Tanpa pendidikan dan kemahiran, kita akan terus mundur dalam pembangunan, tidak mampu bersaing dengan arus dunia, terpaksa bergantung dengan kemahiran orang lain, merencat rencana masa depan negara serta yang lebih penting - melahirkan lebih ramai golongan yang tidak berfungsi.
Rakyat yang tidak mendapat pendidikan secukupnya adalah rakyat yang gagal dan pada skala lebih besar, tanah air ini akan menjadi negara yang gagal. Tidak perlu kita jelaskan lebih banyak tentang betapa pentingnya pendidikan dan penguasaan ilmu.
Sudah terang lagi bersuluh.
Cuma yang menjadi persoalan, apabila kita sudah pun memahami keperluan dan kepentingan ilmu dan mengakui ilmu harus dimiliki oleh semua orang, berapa besar peluang untuk mendapatkannya dan bagaimana pula ilmu dilayan sebagai suatu perkara yang mulia.
Negara kita mempunyai sekurangkurangnya 20 institusi pengajian tinggi awam (IPTA). Angka ini sentiasa bertambah. Di samping itu, kita turut memiliki ratusan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS). Secara keseluruhan, kita mempunyai hampir sejuta pelajar yang menuntut di universiti.
Pada permukaan, angka ini melegakan semua orang dan seolah-olah menjawab persoalan tentang peluang untuk anak-anak kita mendapatkan pendidikan setelah tamat pengajian di peringkat sekolah.
Namun, hati-hati.
Kelegaan itu sebenarnya menjerat persepsi kita semua. Cukuplah disimpulkan bahawa situasi tumbuhnya institusi-institusi ini sebenarnya bukanlah untuk membuka peluang belajar kepada anak-anak yang cerdik. Sebaliknya peluang untuk membuat keuntungan dari keperluan masyarakat.
Ramai yang menganggap, kenyataan ini hanya berkesan kepada kewujudan IPTS yang diakui mengaut keuntungan jutaan ringgit dari poket ibu bapa dan pelajar yang sanggup membayar mahal, namun kita lupa kewujudan lintah darat PTPTN yang menguasai pelajar dari IPTA dan IPTS seluruh negara.
Persepsi umum menganggap, IPTA kononnya ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan dan PTPTN disifatkan rahmat yang harus disyukuri oleh semua hamba rakyat. Namun tidak disedari, IPTA yang kononnya institusi awam sebenarnya telah lama diswastakan.
Fakta mudah untuk diketahui oleh semua orang ialah - PTPTN tidak lagi menerima suntikan dana daripada kerajaan, sebaliknya terus-menerus bergantung kepada pusingan keuntungan yang tidak ada bezanya dengan bank-bank dagangan mahupun ceti-ceti haram dan halal.
Memakan hasil keuntungan dari faedah dan riba yang diperah melalui titik peluh graduan yang bekerja. Maka, tidak adil buat kita untuk mengatakan PTPTN adalah satu bentuk amal jariah yang disediakan oleh kerajaan kepada pelajar yang menuntut di universiti. PTPTN hanyalah ceti yang dilesen oleh kerajaan untuk menabur hutang kepada pelajar tanpa rasa bersalah.
Kita selama ini seolah-olah tidak menyedari pemberian hutang sebegini adalah amalan yang harus ditentang sejak dahulu lagi. Menjadikan mahasiswa sebagai hamba kepada PTPTN hanya menghina kegigihan mereka yang menuntut ilmu, sekaligus menjadikan mereka sebahagian lagi masyarakat yang akan terus menjadi hamba kepada pemodal kaya.
Wujudnya PTPTN menjadikan ilmu sebagai barang dagangan, bukan lagi entiti suci yang diangkat tinggi dalam masyarakat. Alangkah hinanya ilmu apabila menjadi barang dagangan sedangkan kemuliaannya melebihi wang kertas.
Ilmu sebenarnya tidak mungkin boleh diletak tanda harga seperti ayam dan sayur di pasar.
Apabila muncul perdebatan dan tawaran mengenai pendidikan percuma oleh orang-orang politik, situasi ini sebenarnya mula membuka topeng pemain politik tanah air.
Kenyataan oleh bapak-bapak menteri dan politikus yang menentang idea pendidikan percuma sangat menggelikan hati. Lihat sahaja kenyataan Menteri Pengajian Tinggi yang terus-menerus mendakwa pendidikan percuma tidak relevan, mengurangkan kompetensi antara pelajar serta merugikan kerajaan.
Bagaimana kita boleh melantik orang yang tidak menghormati mahasiswa sebagai menteri yang menjaga universiti Mudahnya beliau menganggap pendidikan percuma melemahkan daya saing mahasiswa. Beliau sepatutnya sedar bukan wang ringgit yang menjadi ukuran daya saing pelajar, sebaliknya minat dan keghairahan menuntut ilmu itu sebagai tanda aras persaingan antara mahasiswa.
Tidakkah mahasiswa rasa terhina dengan kenyataan bapak menteri yang seolah-olah menganggap pelajar berusaha mendapatkan ijazah kelas pertama hanya untuk melepaskan diri daripada hutang Pelajar bukannya gladiator yang berlawan di tengah-tengah gelanggang orang kaya untuk mengelakkan diri daripada menjadi hamba. Mahasiswa adalah penuntut ilmu yang mahu mengembangkan potensi diri.
Tidak sah jika kita tidak melihat kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga senada dengan Menteri Pengajian Tinggi itu - membelanjakan wang yang besar untuk menanggung pendidikan di peringkat universiti merugikan kerajaan. Kita tertanya-tanya, adakah melupus hutang kroni sebanyak RM589 juta itu langkah yang menguntungkan kerajaan
Selain itu, kenyataan negara bakal bankrap yang disebut-sebut oleh Datuk Ibrahim Ali turut mencuit hati. Adakah beliau lupa perjuangan beliau ketika zaman bergelar mahasiswa dahulu Kewujudan orang politik seperti mereka inilah, kiranya lebih merugikan negara dari memberi pendidikan percuma kepada rakyat.
Sebenarnya, pendidikan percuma bukan amalan pelik dan asing dalam negara merdeka. Tidak semestinya negara maju sahaja mampu menanggung pendidikan percuma buat rakyatnya. Lihat Venezuela, pendapatan perkapitanya hampir sama dengan negara kita. Mengapa mereka mampu menyumbangkan dana yang besar kepada sektor pendidikan
Maknanya, bukan kemampuan ekonomi semata-mata menjadi pemangkin kepada idea pendidikan percuma, sebaliknya kemahuan politik atau political will turut memainkan peranan.
Keengganan memberi pendidikan percuma bukan kerana negara tidak mampu. Hujah mengenai negara tidak mampu dari segi ekonomi boleh dibakul sampah dengan mudah jika kita menyedari betapa negara kita kaya dengan hasil bumi.
Petronas sahaja mampu menyuntik puluhan bilion, ditambah lagi dengan lainlain sumber pendapatan seperti Felda, estet getah, kuari bijih timah, besi, dan emas, ladang tebu, sawit, dan sebagainya. Sektor industri negara juga bernilai bilion ringgit.
Tidak mampukah kita menanggung pendidikan mahasiswa
Banyak lagi hujah dan analisis lebih terperinci untuk membuktikan bahawa pendidikan percuma bukan idea karut dan populis. Pendidikan percuma mampu dinikmati oleh semua orang, cuma yang menjadi penghalangnya bukanlah kemampuan ekonomi, sebaliknya political will.
Ahli politik pasti ada sebab tersendiri apabila tidak bersetuju terhadap idea ini. Kita tidak perlu mengusutkan otak untuk memikirkan sebab musabab dan punca keengganan mereka.
Tugas kita ialah menuntut hak yang seharusnya telah pun kita genggam sekian lama.