BINTANG AL-NILAM DI LANGIT MENTAKAB - 4
Belum lagi masuk ke dalam perut rumah, sudah berbau kek-kek Mak Cik Vijaya. Leman memberi salam dari pintu dapur dan disambut ibunya. Di meja makan yang hanya memuatkan empat orang sudah pun ada tudung saji berwarna hijau rumput.

Lekas Mak Cik Vijaya membukanya dan meletakkan sepinggan nasi yang masih berwap-wap di hadapan Leman. Leman tersenyum. Abah belum sampai mak

Mak Cik Vijaya menggeleng. Belum, singgah beli barang sekolah agaknya. Leman makanlah dulu, petang nak mengaji pula kan

Leman menangguk.

Mak kenal dengan anak Tok Penghulu Ariffin yang baru pindah tu

Tak kenal, kenapa

Oh, tak ada apa-apa. Anak dia satu kelas dengan Leman.

Oo... perempuan ke lelaki

Perempuan.

Oh... Nanti adalah Mak Lang kau cerita dengan mak. Makanlah dulu.

Mak Cik Vijaya mengambil sesudu dua kuah dan ditumpahkan ke dalam pinggan Leman. Kemudian diambilnya seekor ikan yang telah digoreng garing. Digaul dengan tangan Mak Cik Vijaya sendiri dan digoncangkan kicap dan digaul bersama nasi. Leman yang sudah tidak sabar-sabar terus sahaja menyuap.

Mana doa! Mak Cik Vijaya ketawa melihat keletah Leman sambil mengusik kepala Leman. Ikan goreng yang digaul kicap dan nasi panas-panas ini punya kualiti tersendiri. Air tangan ibu barangkali, sekali makan pasti mahu lagi.

Selesai solat zuhur, Leman mencapai baju Melayu putih dan songkok hitam. Kemudian dipadankan dengan beg silang besar berwarna kelabu yang berisi senaskhah Al-Quran, rehal dan lidi pendek. Setiap kali mahu keluar rumah, Mak Cik Vijaya akan membuat spot check. Pernah dulu Leman membawa sepasang seluar dan plastik secara diam-diam untuk bermandi-manda di Sungai Semantan. Saban tahun, sungai itu membunuh beberapa anak kampung dengan mudah. Ada sahaja yang berlaku, jeti runtuh, pasir selut dan bah. Semuanya siri pembunuhan dari sebatang sungai yang tak pernah dihakimi langsung oleh sesiapa.

Jika banjir melimpah, maka ketakutanlah seluruh penduduk kampung. Bah Semantan tak boleh dibawa main-main. Seringkali sahaja ada arus di bawah sungai yang menarik-narik apa sahaja yang di atas permukaan. Setiap kali bala sebegini melanda, maka seluruh penduduk kampung di antara ketakutan dan kesedihan walhal pada saat ia tenang, Sungai Semantan sangat disukai oleh penduduk kampung.

Di situlah juga boleh jadi mata pencarian penduduk kampung menahan ikan. Juga ada yang rajin membuat sangkar ikan tilapia dan patin.

Leman melenggang menuju ke rumah Ustaz Azudin. Sambilsambil memandang alur Sungai Semantan yang sentiasa perlahan dan menggiurkan penggemar air. Sesekali terpercik keluar gelombang kecil ikan-ikan yang naik mengambil nafas.

Assalamualaikum! jerit Leman.

Waalaikumussalam, mari naik. Kamu paling awal. Kamu dululah Leman, jawab Ustaz Azudin.

Leman memulakan pengajian petang itu dengan cukup hemah. Sesekali terdengar juga hempas-hempas titik rotan di atas rehal. Walaupun baru berumur tujuh tahun, budak lelaki ini antara yang paling laju naik Quran. Sungguh Ustaz Azudin manusia paling garang yang ditemui dalam hidup Leman. Leman tak pernah putus asa untuk kembali tiga hari seminggu menuntut janji Tuhan untuk dapat syurga sekiranya berbuat baik dengan Al-Quran.

Leman menyudahkan kelas pengajian Al-Quran petang itu dengan sekali harung. Dua helai bacaan bersama dengan rotan tiga empat kali kerana salah baca dan silap hukum sudah cukup untuk sesi kali itu. Lekas dia bingkas bangun dan menuju ke rumah Faduli dan kemudian ke Cilawagi Tujuh di hujung kampung.

Cilawagi diambil dari nama nenek tua yang tinggal di sebuah groto kecil yang terdapat di seberang tanah Pasir Rawa. Groto kecil ini pernah dinostalgiakan dengan sekeluarga beranak tujuh yang hingga ke tua dikatakan duduk di situ satu masa lalu. Kini, Cilawagi Tujuh ini menjadi tempat mainan budak-budak kampung. Di bahagian hadapannya seolah terdapat pintu besar untuk masuk ke gua ini. Manakala di bahagian belakangnya pula hanya boleh dimasuki oleh budak-budak sekitar tujuh ke lapan tahun. Tok Penghulu Ariffin sering kali mempromosikan Cilawagi untuk terus digunakan oleh budak-budak sebagai tempat berseronok bagi mengelak mat-mat pit datang dan menjadikannya port untuk menagih. Elok pula ia bersebelahan dengan padang kampung yang boleh dijadikan padang bola tujuh sebelah.

Sedang elok melepaskan punggung di batu-batu kecil Cilawagi, Faduli memandang jauh ke arah padang. Leman ikut termenung jauh.

Mana Baha ni, lamanya nak tunggu dia. Faduli memula sembang. Leman hanya mengangkat dua bahunya serentak. Mereka sepatutnya berkumpul di sini untuk berbincang mahu memasang perancangan berkawan dengan Nurul. Nurul perlu ditambat hatinya dan berkawan dengan Leman. Mesti. Bahari pula perlu menguatkan persahabatan untuk saling memberi maklumat-maklumat baru tentang Nurul. Apa kesukaannya, apa yang dibenci, apa yang ditakuti, semua itu harus diketahui oleh Bahari. Yalah, sudah berjiran bagai satu tanah. Pasti Bahari boleh lakukan semua itu.

Bahari berlari sai menuju ke Cilawagi. Membawa dua lagi aiskrim Malaysia yang sudah mencair separuh. Aiskrim Mak Lang yang dijual melalui tingkap ini hanya sepuluh sen. Likat di bahagian yang diikat dengan gelap warna asam boi dan kemudian pudar hingga ke hujung dengan warna oren limau Mandarin.

Mak Nurul memang kaki mengaji woi, susah gila nak berkawan dengan dia. Dia sidai baju pun pakai tudung! Baha bersungguhsungguh. Leman menggigit bibir. Faduli tersengih sedikit.

Tak apalah, apa nak gaduh. Kita bersabarlah. Dia kan sekelas dengan kita. Imah pun geng kita juga kan kata Faduli memujuk Leman. Borak petang itu sudah mula mendamaikan hati Leman. Kemaruk cinta pandang pertama saat membeli nasi lemak Mak Lang semakin beransur pulih. Perlahan-lahan dibawa oleh dingin aiskrim asam boi yang memacu masuk ke ruang mulut. Sejuk terus di kerongkong dan perut. Cilawagi menjadi saksi hal-hal mahu menjadi dewasa tiga budak lelaki berumur tujuh tahun ini.

Leman bermain dengan tanah-tanah di kakinya. Diumpilnya sedikit dan digosok perlahan. Rumput hijau juga disepaknya perlahan dan akhirnya menampakkan kering tanah merah di bawahnya.

Dalam hatinya masih lagi berbunga-bunga. Sedang kaki masih meliuk bermain dengan lantai bumi, jiwanya pula bermain dengan wajah kesukaannya.

Nurul.