Tiada Tajuk - 4
Bab 4

Walaupun mata lebam. Letih. Tertekan sebab tidur yang kekurangan. Tapi secara tak langsung Munir bersyukur. Sekurang-kurangnya bila dia tak boleh tidur, dia boleh beribadat. Boleh temani Adib. Panjatkan doa yang panjang di sisinya. Kadangkala dihembuskan ke dahi dan kedua belah telinga Adib, seperti yang disarankan oleh seorang ustaz. Salah satu ikhtiar Munir untuk 'mengubati' Adib. Ubatinya dari apa Munir masih tak tau....

Kepala Adib diusap berkali. Wajah mulus itu ditatap lama oleh Munir. Tatkala tidur, Adib tiada bezanya dengan kanak-kanak lain. Tampak suci, bersih. Belum terkesan dengan kekotoran usia. Sebab itulah Munir gemar menemani Adib kala dia tidur. Sebab pada waktu itulah Munir rasa paling dekat dengan Adib. Pada waktu itulah Munir rasa dia dapat lindungi Adib. Pada waktu itulah, Munir betul-betul rasa bahawa Adib itu anaknya. Setiap malam Munir akan menghargai saat itu, sebelum pagi menjelma dan Adib kembali sedar dan menjadi dirinya semula. Dirinya yang begitu Munir sukar untuk kenali mahupun fahami.

Aku tak kenal dia siapa...

Aku tak faham akan dirinya...

Tapi aku sayang dia...

Sebab...

Dia anakku...

Walau begitu gah cabaran dan bebanan yang kau bawa bersamamu untukku...

Kau tetap anakku...

Sebuah kucupan hinggap lama di dahi Adib. Sehinggakan Munir tidak sedar bahawa mata Adib sudah terbuka luas.

"Abang Munir buat apa"

"Tak ada apa-apa. Abang Munir cuma jenguk Adib. Sorry la kalau Abang Munir kejutkan Adib. Abang Munir tak sengaja..."

"Tak lah. Aku bangun bukan sebab Abang Munir. Tapi sebab aku mimpi buruk."

"Sebelum tidur tadi Adib tak basuh kaki dulu kut. Tu yang mimpi buruk tu..."

"Mimpi adalah pengimejan di bawah paras sedar yang semua manusia alami Abang Munir. Samada aku basuh kaki ataupun tak sebelum tidur, ianya adalah tidak signifikan dengan kandungan mimpi aku. Sebaliknya banyak faktor-faktor lain. Seperti pengalaman lampau yang mengulang tayang. Rembesan tenaga yang dilepaskan oleh penumpuan minda terhadap sesuatu emosi. Ataupun pemprosesan maklumat dalam otak yang terbeku lalu memanifestasikan dirinya dalam bentuk mimpi," terang Adib panjang lebar. Matanya bulat dan segar. Langsung tak macam orang yang baru bangun dari tidur.

"Oh...."

Hanya itu yang mampu terkeluar dari mulut Munir sebagai respon terhadap jawapan Adib itu tadi. Satu-satunya tindak balas yang Munir tau bila bermain dengan akal Adib.

Memang setiap kali, Munir cuma mampu mengangguk. Untuk mencabar intelek Adib, bukan lagi satu pilihan. Malah kebanyakan kalinya, Munir yang terpaksa merujuk pada kamus ataupun buku-buku ilmu lain untuk cuba memahami apa yang Adib cuba sampaikan. Apatah lagi bila bersabit dengan agama. Munir terkial-kial cuba mengkaji naskah tafsir Al-Quran yang dihadiahkan Suraya sebagai hantaran perkahwinan mereka dulu apabila Adib berjaya menghabiskannya dalam masa dua hari saja. Siap hafal setiap baris, ayat dan muka. Kemudian dibawa persoalan-persoalan kepada Munir yang membuatkan Munir sendiri kehilangan punca. Penyelesaiannya, setiap hujung minggu kini Munir menghantar Adib ke kelas agama. Dimana di sana Adib boleh menanyakan soalan sebanyak yang boleh. Biar ustaz di sana saja yang menjawabnya. Mereka lebih arif.

Adib terus berjaga selepas itu. Munir juga. Alang-alang dah nak dekat Subuh fikirnya. Maka Munir pun terus temani Adib. Walaupun dakwa Adib, Munir tak perlu menemaninya. Sebab dia sentiasa ditemani.

"Siapa yang selalu teman Adib"

"Seorang perempuan yang sangat cantik..."

"Siapa dia"

"Tak tau.... Mungkin bidadari. Mungkin hantu."

"Tak mungkin di antara dua tu. Sebab dua-dua terlalu jauh berbeza."

"Bagi Abang Munir mungkin. Tapi bagi aku perempuan itu boleh jadi siapa saja. Bidadari ataupun hantu. Dia boleh temani aku bila saja."

"Macam mana rupa dia Mungkin Abang Munir boleh tolong Adib tentukan samada perempuan tu bidadari atau hantu"

"Itulah masalahnya..."

"Apa"

"Dia tak ada rupa..."

"Adib tak nampak muka dia macam mana"

"Taklah. Aku nampak. Cuma dia memang tak ada rupa. Muka dia kosong. Tak ada mata, hidung atau mulut. Hanya kulit yang licin dan putih dengan juraian urat halus warna biru dan hijau merayap ke seluruh wajahnya. Tapi rambut dia panjang. Dan baju dia putih dan labuh sampai menutup kaki. Ataupun mungkin... dia memang tak ada kaki. Sebab dia sentiasa terapung..."

Munir meramas tengkuknya. Bukan kerana sengal. Tapi cuba menurunkan bulu-bulu yang berdiri tegak.

"Aku rasa elok Abang Munir keluar dulu. Sebab dia selalu datang temani aku pada waktu begini. Dan dia takkan datang kalau Abang Munir ada..." pinta Adib.

"Okey.... Kalau ada apa-apa, Adib panggil saja abang. Abang ada dekat bawah."

bersambung

Bab akan datang:

Adakah Munir akn menceritakan kepada Suraya tentang makhluk yang selalu menemani Adib