KUNANG PESISIR MORTEN - 4
Terjun junam hikmat naga api lompatan ketiga. Kecebur!!! Air coklat sungai memercik.

Pesta air tiba lagi. Ia adalah acara wajib setiap tahun apabila tiba musim monsun. Tetapi jika kau menyangkakan sememangnya ada ritual pesta air saban tahun di Kampung Morten seperti mana gemilangnya Pesta Songkran di Thailand, kau memang silap besar. Kerana pesta air di Kampung Morten diatur alam bercampur kebobrokan perangai hodoh manusia. Seperti mana yang telah aku jelaskan sebelum ini, bahawa perkarangan Villa Sentosa saja berjaga sempurna.

Sungai Melaka ini sememangnya telah sedia cetek.

Dan sistem saliran di kampung ini boleh saja kau katakan tidak wujud. Yang lebih menjelikkan ialah perangai mereka. Oleh kerana tidak ada mana-mana pihak yang mahu ambil pusing mengutip sampah secara terancang, penduduknya bukan saja

mahu membuang bahan yang keluar daripada perut mereka, malah segala yang datang daripada isi rumahnya.

Sampah-sampah ini bukan saja datang dari Kampung Morten, tetapi juga dari yang menghuni rumah-rumah nelayan Hokkien dan Cina Baba di tebing seberang sana. Justeru itu, jangan kau tanya apa yang kau lihat apabila air sungai itu surut di waktu pagi. Berplastik-plastik sampah dapur itu memang kewajipan. Kau akan terperanjat melihat segala jenis pinggan mangkuk pecah, tudung saji koyak, sofa, meja makan dan malahan kepingan lemak babi tersadai di tebing lumpur.

Dan begitulah. Maka apabila tiba monsun di penghujung tahun, kami akan meraikan banjir kilat yang melimpahkan air sungai hingga masuk ke rumah kami. Bernasib baiklah mereka yang tinggal di rumah-rumah tradisional berlantai kayu panggung. Baru kami mengerti mengapa orang Melayu membinanya seperti itu. Mereka memang bangsa yang memandang masalah ke depan. Dan penduduk pra setinggan sememangnya tidak merancang punya perabot kerana memilikinya hanya akan menyusahkan diri bila musim hujan.

Tetapi kami anak-anak kecil memang tidak mengerti semua ini. Pada kami, air adalah satu perkataan yang cuma sinonim dengan pesta. Apabila berlaku banjir kilat, kami sekumpulan kanak-kanak lelaki dan perempuan akan mencari rumah bertangga batu paling tinggi supaya boleh mengambil giliran membuat terjun junam ke dalam air coklat pekat. Jika tulisan ini dapat dihidu, kau akan menghidu bau masinhapak air sungai sampah bercampur lumpur.

Kau akan mengerti maksudnya syurga di dalam dunia hina dina kami. Mereka yang sedikit senang, menjadi tuan rumah pesta dan menyediakan pelampung yang dibuat daripada tiub tayar kereta keluarga sebagai bahan bantu bermain. Atau menggantungnya dengan tali kepada kayu kasau yang melintang di atap rumah. Seorang demi seorang duduk di celah lubang tiub sambil kaki berjuntai ke gigi air. Selalunya pesta ini berlangsung berjam-jam bercampur tangis, rajuk, gaduh dan tawa tanpa kenal kecut jari dan biru muka. Satu-satunya cara untuk menyuraikan pesta ini memang menghairankan. Kami cuma bertempiaran pulang apabila melihat mana-mana tahi coklat, sepotong lemak babi atau ular air terapung melintas.

Kemudian, berlaku satu peristiwa. Peristiwa yang membawa aku dan Dhiya pergi jauh sedikit dari kampung ini. Dan kejadian itu akan aku kenang sampai bila-bila kerana ia melonjakkan kami ke satu takah baru pengembaraan dari ruang litup Kampung Morten dan erti persahabatan.

Selepas satu malam yang ribut kerana kegilaan hujan monsun, pagi berikutnya berlaku ribut prahara pula apabila orang-orang kampung berkumpul di tebing sungai. Suara mereka mengumang. Yang pasti satu peristiwa penting telah berlaku selepas ketenteraman bertahun-tahun.

Pagi masih lagi sejuk berembun. Kami menjenguk keluar apabila mendengar derap kaki deras orang-orang kampung berlari. Mereka cuma menunjuk-nunjuk ke arah seberang sungai. Aku, Dhiya dan sekumpulan kanak-kanak tidak dapat membendung rasa ingin tahu berlari ke arah mereka.

Di seberang sana juga ramai sekali yang berkumpul.

Satu pemandangan yang jarang-jarang sekali kami lihat setelah bertahun-tahun hidup di perkampungan ini. Nelayan-nelayan di tebing seberang itu nampaknya tidak bekerja hari itu. Bot-bot mereka masih tertambat tidak berganjak. Cina Hokkien dan Peranakan berhimpun dan kemudian kami sedari penduduk kampung seberang itu sebenarnya jauh lebih ramai daripada penduduk Kampung Morten. Kesibukan mereka mencari rezeki berniaga dan turun ke laut membuatkan kami tidak menyedarinya. Semuanya melihat pada satu titik tumpu. Dan terpempan.

Kami melihatnya. Sekujur tubuh kanak-kanak lelaki berkulit putih kuning meniarap dengan singlet dan seluar besar di tebing sungai sebelah sana. Kepalanya terbenam ke dalam lumpur tidak bergerak. Beberapa ekor belacak yang berani dan riang bermain di kakinya. Nyata dia sudah lama kaku. Sejuk perut kami sambil memandang sesama sendiri. Budak itu masih terlalu muda. Tragis sekali.

Aku melihat tangan Dhiya keras berbuku antara terperanjat dan terkedu. Matanya tidak berkelip dan menarik nafas panjang. Aku sendiri terdiam tidak dapat membendung pedih kasihan. Beberapa orang mak cik berhampiran kami dengan mulut herot merot mereka sepenuh perasaan telah pun memulakan spekulasi malahan umpatan.

Kena bunuh keluarga sendiri! Kau pun tahu, mereka bangsa tak suka beranak ramai.

Bodoh kau ni! Kalau nak bunuh anak sendiri, tak kan mereka buat di belakang rumah!

Gangster Han mengamuk di situ minggu lepas. Ini kes balas dendam.

Dhiya menjeling dengan rasa sebal. Aku dapat melihat daripada bulat mata Dhiya hatinya berbuku melihat mereka membuat tanggapan tanpa hujung pangkal kejadian. Dhiya merenung jauh ke seberang seolah jiwanya raganya telah sampai ke seberang sana.

Belum pun hilang rasa terkejut kami, di seberang sana berlaku kekecohan. Kelihatan dua orang pegawai polis menyoal siasat sepasang penduduk Cina. Riuh sekali. Jarak lebar sungai nampaknya tidak menghalang butir perbualan mereka. Nyaring sedu sedan tangis si ibu. Nyata telah terjadi pertengkaran antara mereka. Aku dan Dhiya dengan pantas dapat meneka. Ibu bapa budak itu bukan sahaja telah menanggung bencana kehilangan anak. Daripada sayup suara, jelas mereka telah dituduh polis menyebabkan kematian. Orang-orang kampung Morten melihat adengan itu dengan memperhebat spekulasi.

Kau nampak Betul tak aku cakap Membunuh!

Dhiya tidak dapat menahan sabarnya. Wajahnya birat jelas marah. Laju dia menarik-narik tanganku.

Mari Adi! Pergi sebelah sana!

Aku menjengilkan mata. Sudah. Dia buat perangai lagi.

Gila Kalau ibu kau tahu

Kami cuma sembilan tahun. Walaupun aku tahu memang ada beberapa orang budak kampung yang sedikit tua pernah pergi sejauh tengah bandar dan menonton filem-filem kung fu murah Kantonis tidak jauh dari seberang sungai.

Federal Cinema Rex dengan gaya senibina Art Deco abad pertengahan itu menjadi pilihan utama selain panggung

Cathay. Namun aku tidak akan melangkah keluar lebih daripada jambatan besar Kampung Morten. Sekurang-kurangnya sehingga kami lebih matang sedikit dan mendapat kebenaran orang tua.

Ibu tak kan tahu kalau kau tak beritahu! Jengil Dhia kembali.

Lagipun sebelah sana tu bukan jauh sangat! Yang pisahkan kita dengan mereka cuma sungai ni! Kau memang tak faham bahasa kan

Belum habis aku menengking, Dhiya sudah pun mengangkat kaki menuju jambatan besar Kampung Morten yang menghubungkan kami dengan perkampungan Cina itu. Dan dia mula berlari anak. Aduh. Beralah lagi.

Dhiya! Tunggu! Aku temankan! Aku temankan nafasku sesak.

Dhiya sekilas berpaling. Wajahnya tersenyum bersinar dan kembali berlari. Merah mukaku menahan marah melihat Dhiya mempermainkan aku.

Aku selalu fikir seumur Dhiya itu mungkin belum faham erti batas bahaya. Bahawa sikapnya itu kerana dia budak naif yang masih pucuk jagung belum kenal dunia. Dan aku yang konon secara mentalnya lebih matang dan menjadi tugasku melindungi Dhiya daripada rasa ingin tahunya itu. Betapa aku yang bodoh dan lurus.

Lama kemudian aku mengerti bahawa Dhiya jauh dari panggang naif dan lurus. Bahawa dia anak didikan jalanan yang sentiasa mencari kembara yang boleh melontarnya jauh daripada dunia kecil kami. Langkah pantasnya sekarang pun sudah menggambarkan betapa dia sentiasa mengejar dunia baru dan mewarnakan kanvas hidup yang dirasakan kosong.

Dan kami tiba di rumah itu. Rumah yang di belakangnya kau akan bertemu dengan mayat budak lelaki Cina malang. Rumah itu sangat sederhana. Reka bentuk tipikal rumah kedai dua tingkat dengan kemasan cat minimalis putih bersih. Tingkap ram di tingkat atas bagaimanapun sangat cantik dan ringkas dengan kemasan kayu gelap. Dari luar, cuma papan bertulisan Cina satunya tanda ia didiami keluarga Cina. Tiada tempat sembahyang berwarna merah dengan colok berasap serta buah oren mongel. Ganjil.

Dhiya dengan tidak malunya melangkah masuk melewati pintu yang terbuka luas. Aku sudah tidak kuasa melarang. Sedar-sedar Dhiya dijerkah budak Cina.

Ada apa kau nak masuk ke sini

Wah. Sempurna bahasa Melayunya. Aku memandang Dhiya meminta jawapan. Dhiya berbisik;

Cina Peranakan.

Ohhh

Dhiya menatap budak itu. Mungkin sedikit tua daripada kami. Lingkungan sepuluh tahun. Walaupun sepet, matanya menggambarkan kejernihan. Berwajah cerdik. Pakaian kemasnya jelas menandakan keluarganya berniaga, bukan nelayan seperti kebanyakan keluarga Hokkien yang tinggal di pesisiran sungai itu.

Aku menggaru kepala tidak gatal, meminta belas untuk masuk.

Kami daripada kampung seberang. Nak tengok mayat budak tu.

Pandangan matanya kembali lembut dan mengangguk.

Masuk. Dah ramai pun di belakang.

Dhiya melangkah. Matanya melilau. Pengalaman pertama masuk ke rumah bangsa lain. Mengagumkan. Rumahnya bersih berkilau. Walaupun berlantai simen dan tiada apa yang mewah, susunan perabot kayu ringkas dengan sedikit ukiran etnik dan tinta emas memercikkan elegan. Di dinding tergantung beberapa alat muzik seperti gitar kecil. Dhiya memandang takjub dan memula tanya sambil menunjuk;

Tu. Kau pandai main tu

Budak Cina itu mengerling.

Oh Itu Ghuzeng, Bi-Fa dan Erh-Hu. Bapaku yang pandai.

Dia main untuk opera Cina. Nama kau

Dhiya. Yang ini Adi.

Aku Lim.

Lim menghulurkan tangan persahabatan. Bercampur senyum lebar menunjukkan gigi putihnyanya. Saat itu kami tahu, perkenalan itu akan membawa kepada persahabatan yang panjang. Aku dan Dhiya menyambut jabat dengan goncang kuat tanda menerima perkenalan dengan riang.

Ketika itu aku langsung tidak tahu seorang Baba Peranakan bermain untuk opera Cina adalah satu keganjilan. Padaku Cina adalah Cina. Sama ada suku mereka Hokkien, Kantonis, Hakka, Teochew, Hainan, Fuzhou atau yang lain semuanya sama. Aku mencelah tidak sabar;

Mayat budak tu

Lim mengangguk dan membawa kami ke belakang. Di belakang dapurnya, ada pelantar kayu terbuka dengan tangga turun ke sungai. Dhiya berlari meninjau ke bawah. Telah ramai yang mengerumuni mayat. Mereka telah membaringkannya. Aku tidak sanggup melihat wajah budak itu. Tetapi Dhiya menatap wajah budak pucat biru itu dengan cekal dan sayu. Pemerhatiannya melarat kepada baju singlet dan seluar berpoket besar yang mengelembung. Kakinya menunjukkan kesan benaman lumpur yang dalam. Besar kemungkinan dia sebaya kami. Kemungkinan besar juga, jika dia lebih berumur panjang kami akan bertemu juga satu hari nanti dan menjadi kawan. Betapa malang.

Kau boleh bayangkan. Dengan mayat yang masih tidak ditutup dan dihormati, pergaduhan antara ibu bapa budak malang itu dan polis masih tidak lagi selesai. Malah semakin menjadi-jadi. Aku tidak mengerti mengapa soal siasat yang boleh dibuat dengan baik-baik menjadi ribut taufan. Pasangan suami isteri itu berpelukan dalam esakan. Mengadu nasib dalam bahasa yang tidak kami faham. Polispolis berbaju biru muda dengan fizikal seorang tinggi besar dan seorang kecil melidi. Anehnya yang besar bersuara halus mulus dan yang kurus kering bersuara melengking. Mereka seolah bermain soal siasat gaya good cop bad cop. Polis kecil itu terus menerus mengugut untuk menahan reman.

Macam mana budak kecil boleh hilang dari rumah Keluar sendiri tengah malam Kamu dera dia Yang besar pula beria-ria memujuk.

Kenapa kau tak habis-habis nak marah Macam ni lah puan. Tuan. Ceritakan daripada mula. Apa berlaku semalam

Soalan itu cuma menambah tangis si ibu. Mata Dhiya bulat bersinar kini mengerti.

Tangis panjang ibu ayah itu disalah ertikan sebagai tangis kesal bersalah. Sekaligus mengaitkan mereka dengan kematian. Betapa mudah manusia menjatuhkan hukuman.

Wa tak tahu. Wa tak tahu! Tangis si ibu lagi. Ayahnya teresak cuma dapat memeluk si ibu kerana bahasa Melayunya teruk sekali.

Macam mana boleh tak tahu Atau kau tolak dia si polis kering tidak habis lagi.

Belum sempat aku dapat menarik Dhiya, Dhiya menerpa ke arah jasad kaku. Seperti mahu berhenti jantungku melihat tindakan perempuan itu. Kedua polis bengis itu juga terkejut seperti mahu melompat dengan tindakan berani Dhiya. Pantas, dia si kering menyergah Dhiya kembali.

Buat apa kau di sini Balik! Balik! Bukan main jerit si polis kecil. Dia menyambung.

Ini kawasan jenayah. Tak ada siapa boleh usik! Semua berundur!

Polis tinggi besar itu perlahan memimpin tangan Dhiya menjauhkannya daripada mayat. Dia menegur lembut. Matanya merenung Dhiya.

Jangan datang lagi.

Aku menarik tangan Dhiya. Menjengil mata kepadanya. Risau aku jika Dhiya naik hantu mahu mencakar kembali polis itu. Dah hilang akal

Perempuan itu pula memang kuat menjawab.

Nak tengok dekat sikit pun tak boleh

Mahu saja aku menarik rambut kembangnya. Mujur Lim menyelit mententeramkan keadaan. Ternyata dia paling waras antara kami. Menyedari sifat ingin tahu Dhiya yang tidak dapat dibendung, dia mengumpan.

Kau nak pergi rumah budak tu

Aku tidak tahu kenapa Lim memberi tawaran sebegitu rupa. Mungkin untuk mengalihkan perhatian Dhiya. Jelas sekali dia dapat menangkap minat Dhiya yang suka sekali melihat lingkungan baru. Jangan kau tanya apa jawapan Dhiya. Mata bundar yang bercahaya itu menjelaskan segalanya. Aku menepuk muka. Lantas berbisik kuat kepada Dhiya; Balik nanti siap kau aku kerjakan. Perempuan gila!

Dhiya memandangku dengan takjub seolah aku ini bodoh teramat. Dia menepuk-nepuk dadaku menyabarkan. Senyum lagi.

***

Kami berjalan pantas. Sambil itu Lim bercerita panjang lebar. Menerangkan kronologi kejadian.

Aku kenal abangnya. Mereka cakap budak tu mungkin sakit perut. Lepas tu jatuh daripada jamban kayu malam tadi.

Aku mencelah pantas;

Mungkin juga! Semalam kan hujan lebat. Mungkin dia tergelincir. Jamban kayu tu memang bahaya!

Dhiya mengerut dahi. Wajahnya skeptik.

Tidak mudah untuk dia percaya begitu saja.

Mana rumah mereka tanya Dhiya.

Selang lapan rumah dari sini. Mungkin dibawa arus. telunjuk Lim menunjuk lurus ke rumah pesisiran sungai.

Lim membawa kami. Rumah itu, walaupun baik sedikit daripada rumah kami, masih daif menyedihkan. Dindingnya adalah cantuman bahagian-bahagian kayu terpakai. Dan bumbung zinknya sudah berkarat ditampal dengan plastik. Hodoh yang amat. Lantai kayunya berderik setiap kali dipijak. Sungguh tidak meyakinkan keselamatannya. Lim meminta kami menunggu sebentar.

Kami melihat Lim bertemu budak sebayanya. Dia berunding perlahan sambil menepuk-nepuk belakang kawannya. Kemudian kami mengetahui yang dia bernama Geok. Daripada air mukanya yang merah dan mata bengkak, kami menebak besar kemungkinan dia adalah abang budak malang yang diminta menjaga rumah. Lim mengajak kami masuk.

Sekejap saja Dhiya. Jangan usik apa-apa.

Dhiya mengangguk hormat dan menarik tanganku masuk. Tiada yang istimewa di rumah ini. Tiada apa yang mahu kau ingati. Tapi itu pendapatku. Layak untuk kedunguanku saja. Sudah tentu langsung tidak mencapai batu aras perempuan itu. Di mata Dhiya, jangkauan fikirnya jauh meninggalkan kami.

Ruang tamunya begitu sederhana. Cuma sofa rotan tua dengan kusyen lusuh. Mereka jelas bukan keluarga yang mengemas dan gemar merias. Barang-barang lama daripada surat khabar, kotak-kotak dan bukit baju

yang belum dilipat memenuhi ruang.

Dhiya melihat di atas meja makan berkerusi empat. Beberapa lauk masih terhidang di pinggan porselin tidak tertutup. Pasti bukan untuk sarapan pagi. Tetapi lauk semalam. Di celah ayam masak Kung Po itu kelihatan telur lalat. Juga di celah pucuk Kailan.

Kemudian, Dhiya mampir ke dalam bilik. Bilik pertama jelas sekali bilik kelamin. Tilam saiz ratu tanpa bingkai katil bergumpal cadarnya. Seperti juga ruang tamunya, tiada tanda mereka jenis mengemas. Habuk di atas meja solek begitu tebal. Dan pakaian dalam bertaburan.

Dhiya terus menjengah ke bilik kedua. Terpaku. Aneh sekali. Ada dua tilam bersaiz bujang yang diletakkan bertentangan. Satu bahagian tilam dikemas ala kadar sahaja. Buku-buku di atas rak berhampiran tilam ini menunjukkan buku sekolah darjah empat bersusun ala kadar juga. Ini mudah. Ku kira ini tempat tidur Geok. Tetapi tilam satu lagi mengejutkan. Cadarnya licin seolah tidak terusik. Tiada tanda tuannya tidur di situ malam tadi. Juga jelas dia seorang pengemas luar biasa. Bingkai dinding bilik sebelah tilam itu kau akan melihat bersusunnya botol-botol jem yang dikitar semula berisi ketam lumpur yang menarik. Dan satu botol yang terakhir masih kosong. Bingkai dinding di bahagian kepala tilam pula beratur mainan untuk kanak-kanak kecil mengikut saiz. Lama Dhiya terdiam di bilik ini. Matanya mengimbas gambar mental, mengutip dan menyimpan di dalam benaknya. Matanya berbinar-binar. Kemudian, dengan langkah berat, dia meninggalkan bilik itu.

Dhiya kemudian keluar menuju ke dapur. Aku dan Lim cuma menurutinya. Aku tak kuasa.

Lim ingin tahu. Selain daripada pingganpinggan makan yang belum dibasuh di sinki usang itu, semuanya teratur. Dhiya terdiam sebentar memikirkan sesuatu. Kemudian mendongak dan terus menjenguk keluar dapur. Dilihatnya tandas cangkung kayu. Dhiya mendekati dan masuk ke tandas itu. Kami menunggu di luar.

Dhiya melangkah keluar dengan wajah buntu. Dia mengajak kami berbual di luar. Aku, Lim, Geok dan Dhiya. Kami duduk sederet diam-diam. Geok dengan muka sembamnya bercerita dengan pelat Cina Hokkien;

Malam semalam adik wa, Ooi mengamuk. Wa tak faham apa yang dia mau. Kalau wa tahu eee mahu pergi, mesti wa layan dia. Wa seok eee!

Lim yang besar hati itu menepuk-nepuk belakang Geok dan memeluk bahunya. Pujukan Lim disahut dengan esakan tangis yang semakin kuat. Kami cuma mampu melihat. Lim kemudian meminta Geok masuk ke dalam rumah berehat. Tinggal kami bertiga. Aku merasa canggung apabila semua senyap sunyi. Ku kira Dhiya juga bersedih kerana tidak pernah dia sesenyap ini. Aku memula bual; Bapa kau main untuk opera di sini, Lim

Uh uh Hobi saja Adi. Bapa aku main supaya dapat campur dengan Cina lain di sini.

Bagaimanapun perbualan kami tidak dihiraukan langsung oleh Dhiya. Fikirannya telah menerawang di dunia Ooi. Tetapi kalaulah kami dapat melihat apa yang berlaku di dalam kepala Dhiya pasti kami akan terjeda. Di saat ini Dhiya telah pun jauh meninggalkan kehebatan detektif-detektif Hardy Boys ataupun Nancy Drew kesayangannya kerana berdasarkan pemerhatian, dia telah pun mula melakukan penyisihan

maklumat. Membuat peta mental. Menggugurkan satu persatu kemungkinan. Mengurangkan yang mana satu maklumat yang berada secara kebetulan dan yang mana satu yang terkait dengan kejadian. Kau mungkin mengenalinya sebagai Science of Deduction seperti mana method yang akan kau temui di dalam karya siri penyiasatan Sherlock Holmes. Ketika aku berborak panjang dengan Lim, imaginasi Dhiya bersinar gilang gemilang dengan percik warna pelangi spektrum;

Adakah dia sakit perut malam tadi dan ke tandas keseorangan Tidak.

Mengapa budak sekecil itu ditemui di sungai Mengapa dia keluar seorang

Mengapa tiada siapa yang mahu memahami marah budak ini semalam

Bagaimana budak kecil yang datang daripada keluarga yang tidak pandai mengemas menjadi seorang pengemas tegar Mengapa

Aku dan Lim yang ku kira jauh lebih bijak dariku itu langsung tidak menyedari keindahan corak fikir Dhiya ketika itu. Kami terus rancak berborak melayan seronok ingin tahu ku tentang opera Cina yang selama ini cuma pernah aku dengar dan tengok dari jauh.

Kalau ayah kau cuma main Bi-fa untuk opera kenapa kena kumpul gitar jenis yang lain Dia pandai main yang lain-lain tu Apa namanya tu Ghuzeng

Lim melepas nafas panjang. Saat itu aku tahu antara kami bertiga, akulah yang paling dungu tidak pandai menduga.

Tak juga. Takkan itu pun kau tak tahu Adi! Hobi, Adi. Kita akan kumpul benda-benda yang kita suka!

Dan betapa aku akan mengingati detik itu. Saat kami mengetahui bakat agung perempuan mereng hujung kampung yang bersinar gemilang. Seolah filem slow motion, Dhiya berpaling, dengan mata bundar dan sesak nafas dia memegang baju Lim.

Betul cakap kau, Lim!

Aku dan Lim terjeda melihat Dhiya berlari kembali ke dalam rumah Geok. Dia malah masuk ke dalam bilik. Aku menurut. Lim yang masih terpinga-pinga juga mengikut. Dhiya memerhatikan bilik budak malang itu. Matanya mengimbas susunan botol di rangka dinding bilik Ooi.

Aku dah tahu Lim! Aku dah tahu apa yang jadi! Budak tu! Ooi pengumpul sejati macam bapa kau juga!

Dhia mengambil nafas, kemudian menarik tangan kami berdua.

Cepat. Cepat pergi sana!

Berjela-jela kegilaan perempuan itu. Aku hilang sabar.

Kita nak pergi mana pula ni

Tengok Ooi lagi sekali!

Kami segera berkejar kembali tanpa mengetahui hujung pangkal apa yang berlaku. Termengahmengah kami berlari menurut perempuan itu. Aku malas mahu melayan sebenarnya. Tetapi Lim cuma menurut kerana seperti yang ku katakan, dia begitu mudah

terpukau dengan semangat ingin tahu Dhiya.

Kami tiba di pelantar rumah Lim. Dhiya terus turun ke sungai tanpa memberi kami atau orang lain kesempatan menahannya. Malah dua orang polis yang kerjanya tahu marah dan menuduh saja terpaku tanpa sempat membuat apa-apa.

Komuniti Cina yang berada di sana lebih-lebih terkejutnya. Mereka yang berada di situ memandang Dhiya, seorang budak Melayu dengan wasangka dan curiga. Polis kecil itu menoleh dengan wajah berbuku geram siap sedia mahu menjerit.

Aku dah suruh kau balik kan Apa Dhiya pantas memotong cakapnya.

Nanti pak cik! Saya tunjuk sesuatu!

Perempuan itu mendapatkan jasad kaku Ooi dan menyeluk poket seluarnya yang menggelembung. Dia mengeluarkan sebiji botol kecil lengkap dengan tutup yang telah siap ditebuk lubang. Dhiya memecah sunyi memandang ibu bapa Ooi. Kami cuma terpaku tidak dapat berkata apa-apa.

Budak ni menghidap autisme kan Polis itu sudah hilang sabar.

Apa kau mengarut ni budak

Lim memandang Dhiya dengan takjub.

Macam mana kau tahu, Dhiya Polis itu terdiam dengan pengesahan Lim. Aku melihat ibu bapa Ooi mengangguk setuju.

Penghidap autisme. Mereka lambat bercakap. Tak ramai yang faham. Mereka juga pengumpul tegar! Aku tahu kenapa dia turun ke sungai semalam. Bila sampai musim hujan, susah untuk kita jumpa ketam yang bagus. Dan botol Ooi pula kosong satu. Mereka tak boleh sabar Lim! Dan tak ada yang faham cakap dia!

Mata kami memandang Dhiya dengan rasa tidak percaya dan penuh skeptikal. Ideanya itu sungguh aneh dan gila untuk kami terima. Lim bertanya bagi pihak kami semua;

Tapi kenapa dia perlu turun sungai waktu malam Pelik sangat cakap kau Dhiya!

Kau ambil mudah budak macam dia kan Mereka tak bodoh, Lim. Ooi, budak autisme pemerhati yang baik! Dia tahu ketam keluar paling banyak bila tengah malam. Ini sebabnya dia mengamuk dengan Geok malam tadi. Dia ambil keputusan untuk turun sendiri. Kau tengok kaki dia! Ada benaman lumpur kan Nampak botol ni Dia tak jatuh Lim. Dan tak ada siapa yang tolak. Dia turun sendiri ke dalam sungai! Arus deras yang lemaskan dia!

Aku dan Lim terlopong. Dua orang polis itu melongo terkebil-kebil. Tangisan ibu bapa Ooi malah terus terhenti. Mata mereka menerobos melihat sinar mata Dhiya yang bercahaya kunang. Betapa hebat batu geliga nirwana yang belum digilap. Dan kami menemuinya di sungai lumpur Melaka.

Seorang anak didikan jalanan sentiasa lebih memahami daripada orang dewasa. Gaya hidup kita adalah perlambangan dan kunci bermakna. Dengan memerhati bagaimana mereka mengemas, adab mereka makan,

cara mereka tidur telah menyimpulkan segala-galanya. Ilmu ini bukanlah sesuatu yang baru. Tidak juga susah. Tetapi sukar untuk difahami jika tiada sensitiviti dan tidak mahu memerhati. Semua ilmu kognitif ini ada lengkap pada Dhiya, anak cilik sembilan tahun. Dan hari ini dia telah menjadi bintang di seberang sungai Kampung Morten.

Wajah-wajah prejudis yang melihat kehadiran aku dan Dhiya tadi telah kendur bertukar senyuman. Ada di antara mereka yang menepuk-nepuk bahu Dhiya tanda penghargaan. Jelas sekali pertengkaran antara polis dan ibu bapa Ooi cuma salah faham.

Tanpa mereka sedari, di celah-celah keramaian itu, seorang budak lelaki Melayu bertubuh merinding, berpakaian kemas lama memerhatikan kami. Seorang budak yang memainkan peranan penting di dalam kisah kecil kami pada masa akan datang. Matanya menyala-nyala menangkap susuk tubuh Dhiya. Dia tidak dapat berkelip menyaksikan bakat yang tidak akan dimanfaatkan oleh orang kampungnya sendiri. Seketika sahaja. Kemudian dia menghilangkan diri.

***

Mayat budak malang itu telah dibawa pulang ke rumah. Mereka membersihkan, menyelubung mayatnya dengan selimut dan meletakkannya di atas tilam lusuh. Kami mendengar sedu sedan tidak berpenghujung. Ibu Geok memandang kami mengangguk-angguk mengucap terima kasih kerana memecahkan kebuntuan misteri kematian anaknya. Kami tidak betah di situ. Aku dan Dhiya berpegang tangan dengan erat. Saling memberi bahu kerana keadaan terlalu menyedihkan.

Aku, Lim dan Dhiya menunggu di luar rumah. Dalam masa singkat, kami berkenalan, berkongsi cerita dan menjadi sahabat di dalam suasana yang sungguh ironis. Betapa semua ini berlaku dalam suasana kematian di dalam rumah Cina Hokkien yang sebelum ini tidak pernah pun kami jejak. Beransur pulang, Dhiya yang jernih telus memeluk abang budak malang itu sebagai takziah dan salam selamat tinggal. Budak itu menunduk sedih, menerimanya sebagai takdir yang tidak dapat dihalang. Dan kami usai. Lim dengan rendah hati telah menghantar kami sehingga ke jambatan besar yang memisahkan dunia kami.

Aku masih ingat lagi bagaimana Lim memandang Dhiya dengan kasih sayang seorang sahabat. Dan aku menyedari dengan hiba, setelah bertahun-tahun mengenal Dhiya, bukan aku yang mencungkil bakat gila perempuan itu. Tetapi Lim, teman yang baru sehari dia ketemu. Dhiya memandang Lim lama sebelum meneruskan langkah. Kami menaiki jambatan tinggi itu. Seperti kami jangka, kami kemudian mendengar suara jeritan;

Detektif Morten! Kau jangan lupakan aku! Kami senyum tanpa menoleh. Sudah pasti.