KECOH! Bini Pak Long Lateh berteriak dan meraung bagaikan kerasukan jembalang rimba. Rambutnya ditarik-tarik dan kepalanya dihentak-hentak ke tanah. Di mana-mana sahaja dia bertemu pokok atau tiang, di situ jugalah dia menghentak dahinya sambil menarik-narik baju yang dipakainya. Habis berserunyai rambutnya yang mengerbang bagaikan rambut pontianak ditiup angin. Kain batik yang dipakainya pula tersingkap-singkap sekali gus menampakkan paha dan kakinya yang tidaklah segebu mana. Anak tunggalnya yang berusia hampir lima tahun, diseret bagaikan anak patung. Sambil berteriak, sambil juga dia memeluk anak lelakinya yang terpingapinga dan kemudian menangis sama apabila melihat kelaku ibunya yang seperti perempuan sasau akibat dimadukan dengan wanita seberang yang sudah renta.
Bersabarlah, Miah! Laki kau tak ke manalah!
Tuk Melah, isteri Tok Imam Tua cuba menyabarkan Miah ketika bini Pak Long Lateh itu menyasaukan diri di halaman rumahnya.
Dia tak pernah tak balik! Dia tak pernah tak balik!
Miah bersuara menggila.
Mungkin dia ke pekan agaknya Mungkin dia bermalam di sana.
Macam mana dia hendak ke pekan Dia tak ada duit!
Mungkin dia pergi dengan kawan-kawannya.
Tuk Melah membuat andaian dengan harapan andaiannya dapat mengurangkan kegilaan Miah. Miah menggeleng-geleng dengan pantas. Jiran tetangga Tuk Melah sudah ramai mengerumuni halaman rumah Tuk Melah. Miah, Pak Long Lateh, jerit-pekik dan maki hamun bukanlah perkara luar biasa. Laki bini itu sentiasa meributkan keadaan. Kalau tidak kerana mereka bergaduh laki bini, mereka akan bergaduh dengan orang lain. Garang Miah mengalahkan singa betina yang akan menyerang sesiapa sahaja yang dia tidak berpuas hati. Pantang tercuit sedikit, meninggilah suaranya. Begitu juga dengan lakinya, Pak Long Lateh. Semua orang di kampung itu salah pada pandangannya. Dia sahaja yang betul. Tidak ada sesiapa pun yang boleh bertegang urat dengannya. Dia katok ayam jiran sampai mati semata-mata kerana ayam jirannya itu makan nasi sejuk yang dilemparkan di halaman rumahnya, jirannya yang salah sebab tidak jaga ayamnya betulbetul. Dia yang curi rambutan orang kampung dan kemudian jual di pekan seolah-olah rambutan itu dia yang tanam, pemilik dusun rambutan pula yang disalahkan kerana tidak memagar dusunnya betulbetul. Orang kampung sudah tidak hairan dengan gelagat dan kelaku kedua-dua laki bini itu. Cuma apabila Miah bagaikan kerasukan hantu betina di halaman rumah Tuk Melah, gelagatnya pasti mencuit perhatian.
Kenapa dengan Miah
Tok Ngah Darus, sepupu Tok Imam Tua, bertanya dengan nada lembut kepada Tuk Melah.
Lakinya tak balik-balik,
Tuk Melah menjawab mudah. Dia pandang ke arah lain seolah-olah enggan bertembung pandang dengan Tok Ngah Darus.
Hah, ke mana pula perginya si Lateh tu Dah tengok dia kat pondok di kebun getah Cik Kiah tu Selalunya dia lepak kat situ main terup atau main belangkas.
Tok Ngah Darus bertanya lagi dengan lagak seorang detektif.
Sudah katanya. Sesiapa pun tak ada di sana. Jangankan Lateh, Cik Leh, Mat Ajib dengan Man Bewak pun tak kelihatan.
Eh, ke mana pula dia orang tu semua pergi Selalunya, kalau ada seorang, adalah yang lain. Jarang sangat dia orang tu berpecah.
Miah makin menggila. Tangisannya seperti janda ditalak tiga buat kali kedua. Anaknya turut menangis sama. Boleh jadi, terpengaruh dengan tangisan ibunya yang tidak menyurut. Mujur jugalah Miah tidak berguling-guling atas tanah atau menabur debu di atas kepalanya.
Kalau dah susah-susah sangat, buat laporan polis sahajalah,
saran Tok Ngah Darus lagi.
Nak lapor polis macam mana
La, pergi sajalah ke pekan. Kemudian ke balai polis. Buat laporan yang si Lateh tu hilang. Bayar dua ringgit, kemudian tunggulah sampai polis jumpa Lateh.
Kalau tak jumpa juga
Kalau tak jumpa, anggap sajalah yang dia dah pergi ke tempat lain dan tak mahu Miah susah hati dengan kehilangannya.
Tok Ngah ni saja, tau! Tok Ngah memang nak sakitkan hati saya!
Miah panas hati dengan saranan Tok Ngah Darus yang lebih banyak lawak daripada serius.
Apa pula yang aku sakitkan hati kau. Aku cakap betul-betul ni!
Tok Ngah Darus jegilkan biji matanya seluas mungkin.
Boleh jadi, Lateh pergi ke Bukit Botak kat belah hulu sana kut
seorang jiran, bersuara seolah-olah ingin menyurutkan ketegangan itu.
Bukit Botak Buat apa
Giliran Tok Melah pula bertanya.
Bukankah Lateh, Cik Leh, Mat Ajib dan Man Bewak selalu sangat bercerita tentang harta karun di Bukit Botak tu.
Harta karun
Tok Ngah Darus beliakkan matanya sambil menggaru-garu dagunya yang ditumbuhi tunggul-tunggul janggut yang memutih.
Selama aku hidup ni, tak pernah pula aku dengar kat Bukit Botak tu ada harta karun. Harta karun siapa pula
Entahlah. Lateh adalah cerita, kononnya dia pernah dengar cerita daripada pemburu babi hutan, ada sebuah gua kat Bukit Botak tu. Pemburu babi hutan tu pernah ternampak timbunan emas dan permata kat dalam gua tu. Tapi bila dia nak ambil, dia dengar satu suara yang menakutkan. Pemburu tu terus lari dari situ.
Semua orang berpandangan. Tangisan Miah menyurut. Cerita tentang harta karun di Bukit Botak barangkali menggembirakannya atau setidak-tidaknya melembutkan kegelisahannya.
Hah, Miah... ada Lateh ceritakan apa-apa tentang Bukit Botak
Tok Ngah Darus mengalihkan pertanyaannya kepada Miah pula. Kelam-kabut Miah menyapu air matanya yang membasahi pipi. Dia termenung seketika. Tangannya turut sibuk membetulkan rambutnya yang berserunyai dan berserabut.
Ada dia sebut.
Suara Miah bercampur dengan esak tangis.
Tapi kalau dia ke Bukit Botak, takkanlah dia tak cakap dengan saya. Selalunya kalau hendak ke mana-mana, dia akan cakap dulu.
Boleh jadi, dia ada cakap tapi kau tak dengar.
Miah terdiam sejenak. Kemudian menganggukangguk kecil. Dia membenarkan kata-kata Tok Ngah Darus.
Kalau dah macam tu, kau tunggu sajalah di rumah. Kau bayangkanlah, dia balik dengan satu tempayan ketulan emas dan permata. Kaya kau lepas ni, Miah. Senang lenang tujuh keturunan.
Ada jiran yang ikut tergelak dengan kata-kata Tok Ngah Darus. Miah pula sekadar menjeling sambil tersengih kecil. Hidungnya kelihatan kembang-kempis. Barangkali di dalam benaknya sudah terbayangkan keseronokan bergelar orang kaya.
Pergilah balik. Jaga anak baik-baik. Tak payahlah jadi macam orang gila sebab laki kamu tak balikbalik,
nasihat Tok Ngah Darus lagi. Tok Melah langsung tidak bersuara. Boleh jadi kalau yang bersuara itu bukan Tok Ngah Darus sebaliknya Tok Imam Tua, Tok Melah mungkin akan menokok atau membangkang. Namun apabila yang bersuara itu ialah Tok Ngah Darus, Tok Melah lebih banyak memilih untuk mendiamkan diri. Kalaupun Tok Ngah Darus bercakap tidak kena dengan hatinya, jarang sangat Tok Melah akan membalas atau membangkang. Akur dengan perintah Tok Ngah Darus, Miah menyeret anak lelakinya itu pulang. Jiran tetangga yang berkumpul di penjuru halaman rumah Tok Melah pula, masih lagi berdiri dan berbual-bual sesama sendiri. Tidak kurang juga yang mula melangkah pulang untuk menyudahkan kerja-kerja di dapur.
Imam mana
Tok Ngah Darus bertanya kepada Tok Melah yang berkira-kira hendak mengambil penyapu lidi yang tersandar pada tiang rumah. Tok Melah tercangak-cangak. Boleh jadi tidak menyangka Tok Ngah Darus akan bertanyakan soalan itu kepadanya.
Err... tadi ada kat biliknya... tengah mentelaah katanya.
Mentelaah
Tok Ngah Darus menggaru-garu dagunya lagi.
Nak buat apa mentelaah Dia mengaji balik ke
Taklah. Kan dia minat membaca
Minat membaca
Tok Ngah Darus nampak kehairanan.
Bila masa pula, dia ada hobi tu
Tok Melah tersengih-sengih. Buntut penyapu lidi dihentak-hentak dengan telapak tangan.
Malas katanya nak keluar. Dia dah tahu apa yang Miah nak. Lagipun, dia malas nak melayan kerenah Miah dan lakinya tu,
Tok Melah berterus-terang. Tok Ngah Darus terangguk-angguk bagaikan burung belatuk diketuk kepalanya. Barangkali faham dengan apa yang Tok Melah cuba maksudkan atau boleh jadi juga, sengaja hendak mengambil hati Tok Melah agar dia tidak dibodohkan oleh Tok Melah.
Cakap kat dia, aku tunggu di rumah.
Tok Melah terpinga-pinga.
Dia ada janji dengan aku malam tadi. Patutnya dia datang ke rumah. Nak selesaikan tentang geran besar tu. Nak tukar nama... ada orang berkenan dengan tanah tu.
Tanah kat belah mana
Tok Melah menampar seekor nyamuk berbelang-belang hitam putih yang cuba hinggap di lengannya.
Tanah kat pinggir pekan tu la. Kalau kena gayanya, banyak juga duit tanah tu.
Abang Darus naik sajalah kat atas rumah tu.
Malaslah aku... aku tunggu kat rumah saja.
Tok Ngah Darus tidak mahu menunggu lama. Dia mengatur langkah laju menuju ke rumahnya yang terletak lebih kurang dua ratus meter dari rumah Tok Imam Tua. Lebih tepat lagi, tidak jauh dari sebatang sungai yang mengalir deras dan jernih. Sungai itu yang pernah suatu ketika menjadi sumber bekalan air utama untuk penduduk Kampung Sungai Teja, kini hanya menjadi hiasan dan ada kalanya menjadi tempat pembuangan sampah bagi penduduk kampung yang malas mengorek lubang untuk melupuskan sampahsampah mereka. Sesekali, ada juga budak-budak yang mandi-manda di sungai itu tetapi biasanya, tidak ramai ibu bapa yang sanggup membenarkan anak mereka terpijak kaca yang bertaburan di dalam sungai itu. Langkah Tok Ngah Darus agak pantas. Sememangnya dari muda lagi, Tok Ngah Darus cukup terkenal dengan kepantasannya berjalan. Bukan sedikit cerita tentang kehebatan Tok Ngah Darus berjalan meniti di bibir penduduk Kampung Sungai Teja. Kononnya, ada orang pernah melihat Tok Ngah Darus berjalan sambil tidur ketika sedang memburu. Tidurnya begitu lena, bahkan sampai bersenar. Anehnya, Tok Ngah Darus tidak pula tersandung akar timbul atau tunggul kayu. Tok Ngah Darus juga tidak terlanggar pokok biarpun di hutan rimba, pokok adalah objek utama yang tumbuhnya tidak tersusun.
Ah, orang tua tamak! Semuanya nak disapu seorang!
Tok Melah mengomel apabila Tok Ngah Darus sudah agak jauh dari halaman rumahnya. Tok Ngah Darus bagaikan mendengar omelan Tok Melah. Dia berhenti melangkah dan berpaling sejenak. Tok Melah jadi tidak tentu arah. Dia berpura-pura menyapu. Kemudian apabila dirasakan, Tok Ngah Darus kembali meneruskan perjalanannya, Tok Melah kembali melemparkan pandangan ke arah jalan.
Kalau Tok Imam lambat, jawabnya semua tanah tu milik orang tua Darus tu sajalah.
Berbekalkan kata-katanya itu, Tok Melah melemparkan penyapu lidi dan terus masuk ke dalam rumah. Langkahnya tergesa-gesa dan terkedek-kedek. Berdentum bunyi daun pintu apabila terhempas secara tidak sengaja sebaik-baik sahaja dia melangkah masuk.
Bang Imam! Bang Imam!
Tok Melah tidak menunggu lama untuk memanggil suaminya. Tiada suara yang kedengaran dari mulut Tok Imam Tua.
Pekak pula orang tua ni! Dah nak jadi tuli agaknya!
ngomel Tok Melah. Tok Melah tidak berpuas hati selagi tidak dapat melihat muka Tok Imam Tua. Dari bahagian tamu ruang bawah, Tok Melah mendaki tangga ke rumah ibu. Bilik yang digunakan oleh Tok Imam Tua untuk mentelaah berada di penjuru rumah ibu. Rumah ibu jarang digunakan kecuali pada hari raya. Ruang yang sering digunakan hanyalah ruang tetamu tingkat bawah. Kalau ada sesiapa datang pun, di situlah mereka berkumpul, bersembang mahupun menjamu selera. Malah bilik tidur Tok Melah dan Tok Imam Tua juga berada di ruang tamu bawah.
Aduh! Sakit sungguh lutut aku ni!
Tok Melah menekan kepala lututnya. Berat badannya menambahkan lagi sakit lutut yang dideritai, terutama ketika Tok Melah mendaki anak tangga. Kalaulah diturut-turutkan hatinya, mahu sahaja dia melaung nama lakinya itu. Namun, memikirkan suaranya nanti akan didengar oleh jiran tetangga sekali gus menimbulkan minat mereka, membuatkan Tok Melah membatalkan niatnya itu. Lagipun dia tidak mahu jiran tetangga menganggap dia seorang isteri yang suka melawan suami. Ada kalanya, gelagat Tok Imam Tua menaikkan kemarahannya. Tok Imam Tua terlalu baik dengan orang kampung. Asal sahaja ada orang minta tolong, Tok Imam Tua cepat-cepat bersingsing lengan. Duit yang ada di dalam kocek, semuanya diserahkan kepada orang yang datang mengadukan masalah kewangan. Beras di rumah pun diserahkan kepada orang yang mengadu mereka tidak ada beras tanpa meminta sebarang imbalan. Bahkan lauk pauk yang dimasak hanya untuk mereka berdua pun, terpaksa dikongsi dengan orang kampung yang meminta bantuan Tok Imam Tua. Sudah bertahun-tahun tabiat Tok Imam Tua. Dari zaman mereka mula-mula kahwin dahulu, sampailah sudah tua, Tok Imam Tua tidak pernah berubah sedikit pun. Kalau musim buah-buahan, orang lain yang ada dusun akan buat duit berkepuk-kepuk, mereka pula hanya dapat kulit buah-buahan. Ada kalanya mereka langsung tidak dapat merasa buah di dusun sendiri. Kalau diturut-turutkan, mulutnya mungkin sudah berbuah. Lidahnya mungkin sudah panjang mencecah tanah kerana meleteri Tok Imam Tua yang terlalu baik hati dengan semua orang. Dan kalaulah dia yang jadi suami, sudah lama dia talak tigakan Tok Imam Tua. Hendak difasakhkan Tok Imam Tua, Tok Melah yakin, niatnya itu akan digelakkan kalaupun tidak dikutuk. Yang pastinya niatnya hendak menceraikan Tok Imam Tua, tidak akan kesampaian. Sememangnya orang luar sukar mencari kesalahan pada suaminya itu. Tok Imam Tua adalah seorang suami yang sangat baik. Tidak banyak mulut. Tidak cerewet. Terlalu jarang merungut. Hidanglah apa pun, semuanya akan dijamah tanpa mencari sebarang kesalahan kepada masakannya, biarpun terlebih garam atau terlalu pahit. Segala keperluannya dipenuhi. Baik zahir apatah lagi batin. Sepanjang perkahwinan mereka, Tok Imam Tua tidak pernah meninggikan suara. Hormat Tok Imam Tua kepadanya seolah-olah dia bukanlah seorang isteri, sebaliknya seorang puan besar yang kerusinya adalah takhta yang diperbuat daripada emas sepuluh. Susah sungguh mencari kesalahan dan kelemahan suaminya itu selain daripada terlalu baik dengan jiran tetangga dan orang kampung. Kadang-kadang Tok Melah rasakan, suaminya itu adalah patung wali. Disuruh-suruh, dibentak-bentak, dijerkah-jerkah, dijegil-jegil, Tok Imam Tua sekadar tersengih kalau tidak pun mengangguk kecil dan masuk ke bilik mentelaahnya, membuka kitab dan mula membaca yang entah apa-apa. Hanya sekali Tok Imam Tua tarik muka masam iaitu ketika dia mendesak Tok Imam Tua agar mengabaikan Angah Soyah. Tok Imam Tua tetap bertegas ingin membela budak hanyir hapak itu. Bencinya kepada Angah Soyah bukan dibuatbuat. Bencinya adalah semula jadi. Semenjak budak itu wujud di Kampung Sungai Teja lagi, Tok Melah sememangnya sudah membenci Angah Soyah. Jangankan memandang muka budak hanyir hapak itu, tahu dia ada di mana-mana pun, Tok Melah sudah berasa seperti hendak menghentak-hentak tengkorak kepalanya biar sampai berkecai otaknya. Tatkala budak hanyir hapak itu tersengih-sengih di hadapan rumahnya, Tok Melah sudah berkira-kira hendak menerajang perut budak itu. Dia memang tidak mengizinkan Angah Soyah masuk ke rumahnya apatah lagi dapurnya. Satu-satunya Angah Soyah dibenarkan masuk ke rumahnya adalah pada kali pertama Tok Imam Tua membawanya ke rumah selepas kematian neneknya. Selepas itu, Angah Soyah hanya boleh makan di luar pintu rumahnya. Dan selepas itu, Angah Soyah kena berdiri di luar halaman rumahnya. Dasar budak tidak ada otak. Angah Soyah seperti tidak faham yang dia dibenci. Budak hanyir hapak itu tetap tersengih-sengih apabila memaki dan menghamun dengan suara perlahan. Malah tatkala dia membantai kepala budak itu dengan penyapu sampai kepalanya berdarah dan darah mengalir ke dadanya, Angah Soyah tetap tersengih macam budak tidak cukup akal. Dek kerana tidak tertahan lagi, Tok Melah berterusterang dengan Tok Imam Tua. Pada mulanya, suaminya itu terdiam dan tercengang-cengang. Tok Imam Tua cuba memujuknya dan cuba menerangkan tentang ganjaran besar daripada Allah Taala bagi sesiapa yang menjaga dan mendidik anak yatim piatu. Namun Tok Melah tidak inginkan ganjaran besar itu. Dia terlalu bencikan Angah Soyah. Terlalu benci. Biarpun diletak syurga di halaman rumahnya sebagai ganjaran memberi makanan kepada Angah Soyah, Tok Melah tetap tidak mahu memberi makan budak hapak hanyir itu. Akhirnya Tok Imam Tua mengalah setelah Tok Melah mengemaskan kain bajunya dan memberi kata dua kepada Tok Imam Tua sama ada memilih untuk menjaga Angah Soyah ataupun untuk menyelamatkan rumah tangga mereka. Buat kali pertama, Tok Melah melihat air mata bergenang di pelupuk mata Tok Imam Tua. Namun air mata lelaki Tok Imam Tua, tidak sedikit pun melembutkan hatinya. Bahkan menyenangkan Tok Melah kerana dia tahu air mata itu mengalir kerana kalah dengannya. Dan akhirnya kemenangan padu diperolehnya apabila Tok Imam Tua tidak lagi mempedulikan Angah Soyah. Malah berjumpa dan bercakap-cakap memberi nasihat kepada Angah Soyah pun, Tok Imam Tua sudah tidak lakukan. Kalau jumpa Angah Soyah di masjid pun, Tok Imam Tua buat hal sendiri-sendiri.
Bang Imam!
Tok Melah mengetuk pintu bilik mentelaah Tok Imam Tua. Telinga dipasang untuk mendengar sebarang pergerakan dari dalam bilik itu.
Bang Imam!
Tok Melah menguatkan suaranya. Mungkin Tok Imam Tua terlalu leka mentelaah sehingga tidak mendengar panggilannya. Sama macam tadi. Suara Tok Imam Tua tidak kedengaran langsung. Jangankan suaranya, pergerakan kakinya di atas lantai bilik itu juga tidak kedengaran.
Ah, memang dah sah tuli orang tua ni!
ngomel Tok Melah. Bencinya kepada sikap tidak peka Tok Imam Tua semakin menjadi-jadi. Daun pintu bilik mentelaah Tok Imam Tua diketuk perlahan. Apabila tiada jawapan balas daripada Tok Imam Tua, Tok Melah kuatkan ketukannya. Akhir sekali, bergegar-gegar daun pintu itu diketuk dengan belakang tangan Tok Melah. Tok Melah cuba menahan suara jeritannya daripada melangsing. Namun, Tok Imam Tua tetap juga tidak membuka pintu itu. Tok Melah mulai meradang.
Hoi Tok Imam! Bukalah pintu ni!
jerkah Tok Melah. Nada jerkahannya masih lagi terkawal. Namun kemarahan Tok Melah akhirnya sukar dikawal apabila jerkahannya juga tidak mendapat sebarang reaksi daripada Tok Imam Tua.
Bukalah pintu ni! Dah mati kejung ke kat dalam tu
Tok Melah meninggikan suaranya. Langsing bunyinya. Sakit di belakang tangannya, membuatkan Tok Melah menggunakan kakinya untuk mengetuk pintu. Lebih tepat lagi, menendang-nendang daun pintu itu.
Uh! Uh!
Hidup pun! Ingat dah mati kejung dalam bilik tu!
Tok Melah menghamburkan kemarahannya. Bunyi kaki diseret mendesah cuping telinga Tok Melah. Heretan kaki itu semakin mendekat dan sebentar kemudian, daun pintu itu terbuka. Terpampang wajah jernih Tok Imam Tua. Tok Imam Tua menggesek-gesek kelopak matanya.
Tidur rupa-rupanya. Tidur mati pula tu!
Apa hal
Tok Imam Tua cuba mengawal nadanya daripada terpengaruh dengan kuapan. Namun keinginan untuk menguap jauh mengatasi keinginannya untuk menahan. Matanya kelihatan merah.
Ada apa awak tanya
Tok Melah mendengus keras.
Dunia dah nak kiamat pun, awak sempat juga nak tidur
Ada apa
Tok Imam Tua mengulangi pertanyaannya.
Orang tua Darus suruh awak ke rumahnya sekarang juga.
Orang tua Darus
Tok Imam Tua seperti cuba mengingati orang yang dimaksudkan oleh Tok Melah.
Sepupu awak tu lah. Dia nak bincang pasal geran tanah tu.
Geran tanah
Tok Imam Tua masih mamai.
Yalah, geran tanah yang nama awak masih ada dalam geran tu. Dia bagitahu tadi, ada orang dah nak beli tanah tu. Harganya pun boleh tahan.
Tok Imam Tua berdehem. Dia meninggalkan Tok Melah. Tok Melah terpinga-pinga. Dia tidak senang dengan reaksi yang ditunjukkan oleh Tok Imam Tua. Tok Imam Tua kelihatan seperti tidak berminat langsung dengan geran tanah dan keinginan Tok Ngah Darus hendak berjumpa dengannya.
Pergilah cepat.
Biarkan sajalah. Tu tanah pusaka.
Biarkan saja
Tok Melah mulai meradang.
Awak ni nak jadi apa Orang lain senang-senang nak kaut semuanya, awak boleh kata biarkan saja
Apa yang dia boleh buat.
Apa yang dia boleh buat
Tok Melah mengejek nada Tok Imam Tua.
Hei Bang Imam... duit punya fasal, macam-macam benda orang boleh buat. Kalau perlu dunia diterbalikkan, orang terbalikkan sematamata sebab duit.
Saya tak berhajat duit jualan tanah tu.
Kalau awak tak berhajat, saya yang nak!
Tok Melah tidak menyembunyikan perasaannya. Tok Imam Tua sekadar mendengus.
Pergilah cepat! Lagi cepat awak dapat berbincang dengan orang tua tamak tu, lagi bagus. Jangan pula awak serahkan semua urusan kat dia. Kalau serahkan kat dia, jawabnya berputih matalah saya.
Tok Imam Tua seperti tidak mendengar kata-kata Tok Melah. Dia kembali ke kerusi kayu yang kelihatan sama tua dengan usianya. Dia membelek-belek kitab kuning yang sudah lusuh rupanya di atas meja tulis.
Apa lagi yang awak tunggu tu Pergilah cepat!
Tok Imam Tua berpaling ke arah Tok Melah sejenak. Ada sesuatu yang hendak dikatakannya tetapi kemudian, dia membatalkan keinginannya. Sebaliknya dia mengambil sehelai kain serban putih yang berada di atas almari kitab. Serban itu tidak digunakan untuk melilit kepalanya tetapi sekadar diselendangkan ke bahu. Ketayap putih berjaring-jaring yang tersangkut di paku berhampiran jenang tingkap juga dicapai dan ditelungkup ke atas kepala.
Jangan pula merewang merata. Balik cepat lepas selesai berbincang dengan orang tua tu,
beritahu Tok Melah. Tok Imam Tua sama seperti kebiasaannya yang lalu, tidak menunjukkan sebarang reaksi dengan katakata Tok Melah. Dia membetulkan gulungan kain pelikatnya dan keluar dari bilik itu. Tok Melah sekadar berdiri di muka pintu bilik sambil memerhatikan setiap langkah Tok Imam Tua yang kelihatan sangat berhati-hati seolah-olah lantai rumah ibu itu akan patah jikalau langkahnya dipercepatkan.
Ingat pesan saya tu. Jangan awak berbaik hati dengan orang tua pula. Dia dah cukup kaya dan banyak duit berbanding kita,
Tok Melah masih sempat memberikan pesanan sewaktu Tok Imam Tua sedang melangkah menuruni tangga rumah ibu. Tok Melah tersenyum puas melihat langkah Tok Imam Tua.
Kalau betul apa yang dicakapkan oleh orang tua tu, bermakna bertambah banyaklah duit aku. Senanglah hidup Zul nanti.
Secara tiba-tiba Tok Melah teringatkan anak lelaki tunggalnya itu. Sudah terlalu lama Zul tidak pulang ke kampung terutama selepas dia menyambungkan pengajiannya di sebuah kolej swasta di ibu negara.
Aku nak telefon Zul. Boleh juga tanya dia, bila dia nak balik.
Tok Melah terkedek-kedek ke ruang tamu di bawah.