan saya dan mereka mula mengakui bahawa mereka bangga mempunyai sahabat seperti saya. Perangai hipokrit sebegini membuatkan saya semakin geram. Ada masanya saya bermonolog di dalam diri dengan perkataan yang membawa kepada riak;
Padan muka. Dulu kamu ketawakan aku dan hina aku. Sekarang aku belajar kursus perubatan sedang kamu terkial-kial untuk memasuki diploma atau tingkatan enam. Rasakan!
Syukurlah kerana perkongsian dengan rakan-rakan usrah menyedarkan saya akan kekhilafan yang dilakukan itu. Tambahan pula, setelah berkali-kali keluar iktikaf di masjid bersama rakan-rakan tabligh, sifat positif semakin menyerlah dalam diri saya.
Ketika itulah saya sedar akan pentingnya untuk menjadi seorang Doktor Muslim yang tinggi ilmu pengetahuan kedoktorannya tanpa meninggalkan ilmu agama dan peranan dalam pembangunan masyarakat.
Alhamdulillah, saya menjadi orang yang baru. Semangat baru yang diperolehi ini saya manifestasikan sewaktu saya diberi kepercayaan oleh ahli kumpulan untuk menjadi pengarah projek Kem Jalinan Kasih bersama anak-anak yatim di sebuah rumah anak-anak yatim di Kelantan.
Selain dengan sesi latihan dalam kumpulan serta permainan, ia turut disertai dengan slot-slot ceramah agama, sesi membaca buku fadhilat amal, motivasi dan juga tazkirah. Malah, rakanrakan tabligh dan doktor turut sama turun untuk membantu program ini.
Namun, berlaku pergeseran di antara saya dan rakan-rakan usrah disebabkan satu masalah kecil dan ia juga mengakibatkan saya menjauhi rakan-rakan tabligh.
Ramai yang risau akan keadaan saya yang mula futur pada ketika itu. Akan tetapi, Alhamdulillah kerana ia mendekatkan pula saya dengan kumpulan perbandingan agama.
Seorang rakan datang memberikan semangat pada saya bahawa tidak kisahlah menyertai jemaah mana asalkan fikrah kepada Islam itu tetap menebal dan meninggi. Katanya lagi, usahlah menyimpan dendam terlalu lama kerana ia adalah permainan syaitan yang ingin melihat runtuhnya sebuah persaudaraan yang dibina kerana Allah.
Setelah berkali-kali dinasihati, akhirnya saya mengambil inisiatif untuk mengukuhkan kembali hubungan yang telah retak itu. Walaupun saya tidak menyertai kumpulan mereka, namun kami akan saling tolong menolong dalam sesuatu aktiviti universiti.
Syukur, kerana niat yang dibina untuk menjadi doktor muslim dan menggunakan wadah sebagai pelajar perubatan untuk mendekatkan diri dengan masyarakat tetap utuh walau menerima ujian.
ertI SeBUAh KeGAGAlAN
Kegagalan saya dalam peperiksaan Selanjar I memberikan banyak pengajaran buat saya. Pada awalnya, ia memang menyedihkan. Malam keputusan peperiksaan keluar, saya berjalan-jalan seorang diri mengelilingi kampus kesihatan. Dalam kegelapan dan kesunyian malam itu, air mata jatuh berguguran.
Namun, saya kembali bangkit dan memperbetulkan kelemahan saya. Kegagalan saya adalah berpunca dari sikap yang malas membaca dan menghabiskan masa dengan perkara yang sia-sia.
Strategi baru mula diatur dan saya mula fokus dalam belajar. Saya membuat nota-nota saya sendiri dan menjawab soalan tahun yang sudah. Di waktu hujung minggu, saya akan menawarkan diri untuk membentangkan topik-topik pelajaran kepada rakanrakan se-batch saya sewaktu kami mengadakan program study group.
Alhamdulillah, strategi tersebut berkesan dan saya lulus dalam peperiksaan Selanjar II dan juga peperiksaan Ikhtisas I. Ini melayakkan saya untuk memasuki tahun dua yang merupakan fasa pra klinikal.
Dalam fasa ini, kami terpaksa menamatkan silibus pengajian selama dua tahun iaitu tahun dua dan tiga. Ada empat peperiksaan yang harus kami tempuhi iaitu tiga peperiksaan selanjar dan satu peperiksaan professional untuk melayakkan diri naik ke tahun empat. Kami mula diajar tentang penyakit yang menimpa manusia.
Dua tahun yang ada saya gunakan dengan sebaiknya. Walaupun sibuk mengulang kaji, saya tidak lupa untuk mengikuti aktivitiaktiviti kampus. Saya lebih cenderung untuk menyertai aktiviti yang berbentuk misi kemanusiaan, perbandingan agama dan debat bahasa Melayu.
Walaupun saya kurang cemerlang dalam aktiviti-aktiviti tersebut, tetapi ia mampu untuk menjadi satu wadah bagi meningkatkan potensi diri. Pengalaman berdepan dengan pelbagai lapisan masyarakat mematangkan saya dari segi berfikir.
Malah, saya juga mula menceburkan diri dalam politik kampus bagi membantu rakan yang menjadi ahli Majlis Perwakilan Pelajar. Saya tidak layak untuk bertanding dalam pilihan raya kerana pernah gagal peperiksaan. Namun itu semua tidak membataskan saya untuk bergiat aktif dalam politik.
Cita-cita kami ketika itu cukup menggunung di mana kami ingin melihat mahasiswa peka pada perkembangan negara dan semasa. Kami tidak mahu terus dilabel sebagai ulat buku yang langsung tidak mengetahui keadaan di luar pusat pengajian.
Kami memanfaatkan ruangan blog, program yang dianjurkan dan bercakap di hadapan kuliah. Kelantangan kami sering di salah tafsirkan dan kami dilabel sebagai golongan pembangkang yang cuba merosakkan aspirasi universiti.
Saya tidak kisah dengan tuduhan tersebut kerana objektif saya jelas iaitu saya mahu mahasiswa mampu untuk membawa ideologi mereka sendiri dan bukan hanya dipergunakan oleh mana-mana pihak baik kerajaan mahupun pembangkang.
Malah, saya turut mengalu-alukan mereka yang ingin menjadi pihak aspirasi universiti asalkan mereka membawa suara mahasiswa. Mereka harus berani menyatakan pendapat mereka tanpa dikongkong oleh mana-mana pihak atasan.
Mahasiswa itu adalah ejen perubahan dan sebagai golongan terpelajar, kita harus merubah mentaliti masyarakat dan membawa mereka kepada cahaya ilmu. Jangan sesekali kita biarkan masyarakat terus hanyut dalam kelamnya kejahilan.
Perjuangan kami ini berjaya apabila junior-junior yang baru masuk ke alam universiti mampu untuk membawa suara mereka sendiri. Mereka tidak lagi dikongkong oleh mana-mana pihak dan bebas bersuara.
Saya cukup bangga dengan pencapaian junior-junior dalam pelbagai aspek. Mereka mampu menganjurkan program-
program yang berkualiti dan bersikap akademik. Bagi saya, itu telah memulihkan imej institusi pusat pengajian tinggi.
Mahasiswa harus merintis jalan untuk menjadi golongan yang dihormati dari sudut ilmu dan keterampilan mereka. Sudah tiba masanya untuk mereka berhenti melalak dalam programprogram hedonisme yang melampau. Berhibur itu tiada salahnya tetapi biarlah ia berlandaskan hukum syarak.
Saya yakin dengan firman Allah bahawa andai kita menolong jalannya, pasti Allah akan menolong jalan kita dengan cara yang tidak disangka-sangka.
Alhamdulillah saya dilapangkan dada untuk menuntut ilmu dan lulus kesemua peperiksaan saya. Sekurang-kurangnya, ia tidak menjadi fitnah kepada dakwah yang saya jalankan itu.
Malah, saya juga diberi kesempatan masa untuk melancarkan blog akademik My Medical Notes di mana saya kongsikan notanota yang saya catit melalui hasil pembacaan atau pengajaran doktor. Blog yang boleh dilayari di www.jacknaimsnotes.blogspot. com itu merupakan satu usaha saya yang tidak seberapa bagi menyumbang kepada pembangungan ketamadunan ilmuan
Islam.
Melalui blog itu, saya ingin buktikan bahawa pelajar Melayu dan Islam itu tidak bodoh dan bukannya bahan ejekan kaum bukan Melayu. Bahkan saya optimis bahawa suatu hari nanti, ketamadunan ilmuan Islam akan kembali menyinari kejahilan ummah.